JANGAN GUNA NAMA PERPADUAN KABURKAN BATAS AKIDAH – PERKASA
Menurut beliau, perpaduan yang sebenar mesti dibina atas dasar kefahaman serta pematuhan terhadap batas agama masing-masing, bukannya menganggap semua bentuk penglibatan dalam aktiviti keagamaan di rumah ibadat lain sebagai perkara biasa yang tidak boleh dipersoalkan.
PERKASA turut merujuk penjelasan Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman pada 13 Oktober lalu yang mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan kerja pembersihan yang mempunyai kaitan langsung dengan penyediaan atau penyelenggaraan tempat dan peralatan khusus bagi ritual agama lain.
“Persoalan utama bukan sama ada umat Islam boleh membantu masyarakat bukan Islam, tetapi apakah bentuk bantuan yang dilakukan, di manakah bantuan itu dilaksanakan dan adakah tugasan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan ritual atau amalan keagamaan agama lain.
“Jangan kerana terlalu ghairah membawa slogan perpaduan, akhirnya batas yang telah dijelaskan oleh pihak berautoriti agama dipandang remeh atau diketepikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azrol turut menambah bahawa bantuan kemanusiaan seperti tindakan Kuil Sri Maha Kaliamman di Putra Heights yang menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mangsa letupan saluran paip gas tidak boleh disamakan dengan kerja yang membabitkan ruang atau peralatan ibadah.
Sehubungan itu, PERKASA mengemukakan beberapa tuntutan termasuk mendesak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang memberikan penjelasan rasmi secara terperinci mengenai perbezaan gotong-royong umum dan penyelenggaraan tempat ritual.
Pertubuhan itu juga meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak sekolah memastikan aktiviti luar pelajar Islam mempunyai skop tugasan yang jelas tanpa menjejaskan pegangan akidah mereka, selain menggesa MAHIMA menghormati keputusan dan penjelasan pihak berautoriti agama Islam. – ZT
Sumber: bebasnews.my
