HARAPAN BARU, DI TAHUN BARU JANGAN SEMUANYA CELARU
Tahun 2025 bakal melabuhkan tirai dan tahun 2026 akan muncul dengan pelbagai harapan dan ada sinar masa hadapan yang lebih baik: ekonomi, politik, sosial dan juga kejernihan jiwa.
Dalam falsafah materialisme, kenaikan hasil pendapatan - negara dan peribadi - akan dikira sebagai salah satu indeks kesejahteraan hidup, walhal hidup itu sendiri bukan hanya sebatas ekonomi dan pertumbuhan. Hidup memerlukan dimensi psikologi, sosial dan politik yang berkembang dalam kerangka tanpa kecelaruan.
Tahun 2025 kita hidup dalam kecelaruan politik, baik dalam perspektif kerajaan dengan pembangkang, bahkan juga dalam kitaran politik dalam parti-parti yang bergabung dalam satu gagasan, atau pakatan. Sekurang-kurangnya, kerjasama antara parti politik dalam satu ditandai dengan minimumnya konflik dan ia dapat diselesaikan secara menang-menang.
Bagi Perikatan Nasional, riak-riak perpecahan sudah mula muncul di permukaan antara PAS dan Bersatu. PAS yang mempunyai kerusi terbanyak - 43 kerusi Parlimen - dilihat layak memimpin PN yang diterajui oleh Bersatu. Tetapi Bersatu pula sedang berselingkuh, maka muncul sekurang-kurangnya dua kutub yang sedang menuju pertembungan besar.
Pertembungan dalam kepimpinan Bersatu bermula sejak pertengahan tahun. 2025 apabila kepimpinan Muhyiddin dipersoalkan. Ia mungkin dapat dijejaki tatkala Muhyiddin akur dengan cara PAS menentukan calon di PRK Nenggiri. PAS dikatakan menetapkan kriteria, dan kriteria itu tidak salah dipenuhi oleh Bersatu. Mahu tak mahu,
Bersatu terdesak dan menerima calon yang bercengkerangkan PAS. Akhirnya, tewas dan muncul pula pelbagai hal yang tidak beres, termasuklah kisah seseorang yang berjanji untuk menaja kempen, tetapi tidak beres. Bersatu sebabnya cukup lemah apabila akaun parti dibekukan dan beberapa orang pemimpinnya berhadapan dengan kes salah laku, rasuah dan penggubahan wang haram.
Antaranya, Muhyiddin sendiri, Wan Saiful Wan Jan (akhirnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan dan dipecat sebagai ahli parti), dan kini, sedang dihadapi oleh wakil rakyat Padang Serai. Ia menjadi bertambah gamat setelah Muhyiddin tidak bekerjasama untuk menjejaki membantu dan ada kes yang membabitkan pemimpin Bersatu Segambut.
Kemelut Bersatu boleh menyebabkan perjuangan Muhyiddin untuk membentuk pakatan yang lebih besar tidak dapat berlaku. Walaupun Hamzah Zainuddin dianggap tokoh yang mampu berhadapan dengan kempen politik PH, ia belum cukup kuat untuk mematikan strategi politik PAS yang terkenal dengan fatwa pelbagai, yang semua orang tahu, PAS bukanlah sebuah perjuangan politik Islam yang tulen. PAS hanya memainkan sentimen agama untuk memperlihatkan cengkaman kuasanya, sebab itulah fatwanya kadangkala berubah-ubah, bergantung kepada keperluan semasa.
PAS dilihat semakin berhadapan dengan krisis apabila tiga daripada lapan wakil rakyat PN mengambil pendekatan menolak kepimpinan MB Perlis, Mohd Shukri Ramli negeri yang semakin menjadi kubu kuatnya. Tiga wakil rakyat tersebut - ADUN Bintong, ADUN Chuping dan ADUN Guar Sanji - telah digugurkan keahlian oleh Presiden PAS pada 24 Disember 2025. Ini bermakna, PN hanya mempunyai 12 wakil rakyat, dan jika Bersatu mengambil keputusan yang sama, memecat lima wakil rakyatnya, kedudukan mereka akan menjadi sesuatu yang cukup bermasalah.
Penyelesaiannya ialah membubarkan DUN untuk diadakan PRN yang baharu. Ini bermakna, kemungkinan PN untuk menyapu bersih DUN Perlis semakin tidak ada harapan walaupun masih boleh mentadbir negeri tersebut. Tentunya, cabaran akan menjadi lebih besar sekiranya ada kemenangan di pihak BN atau PH.
