KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
“IMPIAN MALAYSIA” DAP TIDAK BOLEH MENGATASI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam kenyataan Lim Kit Siang yang menggesa rakyat Johor supaya tidak memecahkan undi Pakatan Harapan atas alasan mempertahankan apa yang disebut sebagai “Impian Malaysia” DAP. Kenyataan tersebut jelas memperlihatkan cubaan menjadikan PRN Johor sebagai medan untuk mengabsahkan agenda politik DAP, bukannya mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.
PERKASA ingin mengingatkan Lim Kit Siang bahawa Malaysia bukan dibina atas “Impian Malaysia” DAP, tetapi dibina atas Perlembagaan Persekutuan. Tiada mana-mana parti politik mempunyai hak untuk mentafsir semula identiti negara mengikut acuan ideologi mereka.
Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan dengan jelas bahawa Islam ialah Agama Persekutuan, Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan, institusi Raja-Raja Melayu adalah payung kedaulatan negara, manakala Perkara 153 memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di samping menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain. Inilah asas negara yang tidak boleh dirunding, dipersoalkan atau diubah melalui slogan politik.
PERKASA melihat slogan “Impian Malaysia” yang sering dibawa DAP sebagai satu naratif politik yang cuba mengubah kefahaman rakyat terhadap kontrak sosial dan semangat pembentukan Persekutuan Malaysia. Rakyat perlu berwaspada agar tidak terpengaruh dengan retorik yang akhirnya boleh menghakis asas-asas kenegaraan yang telah dipersetujui sejak Merdeka.
PRN Johor bukan referendum untuk meluluskan agenda politik DAP. Rakyat Johor terkenal dengan semangat menjunjung institusi Raja, mempertahankan agama Islam serta menghormati Perlembagaan Persekutuan. Kami yakin rakyat Johor mampu menilai bahawa kestabilan negara hanya dapat dipertahankan apabila asas Perlembagaan terus dihormati, bukannya apabila ia ditafsir mengikut kehendak mana-mana parti politik.
PERKASA menyeru seluruh rakyat Johor supaya menolak sebarang cubaan mengangkat ideologi parti mengatasi Perlembagaan Persekutuan. Kesetiaan rakyat hendaklah kepada negara, Raja dan Perlembagaan, bukannya kepada “impian” yang dicipta oleh mana-mana parti politik.
PERKASA ingin menegaskan: Impian Malaysia yang sebenar bukanlah “Malaysian Malaysia” atau apa jua slogan politik yang dicanang DAP.
Impian Malaysia yang sebenar ialah sebuah negara yang terus berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan, memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Azrol Mansor
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Sumber: bebasnews.my
