KITA BINCANG TENTANG BUKU ATAU KITAB? (V)

Menurut M Kamalul Fikri: Setelah perjalanan panjang dalam pengembaraan mencari ilmu dan mengajar, sampailah al-Ghazali pada masa-masa fikirannya dipenuhi kekalutan perihal tidak didapatinya ketenangan batin. Keadaan ini salah satunya dipicu setelah al-Ghazali kembali menekuni ajaran-ajaran teologi dari Imam al-Haramain.

Ia dihadapkan pada posisi harus memilih dan menilai, aliran mana yang paling benar dan seharusnya diikuti. Al-Ghazali mengalami keraguan dalam bidang teologi dan falsafah.

“Bahkan, ia merasa skeptis dengan beberapa karyanya yang telah selesai ditulis. “ Keadaan tersebut pun berimbas ke fizikal al-Ghazali.

“Dikatakan bahawa ia jatuh sakit dan sampai tidak boleh mengajar di Madrasah Nizamiyyah. Padahal, pada waktu itu jumlah mahasiswa yang mengikuti kuliahnya sangat meningkat, mencapai 300 orang.

“Setelah sembuh dari sakitnya, al-Ghazali memutuskan untuk meninggalkan Baghdad, tepatnya pada bulan November 1095. Ia kemudian menetap sebentar di Damaskus. Lantas, al-Ghazali melanjutkan perjalanannya ke Jerusalem, Hebron, Madinah dan ke Mekah sakligus untuk menunaikan ibadah haji pada November-Disember 1096.

“Momen tersebut agaknya sekaligus dijadikan al-Ghazali untuk menenangkan diri dan memohon kepada Allah agar ditunjukkan jalan, ditengah permasalahannya terkait aliran- aliran teologi dan falsafah.

“Setelah melaksanakan ibadah haji, al-Ghazali sempat kembali lagi ke Damascus dan di kota tersebut ia hanya singgah sebentar. Al-Ghazali disebutkan juga sempat terlihat kembali lagi ke Baghdad pada Mei-Jun 1097.

“Namun menurut Watt (Montgomery Watt, 1909-2006), al-Ghazali hanya mampir sebentar dalam perjalanannya pulang menuju ke kota kelahirannya, Thus.

“Namun, menurut Smith (Margaret Smith, 1884-1970), al-Ghazali meninggalkan Baghdad pada 1096, dan memutuskan untuk tidak pernah kembali lagi ke kota tersebut.

“Demikianlah akhir perjalanan al-Ghazali dalam mencari ilmu dan menentukan arah hidup, al-Ghazali kemudian menghabiskan hidupnya di Thus sebagai sufi miskin yang hari-harinya diisi dengan meditasi dan kegiatan-kegiatan yang bernuansa sufi lainnya. (M Kamalul Fikri, Imam al-Ghazali: Biografi Lengkap Sang Hujjatul Islam, Yogyakarta: Penerbit Laksana,2022, hal. 27-28).

Mustafa Abu Sway menulis: Tamatnya karier al-Ghazzaliyy di Nazimiyyah adalah tidak diduga. Keadaan-keadaan yang menyelubungi peristiwa pada waktu itu dikenali dengan ‘krisis kerohanian a-Ghazzaliyy’.

“Al-Ghazzaliyy membincangkan sebab yang meransangnya untuk meninggalkan kedudukannya itu di dalam penulisan autibiografinya, Penyelamat Daripada Kesesatan (al- Munqidz min al-Dhalal) dalam seksyen sufisme.

“Beliau menghabiskan masa enam bulan berjuang untuk berhenti mengajar, sehingga beliau tidak ada pilihan lagi.

“Tentang perkara ini, al-Ghazzaliyy mengatakan: Untuk selama lebih kurang enam bulan bermula Rejab 488H (Julai 1095). Saya berterusan dilambung di antara tarikan-tarikan nafsu keduniaan dan dorongan terhadap kehidupan yang abadi. Pada bulan itu, masalah telah lenyap menjadi satu pilihan dan telah menjadi satu daripada paksaan (Allah) menyebabkan lidah saya kelu dari itu saya tidak boleh memberi syarahan. Pada suatu hari, saya bertekad untuk memberi syarahan demi untuk memuaskan hati para pengikut saya, tetapi lidah saya tidak dapat mengucapkan sepatah perkataan malah tidak dapat menyempurnakan sebarang kerja.

