‘KEPIMPINAN MENTERI PERPADUAN DILIHAT LEMAH DAN GAGAL MEMAHAMI REALITI MALAYSIA’
Oleh Iskandar Khoo Kuan Yiaw, Ahli Prowaris
JAWATAN Menteri Perpaduan bukan sekadar portfolio untuk menganjurkan program simbolik atau mengeluarkan kenyataan umum mengenai keharmonian. Ia adalah jawatan kritikal yang memerlukan kefahaman mendalam terhadap sensitiviti agama, budaya, dan realiti politik masyarakat majmuk Malaysia. Malangnya, kepimpinan YB Datuk Aaron Ago Dagang semakin dilihat gagal memenuhi tuntutan tersebut.
Kegagalan terbesar kementerian hari ini ialah pendekatan yang terlalu bersifat “administratif” dan tidak berpijak pada realiti sebenar masyarakat di Semenanjung Malaysia. Dalam pelbagai isu melibatkan sensitiviti agama dan hubungan kaum, kementerian sering dilihat lambat bertindak, tidak tegas, dan gagal menjadi pihak yang mampu menenangkan keadaan dengan berkesan.
Lebih membimbangkan ialah cara penyelesaian yang dibawa oleh Menteri Perpaduan sendiri. Setiap kali timbul isu berkaitan keharmonian masyarakat, pendekatan yang diambil seolah-olah lebih gemar menubuhkan jawatankuasa, mengadakan dialog tertutup, atau menyerahkan tugas kepada NGO tertentu. Sedangkan rakyat mahu melihat kepimpinan kementerian itu sendiri memainkan peranan utama.
Cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional adalah contoh paling jelas bagaimana kementerian ini dilihat cuba “memindahkan” tanggungjawabnya kepada badan lain. Persoalannya mudah — bukankah Malaysia sudah mempunyai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)? Jika fungsi perpaduan sudah tersedia dalam kementerian dan jabatan sedia ada, mengapa perlu diwujudkan lagi sebuah suruhanjaya baharu?
Ini menimbulkan persepsi bahawa kementerian gagal melaksanakan fungsi asalnya sehingga memerlukan badan tambahan untuk menanggung kelemahan pentadbiran sendiri.
Lebih kritikal, penglibatan NGO dalam usaha ini juga dilihat tidak menyeluruh dan cenderung memilih kumpulan tertentu yang sealiran dengan pendekatan kementerian. Isu perpaduan nasional tidak boleh dikendalikan secara eksklusif atau berdasarkan kelompok pilihan. Ia memerlukan keterbukaan mendengar semua pihak termasuk pertubuhan agama, tokoh masyarakat, NGO akar umbi, dan suara majoriti rakyat yang sering merasakan kebimbangan mereka diketepikan.
Kepimpinan perpaduan memerlukan keberanian untuk memahami bahawa sensitiviti agama di Malaysia bukan perkara kecil yang boleh diselesaikan melalui slogan “harmoni” semata-mata. Ia memerlukan tindakan tegas, dasar yang jelas, dan kefahaman mendalam terhadap garis sensitiviti masyarakat.
Namun apa yang dilihat hari ini ialah pendekatan yang terlalu lembut terhadap isu-isu sensitif tetapi pantas mencadangkan struktur birokrasi baharu. Rakyat tidak memerlukan lebih banyak suruhanjaya atau seminar perpaduan. Rakyat mahu seorang Menteri Perpaduan yang benar-benar memimpin, bertindak, dan menyelesaikan masalah.
Jika segala isu akhirnya diserahkan kepada NGO, panel, atau suruhanjaya, maka rakyat berhak bertanya: apakah sebenarnya fungsi seorang Menteri Perpaduan?
(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)
Sumber: bebasnews.my
