KESAN DOMINO BUAT PH: HATRIK YANG MERANAPKAN HARAPAN

Empat kekalahan besar Pakatan Harapan dalam masa setahun memberikan gambaran bahawa kesan domino sedang melanda gabungan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Tiga PRN, kerjasama BN dan PN telah menghasilkan keputusan cemerlang, melebihi kuasa dua pertiga di masing-masing DUN (Johor 48/56, Negeri Sembilan 25/36 dan Melaka 24/28).

Dalam empat PRN yang diadakan, iaitu Sabah (29 November 2025), Johor (11 Julai 2026), Negeri Sembilan (1 Ogos 2026) dan Melaka (14 November 2026), ia jelas betapa pedihnya PH berhadapan dengan kecenderungan pengundi yang tidak bersimpati dengan idealisme politik mereka dan semakin dilihat sedang dikawal oleh DAP.

Walaupun DAP berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya, PRN Melaka membuktikan bahawa usaha untuk mencetak kejayaan di kerusi tambahan tidak berjaya. BN dan PH tidak berjaya "menghalau DAP' tetapi kemenangan besar itu membawa petunjuk bahawa DAP tidak mampu melebarkan sayapnya, masih kekal berada di kerusi tradisi. Inilah signal yang sangat jelas untuk difahami oleh DAP dan kekalahan mutlak PKR serta Amanah, mencetus tekanan agar perkiraan bergerak solo difikirkan secara serius. Sekurang-kurangnya, di Melaka DAP tidak perlu bersedih seperti yang dialami di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

PH bertanding 24 kerusi di Melaka, tetapi empat kerusi yang dimenanginya itu adalah kerusi yang disandang oleh DAP pada PRN lalu (2021). Di Sabah, DAP hilang kesemua kerusi yang ditandinginya, sehingga kubu tradisinya runtuh seumpama dihempap batu besar.

Kemenangan DAP di Melaka tetapi bersandarkan kepada pengundi bukan Melayu, yang membentuk komposisi cukup besar: Ayer Keroh 47.6 peratus; Kesidang 56.3 peratus, Kota Laksamana 76.3 peratus dan Bandar Hilir 73.3 peratus.

Hanya ternampak sedikit bayangan awal ialah di DUN Ayer Keroh kerana jumlah pengundi Melayu sekitar 42.4 peratus. Kalau pun semua pengundi Melayu keluar mengundi dan tidak mengundi DAP, ia tetap tidak berjaya apabila kesemua undi bukan Melayu disatukan. Pengundi India berjumlah 5.1 peratus. Ayer Keroh melibatkan pertandingan empat penjuru, iaitu PH (DAP), PN (Gerakan), Bersama dan Bersatu. Calon PN daripada Gerakan dilihat kurang mampu apatah lagi kerusi tersebut secara tradisinya milik DAP.

Kesedihan itu (penyokong PH), biarpun sedikit terubat di Melaka, ia tidak akan menjamin DAP akan kekal di kerusi yang akan disandangnya dalam PRN Sarawak yang bakal diadakan pada 12 Disember nanti.

Kita tahu, pengaruh dan kehebatan pentadbiran Premier Sarawak di bawah gabungan GPS, sejak diterajui oleh Tan Sri Abang Zohari (Johari) Haji Openg, DAP semakin mengecil jangkauannya, manakala pengundi bukan Islam semakin cenderung memilih parti yang bergabung dengannya.

Apa yang berlaku dalam PRN Sarawak yang lalu (2021) tetap menjadi kebimbangan besar jentera parti DAP di Sarawak, sama ada pengaruh mereka akan terus terbenam atau kembali mencetuskan fenomena sebagaimana pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum Pakatan Rakyat berakhir (2015).

Menyoroti keputusan PRN Melaka, di Semenanjung kekalahan hatrik PH menjadi sendu-tangis yang cukup pedih dan menyakitkan, kerana boleh kalah ketika PH memimpin kerajaan pusat. Kekuasaan di pusat tidak dapat membantu kemenangan di peringkat negeri. Ia tidak berlaku sebelum ini, di mana ketika BN menerajui politik negara, boleh menang besar PRN di Johor (2022) dan Melaka (2021).

