KENAPA GURU BERSARA AWAL
BEBERAPA hari lalu muncul berita bahawa ramai guru memohon bersara awal. Dikatakan mereka yang berhasrat awal itu dalam lingkungan umur 50 tahun, sebahagian besarnya sudah melepasi had bersara yang memungkinkan mendapat bayaran pencen penuh, iaitu separuh daripada gaji akhir.
Sebelum skim persaraan dilanjutkan daripada 55 kepada 57, 58 dan 60 tahun, umur persaraan mandatori penjawat awam ialah 55 tahun. Bagi mereka yang lebih lebih muda, dibolehkan bersara pilihan tetapi sebahagian penjawat awam mempertimbangkan terlebih dahulu kadar bayaran pencen yang bakal mereka peroleh. Bayaran pencen penuh ialah setelah seseorang itu berkhidmat lebih 25 tahun. Ini bermakna jika seseorang itu mula dilantik sebagai penjawat awam pada usia 20 tahun, bermakna pada usia 45 tahun sudah membolehkan mereka bersara awal. Tetapi, ada peraturan yang mengikat, iaitu pada usia 50 tahun (bagi lelaki) atau 45 tahun (bagi wanita).
Asasnya, seseorang yang berkerjaya dalam bidang pendidikan, ia mungkin bermula semasa berumur di atas 20 tahun. Ini kerana penerimaan kemasukan ke institusi latihan guru ialah pada usia 18 tahun, yakni selepas setahun tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas dua tahun dilatih di maktab perguruan, mejalani latihan praktikum dan seterusnya dilantik sebagai guru (Pegawai Pendidikan Bukan Siswazah) ketika berumur lewat 20 atau 21 tahun. Sebelumnya, calon guru diambil daripada mereka yang lulus Sijil Rendah Pelajaran (LCE) untuk mengajar di sekolah rendah dan dilatih selama tiga tahun.Tetapi setelah SPM dilihat sebagai peperiksaan minimum untuk kelayakan pekerjaan, ia menjadikan kemasukan calon guru adalah di peringkat akhir remaja.
Apabila maktab-maktab ditingkatkan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG), SPM digunakan sebagai syarat utama. Namun syarat kemasukan itu ditambah dengan lulus temuduga dan ujian fizikal selain mencapai tahap keputusan yang cemerlang. Tempoh latihan ialah lima tahun, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. IPG dikhususkan untuk melatih calon guru sekolah rendah, manakala universiti untuk calon guru sekolah menengah (kecuali UPSI). Ini kerana awalnya UPSI adalah sebahagian daripada KPM, yakni institusi latihan yang mengkhususkan dalam bidang pendidikan dan dinaik taraf dari Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) yang pernah terkenal mencetak guru yang cukup nasionalis, patriotik pada era kebangkitan nasionalis menentang penjajahan British. Guru yang berijazah dilantik ke tangga gaji DG 41 (bagi fresh graduate) atau DG 42 (guru diploma yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah).
Pelantikan ke jawatan PPS DG 41 atau 42 bergantung kepada kekosongan jawatan dan kelulusan dua agensi pusat yang lain (JPA dan Perbendaharaan). Jadi, untuk membolehkan KPM mengambil lebih ramai guru, KPM sentiasa melakukan kajian mengenai norma guru: berdasarkan opsyen, dan juga nisbah guru dan murid. Sebab itulah kita sangat mempunyai jumlah guru yang cukup besar sehingga mencecah satu pertiga jumlah penjawat awam. Ia juga berlaku peningkatan apabila munculnya sekolah-sekolah baharu kesan daripada proses perbandaran dan tuntutan politik. Bahkan, KPM tidak mampu untuk menutup sekolah- sekolah kurang murid disebabkkan obligasi sosial dan tuntutan politik. Sekolah tersebut masih dikekalkan walaupun secara ekonomi (value for money) tidak berbaloi.
Masalah yang timbul beberapa hari lalu itu cukup membuktikan bahawa dunia pendidikan tidak pernah trhenti daripada memperkatakan perihal guru, kepuasan kerja dan tekanan- tekanan yang dihadapi, termasuk persoalan pasangan jarak jauh, tekanan psikososial dan kebuntuan memenuhi tanggungjawab akibat perubahan ekspaktasi. Ini kerana, hanya ada tiga komponen penting dalam sistem pendidikan yang saling berkait – guru, murid dan sekolah. Guru hadir kerana adanya murid. Murid hadir kerana adanya sekolah.