Terdapat satu fakta untuk membuktikan bahawa al-Ghazzaliyy tidak dapat bercakap menyebabkan beliau sedih, yang akhirnya memberi kesan kepada kemampuannya untuk menghadam makanan.

“Dalam masa yang singkat kesihatan al-Ghazzaliyy terganggu dan para doktor putus harapan dan menyatakan bahawa hanya satu jalan untuk menyembuhkannya ialah dengan menyelesaikan masalah psikologinya.

“Menyedari ketidakupayaannya, dan keadaan yang makin buruk, al-Ghazzaliyy ‘memohon perlindungan dengan Allah untuk mempermudahkan hatinya untuk berpaling daripada kedudukan, harta, anak-anak dan sahabat handai.

“Beliau membahagikan hartanya dan menyimpan hanya sekadar cukup untuk kehidupannya dan anak-anak. Di khalayak ramai beliau mengisytiharkan bahawa beliau akan pergi menunaikan haji di Mekah, walhal sebenarnya, beliau bercadang untuk pergi ke Syria,

“Al-Ghazzaliyy membuat rancangan ini kerana beliau yakin bahawa khalifah dan para ulama di Baghdad tidak memahami kedudukannya; beliau takut mereka akan menghalangnya daripada berangkat.

“Al-Ghazzaliyy meminta adiknya menggantikannya di Nizamiyyah dan beliau meninggalkan Nizamiyyah dengan niat tidak akan kembali lagi. (Mustafa Abu-Sway, Al-Ghazzaliyy: Kajian Epistemologi Islam, edisi terjemahan oleh Wan Moh Azam Mohd Amin, K.Lumpur: DBP, 1995, hal. 22-24).

[Mustafa menggunakan ejaan nama al-Ghazzaliyy dengan alasan “dalam bahasa Arab, setiap nama yang dinasabkan (al-nasab) sebagai bantuan diperkuatkan dengan tambahan ‘ya’…secara relatif al-Ghazzaliyy memperolehi namanya melalui pengaruh gelaran tersebut (pekerjaan bapanya sebagai pemintal bulu, ghazzal) dengan penekanan “z”.

“Ramai cendekiawan abad pertengahan menerima untuk bentuk nama al-Ghazzaliyy ini. Mereka mengatakan bahawa bentuk nama yang betul ialah “al-Ghazaliyy”tanpa penekanan ‘z’, mengasaskan perkiraan mereka kepada idea bahawa “al-Ghazaliyy” diperolehi dari perkataan Ghazalah, dikatakan salah satu daripada kampung-kampung yang melingkungi Tus, tetapi menurut Ibnu Sam’aniyy (wafat 506H/112M), seorang yang hidup semasa dengan al-Ghazzaliyy, menafikan kewujudan kampung yang bernama Ghazalah. (Mustafa, hal.18)].

Itu antara pengetahuan yang kita peroleh tentang seseorang apabila kita membaca buku atau kitab. Saya sengaja mengambil  beberapa petikan mengenai kajian pemikiran al-Ghazali, dengan harapan semakin banyak kita membaca (maksudnya, mengetahui) mengenai tokoh tersebut, yang sangat popular dikaji oleh cendekiawan Muslim dan bukan Muslim sama ada di Barat dan di Timur, semakin luaslah pengetahuan kita mengenai tokoh berkenaan bersama pemikirannya yang dianggap unik, istimewa dan reformis itu.

Saya mengambil tokoh tersebut kerana ada beberapa andaian bahawa jika ada nabi selepas Nabi Muhammad SAW, al-Ghazali dikatakan adalah tokohnya, selain pemikiran- pemikirannya yang berjaya mengubah beberapa penyimpangan amalan yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada abad pertengahan akibat pergolakan politik, pertembungan pemikiran dan aliran falsafah yang mula berkembang hasil terjemahan dan masukan baharu dari pelbagai arah, termasuk falsafah hellininstik Yunani.

