KABINET: TANGANI SENTIMEN SECARA BIJAKSANA
Author: Hassan Mohd Noor
KUALA LUMPUR — Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sentimen rakyat dalam kalangan netizen berhubung rombakan Kabinet yang berlegar di media sosial semalam tidak boleh dipandang ringan.
“Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana,” katanya menerusi Facebook.
Menerusi hantaran itu beliau ‘mengutip atau merumuskan’ sentimen netizen atau warganet yang memperkatakan tentang beberapa pelantikan Kabinet termasuk kenapa Menteri Wilayah Persekutuan seorang berbangsa Cina DAP dan Timbalan Menteri juga seorang berbangsa Cina GRS.
“Apakah nasib Bumiputera bandar? Apakah ini permulaan untuk Pilihanraya Kerajaan Tempatan diadakan?,” tulisnya berhubung lantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri dan Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui sebagai timbalan.
Menurut Asyraf, sentimen warganet juga mempersoalkan kenapa dilantik seorang Timbalan Menteri Agama daripada personaliti yang penuh kontroversi dalam isu Zara, tentang posting-posting beliau terkait hutang scam emas RM14juta, dan juga mengenai isu amalan doa dan ibadah?
Ia merujuk kepada pelantikan Marhamah Rosli penceramah bebas dan aktivis kebajikan yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah.
Begitu juga pelantikan Adam Adli, sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang paling lantang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ketika era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Adakah dengan pelantik Ketua Komunikasi PKR itu mampu merealisasikan agenda tersebut?
“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen yang kuat berlegar di ruangan media sosial sejak pengumuman semalam. Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi fakta berkaitan komposisi ahli Kabinet dari segi kaum dan parti gabungan.
Katanya, terdapat 17 menteri Melayu, lima Cina, dua India, lima Bumiputera Sarawak dan tiga Bumiputera Sabah manakala Timbalan Menteri terdiri daripada 10 Melayu, lima Cina, dua India, tujuh Bumiputera Sarawak dan enam Bumiputera Sabah.
Mengenai komposisi parti, PH diwakili sembilan menteri PKR, lima DAP dan dua Amanah, lapan mewakili BN, lima dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Datuk Hassan Mohd Noor bermula sebagai Pemberita Kadet di Pulau Pinang pada 1983. Pernah menjawat Ketua Biro Johor Bahru, Penolong Pengarang Berita, Pengarang MASSA, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Utusan Malaysia dan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Menamatkan tugas bersama Utusan Melayu bermula 1 Disember 2018.
Sumber: bebasnews.my