Diberitakan, anggaran guru yang memohon bersara awal (pilihan) menjangkau hampir 10,000 orang setahun, menyamai bilangan guru mencapai umur persaraan mandatori. Ini bermakna, setiap tahun kemungkinan berlaku kekosongan jawatan guru sekitar 20,000, yakni sekitar lima peratus daripada jumlah keseluruhan bilangan guru di bawah KPM. Laporan itu tidak mendedahkan lebih lanjut gender manakah yang memohon bersara awal secara jelas. Andaian saya mungkin guru wanita lebih ramai membuat permohonan, kerana jumlah mereka juga cukup ramai berbanding lelaki.
Menurut perangkaan KPM, sehingga 31 Julai 2020 terdapat sejumlah 416, 743 orang guru: 236,993 di sekolah rendah dan 179, 750 di sekolah rendah. Nisbah guru lelaki dan perempuan dianggarkan mencapai 70:30, iaitu 70 peratus guru adalah dari gender perempuan. Hal sedemikian turut menjadi kebimbangan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS). KGBS bimbang jika tiada inisiatif diambil oleh KPM, ia akan membantut pelaksanaan inisiatif dan transformasi sistem pendidikan. Data sebelumnya, iaitu sehingga Jun 2014, sudah menunjukkan pola sebegitu, iaitu bilangan guru perempuan 1.5 kali ganda bilangan guru lelaki: 293,660 guru perempuan (70 peratus) dan 124,408 guru lelaki (30 peratus). (https://www.utusanborneo.com.my/2014/09/02/perbezaan-nisbah-guru-lelaki-wanita- merisaukan).
Pada pendapat saya keadaan ini tidak banyak berubah berbanding data hampir enam tahun lepas. Trend tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa, kerana nisbah pelajar perempuan dan lelaki juga menunjukkan tahap pencapaian yang cukup berbeza, kemasukan ke pusat-pusat pengajian tempatan sehingga pernah memunculkan satu fenomena ‘lelaki semakin terancam’. Kalau diikutkan statistic kelahiran, gender lelaki dan perempuan tidak menunjukkan perbezaan yang ketara, begitu juga dengan populasi. Tetapi, kenapa jumlah pelajar perempuan lebih ramai dan mencapai prestasi yang lebih baik daripada lelaki? Itu persoalan lain walaupun ada kaitannya dengan proses kemasukan dan pengambilan guru. Ia adalah suatu kebanggaan besar pencapaian pendidikan negara, ia meruntuhkan sindrom tradisi anak perempuan hanya pekerja domestik (di dapur)
Namun, kerana mungkin gender perempuan lebih ramai menjadi guru, maka ada pula pandangan sinis dikeluarkan sebab itulah masalah disiplin di sekolah terus menjadi-jandi. Persekitara sekolah cukup diselubungi tekanan dan masalah psikologi yang cukup berat, termasuklah krisis peranan sebagai ibu atau isteri dan kerjaya. Syukurlah! Jika pasangan itu dapat mengimbanginya. Syukurlah jika pasangan tersebut adalah pasangan guru, bukan berbeza kerjaya. Perbezaan kerjaya kadangkala menimbulkan tekanan psikologi, apabila salah seorang ditukarkan atas sebab-sebab tertentu, temasuk kenaikan pangkat. Apatah lagi jika pasangan mereka adalah dalam kalangan pekerja swasta tidak tidak mempunyai cawangan di setiap negeri, anggota beruniform dan sebagainya. Ia membentuk pasangan jarak jauh.
Hari ini, ekspaktasi ibu bapa juga sangat berbeza bahkan muncul kata-kata sinis, tugas guru hanya mengajar, tidak wajar mengambil inisiatif yang lain, termasuk menegur anak-anak yang kurang menunjukkan semangat bekerjasama, kurang bergaul dan sebagainya. Walhal, setiap daripada kita sebenarnya sangat faham, budaya lahir dan dibentuk oleh proses pemasyarakatan atau sosialisasi. Sebahagian besarnya diperolehi daripada ibu bapa sendiri. Ini kerana, ibu bapa sebenarnya pencorak karaketer anak-anak, kerana pada peringkat awal mereka sangat dekat dengan anak-anak. Setelah memasuki sekolah, kanak-kanak akan belajar dan menyerap beberapa perubahan, termasuk pengaruh persekitaran dan rakan sebaya. Hal in sepatutnya dapat dikesan dengan baik oleh ibu bapa, dan melakukan pembetulan sebaik sahaj ianya dikesan secara berhemah.
Ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan ianya berkembang sehingga membentuk budaya kelompok yang cukup menyimpang, termasuk aksi kasar, buli, bercakap bohong dan sebagainya. Ibu bapa seharusnya dapat meneguhkan nilai-nilai moral yang mereka kembangkan sebelumnya, seperti nilai-nilai baik, bercakap benar dan saling bekerjasama. Ibu bapa tidak sepatutnya membenarkan kanak-kanak membesar bersama gajet dan permainan video, kerana ia merosakkan perkembangan minda dan tingkah laku. Pengfunaan gajet perlu dipantau atau dihadkan kepada hal-hal yang bersangkutan pembelajaran nilai dan pengetahuan yang baik, ke arah membentuk kecenderungan intelektual. Itulah sebabnya ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak mereka bergerak dalam kumpulan tertentu yang kadangkala membawa kepada pematuhan norma kumpulan dan seterusnya membentuk port tertentu. Keadaan ini akan mencelarukan sistem, kerana tidak diawasi secara langsung oleh ibu bapa. APatah lagi jika proses pembesaran kanak-kanak membabitkan kawasan sempit dan sesak (seperti kawasan setinggan dan rumah pangsa di pinggir bandar).
Keadaan menjadi lebih parah apabila masyarakat setempat tidak lagi berperanan sebagai pengawal sosial’, boleh menegur perilaku yang dilihat kurang baik. Teguran bukan dilihat sebagai ‘langkah pembetulan’. Teguran dilihat sebagai satu bentuk halangan yang memungkinkan reaksi balas yang cukup hebat. Teguran boleh menyebabkan penegurnya dibelasah, bahkan tidak kurangnya merosakkan barang milik si penegur seperti mencalar cat kereta, membocorkan tayar dan sebagainya. Kesemua pengaruh tersebut kadangkala membawa kepada pelbagai insiden di sekolah, bahkan jika si penegur mempunyai anak yang bersekolah. Anak si penegur turut menjadi mangsa, mungkin dibuli atau dibelasah. Hal ini menyebabkan guru pening kepala. Hal ini menyebabkan ada ibu bapa melihat apa yang dilakukan oleh guru adalah sesuatu yang sukar diterima, dan tentunya guru disiplin akan menjadi sasarannya.
Apatah lagi bila guru disiplin itu seorang wanita. Guru yang mneguruskan disiplin tertekan. Tertekan kerana mengambil tindakan berdasarkan prosedur operasi standard, peraturan disiplin sangat mengawal. Ibu bapa tidak sukakan itu, kerana peraturan yang cukup mengawal akan membentuk jiwa kanak-kanak yang cukup kuat memberontak atau cukup takut dengan persekitaran sekolah. Kanak-kanak akan menganggap sekolah adalah tempat yang cukup membosankan dan tidak muncul perasaan belajar dalam keseronokan. Disiplin yang ketat juga menyebabkan para ibu bapa cukup membosankan. Pada pandangan ibu bapa, Jelas, peraturan lebih berperanan sebagai penyokong, bukannya proses menyongkong, pembelajaran berkesan tidak muncul dalam kondisi mengongkong. Kanak-kanak akan menjadi semakin liar dan takut kepada guru disiplin. Sifat itu akan menyebabkan situasi ponteng, reaksi ganas dan sebagainya terhadap guru disiplin.Guru disiplin menjadi guru yang sangat ditakuti dan sentiasa diancam.
Itulah antara tekanan yang mungkin menyebabkan ramai guru mula memikirkan untuk bersara awal. Selain tekanan pengurusan disiplin, tekanan ibu bapa, guru juga berhadapan dengan tekanan akibat perubahan sistem pendidikan. Antaranya keperluan kepada pendokumentasian dan perubahan persekitaran kerja yang cukup bersandarkan eviden dan bukti bagi setiap perkara yang dilakukan. Dunia pendidikan sekarang bukan lagi bercorak analog, ia sudah beralih kepada persekitaran digital, lebih mengutamakan indeks dan pencapaian bersifat statistik. Termasuk kaedah merakam pencapaian pelajar dalam konteks penilaian berasaskan sekolah, yang menjadi sebahagian daripada instrumen peperiksaan.