Al-Ghazali juga merupakan tokoh ilmuan Islam terbesar (cendekiawan) yang berusaha mengintegrasikan setiap amalan (ritual) yang ditetapkan oleh Islam dengan praktis sufi (yang dilihat cukup bersendirian dan kadangkala terpisah) ke dalam perspektif tasawuf.

Perbalahan-perbalahan masyarakat Islam dalam soal hukum (fiqh) dapat diharmonikan oleh al-Ghazali, misalnya daripada sikapnya yang tidak cenderung mempertahankan mazhab (aliran pemikiran tertentu) walaupun dikatakan beliau adalah bermazhab Syafie dan mempertahankan as-Sya’ariyyah.

Dalam tulisan-tulisannya, beberapa pendekatan yang menjadi pertikaian, cuba dielakkan oleh al-Ghazali dengan menggunakan kaedah integrasi dan pentafsiran semula berpandukan makna sebenar al-Qur’an. Ini dapat kita baca dalam beberapa tulisannya yang lain, seperti Mutiara al-Qur’an (The Jewel of the Qur’an atau edisi Arab, Jawahir al-Qur’an; al- Asbain fi Usul ad-Din; Durar al-Qur’an; dan al-Maqshad al-Asma fi Syarh Asmaillah al- Husna (edisi terjemahan bahawa Indonesia (Bandung:PT Mizan Pustaka, 1994), Al-Asma’ al-Husna: Rahsia Nama-nama Indah Allah ).

Sama ada kita setuju atau tidak dengan wacana pengarang, ia bergantung kepada sejauhmanakah kita berupaya mempertahankan Islam itu sendiri, sebagaimana al-Ghazali berjaya merungkaikan pelbagai masalah hidup kerana manusia semakin melupakan ‘kehendak Islam sebenar’ yang diperintah oleh Allah SWT (wahyu al-Qur’an), teladan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW, ijtihad para ulama dan pendapat para ulama sebelumnya.

Kita mungkin bersetuju dengan pandangan eksoterik (yang hanya dapat dicapai oleh sekelompok kecil ‘orang beribadat’ atau dalam istilah lain ialah ‘makrifat’, menerima pendidikan khusus) perbandingan yang dibuat oleh Profesor Kojiro Nakamura, seorang ahli akademik berketurunan Jepun yang dianggap pakar dalam ‘pengajian Islam’ dan sangat memfokuskan penelitian mengenai pemikiran al-Ghazali dalam salah sebuah karyanya, Ghazali and Prayer (Kuala Lumpur: Islamic Trust Book, 1973).

Edisi terjemahan bahasa Indonesia (terjemahan Uzair Fauzan) diterbitkan dengan judul Metode Zikir dan Doa al-Ghazali: Meraih Makna dan Hakikat Ibadah, Bandung: PT Mizan Pustaka, edisi kedua, cetakan pertama, 2018. Buku ini merupakan disertasi Nakamura di Universiti Harvard pada tahun 1970 (hal.9).

Ia membincangkan mengenai teori al-Ghazali tentang praktis tasawuf, yang tentunya menggunakan Ihya Ulumuddin sebagai asas rujukannya (hal.34), iaitu bab 9 (kitab al-Adkar wa al-Dda’awat/Zikr and Invocations/Zikir dan Doa)) dan bab 10 (kitab Tartib al-Awrad wa Tafsil Ihya al-Layl/ Division of Time for Action/Susunan Wirid dan Usaha Menghidupkan Malam), iaitu yang terkandung dalam jilid pertama atau Rubu’ al-Ibadat.(Ihya Ulumuddin, Volume 1, terjemahan al-Haj Maulana Fazrul Karim, terbitan Islamic Books Services, New Delhi, cetakan semula 2008, manakala terjemahan bahasa Indonesia (versi ubahsuai ke bahasa Melayu), Ihya Ulumuddin, Jilid 2, terjemahan Muhammad Akhyar dan Drs Syahrin bin Jasah, terbitan Al-Shafa, Kuala Lumpur, 2014).

