JIKA MIC KELUAR; BN TIDAK RUGI APA-APA PUN
MIC yang ditubuhkan sebagai wahana politik kaum India nampaknya akan kekal keciciran dalam lanskap politik Malaysia sekiranya benar-benar bercerai dengan Barisan Nasional.
Ini kerana MIC tidak lagi ada pertaruhan politik yang boleh dijadikan " tawar menawar" kerana sokongan masyarakat India terhadapnya semakin tidak menunjukkan tanda akan pulih sebagaimana kekuatannya pada tahun-tahun kegemilangannya dalam BN.
Semua orang tahu, tidak ada satu pun kawasan Parlimen atau DUN yang benar-benar merupakan kawasan majoriti pengundi India. Apa yang ada ialah kawasan bercampur, tetapi jika pengundi Melayu tidak mengundi' calon MIC di bawah bendera BN, tidak ada satu pun kemenangan yang berjaya dicapai.
Itu dalam suasana kekuatan BN menjadi "daya tarik" tetapi kini, hal itu sudah susah untuk berlaku. BN yang ditunjangi oleh UMNO sudah kerdil kuasa selepas tewas pada PRU ke-14 (2018).
Kita mungkin ingat bagaimana harapan MIC hampir hancur apabila Samy Vellu, yang juga dikenali dengan jolokan Samy Toll kalah di Parlimen Sungai Siput yang dikuasainya sejak beberapa penggal. Sejak itu, prestasi MIC cukup mengecewakan, namun "teriakan" cukup besar "membelah langit politik".
Perpecahan yang berlaku dalam MIC cukup jika dilihat daripada semangat dan perjuangan politik. Sebab itulah pada masa kini tidak kelihatan sebuah parti politik yang mampu menyatukan pengundi India, sebaliknya, semakin dilihat yang dikejar semakin bertabrakan.
Sekiranya MIC keluar BN, BN sebenarnya tidak rugi apa-apa bahkan UMNO sedia mengambil tempat yang sedia diperuntukkan kepada parti terbabit. Misalnya, Parlimen Tapah, yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.
Jika calon yang akan bertanding pada PRU ke-16 kekal calon MIC, bersedialah calon tersebut hadapi kekalahan kerana orang Melayu, khususnya ahli UMNO tidak lagi akan mengundi calon MIC. Itu adalah contoh yang cukup menarik untuk dilihat.
Saya melihat MIC akhirnya tidak akan ke mana walaupun ada kemungkinan bersama dalam pakatan ketiga atau "payung besar" sedang dirancang. MIC tidak mampu bersandarkan kepada pengaruh Bersatu, kerana Bersatu pun sedang berhadapan dengan defisit keyakinan. Apatah lagi di dalam "payung besar" itu ada beberapa buah lagi parti politik yang berasaskan etnik India, dan setiap daripadanya sangat mengharapkan diberikan kerusi untuk ditandingi.
Berapa banyakkah kerusi yang akan diperuntukkan kepada parti-parti etnik India? Berapa banyak pula kerusi untuk Gerakan? Soalnya, apakah PAS akan meminta lebih banyak kerusi berdasarkan prestasinya lebih baik daripada Bersatu sendiri? Kesemuanya akan menjadi perhitungan yang tidak mudah untuk diselesaikan, kerana masing-masing ada hujahnya walaupun asas untuk menang belum tentu terjamin.
Untuk mengharapkan sokongan PAS, PAS belum bersedia untuk mengorbankan kerusi yang dimenanginya atau dilihat selamat untuk kekal berkuasa. PAS adalah perancangannya sendiri, termasuk secara sulit dan terancang "melemahkan" Bersatu.
KAMARUN KH