Lebih menarik, keputusan calon yang menang semuanya mendapat majoriti empat angka. Tidak ada calon yang menang dengan majoriti di bawah 2,000 undi. Majoriti tertinggi diraih oleh calon BN di DUN Sg Udang (16,214 undi) dan terendah juga calon BN di DUN Machap Jaya (2.336 undi). Empat calon DAP juga meraih majoriti besar: Kota Laksamana (9,424), Kesidang (9,352), Bandar Hilir (7,857) dan Ayer Keroh (5,604). Begitu juga dengan calon PN : Bukit Katil (6,607), Paya Rumput (7,185) dan Bemban (7,741).

Satu sejarah baharu tercipta, majoriti yang diraih cukup selesa dan memperlihatkan kerjasama BN dan PN cukup meyakinkan, pecah undi tidak begitu ketara. Apa yang dikesalkan oleh DAP adalah kemahuan mengundi dalam kalangan penyokong mereka tidak menunjukkan sikap yang menarik, sebab itu tidak mampu berkembang lebih besar, tewas di tiga DUN yang dilihat berpotensi menang.

Ginnie Lim Siew Lin (PH/PKT) berhempas pulas kembali untuk mendapatkan kerusi Machap Jaya yang dimenanginya pada PRU 13 (2018), tetapi cara kempennya dianggap kurang sopan bagi pengundi Melayu-Islam (45 peratus) merupakan pengundi penentu, berbanding pengundi Cina (35 peratus) dan India (14 peratus). Ada yang mentafsir wanita terkinja-kinja di atas kenderaan 4WD seolah-olah "pasar wanita" secara terbuka (biarpun berpakaian lengkap).

Prestasi pencapaian parti-parti yang bertanding juga menunjukkan trend yang menarik. UMNO (21 kerusi), PAS (3 kerusi) dan MIC (1 kerusi) meraih kemenangan penuh (100 peratus). MCA meraih rating 50 peratus (2 daripada 4 kerusi), menyamai prestasi Wawasan (1 daripada 2 kerusi). DAP mampu berada di skor 57 peratus dengan 4 kemenangan daripada 7 kerusi. Parti-parti lain, PKR, Bersatu, Amanah dan Bersama kalah mutlak mengiringi nasib malang 3 calon Bebas. Ertinya, kerjasama antara BN dan PN menjadi semakin relevan manakala gabungan parti dalam PH makin tidak diyakini oleh pengundi.

Bentuk promosi yang sangat memalukan itu, tidak sewajarnya dilakukan sebagai satu bentuk kempen atau gimmick politik untuk menarik sokongan pengundi: Tarik Undi atau Jual Body...? Begitu juga dengan cara berkempen calon termuda PH di DUN Kuala Linggi. Dari awal lagi sudah dilihat ada ciri-ciri gopoh-gapah (kurang matang), semberono dan tidak boleh diharapkan. Berjanji sanggup lakukan apa sahaja, termasuk "redah lautan api" demi pengundi. Realitinya, tidak akan berlaku. Ia hanya satu kaedah retorik yang lazim dilakukan oleh orang yang sedang mabuk cinta. Maka, tidak hairanlah beliau menjadi penyambung legasi ayahnya yang telah kalah lima kali. Beliau menjadi penerus generasi kalah kali keenam.

Ia sesuatu yang dilihat janggal dan luar biasa, bukan sahaja kelemahan kempen bahkan ikut terseret keupayaan pemimpin tertinggi PH. Akibat kekalahan secara hatrik itu, masyarakat mula memberikan pandangan bahawa PH bakal berhadapan situasi yang lebih buruk jika PRU 16 diadakan.

PH hilang kuasa, dan mungkin juga akan alami perpecahan yang besar. Anwar hilang kuasa dan mungkin kembali sebagai Ketua Pembangkang, kalau pun tidak berhasrat bersara sebagai politikus.

Inilah akibatnya jika politik berjalan dalam persekitaran "belasah dan kecam", mengisahkan hanya parti sendiri lebih baik sumbangannya daripada parti lain walaupun baharu setahun jagung.