Nakamura membandingkan ‘doa’ menurut al-Ghazali dengan ‘koan’ dalam tradisi Zen dan nembutsu dalam tradisi Jodo-Shu (Pure Land) dari Buddishme Jepun. Diakui bahawa Islam dan Buddha merupakan dua tradisi agama yang berbeza, tetapi perhatian diberikan kepada praktik utama dalam amalan ibadah dan psikologi sebagai praktik inti.

Buddha sebagai tradisi ‘ikhtiar diri dan menolak gagasan ‘ketergantungan pada zat supernatural’ (hal.115), iaitu praktik koan, yang bermaksud ‘kebenaran publik yang menciptakan standard penilaian’, yang sangat kabur dan nonsense ; dan merupakan ‘olok- olok dari semua aturan lojik’ tetapi tujuannya ialah “membuka atau menerbitkan rasa kesedaran.” (Nakamura, hal.116).

Rasa kesedaran, walaupun menyebabkan seseorang berada ‘dalam kebingungan’ terutama dalam kalangan ‘orang baru’, setelah berhari-hari berlangsung ia akan membawa kepada ‘pencerahan (satori), dan di situlah akan munculnya ‘tradisi konsentrasi’ sebagaimana “kondisi yang ingin dicapai oleh sufi menerusi zikir”. (Nakamura, hal.118).

Namun, kata Nakamura: Berbeza dengan zikir, ciri olah koan terletak pada ketegangan psikologis ekstrem yang ditekankan dengan cara mendorong akal pada titik ekstrem hingga ia mengalami kebuntuan total. Sebagai suatu ajaran pendisiplinan diri yang memiliki perbezaan tajam dengan ajaran mazhab Jodo-Shu (Pure Land), Zen cuba menyangkal dan menihilkan diri dengan cara disiplin-diri dan kemandirian-diri…

“Tetapi, inilah yang cuba diraih oleh Zen – dengan mempersilakan orang-orang yang baru belajar untuk memaksimumkan akal mereka sehingga akhirnya mereka menyedari kemandulan akal atau kemandulan ikhtiar diri sehingga kemudian penghambaan diri dapat dihancurkan.

“Dengan lain perkataan, konsentrasi (dhyana) fikiran pada usaha yang sia-sia untuk memahami koan mencapai darjat tertinggi dan semua akumulasi energi dan ketegangan psikologis yang dialami orang baru itu tiba-tiba berakhir. “Lompatan” akhir ini biasanya dipicu oleh suatu peristiwa yang tampak seperti kebetulan, seperti tersandung (tersepak) batu atau ditampar oleh guru.” (Nakamura, hal.119).

Jelas Nakamura, dalam zikir ‘tidak terdapat akumulasi yang dinamis, kejenuhan, dan ledakan (istilah yang digunakan oleh Daisetsu Teitaro Suzuki, 1870-1966, ahli falsafah Buddha Amerika-Jepun, dan pernah dicalonkan untuk Hadiah Nobel pada tahun 1963).

Pada titik puncaknya, sebagaimana kita lihat dalam penggambaran al-Ghazali, zikir berubah menjadi kebisuan konsentrasi fikiran dan harapan (mendapatkan) nikmat Tuhan melalui penyerahan diri. Tidak ada penutup penuh kecamuk di dalam zikir.” (Nakamura, hal.119).

Jadi, berasaskan perbandingan itu kita dapat memahami walaupun pada luarannya nampak sama dengan koan, zikir pada akhirnya sangat memberikan ketenangan walaupun diamalkan oleh ‘orang baru’ sedangkan amalan koan menghasilkan pelbagai situasi kecamuk sehinggalah kecamukan itu dapat diselesaikan menerusi apa yang dipanggil sebagai ‘lompatan’, iaitu kejutan seumpama ‘tersepak batu’ atau ‘ditampar oleh guru’.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com