‘KALIH’ ATAU TAK ‘BERKALIH?’
[RABU, 5 JULAI 2023: Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam buah negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ditetapkan pada 12 Ogos 2023 manakala hari penamaan calon ialah 29 Julai 2023. Ia akan melibatkan pertandingan di 245 kerusi DUN dan akan ditentukan oleh 9, 773,571 pemilih.
Daripada jumlah tersebut, 9,674,456 pemilih adalah pengundi biasa, 94,660 anggota tentera dan pasangan, 47,728 anggota polis dan pasangan, dan 1.727 adalah pengundi luar negara. Untuk menguruskan 6 PRN ini, ia membabitkan perbelanjaan RM 420 juta, 153,760 petugas di 3,450 pusat mengundi dan 17,425 saluran mengundi.
PRN akan dijalankan serentak membabitkan Kedah (36), Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36). Enam negeri itu, tidak membubarkan DUN masing-masing ketika Dewan Rakyat dibubarkan pada 20 Oktober 2022, dan tidak bersekali diadakan pilihan raya ketika PRU ke-15 (19 November 2022).
Empat buah negeri yang lain – Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak – telah mengadakan PRN masing-masing sebelum PRU ke-15 dan keputusan PRN tersebut masih sah untuk tempoh lima tahun. Tiga daripada enam negeri yang terbabit dalam PRN kali ini dikuasai oleh PAS, - Kelantan, Terengganu dan Kedah- manakala selebihnya dikuasai oleh PH - Pulau Pinang (DAP), Selangor (PKR) dan Negeri Sembilan (PKR).
Bersatu, PAS dan Gerakan yang bergabung dalam Perikatan Nasional pada PRU ke-15 hanya mampu menguasai 74 kerusi Dewan Rakyat, gagal membentuk kerajaan dan kekal sebagai pembangkang walaupun berjaya menawan DUN Perlis.
Di negeri yang dikuasai oleh PAS, gandingan PH-BN dijangka memberikan saingan sengit walaupun tidak dijangka mampu ‘kalih’. Begitu juga dengan negeri-negeri yang dikuasai oleh PH, PN dijangka tidak mampu ‘kalih’, tetapi kedudukan kerusi mungkin akan kelihatan berengsot.
Masing-masing memasang strategi, namun gambaran awal belum menunjukkan akan berlaku ‘kalih’ disebabkan beberapa faktor. Antaranya, prestasi kerajaan negeri disenangi yang ditadbir oleh PH ‘disenangi’ oleh sebahagian besar pengundi.
Sebaliknya, walaupun muncul beberapa isu yang tidak menunjukkan kesungguhan PAS memenuhi janjinya di Kelantan, Terengganu dan Kedah, ia tidak menunjukkan pengundi sedia ‘kalih’, atas alasan dogmatik dan indoktrinasi yang berpanjangan.
Setakat ini, belum ada kesepakatan antara PAS dan Bersatu mengenai parti manakah yang akan menerajui Selangor sekiranya PN menang. Antara PAS dan Bersatu, masing-masing mengharapkan Selangor menjadi ‘kuasa baharu’ disebabkan kedudukannya sebagai negeri yang terkaya di Malaysia. Selangor akan menjadi penyelamat dan penentu kelangsungan dana PRU ke-16 bagi PAS dan juga Bersatu.
Namun, pengundi Selangor tidak bersedia mengorbankan pencapaiannya setelah sedar bahawa PAS tidak mampu meneruskan kecemerlangan ekonomi berdasarkan sejak 30 tahun memerintah Kelantan, masih tercorot dan kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia.
Bersatu dalam keadaan ‘tidak bermaya’ disebabkan akaun parti telah dibekukan manakala beberapa orang pemimpinnya sedang dihadapkan dengan amalan salah guna kuasa, rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
*********
Istilah ‘kalih’, sekurang-kurang ada dua maksud dalam dua subbudaya masyarakat Malaysia. Dalam istilah loghat utara, yang sedang menjadi tema kempen Perikatan Nasional, kalih membawa maksud, berubah. Berubah itu dimaksudkan, ialah menukarkan kerajaan khususnya di Pulau Pinang.