Peperiksaan berpusat hanya tertumpu kepada pencapaian akademik (kogntif), manakala pencapaian yang diukur secara sumatif adalah diagnostik tahap pembelajaran seseorang. Hal ini menyebabkan para guru perlu menguasai konstruk dan kaedahnya. Bagi sesetengah guru, perubahan ini merupakan satu perubahan yang cukup membebankan. Guru perlu berkursus dan menghabiskan masa untuk mendapatkan kemahiran baru, yang terpaksa dikorbankan pada hari minggu atau musim cuti.
Dalam persekitaran digital, keperluan pengisian data cukup menyiksa. Guru sangat tersiksa apabila kelajuan internet di sekolah sangat lembab, bahkan pernah mengejutkan terpaksa memasukkan data di larut malam, seperti burung hantu kerana mengejar masa. Masa bersama keluarga terpaksa dikorbankan. Sebab itulah ramai merasakan kerjaya guru sekarang tidak lagi menarik, dan cukup membosankan. Apatah lagi bila dua bahagian pengurusan berbeza memberikan arahan untuk menghantar data yang sama, sedangkan sepatutnya pengkalan data itu dapat diguna atau dikongsi bersama. Seharusnya berlaku perkongsian data, bukannya mengarahkan guru melakukan kerja yang sama atau hampir sama secara berulang-ulang.
Apatah lagi dengan sasaran yang ditetapkan oleh KPM. KPM melihat pencapaian sekolah lebih tertumpu kepada pencapaian murid dalam sistem peperiksaan berpusat, dengan peratusan mereka yang cemerlang lebih besar atau tiada pelajar yang gagal.
Dalam masa yang sama, penilaian guru cemerlang banyak dibuat berdasarkan kejayaan guru menghasilkan seramai mungkin pelajar yang mampu mencetak keputusan A. Sebab itulah sekolah-sekolah yang mencapai prestasi cemerlang dalam peperiksaan cukup sesak dengan permohonan ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Alasan ibu bapa cukup pelbagai. Ibu bapa menyatakan ia lebih mudah kerana sekolah berkenaan adalah sejalan dengan perjalanan ibu bapa ke tempat kerja.
Sekolah yang mencapai prestasi cemerlang pada masa kini adalah bermula dalam keadaan serba kekurangan dan kelemahan, tetapi kerana sokongan masyarakat dan dedikasi para guru, ia berjaya melonjakkan kedudukan. Itulah yang berlaku, ada sekolah-sekolah di luar bandar memperoleh prestasi yang cukup memberansangkan berbanding sekolah-sekolar bandar dan pinggir bandar, kecuali “sekolah elit”. Ada sekolah di pinggir bandar cukup bermasalah berbanding sekolah-sekolah luar bandar, baik dari aspek disiplin mahupun prestasi. Sebahagiannya disebabkan oleh persekitaran masyarakat, yang turut membebankan guru bagi menyahut kehendak KPM.
Juga muncul situasi di mana sekolah-sekolah berasrama penuh kadangkala mencatatkan prestasi peperiksaan berpusat lebih rendah daripada sekolah-sekolah bukan berasrama penuh, walhal kita tahu sekolah-sekolah berasrama penuh itu mengambil kemasukan pelajar yang sudah pandai. Ini mengingatkan saya kepada suatu pandangan dari mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Abdul Shukor Abdullah (meninggal 31 Ogos 2011) agar guru- guru cemerlang ditempatkan di sekolah-sekolah yang kurang cemerlang. Inisiatif itu penting jika KPM mahu menjadikan semua sekolah adalah sama dan sekolah cemerlang, bukan meletakkan guru cemerlang di sekolah yang memangnya sudah cemerlang.