Di mata rakyat, PH adalah parti yang gagal. PH gagal kerana kedudukannya sebagai peneraju pentadbiran persekutuan adalah dengan ihsan parti-parti lain, bukan di atas kekuatan sendiri.

Namun, setelah berkuasa mula lupa diri, bahawa kuasa yang diraihnya itu melalui kerjasama terbatas dengan parti-parti yang mendokongnya. Sebab itulah aktivis politik PH dianggap sebagai "kaduk naik junjung"; seolah-olah merekalah yang akan menentukan sifat dan akibat politik parti yang bekerjasama dalam sebuah pasukan. Apa yang sepatutnya, setiap parti perlu ada kebebasan untuk menentukan sendiri aspirasinya.

PH seperti mengulangi naratif krisis yang berlaku semasa Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan PAS mengambil keputusan menamatkan tahaluf siyasi dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti bekerjasama dengan DAP. Walaupun BN adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan, PAS boleh bekerjasama kerana BN tidak pernah menjalin kerjasama secara langsung dengan DAP. BN hanya bekerjasama dengan PH, dan kerana itu boleh dilihat duduk semeja dalam situasi tanggungjawab rasmi kerajaan perpaduan. Tidak lebih daripada itu.

BN tidak bersetuju (bekerjasama dengan PH), malah dalam tiga PRN jelas menunjukkan haluan yang berbeza biarpun di peringkat pusat masih boleh bekerjasama. BN menghormati persetujuan ketika bersetuju membentuk kerajaan perpaduan, tetapi bukan selama-lamanya. Ianya akan sampai tahap matang (expired), iaitu bila berakhirnya penggal Dewan Rakyat ke-15, atau dibubarkan bagi membolehkan PRU ke-16 diadakan.

Ia menunjukkan garis masa yang cukup jelas, tetapi aktivis PH melihat kerjasama tersebut berpanjangan selagi ada bulan dan bintang. Aktivis PH juga sengaja mahu menepis kenyataan, kerjasama antara PH dan BN tidak meliputi semua negeri, kecuali Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

Ini bermakna, apa yang mereka dakwa sebagai satu bentuk penglibatan di Melaka dan Johor adalah satu bentuk "name calling" yang lazim berlaku, gelaran yang terang-terangan bersifat dakyah (propaganda). Seperti "pengkhianat", "penyakau", "penipu' dan sebagainya. Di Johor muncul falasi yang cukup buruk: "BN menang Besar, Najib Dibebaskan".

Tujuannya untuk mengaitkan BN dengan pembebasan Najib, walhal kuasa pengampunan dan pembebasan berada di peringkat kerajaan pusat. PRN adalah untuk membentuk kerajaan negeri, bukan mengambil alih kuasa kerajaan pusat. Falasi itu telah menggigit organ PH sendiri, hanya mampu meraih kemenangan 8 daripada 56 kerusi yang ditandingi.

Johor dan Melaka mempunyai keupayaan membentuk kerajaan secara tinggal, dan ketika BN menang dalam PRN sebelumnya, konsep kerajaan perpaduan tidak muncul sebagai model politik kerjasama, dan diistilahkan sebagai politik penggabungan.

Penggabungan atau kerjasama antara blok parti politik berlaku selepas keputusan sesuatu pilihan raya tidak terdapat mana-mana blok yang berjaya melepasi majoriti mudah. Situasi ini mula berlaku selepas keputusan PRU 15 diumumkan, tidak ada pihak yang menang boleh membentuk kerajaan secara tunggal.

Tiga tahun sebelumnya, akibat Langkah Sheraton (24 Februari 2020), PH yang diterajui oleh Dr Mahathir tumbang. Akibat daripada itu, berlakulah satu bentuk perundingan antara semua wakil rakyat untuk memilih pengganti, kerana mengelakkan diadakan pilihan raya sekali lagi atas keperluan penjimatan sumber dan menghindari dakwaan membosankan rakyat.