Sekurang-kurangnya ‘kalik’ yang bermaksud ‘ubah’ atau berubah itu disasarkan akan berubahnya lanskap politik pentadbiran negeri di tiga buah negeri, iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. Ia berubah daripada kerajaan yang dikuasai oleh gabungan Pakatan Harapan kepada gabungan Perikatan Nasional.
Dalam loghat Kelantan, perkataan ‘kalih’ juga merupakan istilah yang sering digunakan. Maksudnya, kalih itu sudah bertukar atau berubah menjadi sesuatu yang “biasa”, yang pada asalnya daripada satu keadaan yang ‘tidak biasa’ atau ‘ada rintangan’. Sesuatu yang luar biasa atau pelek itu tidak lagi dianggap taboo, dilarang mahupun dihalang, ia sudah menjadi kebiasaan terutama dalam bentuk pemikiran, tindakan dan perilaku.
Kalih membawa makna yang lebih luas, misalnya jika sesuatu ubat itu sangat memberikan kesan bagi ‘mengurangkan kesihatan’, tetapi kerana ia diambil dalam jangka masanya, kekesanan ubat itu tidak lagi menjadi (berkesan atau efektif).
Dalam Kamus Dewan ditemukan perkataan kalih, yang bermaksud: berkalih (sastera lama) beralih (2007, hal. 663). Kalau istilah ‘kalih muka’ ertinya berpaling muka; kalih punggung, berubah kedudukan dengan memusingkan punggung. Macam yang dah kahwin terlalu lamu, atau ada perasaan benci, walaupun masih tidur sekatil, posisinya ‘kalih punggung’, buka sama-sama berhadapan muka.
Dalam bahasa Inggeris boleh kita temui istilah change, yang bermaksud: (1) menjadikan atau menjadi lain, perubahan; (2) perbuatan menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain; (misalnya: menukar kerja, menukarkan benda yang digunakan di tempat lain; (3) perbuatan pergi dengan kereta atau bas kepada yang lain (misalnya, terpaksa membuat pertukaran yang cepat, rutin yang bertukar atau persekitaran yang berubah atau berlainan; (4) perubahan nilai seperti nilai wang; (5) perubahan (menjadi lebih baik atau lebih buruk) misalnya perubahan cuaca atau iklim, berubah hati untuk perubahan. (Oxford Compact Adavanced Leaner’s English-Malay Dictionary.(AS Hornby, terjemahan Asmah Haji Omar; 2007, hal.217).
Jadi, maksud ‘kalih’ adalah ‘berubah’ atau ‘perubahan’ yang dalam bahasa Inggeris ialah change. Seperti sifatnya, perubahan itu menyebabkan dua situasi yang berlaku, menjadi semakin baik atau semakin buruk. Kalau kita lihat kepada perubahan politik di Malaysia, selepas UMNO/BN kalah, berlaku perubahan yang ketara mengenai lanskap politik Malaysia.
Pertama, perubahan rutin pemerintahan daripada UMNO/BN kepada PH. UMNO/BN mendominasi pemerintahan selama lebih 60 tahun (1957-2018). PH yang memenang PRU ke-14 (2018) hanya mampu betarhan selama dua puluh dua bulan (10 Mei 2018-24 Februari 2020) diserang oleh Langkah Sheraton.
Katak-katak yang melompat (dari UMNO/BN ke Bersatu, dan dari PKR ke Bersatu) yang disokong oleh lain parti (kecuali komponen PH) membuat pilihan mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai pilihan (dengan bersaksikan pertemuan selama dua hari dengan Yang di Petuan Agong) sebagai PM ke-8 pada 1 Mac 2020.
Muhyiddin juga akhirnya diubah oleh sekolompok oleh wakil rakyat UMNO/BN sehingga kedudukannya berubah. Pertengahan Ogos 2021, Muhyiddin meletakkan jawatan setelah menerima tekanan daripada sebahagian pemimpin UMNO (menarik sokongan) dan dikilas oleh pemimpin PH.