Ia bukan mudah untuk dilakukan. Ia melibatkan pelbagai isu, termasuk tekanan ahli politik setempat, yang cukup berhasrat mempertahankan guru cemerlang walaupun ditukarkan kerana dinaikkan pangkat. Lebih dipertahankan bila pertukaran itu membabitkan rentas negeri. Dari aspek sosial, ia mungkin menimbulkan fenomena ‘pasangan jarak jauh’ dan amat memilukan bila berlaku dalam kalangan guru wanita. Timbul pula masalah psikologi dan tekanan dalam rumah tangga serta masalah anak-anak. Sebab itulah mobiliti, cukup menyesakkan mental dan psikologi guru itu sendiri. KPM turut merasakan tekanan tersebut apabila semakin lama semakin tebal surat sokongan proses pertukaran guru, bahkan isu itu tidak pernah selesai sejak sekian lama. Ia tidak mudah selesai, kerana keinginan sering berubah, kemahuan dan persekitaran tidak kental selama-lamanya.
Apatah lagi bila membabitkan pasangan kelainan kerjaya, salah seorangnya ditukar secara mandatori (tidak dibolehkan membuat rayuan, kecuali meletakkan jawatan) oleh majikan masing-masing (swata mahupun kumpulan yang beruniform). Proses penempatan guru bukan hanya bersandarkan faktor kemanusiaan, ia cukup sendat dengan faktor jumlah perjawatan (kekosongan) dan pertimbangan opsyen selain lokasi berhampiran kesan pertukaran salah seorang daripada pasangan (suami atau isteri).
KPM perlu melakukan perubahan struktur. Apakah perubahan struktur itu? Apakah kerajaan bersedia menyerahkan pengurusan sekolah, pengurusan guru hanya berlaku di peringkat setempat (negeri) dan tidak lagi diuruskan di peringkat pusat sebagaimana berlaku di negara maju? Sekolah-sekolah menjadi milik kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan. Pelantikan dan mobility mereka cukup terhad, manakala KPM hanya bertanggungjawab di peringkat regulatori dan advokasi sahaja. Cukup sekadar menyediakan dasar, membuat pemantuan dan menetapkan kurikulum. Lainnya, menjadi tanggungjawab negeri atau pihak berkuasa tempatan. Apakah ini sesuatu yang cukup menarik dan mampu mengurangkan tekanan kepada guru berkaitan mobiliti dan hal-hal yang dianggap cukup membosankan sebagaimana dijelaskan oleh CEUPACS.
Sistem pengurusan pendidikan akan menjadi lebih tertutup. Proses kenaikan pangkat menjadi lebih terhad dan sempit. Namun, siapakah yang akan berada di peringkat pusat (KPM). Mungkin sebahagian daripada mereka, tetapi jumlahlah tidaklah seramai sekarang, hanya sebahagian kecil sahaja dipilih.
Perubahan tersebut mungkin boleh mengurangkan tekanan dalam sistem pendidikan. Tetapi, ia tidak bermakna tidak akan berlakunya permohonan bersara awal dalam kalangan guru. Sebagaimana sifat manusia, guru ada pilihan dan citarasa tersendiri, masing-masing ada kecenderungan yang lain, mungkin sedang memikirkan peluang kerjaya yang lain, kerana sudah bosan dengan dunia sekolah. Ini kerana, jika diambil sebab dan faktor kenapa seseorang itu memasuki profesyen perguruan pada peringat awal, jelas bahawa sebahagian besarnya berandaian kerjaya guru lebih terjamin dan ada ruang masa menganggur yang seingkat selepas menamatkan pengajian.
Ini kerana setiap tahun, diperlukan guru ekoran pensaraan wajib (dan juga pilihan), perubahan norma guru-murid, pembukaan sekolah baharu dan sebagainya. Sebab itulah pada hingga kini, permohonan kemasukan ke institusi latihan guru cukup tinggi walaupun ujian kemasukannya dilihat cukup sukar dan meletihkan.
Ada guru memohon meletakkan jawatan kerana mereka tertarik dengan budaya kerja yang lebih bebas, termasuk bebas menggunakan masa. Tidak lagi terpaksa memenuhi tekanan pendokumentasian melampau dan membosankan. Mereka sebahagiannya sudah teruja dengan pendapatan sampingan menerusi berniaga secara online, komisyen sebagai agen insuran, berniaga kecil-kecilan dan sebagainya. Tidak kurang yang akan menjadi suri rumah sepenuh masa, kerana merasakan kehidupan dan kebahagiaan keluarga lebih penting dari segala- galanya. Mereka berusaha untuk menukar gaya hidup.