Perundingan itu berjaya memberikan ruang kepada Muhyiddin Yassin dilantik sebagai PM 8, tetapi ia tidak berjalan mulus sehingga tamat tempoh. Muhyiddin akhirnya meletakkan jawatan selepas berkuasa selama 17 bulan (Ogos 2021) dan wakil rakyat kembali diminta membuat pilihan.

Dengan pilihan itu, Ismail Sabri Yaacob diterima sebagai PM 9, dan akhirnya beliau dipaksa oleh partinya sendiri, UMNO untuk membubarkan Dewan Rakyat atas keyakinan BN boleh menang. Ia berdasarkan sentimen politik dan sokongan pengundi yang berlaku di Melaka (PRN 2021) dan Johor (PRN 2022).

Sayangnya, gelombang BN di Melaka dan Johor tidak menuju di peringkat Dewan Rakyat. Keputusan PRU 15, tidak menghasilkan keputusan memberangsangkan, bahkan pencapaian BN terus merosot. BN hanya memenangi 30 kerusi, namun lonjakan yang besar berlaku kepada PN, terutama PAS, iaitu daripada 18 (PRU 15/2018) kepada 43 (PRU 15/2022).

Sebab itulah PAS muncul sebagai parti yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak (43) manakala DAP merosot kepada 40 daripada 42 (PRU 14). PKR menduduki tangga ketiga dengan 31 kerusi, tetapi belum sampai sepenggal, kerusinya merosot kepada 28 akibat percaturan dalaman yang mengakibatkan tiga wakil rakyatnya mengosongkan kerusi - Pandan, Setiawangsa dan Subang Jaya.

Hal yang sama turut berlaku ke atas Bersatu. Perselisihan dalaman telah menyebabkan parti itu kehilangan tunjangan menjadi lebih rendah daripada. PRN 15, Bersatu menang 31 kerusi tetapi kini, hanya tinggal 19 kerusi. Perpecahan itu menyebabkan munculnya Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan dalam dua PRN ia sudah membuktikan boleh mendapat sokongan awal.

Dengan menggunakan logo PN, Wawasan menang tiga daripada empat kerusi yang ditandinginya di Negeri Sembilan. Di Melaka pula, Wawasan memenangi satu daripada dua kerusi yang diperuntukkan oleh PN. PAS pula memenangi tiga kerusi di Melaka dan empat di Negeri Sembilan.

Menariknya lagi, di Melaka dan Negeri Sembilan, Bersatu yang asalnya bersama PAS membentuk PN tidak meraih sebarang kemenangan. Di Johor, tidak memenangi sebarang kerusi walaupun bertanding di 16 DUN.

Di Johor, PKR bertanding di 20 kerusi tetapi hanya menang satu di DUN Puteri Wangsa. Di Sabah, PKR hanya menang satu kerusi (DUN Melalap) walaupun dikatakan bertanding antara 10 hingga 12 kerusi (atas perundingan antara GRS dan BN). Keputusan itu sudah menggambarkan keluk penguncupan pengaruh, dan keluknya semakin menurun di tiga PRN di Semenanjung.

Di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, tiga pemimpin tertinggi parti peringkat negeri tewas. Sangat mengecewakan ialah PH terlepas kuasa di Negeri Sembilan. Bertambah pilu bila tewasnya bekas MB Negeri Sembilan, Aminudin Harun yang mengalih tiang gol daripada Sikamat ke DUN Linggi dan luluhnya hati Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di DUN Chennah yang sudah dikuasainya sejak PRU ke-13 (2013).

Walaupun masih ada tiga kerusi dimiliknya di Negeri Sembilan, di Melaka PKR mengalami kekalahan total (17 kerusi ditandingi) dan menjentik rumusan awam bahawa Anwar sebenarnya gagal membawa kejayaan kepada partinya sendiri setelah beliau sendiri memimpin dan menentukan perjalanannya.

Ia berbeza ketika Anwar hanya bertindak sebagai pemegang "remote control" atau memberikan arahan di sebalik tembok penjara. Dengan kawalan secara langsung Anwar, PKR yang asasnya ditubuhkan untuk mencari keadilan untuk Anwar, semakin berpecah-belah akibat mahu dijadikan sebagai wahana legasi keluarga.