Era Muhyiddin sebagai PM ke-8 ‘kalih’ kepada Ismail Sabry Yaacob, Naib Presiden UMNO apabila keputusan telah dibuat, beliau ada kepercayaan majoriti, setelah YDPA yakin dengan pilihan daripada keseluruhan wakil rakyat (Dewan Rakyat). Muhyiddin mampu bertahan selama 17 bulan (1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021).
Ismail Sabry Yaacob tidak juga mampu mempertahankan jawatannya sehingga akhir tempoh Parlimen ke-14. Ismail didesak untuk membubarkan Dewan Rakyat oleh UMNO sendiri, kerana suatu kelompok dalam UMNO cukup yakin akan memenangi PRU ke-15 sekiranya diadakan ketika ‘emosi pengundi masih panas’ menunjukkan telah ‘kalih’ selepas tiga PRN yang diadakan, iaitu PRN Melaka, PRN Johor dan PRN Sarawak.
Walaupun PRN Sarawak UMNO/BN tidak bertanding, tetapi tetap menyokong GPS (sebuah gabungan parti-parti politik yang dibentuk selepas parti-parti itu keluar daripada BN beberapa bulan kekalahan UMNO/BN pada PRU ke-14).
Keputusan PRN Melaka dan PRN Johor cukup jelas ada perhitungan yang menarik, kedudukan UMNO/BN cukup selesa dan pencapaian PN, juga PH menjadi semakin tidak berpengaruh. Itulah proses ‘berkalih’nya lanskap politik Malaysia dalam tempoh empat tahun selepas PRU ke-14. Dewan Rakyat akhirnya dibubarkan pada 20 Oktober 2022 dan PRU ke- 15 diadakan pada 19 November 2022.
Keputusan PRU ke-15 juga sangat ‘kalih’. Ia tidak lagi memperlihatkan ada kerutinan keputusan daripada tahun-tahun PRU sebelumnya. Tidak ada mana-mana parti atau gabungan yang melepasi majoriti mudah, menyebabkan Dewan Rakyat diistilahkan sebagai ‘tergantung’, ertinya, tidak dapat membentuk kerajaan.
Perkalihan itu menjadikan sesuatu yang juga membabitkan pertimbangan yang tidak lagi rutin. Kalau sebelumnya berlaku kerjasama politik dalam menghadapi pilihan raya antara parti, kali ini gabungan-gabungan parti terpaksa membentuk kerjasama untuk membentuk kerajaan atau dengan istilah lain, pembentukan kerajaan selepas pilihan raya.
Fenomena sedemikian sudah pun berlaku di beberapa buah negara, termasuk apa yang sedang berlaku di Thailand. Parti Pheu Thai (dikaitkan dengan bekas PM Thailand yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra) memenangi 113 kerusi. Parti Move Forward (MVP) pimpinan Pita memenangi 151 kerusi. Walaupun dilaporkan parti-parti gabungan berjaya mendapat sokongan 313 wakil rakyat daripada 500 kerusi yang dipertandingkan, Pita Limjaroenrat masih belum boleh membentuk kerajaan.
Penentuan siapakah yang akan dipilih sebagai PM Thailand dijangka diputuskan di Parlimen pada 13 Julai nanti. Gabungan parti yang diketuai oleh Move Forward perlu mendapat sokongan 63 ahli Senat yang dilantik oleh PM yang berjaya merampas kuasa pada tahun 2014, Prayuth Chan o-cha. Para senator menyokong parti yang disokong tentera.
Ketika mengesahkan keputusan PRU Thailand yang diadakan pada 14 Mei 2023, SPR belum mengesahkan kesemua 200 aduan yang diterima berhubung perlakuan sepanjang pilihan raya, maka ia dapat memutuskan parti manakah yang akan membentuk kerajaan (dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pilihan raya). SPR mempunyai tempoh setahun untuk menyiasat.
MVP telah berunding untuk bekerjasama membentuk kerajaan denga tujuh buah parti, termasuk yang kedua terbesar, Pheu Thai. Salah satu isu yang memerlukan siasatan rapi ialah pemilikan saham di dalam sebuah syarikat media oleh Pita. Media berkenaan sudah tidak berfungsi, dan telah dilarang oleh undang-undang pilihan raya Thailand.