Ramai yang melihat, Mohd Shukri selamat ketika ini, tetapi tidak bermakna beliau tidak ada gerakan lain yang akan menyusul, kecualilah PAS membuat keputusan untuk menggantikannya. Ini mungkin akan membawa kepada tafsiran nepotisme, sebabnya, Mohd Shukri adalah salah seorang besan Tan Sri Haji Hadi Awang, Presiden PAS. Anak Muhd Shukri, Mohd Syafeeq, 35 masih dalam proses undang-undang kerana didakwa membuat tuntutan palsu.
Awalnya, tidak dikaitkan hubungan besan itu sebagai faktor kenapa dipilih oleh kepimpinan PAS melantik Mohd Shukri. Mohd Shukri juga ada kes berkaitan dengan tender. Kedudukan Mohd Syukri dalam kepimpinan PN Perlis juga telah digantikan dengan bekas pemimpin UMNO yang kecewa kerana tidak diberikan peluang bertanding. Tan Sri Shahidan Kassim akhirnya mendekati PAS dan dipilih untuk mewakili PN dalam PRU 15.
Tahun 2026 diharapkan tidak akan berlaku kekecohan yang besar dalam Kerajaan Madani walaupun ada desakan tidak rasmi agar UMNO meninggalkannya. UMNO mungkin tidak akan berbuat demikian, kerana jika keluar sekalipun, ia tidak menjejaskan kedudukan sokongan majoriti Kerajaan Madani. Adalah sesuatu yang silap jika sekiranya ada andaian, jika UMNO menghentikan kerjasama, GRS dan GPS akan ikut sama. GPS semakin kuat menyokong Anwar Ibrahim kerana pendekatannya semakin jinak kepada MA63, yang tidak dilaksanakan oleh BN sejak mereka bersama.
Sabah, yang baharu selesai PRN tidak mungkin akan membuat keputusan untuk tidak menyokong Kerajaan Madani. Sabah melihat agenda mereka akan lebih berjaya di bawah naungan Kerajaan Madani, berbanding dengan menyokong UMNO/BN yang semakin kerdil kuasa. Biarpun GRS tidak bersedia meletakkan calonnya di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, tidak bererti akan kekal bersama UMNO/BN selama-lamanya. GRS hanyalah berusaha untuk menghormati keputusan UMNO/BN selagi UMNO/BN kekal dalam Kerajaan Madani.
Semua kemelut politik ini memerlukan penyelesaian yang dapat diterima dan PMX melihat ia sebagai sesuatu tindakan nakal, selagi ia tidak menjadi keputusan dasar parti. Walaupun antara UMNO dan DAP dilihat "kurang harmoni", ia bukan sesuatu yang merbahaya walaupun sedikit "kepalang ajar". Kini, isunya berkaitan dengan keputusan Mahkamah menikah titah adendum, yang diberikan makna negatif oleh salah seorang pemimpin DAP sebagai "meraikan tahun baharu".
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan bangkit dengan cadangan untuk meraikan kes yang membabitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, kisah "telowong" yang masih dalam proses undang-undang. Ada pula berusaha untuk meraikan sama bekas pemimpin DAP yang gagal dalam rayuannya setelah didapati bersalah merogol orang gajinya, seorang warga Indonesia.
Bila dikaitkan dengan perilaku pemimpin DAP, ia seringkali dikatakan sebagai pandangan peribadi, bukan pendirian parti. Bila ADUN Tronoh, Paul Yong Cho Kiong dipersalahkan, DAP gugurkan keahlian, seolah-olah tidak lagi mahu dikaitkan dengan parti. Paul Yong menjalani hukuman penjara selama 8 tahun mulai awal Oktober lalu. Ia bukan perkara baharu, ia sudah lama dipraktikkan, kerana itulah bagasi DAP dilihat semakin berat walaupun dicuba membuang sebahagiannya.
Semalam, nilai ringgit telah melonjak kepada 4.07 bagi setiap dolar, dan ini merupakan pencapaian terbaik untuk lima tahun. Diharapkan nilai ringgit akan lebih mengukuh pada tahun 2026 dan kalau pun tidak dapat kembali ke paras sebelumnya RM 3.80 bagi setiap dolar, berada pada tahap di bawah RM 4 dilihat cukup baik.
Namun, PMX harus bijak melaksanakan reformasi ekonomi kerana ART yang ditandatangani bulan Oktober lalu masih dilihat tidak menguntungkan negara, ia perlu dilaksanakan beberapa penyesuaian agar tidak kedengaran "tergadai aset" walaupun secara umumnya, jumlah hutang negara sudah jauh meningkat, hampir 100 peratus daripada kedudukan akhir 2017 sebelum BN tumbang.