PKR tidak benar-benar mengamalkan demokrasi dalam parti, dan kerana itu ramai pengagumnya mengambil keputusan menjauhkan diri. Walaupun kedengaran ada ura-ura Bersatu akan bekerjasama, dalam PRN Melaka tidak menunjukkan arah yang sama apabila berlaku pertembungan dengan calon PH di tiga DUN (Klebang, Ayer Keroh dan Pengkalan Batu).

Empat DUN lagi ialah Lendu, Sg Udang, Pantai Kundor dan Bemban tidak menunjukkan pengaruh yang meyakinkan. Bahkan daripada 7 calon yang bertanding, enam hilang wang pertaruhan (deposit), gagal mencapai 12 peratus daripada jumlah undian.

Agak mendukacitakan ialah apabila bekas wakil rakyat yang pernah suatu ketika menggemparkan dengan tingkah-lakunya yang keras, Datuk Norhizam Hassan Baktee, yang berusaha untuk kembali menakluki kerusi Pengkalan Batu menerusi Bersatu hanya sekadar mampu meraih 620 undi.

Beliau pernah menjadi ahli DAP (2006) sebelum membuat keputusan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas (2020) dan menyertai Bersatu (2024). Rekod sebagai katak politik beliau mungkin turut mempengaruhi keputusan pengundi, walaupun pernah bergelar wakil rakyat apabila menang pada PRU 14 (2018) atas tiket PH (DAP). Sebelum menyertai DAP, beliau adalah ahli UMNO di cawangan Pantai Peringgit.

Sepanjang berkempen, Amanah cukup yakin akan memenangi kesemua tujuh kerusi yang ditandinginya. Namun, sebaik sahaja keputusan dikeluarkan, Amanah menerima nasib yang cukup malang dan dikategorikan sebaris dengan prestasi PKR, tidak memenangi sebarang kerusi.

Walaupun Bersama merupakan parti yang paling banyak calonnya hilang wang pertaruhan, ia tidak dianggap terlalu mendalam sedih kerana penyertaan mereka hanya sekadar menguji pengaruh. Bersama tidak meletakkan anggaran mampu mencapai kemenangan, cukup berpuas hati sekiranya parti itu berjaya meraih 15 peratus undi popular keseluruhannya. Bersama meletakkan 16 calon dan 15 daripadanya hilang wang pertaruhan, menjadikan parti itu parti yang paling banyak hilang wang pertaruhan.

Kemenangan sifar PKR dan Amanah dalam PH mempengaruhi pelbagai andaian yang muncul, termasuklah cara berkempen mereka seolah-olah pembangkang, bukan sebagai parti yang berkuasa di peringkat pusat. Cara mereka membelasah lawan, terutamanya BN dan PAS tidak menunjukkan PH mempunyai kematangan politik yang jelas, melepaskan geram dan mengecam.

Seharusnya, mereka tidak perlu melakukan serangan sedemikian, kerana taktikal seperti itulah yang terbukti membawa kekalahan besar sebelumnya, termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan Sabah.

Namun, jentera kempen BN nampaknya begitu tenang berhadapan dengan serangan-serangan tersebut, membolehkan mereka menerangkan hasrat dan aspirasi yang dirangkaikan dalam manifesto.

Anwar juga membawa bentuk kempen yang buruk di dua tempat yang berbeza. Misalnya, ketika berucap di malam penutup kempen, gagal memunculkan kenyataan yang boleh menyejukkan hati pengundi. Begitu juga dengan dakwaan Dr Mazlee Malik yang tidak dapat diterima oleh pengundi apabila mengatakan hanya "kita yang mengembalikan wang kepada rakyat."

Pengundi sedar dan masih belum terlupa, apa yang dilaksanakan oleh PMX ketika ini, bukanlah sesuatu yang dimulakan oleh PH, tetapi sesuatu yang diambil daripada pemimpin sebelumnya, termasuk pelbagai bentuk bantuan dan subsidi. Apa yang berbeza ialah nama dan kuantum sahaja.