Menurut Pita, dia memilki saham ITV daripada ayahnya, Pongsak Limjaroenrat yang tidak diumumkan secara terbuka sejak tahun 2007, dan dinyahsenarai (delisted) daripada Busrsa Saham Thailand pada tahun 2014.
Pita memberitahu bahawa dirinya tidak mengumpul pendapatan dari saham tersebut, kecuali sebahagian kecil hasil sewaan peralatan kepada beberapa anak syarikat subsidiari penyiaran ITV. Aduan itu menyebabkan Pita dikatakan tidak layak bertanding, dan kerana itu, ia masih belum membentuk kerajaan walaupun parti-parti yang bergabung sudah mempunyai bilangan yang cukup.
Pita kini berusia 42 tahun (lahir 5 September 1980). Ayahnya, Pongsak pernah bertugas sebagaipenasihat kepada Menteri Pertanian dan Koperasi dan merupakan anak saudara kepada Padung Limjaroenrat, bekas setiausaha Menteri Dalam Negeri dan pembantu rapat PM Thaksin Shinawatra.
Pita pernah berkahwin dengan artis Chutma Teeppanart pada 12 Disember 2012 tetapi bercerai pada bulan Mac 2019. Pita turut berhadapan dengan siasatan keganasan rumah tangga yang difailkan oleh Chutma. Chutma kemudian menjelaskan “keganasan bukanlah isu, dia (Pita) telah memudaratkan psikologi saya.”
Ia seperti kata-kata berikut. Setelah bermutasi dan berjaya merintangi bahan kimia untuk membunuh ‘nyamuk aedes’, serangan denggi tidak lagi boleh dikawal dengan semburan jentik-jentik (seperti serbuk garam yang dimasukkan ke dalam takungan air). Perlu kepada pendekatan, seperti menggunakan nyamuk yang dipinda genetiknya, yang akan membunuh nyamuk aedes.
Namun, kaedah penyelesaian terbaik ialah menjaga kebersihan persekitan, tidak membiarkan longgokan dedaunan, kayu buruk mahupun bekas-bekas yang boleh menakung air dan permukaan lantai (halaman reakreasi yang berlumut). Dalam erti kata lain, kalih itu menunjukkan situasi ‘kekebalan’ atau immune terhadap lawan atau serangan lawan.
Kalau diterjemahkan kepada istilah atau budaya politik, kalih itu adalah satu proses mempengaruhi fikiran pengundi untuk ‘berubah’, berubah daripada keadaan statusquo kepada perubahan yang ditentukan oleh maklumat-maklumat yang disampaikan, tanpa mengambil kira kesahihan sesuatu maklumat. Itu adalah satu daripada puluhan kaedah atau strategi propaganda.
Hari ini, perang psikologi atau dikenali dengan istilah psywar cukup banyak yang kita dengar, sehingga boleh mengelirukan ramai orang. Dalam teknik propaganda, untuk membolehkan seseorang itu berubah atau mengubah pendirian, ia memerlukan proses pelabelan terhadap lawan atau memburuk-burukkan imej lawan yang sudah terbentuk da nada dalam gambaran kognitif (maksudnya, minda) masyarakat.
Kita tahu, untuk ‘kalih’ sokongan pengundi di buah negeri yang dikuasi PH (Pulau Pinang sejak PRU ke-12, 2008), Negeri Sembilan (sejak PRU ke-14, 2018), dan Selangor (sejak PRU ke-12, 2008) adalah tidak mudah. Bukan sahaja pihak yang ingin melakukan kalihan tersebut perlu ada senjata yang kuat, seperi ‘peluru berpandu’, sekurang-kurang beberapa unit yang boleh dianggap peluru berpandu balistik.
Selain itu, kelengkapan yang diperlukan ialah radar pengesanan yang akan memantau perkembangannya. Radar itu boleh beroperasi secara tanpa ada ralat teknikal, dan jika dikesan ada ralat tersebut, ia perlu diperbaiki secara cepat bagi mengelakkan kesan buruk (boomerang effect) yang boleh mematikan atau memintas peluru berpandu itu.
