HAK PENTERNAKAN BABI BUKAN HAK KESAMARATAAN DI BAWAH PERKARA 8(2)
Oleh Dr Armin Baniaz Pahamin
(English version at the bottom)
PERKARA 8(2) Perlembagaan Persekutuan melindungi individu daripada diskriminasi, bukan menjamin keseragaman layanan terhadap semua bentuk aktiviti ekonomi termasuk penternakan babi seperti yang diungkapkan oleh ADUN DAP Seri Kembangan, Wong Siew Ki.
2. Prinsip perundangan yang mantap turut mengiktiraf bahawa kesamarataan tidak bermaksud keseragaman mutlak; perbezaan layanan adalah dibenarkan selagi berasaskan pengkelasan yang munasabah dan mempunyai kaitan rasional dengan objektif dasar.
3. Namun, isu ini tidak boleh dilihat secara terpisah.
4. Ia perlu difahami dalam konteks yang lebih luas, termasuk sejarah perbezaan pandangan politik mengenai skop dan pelaksanaan peruntukan Perlembagaan khususnya berkaitan kedudukan Bumiputera di bawah Perkara 153 serta keseimbangan antara kesamarataan dan keadilan substantif.
5. Perbezaan ini bukan baharu. Dalam beberapa keadaan, ia diterjemahkan melalui kenyataan dan pendirian yang mencabar batas-batas dasar yang telah lama menjadi asas kestabilan sosial negara.
6. Sejarah telah menunjukkan DAP secara berterusan meneruskan gagasan “Malaysian Malaysia” serta naratif ‘Malaysian Dream’ yang menekankan keseragaman tanpa mengambil kira dimensi sejarah dan perlembagaan. Gagasan ini secara tidak langsung menolak keistimewaan Bumiputera yang dijamin di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
7. DAP turut menjadi antara dua parti sahaja yang menentang pindaan Akta Hasutan 1970; undang-undang yang secara khusus menghalang sebarang cabaran terhadap peruntukan perlembagaan berkaitan hak Bumiputera.
8. Pola ini bukan sejarah semata-mata; ia berterusan sehingga kini melalui kenyataan dan tindakan ahli-ahli DAP yang secara berulang kali mempersoalkan batas-batas perlembagaan yang melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera.
9. Kenyataan Wong Siew Ki, yang membangkitkan “hak kesamarataan” di bawah Perkara 8(2) dalam isu penternakan babi, ialah manifestasi terbaru pola berulang ini dan salah satu contoh nyata tentang apa yang bakal berlaku jika orang Melayu tidak bersatu dalam membentuk kerajaan.
10. Pada Januari 2026, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah bertitah dengan jelas agar semua operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan dan dipindahkan ke Bukit Tagar secara berperingkat.
11. Titah baginda turut menyatakan bahawa penternakan babi hendaklah ditamatkan sepenuhnya di Selangor atas sebab-sebab alam sekitar dan komposisi demografi negeri.
12. Pada Februari 2026, kerajaan negeri sendiri menyatakan komitmen untuk melaksanakan titah tersebut.
13. Namun, hanya beberapa bulan selepas itu, ADUN DAP Seri Kembangan telah bangun dalam Dewan Undangan Negeri Selangor mengemukakan hujah bahawa penternakan babi patut dibenarkan semula atas alasan Perkara 8(2).
14. Tindakan ini secara langsung mempersoalkan titah yang telah dikeluarkan, diumumkan dan komited untuk dilaksanakan.
15. Tindakan Wong Siew Ki yang tetap mempertahankan cadangannya walaupun selepas menerima tentangan yang meluas menunjukkan bahawa ini bukan sekadar pandangan peribadi seorang ADUN, tetapi sebahagian daripada pola pemikiran yang lebih konsisten..
16. Titah Sultan sebagai sebahagian daripada struktur perlembagaan negeri yang berperanan dalam memastikan kestabilan dan keseimbangan sosial dilihat dipersoalkan secara berterusan dalam wacana politik semasa.
