KITA BINCANG TENTANG BUKU ATAU KITAB? (II)
Apa maksud “Buku”? Kosakata buku adalah kosakata bahasa Melayu yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris, book. Namun, ini tidak bermakna kosakata (semaksud) tidak muncul dalam pemikiran orang Melayu sebelum penjajahan, yakni sebelum Inggeris menjajah Tanah Melayu segalaknya (Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, pembahagian jajahan takluk).
Masyarakat Melayu mengenal kosakata yang sama, iaitu kosakata bahasa Arab, Kitab. Namun, dalam pemahaman budaya Melayu, kitab lebih merujuk kepada buku-buku agama, sedangkan buku lebih kepada buku-buku yang tidak bersifat agama. Kini, kedua-dua istilah dipakai secara silih berganti. Bagaimanapun, istilah kitab sudah jarang kedengaran disebut, kecuali oleh agamawan, para ustaz dan mereka yang mempelajari ilmu-ilmu agama.
Sebelumnya, kebanyakan kitab ditulis dalam tulisan jawi dan bahasa Arab. Selepas kemajuan pendidikan yang diasaskan oleh barat, proses pembelajaran sepenuhnya menggunakan tulisan rumi (roman), maka banyaklah kitab-kitab dialihbahasakan ke bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi.
Kini, kitab-kitab terjemahan hanya sedikit sahaja diterjemahkan ke bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi (malah sangat jarang berlaku) kerana khalayaknya (pembaca), tidak lagi boleh menulis, membaca tulisan jawi. Ia merupakan satu kerugian besar masyarakat Malaysia, kerugian besar dalam budaya masyarakat Melayu yang sangat mengagumkan pada suatu ketika, sehingga Inggeris pun terpaksa belajar tulisan jawi untuk berhubung dengan raja-raja Melayu dan memahami jiwa Melayu.
Dalam tradisi pendidikan agama (pondok dan pesanteran, madrasah dan sekolah-sekolah agama rakyat), kitab-kitab yang dijadikan bahan pengajaran dikenali sebagai kitab kuning. Kitab ini dipanggil kitab kuning kerana ia dicetak pada kertas berwarna kuning dan tidak dijilid kemas (loose sheet) sebagaimana buku-buku sekarang.
Tujuannya, pelajar hanya akan membawa helaian-helaian tertentu pada sesuatu masa, untuk diajar, dipelajari dan dijadikan rujukan, manakala di bahagian tepi – kiri dan kanan - mempunyai ruang untuk catatan para pelajar ketika guru menyampaikan syarahnya. (Abdul Razak Mahmud, et. al., Bunga Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur:Sejarah, Pemikiran dan Karya, Kota Bahru: Pustaka Aman Press, 2009; Abdul Razak Mahmud dan Ahmad Fathy al-Fatani, Kelantan-Patani: Ulama’ dan Intelekutualisme Melayu Wilayah Timur, Kota Bahru: MAIK, 2018; Mohd Asmadi Yakob, penyunting, Keintelektualan Melayu dalam Manuskrip dan Kitab Jawi, K.Lumpur: DBP, 2018; dan Martin van Bruinessen, Islam di Nusantara: Kitab Kuning, Pesanterean dan Tarekat, edisi terjemahan oleh al-Mustaqeem M Radhi, Jenjarom, Selangor: IBDE, 2018).
Namun, dalam pemikiran umat Islam, makna kitab adalah lebih ‘sakral’ atau suci berbanding pemahaman mereka terhadap istilah buku. Ini kerana, kitab seringkali dikaitkan dengan ajaran agama, mengandungi petikan (ayat-ayat suci) al-Qur’an, hadis dan pemikiran para ulama mukhtabar atau para imam yang berjuang atas kepentingan ilmu. Kalimat atau petikan tersebut perlu dilayani dengan baik, termasuk cara pengendalian dan pengurusannya berbanding buku.
Tetapi, setelah berubah bentuk dan penggunaaan tulisan, buku-buku juga ada memetik ayat- ayat suci al-Qur’an, hadis dan pendapat para ulama. Atas perkembangan tersebut, sama ada buku atau kitab, seharusnya wajib dilayan dengan baik, kalau kita menghormati makna dan definisinya yang semakin berubah.
Buku dan kitab, saling berganti sebutannya, kitab-kitab yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, Inggeris atau bahasa Indonesia, dipanggil buku-buku agama. Tetapi, ada juga buku- buku yang tidak dikategorikan sebagai buku agama, tetapi penulisannya memberikan fokus kepada pendekatan agama, maka ia juga perlu dihormati dan disimpan dengan baik.
Al-Qur’an yang diberikan taraf sebagai kitab suci mengandungi Kalam Allah SWT ‘sangat terpelihara’ kedudukannya, sehingga untuk melupuskannya memerlukan satu bentuk prosedur dan tidak boleh dilakukan sembarangan, seperti kita membuang novel-novel yang rosak dan majalah lama.
Ini kerana, sebagai tindakan menjaga kesuciannya, ditetapkan untuk memegang dan membacanya, tidak boleh disentuh oleh orang-orang yang tidak suci (al-Waqiyah, ayat ke- 77-81) yang bermaksud:
“ (77) Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Qur’an yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). (78) Yang tersimpan dalam kitab yang terpelihara. (79) Yang tidak disentuh melainkan makhluk-makhluk yang diakui suci bersih. (80) Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah Ta’ala, Tuhan sekalian alam. (81) Patutkah kami (wahai golongan yang kafur ingkar) bersikap bena tak bena (acuh tak acuh) terhadap keterangan-keterangan al-Qur’an.” (Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan ar-Rahman Terhadap Pengertian al-Qur’an, 1985, hal. 1461
Menurut al-Ghazali (1058-1111), Adab-Adab Tilawah Al-Qur’an, (terjemahan Muhammad Nazmi Zafran, Muhammad Faiq Mohamad Shahrin dan Muhamad Mu’izz Abdullah, Melaka: Rabbani Books dan Media, 2021, hal. 17-41) terdapat sepuluh adab zahir tilawah (membaca) al-Qur’an, iaitu:
Pada adab batin (al-Ghazali, 2021, hal.41), al-Ghazali memberikan sepuluh perkara, iaitu:
Jelas, kaedah membaca al-Qur’an adalah berbeza dengan membaca buku, di mana kita boleh membaca buku dalam apa pun keadaan, seperti telentang, meniarap mahupun berbaring ke sesuatu posisi. Selain posisi tubuh, membaca al-Qur’an perlu mematuhi adabnya, sedangkan membaca buku, kita boleh membacanya dalam hati (tidak sampai kedengaran oleh telinga sendiri) dan boleh dilakukan secara ‘fast reading’ atau Speed Reading, baca cepat.
Membaca buku boleh dilangkau (skip), untuk mengetahui pengakhiran sesebuah naratif atau sekadar membaca halaman pengenalan untuk mengetahui skop bahasan sesuatu teori dan pendekatan, kerana sebahagian buku merupakan rumusan terhadap sesuatu kajian secara kuantitatif atau kualitatif, tidak mengandungi banyak perkara yang bersifat panduan, pedoman dan meluas, sebagaimana pedoman dan perilaku kehidupan yang terkandung dalam al-Qur’an.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