Kali ini, tidak lagi boleh menggunakan alasan hutang 1MDB sebagai pengimbang terbesar kerana sebahagian daripada kerugian akibat salah laku pengurusan telah berjaya dikembalikan. Rakyat mahu melihat, angka hutang 1MDB susut dengan ketara kerana wang yang dituntut akhbar salah guna itu sudah dimasukkan ke dalam akaun kerajaan. Gunakanlah wang itu untuk membayar hutang yang dikaitkan dengan badan pelaburan tersebut, bukan dialihkan kepada perbelanjaan lain.
Rakyat juga mengharapkan Kerajaan Madani benar-benar gigih untuk mengurangkan kos sara hidup, kerana dalam situasi ekonomi 2026 yang dianggap boleh jadi tidak menentu, akan ada kesannya, terutama apabila berlaku perubahan kadar faedah di Amerika Syarikat. Kita tahu, Trump akan lakukan dasar yang pelik selagi tidak dapat dipastikan bahawa Amerika Syarikat akan kekal sebagai "polis dunia" dan "hegemoni ekonomi". Perang dagang sekarang bukan lagi antara China dan Amerika Syarikat, ia melangkaui semua negara yang ingin berdagang dengan Amerika Syarikat.
Apa pun, tahun 2026 Malaysia tidak lagi memimpin ASEAN, ianya berpindah kepada Filipina. Di situ akan kita lihat peranan Filipina, bagaimana melakukan hubungan kerjasama dengan Amerika Syarikat, BRICS, EU, dan dua buah negara naungan Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan. Dalam masa yang sama, kepimpinan ASEAN yang baharu harus dapat memainkan peranan untuk mengimbangi pertikaiannya tuntutan Laut China Selatan dengan China, dan Filipina adalah salah sebuah negara yang cukup terasa bebannya.
Apa yang menarik, pada tahun 2026 tidak akan muncul kisah 2M sekali lagi setelah 2M pertama (Mahathir-Musa) musnah pada tahun 1986. 2 M kedua (Mahathir-Muhyiddin) dilihat semakin sepi setelah Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin sebagai oportunis yang mahu menyelamatkan diri daripada dipenjara akibat, yang sebelumnya (2021) didakwa diktator apabila menggulingkan kerajaan PH dengan Langkah Sheraton.
Tetapi, yang lebih menyakitkan ialah jika kehendak akar umbi Bersatu tidak dituntaskan, mereka akan bangkit dengan cara yang lebih keras mendesak Muhyiddin turun daripada kerusi Presiden Bersatu. Mereka melihat, selagi Muhyiddin memimpin. Bersatu, selagi itulah Bersatu akan dilihat hilang kuasa, sebabnya, Muhyiddin hanya mahu "selamatkan diri" bukan untuk memperkasakan parti. Parti sudah hilang semangat dari dalam dan di luar PAS semakin kental nyali (keberanian) berpolitik, sebab PAS lebih kemas jentera dan dokongan kuasa.
Atau, apakah tahun 2026 akan muncul pakatan baharu antara PAS-UMNO dan PKR; BN, PN dan PH berakhir untuk berhadapan dengan PRU ke-16? Mungkin berlaku, mungkin tidak kerana dalam politik, semuanya serba mungkin: tidak ada kawan sejati dan musuh yang kekal selama-lamanya.
Selamat Tahun Baru 2026, dan semuanya diharapkan tidak semakin bercelaru. Hidupkan semula Muafakat Nasional mungkin menjadi harapan baharu, yang boleh merintis kepada kekuatan politik dan penyatuan politik Melayu yang sudah lama berpecah. Dan, perpecahan itulah sebenarnya memberikan kekuatan kepada DAP.
Akhirnya MB Perlis meletakkan jawatan dan YDP DUN Perlis isytiharkan tiga DUN kosong ekoran pemecatan tiga ADUN PAS yang menarik sokongan kepada Mohd Shukri Ramli. Nampaknya, pergolakan politik PAS akan jadi makin besar, dan tentunya, akan ada kekalutan politik di Perlis nanti sebagai sebahagian daripada sambutan Tahun 2026. Sama ada akan berlaku PRK di tiga DUN terbabit, ia akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, tetapi kalau dikira edah PRU lalu, ia mungkin tidak berlaku kerana masih tersisa dua tahun.
Menurut undang-undang sebarang PRK tidak akan berlaku sekiranya edah kurang daripada setengah penggal. PRU ke-15 diadakan pada 22 November 2022, ertinya sudah masuk tiga tahun. Berbeza dengan Parlimen Kinabatangan, kekosongan berlaku pada 8 Disember 2025, yakni 2 Disember 2022.
KAMARUN KH