Dunia pendidikan menjadi semakin terbuka, terbuka dengan kritikan dan cacian. Apabila ada perkara yang dilihat kurang memuaskan, ibu bapa akan menggunakan media sosial untuk memperkatakannya, bahkan termasuk mengecam guru, seolah-olah kesalahan tersebut disebabkan oleh seratus peratus oleh guru yang disasarkan itu. Suasana harmoni dalam konteks pemasyarakatan sekolah menjadi semakin hilang, ada ibu bapa mencabar guru dengan penuh ego. Seolah-olah dirinya adalah seorang guru yang cukup berwibawa dan paling hebat, ada sentuhan emas, hanya kerana ‘anaknya ditegur’ atau dikenakan tindakan kerana tidak menyiapkan kerja sekolah atau melakukan aksi nakal.
Cukup terkesan ialah semasa melaksanakan PdPR oleh kerana kuatkuasa PKP cukup memanjang. Kanak-kanak mengalami kaedah pembelajaran yang cukup berbeza dan ia menyebabkan timbul kebosanan apabila bahan yang dipaparkan di skrin tidak cukup interaktif. Ia seumpamanya memindahkan kelas kepada skrin. Tidak banyak inovasi yang berlaku, bahkan proses pembelajarannya masih kekal bersifat kapur dan papan hitam. Ia masih mengekalkan konsep berpusatkan guru, bukan berpusatkan murid.
Kaedah PdPR menyebabkan ibu bapa hilang keterujaannya apabila berlaku dalam masa yang lama. Ini kerana, ibu bapa terpaksa menemani anak-anak mereka belajar, dan sesekali menjadi ‘pembantu guru’, terutama bagi kanak-kanak di peringkat sekolah rendah, yang sedikit liat dan culas. Bila ibu atau bapa menjadi guru, emosinya sedikit tertekan, terpaksa belajar semula memahami konsep-konsep ilmu dan pengetahuan, yang jauh berbeza dengan apa yang pernah dipelajari ketika berstatus pelajar.
Alangkah ruginya jika guru yang berpengalaman memohon bersara awal secara ramai-ramai. Dari satu perspektif, ia dapat mengurangkan jumlah penganggur (calon guru berijazah). Sayangnya, kekosongan (jangkaan 20,000 jawatan setahun) tidak akan terisi sepenuhnya, masih ada lompong. Ini bermakna, dalam jangka masa panjang akan berlaku pula “brain drain” dalam sistem pendidikan negara. Ini kerana kelulusan JPA dan Perbendaharaan tidak pernah sampai tahap kelulusan penuh, masih ada tolak-campur yang dilakukan,
Bagi tujuan pemilihan calon, seharusnya KPM lebih memilih berdasarkan minat yang mendapat dan menggunakan traits personality yang sudah dibangunkan sejak sekalian lama. Biarpun kaedah itu - ujian MBTI (Myers-Briggs Type Indicator) – bukanlah ujian terbaik, sekurangnya dalam 16 kategori sahsiah boleh dipadankan dengan nature of works seorang guru. Ujian yang dibangunkan dan diubahsuai dari teori personality ciptaan Carl C Jung (1875-1961)
Ujian MBTI cukup sebagai panduan asas menilai calon guru, bukan hanya tertakluk kepada ijazah semata-mata. Kita memerlukan seorang guru yang menghormati profesyennya, bukan guru yang suka merungut dan menyalahkan sistem. Kita inginkan rasa hormat dan penghargaan generasi lama terhadap guru muncul kembali, kerana kita tahu guru-guru pada zaman tersebut cukup berkesan sebagai anggota masyarakat yang berpengetahuan.
Mereka tidak mudah tergoda dengan nilai-nilai kebendaan atau kecanduan teknologi pintar (gajet, internet dan digital) yang sangat tidak memintarkan adab dan keadaban. Masyarakat sekarang sedang sakit kerana membuat sesuatu keputusan hanya bersandarkan pendapat peribadi, andaian dan persepsi. Tidak memadankannya dengan norma, nilai akhlak dan asas agama, agama semakin dianggap sebagai keperluan ritual semata-mata.
KAMARUN KH.