Kita ambil contoh tentang peluru berpandu yang dilancarkan oleh MB Kedah ke atas Pulau Pinang. Pertama kali kita dengar ialah Kedah menuntut bayaran pengambilan air mentah dari Sungai Muda yang mengalir masuk ke Sungai Muda yang memasuki wilayah Pulau Pinang. Kedah meminta bayaran penggunaan air itu sebanyak RM 50 juta hingga RM 100 juta setahun.
Jika Pulau Pinang enggan membayarnya, MB Kedah mengugut akan membuat sekatan aliran air Sungai Muda di kawasan sempadan dengan Pulau Pinang, sama ada menggunakan guni pasir ataupun kaedah lain yang boleh dianggap munasabah.
Pulau Pinang enggan membayarnya, bahkan meminta kerajaan pusat mengambil perhatian serius terhadap tuntutan tersebut. Dalam masa yang sama, Pulau Pinang dikatakan akan berbincang dengan Perak untuk mendapatkan sumber air mentah.
Sanusi tidak menarik balik ‘serangan’ tersebut. Malah menggambarkan Pulau Pinang akan menyedut air yang berlumpur, atau empangan-empangan yang dibina untuk menyedut berjuta liter sehari akan kekeringan.
Fenomena ‘kekeringan’ empangan air dilaporkan, hanya mampu bertahan untuk beberapa bulan lagi sekiranya cuaca panas melanda, termasuk negeri Kedah.
Namun, Pulau Pinang masih dapat bertahan. Kedah pula yang mengalami masalah ‘tidak ada air’. Banyak orang mentafsirkan apa yang berlaku ke atas Kedah itu akibat kesombongan MB Kedah, kesombongan yang diuji oleh Allah SWT dengan memberikannya sedikit pengajaran, sombong itu sesuatu yang ‘merugikan’.
Tidak cukup dengan itu, Sanusi membangkitkan ‘hak Kedah’ dengan memberikan fakta-fakta berasaskan sejarah sebelum Province Wellesley (Seberang Perai) dan Tanjung Bidara yang berkeluasan 235 kilometer persegi dengan sewaan sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun pada tahun 1786.
Tahun 1790, Sultan Muhammad Jiwa, cuba mengambil kembali Pulau Pinang setelah mendapati Kapten Francis Light mengadakan perjanjian sulit untuk melindungi askar dan Inggeris gagal membantu Kedah apabila diserang oleh Siam.
Percubaan Sultan Muhammad Jiwa gagal, dan akhirnya terpaksa menyerahkan hak itu kepada Syarikat Hindia Timur British, dengan kadar bayaran ditingkatkan kepada 10,000 dolar Sepanyol. Pada tahun 1800, Province Wellesley diserahkan kepada kompeni Inggeris.
Saya tidak bercadang merungkaikan kisah pembelotan dan kekejaman yang berlaku ke atas Kedah setelah Inggeris mula berusaha membahagi-bahagikan wilayah kekuasaan dengan Thailand, yang kemudiannya dimasyhurkan dalam Perjanjian Bangkok 1909.
Dr Siti Zaharah Sulaiman ada butiran ‘kekejaman ke atas Kedah’ dan bagaimana percaturan memperkecilkan sejarah kewilayahan Melayu yang dikatakan cukup luas sehingga ke Segenting Kra di bahagian selatan Thailand dilaksanakan oleh British.
Saya menonton penerangan itu dalam youtube. Ia dikenali sebagai ‘kekejaman berbisik’ yang disebut oleh Sultan Kedah di hari keputeraan ke-81 (18 Jun 2023):
“Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang. Hal ini kerana sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar kita seni bernegara.” (Astro Awani, 18 Jun 2023).
Secara moralnya, Mohd Sanusi memperoleh sokongan daripada Sultan Kedah mengenai kemelut yang timbul untuk ‘mengambil kembali Pulau Pinang’; menanam semula minda masyarakat yang sudah terlupa mengenai naratif sejarah itu. Lebih penting ialah Pulau Pinang perlu mengakui bahawa negeri itu masih dalam ‘naungan Kedah’ walaupun dari segi Perlembagaan tercacat sebagai sebuah negeri berdaulat, hubungan sejarah masih belum ‘terputus’. Ada rasa hormat penduduk Pulau Pinang kepada Kedah.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