BN tidak pernah memansuhkan subsidi, sedangkan PH semakin mengehadkan subsidi. PH menyebabkan beberapa masalah kehidupan rakyat menjadi semakin tidak salah diramalkan kerana terpaksa memikirkan kos sara hidup yang meningkat.

Terlalu kerap jualan Rahmah, turut menyebabkan peruncit mula merasakan pendapatan mereka terjejas. Sistem kawalan harga barangan dan perkhidmatan juga dilihat tidak mampu mengekang kenaikan kos sara hidup dan dalam bulan November berlaku kenaikan harga ke atas beberapa barangan melangkaui 10 peratus.

Oleh kerana cara PMX bercakap, melenting dan melatah apabila dipersoalkan, PH menjadi tempat penolakan besar pengundi di empat buah negeri. Hal yang sama dilihat bakal berlaku juga di Sarawak nanti sekiranya, gaya perubahan PMX masih belum bebas daripada budaya hidup sebagai seorang mahasiswa yang memimpin demonstrasi Baling (1974), mengutuk dan mengecam UMNO dan pemimpinnya sebaik sahaja dipecat. Anwar tidak sepatutnya berbuat demikian, kerana BN adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang diterajuinya.

Jika Anwar mengharapkan BN menghormatinya tindak tanduk politiknya, beliau mestilah terlebih dahulu menghormati BN. Apa yang berlaku, dan dilihat secara jelas oleh orang awam ialah Anwar hanya lebih cenderung melindungi DAP.

Sebab itulah apabila muncul isu yang berlegar tentang Islam dan orang Melayu, Anwar gagal mententeramkan suasana serta membuat penyelesaian yang boleh diterima oleh orang Melayu dan masyarakat Islam.

Bukan sahaja dilihat lambat bertindak terhadap kecaman dan variasi sinis oleh pemimpin DAP, sebalik jika isu itu muncul di pihak UMNO/BN dan PAS cukup cepat mengeluarkan kenyataan. Anwar juga dianggap silap membuat pemaknaan terhadap isu penangguhan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak, yang muncul di tengah-tengah hangatnya kempen PRN Melaka.

Anwar tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan terbuka (menjawab soalan wartawan) mengenai arahannya agar Peguam Negara segera "mengadap dan sembah ampun", kerana tidak semua tindakan -tindakan di peringkat tertinggi perlu diberitahu secara terbuka. Akibatnya, ramai membuat andaian bahawa Peguam Negara dikawal oleh PMX, sesuatu yang bercanggah dalam doktrin pengasingan kuasa serta diperjuangkan sekian lama sebagai salah satu inisiatif gerakan reformasi.

Sepatutnya, tindakan itu terus diarahkan kepada Peguam Negara sebaik sahaja notis penangguhan dibuat, seboleh-bolehnya pada hari yang sama. Akibat jeda yang panjang, dan Kenyataan Istana Negara sudah dikeluarkan, ia boleh mengeluarkan situasi dan persepsi kurang baik. Ertinya, tindakan komunikasi PMX bukan sahaja kerosakan imejnya sendiri, bahkan mengundang makna sistem yang caca-marba.

Begitu juga apabila PMX cuba untuk "memujuk" Anthony Loke agar mempertimbangkan hasrat meletakkan jawatan. Tindakan itu akan terus dianggap sebagai sesuatu yang ada kaitannya dengan persoalan "mempertahankan DAP", dan masyarakat awam terus memberikan petunjuk, itulah sebuah kultus politik demi mempertahankan kuasa dan takhta sebagai Perdana Menteri.

Dengan pencapaian terbaik BN di tiga PRN, bukan sekadar berjaya membentuk kerajaan negeri dengan kekuatan yang kukuh, dibantu oleh PN, hayat PH dilihat tidak akan panjang. BN dan PN seandainya boleh memperkukuhkan kerjasama yang sudah dirintis, akan tetap menjadi kebimbangan PH dalam PRU 16 nanti.

Ini kerana UMNO dan PAS yang mempunyai kekuatan jentera akar umbi dan parti yang cukup berpengalaman, tersusun dilihat mampu menyatukan politik Melayu-Islam, akan menyisihkan beberapa kerusi yang dimiliki oleh PH.