17. Dalam kerangka ini, penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu bukan sekadar soal adat, tetapi sebahagian daripada struktur perlembagaan yang menyokong kestabilan negara.
18. Dimensi ini melemahkan prinsip federalisme, malah berpotensi mencabar asas institusi negara.
Agama rasmi persekutuan, agama Islam yang dianuti oleh majoriti penduduk, tidak dihormati dengan tuntutan berkali-kali untuk dibenarkan mengadakan penternakan babi mega.
19. Bidang penternakan dan penggunaan tanah berada di bawah kuasa kerajaan negeri, memberikan ruang budi bicara yang luas untuk menentukan dasar yang sesuai dengan konteks tempatan.
20. Namun, isu ini juga membuka ruang untuk penilaian yang lebih kritikal terhadap dinamika dalam kerajaan campuran hari ini.
21. UMNO, sebagai parti yang mempunyai pengalaman panjang dalam mentadbir negara dan membawa aspirasi Melayu serta Bumiputera, seharusnya memainkan peranan yang lebih tegas dalam membentuk hala tuju dasar kerajaan.
22. Persepsi yang semakin menular bahawa UMNO tidak berfungsi secara efektif dalam Kerajaan MADANI walaupun dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri, jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran – amat membimbangkan.
23. Malah dilihat seolah-olah UMNO sekadar mengikut rentak rakan gabungan, DAP, menimbulkan persoalan terhadap peranan sebenar parti tersebut dalam struktur kuasa semasa.
24. Dalam mana-mana kerajaan campuran, keseimbangan bukan sekadar soal pembahagian kerusi atau jawatan, tetapi soal keupayaan mempengaruhi dasar dan memastikan prinsip asas negara dipelihara.
25. Sekiranya parti yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran gagal memainkan peranan sebagai penyeimbang yang berkesan, maka ruang tafsiran terhadap dasar termasuk dalam isu sensitif seperti ini, akan menjadi kabur dan berpotensi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
26. Isu penternakan babi ini, dalam konteks tersebut, menjadi lebih daripada sekadar perbahasan dasar pertanian. Ia mencerminkan sejauh mana parti-parti dalam kerajaan memahami dan mempertahankan kerangka perlembagaan serta sensitiviti sosio-agama masyarakat Malaysia.
27. Peranan UMNO dalam konteks ini bukan sekadar untuk menyatakan pendirian, tetapi untuk memastikan rakan-rakan dalam kerajaan termasuk DAP, mempunyai kefahaman yang jelas terhadap batas-batas perlembagaan tersebut, dan bahawa titah institusi Raja-Raja Melayu tidak wajar dipolitikkan secara sempit atau dijadikan bahan perdebatan partisan.
28. Dengan rekod politik yang sering dilihat mencabar kerangka keistimewaan Bumiputera, penentangan terhadap pindaan Akta Hasutan, dan kini kenyataan ADUN DAP yang mempersoalkan semula dasar selaras titah Sultan Selangor, pola ini tidak boleh dipandang ringan.
29. Lebih membimbangkan, episod ini berlaku tanpa reaksi tegas daripada UMNO. Dalam politik, kesunyian bukan sekadar kelemahan komunikasi; ia sering ditafsir sebagai kegagalan mempertahankan prinsip.
30. Jika UMNO tidak lagi mampu berfungsi sebagai penyeimbang dalam kerajaan, maka persoalan yang lebih besar perlu ditanya: siapa sebenarnya yang mempertahankan kerangka perlembagaan, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta maruah institusi Raja-Raja Melayu dalam Kerajaan MADANI?
~ Dr Armin Baniaz Pahamin
https://www.facebook.com/share/p/18UzBzTs7p/
Artikel asal dalam dwi-bahasa (BM & English) di https://www.arminbaniaz.com/2026/04/hak-penternakan-babi-bukan-hak.html
(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)
Sumber: bebasnews.my