UMNO dan PAS perlu mencari kebersamaan dengan memperkecilkan sebarang jurang perbezaan ideologi dan pendekatan, tidak muncul tindakan saling membelasah, boleh muncul sebagai sebuah kerjasama yang cukup berpengaruh, dan menamatkan cita-cita untuk kekal memerintah untuk penggal kedua.

Semua orang Islam dan Melayu sangat mengharapkan penyatuan itu, dan dengan penyatuan tersebut, kebangkitan DAP akan dapat disekat. Kita mungkin dapat membaca komen-komen netizen yang sangat tidak berpuashati dengan tingkah politik aktivis DAP, termasuk beberapa orang kanannya. Tetapi, DAP tidak pernah mahu menasihati mereka, sebaliknya berpegang kepada prinsip, itu pandangan peribadi bukan pendirian parti.

Begitu juga bila pemimpin DAP membuat salah, mereka akan digugurkan oleh parti. Bila keahlian parti digugurkan, kesannya terlibat seperti bersih. Tetapi, persepsi yang sama tidak berlaku kepada UMNO, kerana ia tetap dianggap dilakukan oleh ahli atau pemimpin parti. Contohnya, pendirian DAP terhadap dakwaan seorang wakil rakyatnya yang dituduh merogol pembantu rumah. Setelah dibicarakan, tertuduh tidak dikaitkan dengan DAP, kerana keahliannya digugurkan sebaik sahaja dia dibicarakan.

DAP sudahpun memikirkan jalan selamat, cuma belum bersedia meninggalkan PH. Anthony Loke pernah memberikan pendapatnya, jika bersendirian, parti itu "tidak dapat pergi lebih jauh", ia menggambarkan dilema yang sedang ditanggungnya. Jika penyatuan berlaku, bermakna MCA dan MIC akan kembali bersinar walaupun agak sukar untuk Gerakan melakukannya.

Bila MCA dan MIC meraih keyakinan daripada pengundi bukan Melayu, DAP juga akan tergugat. Usaha DAP memecahkan pengaruh MCA dan MIC tidak akan kesampaian, dan inilah sepatutnya dirancang dari sekarang jika BN dan PN ingin berada di puncak kuasa.

Akhirnya, semua rakyat Malaysia akan merasakan bahawa "gelombang biru" benar-benar muncul menyisihkan "gelombang merah" yang sudah terpalit dengan "janji lama" yang belum lunas dan janji baharu yang "ajak-ajak ayam". PN dan BN wajar meneruskan momentum untuk mereputkan harapan "gelombang merah" yang sudah menunjukkan pengaruh dan keupayaan yang semakin luntur, yang bakal menjadi kenyataan seperti kesan gelombang domino.

Ini kerana senario politik sekarang, tidak ada lagi "safe deposit" bagi parti-parti yang berasal dari Semenanjung daripada Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak semakin mendekati perspektif politik yang tersendiri, maka untuk menentukan keupayaan kuasa pertarungan di Semenanjung menjadi semakin menjadi ukuran utama.

Jika menang besar di Semenanjung, gabungan parti dari Sabah dan Sarawak akan bekerjasama membentuk kerajaan pusat. Tentunya, perebutan kerusi di Semenanjung akan menjadi semakin kritikal, dan kerana itu, BN dan PN tidak wajar kembali "berseteru" pada PRU 16.

Jumlah kerusi di Semenanjung ialah 166, Sarawak 31 dan Sabah 25. Kalau mungkin pun, BN ada peluang untuk mendapatkan beberapa kerusi Dewan Rakyat daripada Sabah, disebabkan UMNO masih bernafas di sana. UMNO tidak ada ruang di Sarawak, kerana tidak bertapak di situ (ada persefahaman dengan PBB). PRN Sarawak, BN tidak akan bertanding..

Usah musnahkan keyakinan awal pengundi dengan percaturan yang merugikan, kerana akhirnya orang Melayu dan Islam akan hadapi kerugian dan beban yang besar. Ingatlah pesan Jalaludin Rumi (1207-1273):

"Raise your words, not your voice. It is rain that grows flowers, not thunder."

Wallahu a‘lam

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com