MENGAPA ANWAR IBRAHIM DIAMPUNKAN, TETAPI NAJIB RAZAK TIDAK?
Oleh Hassan Abdul Karim
KESAN keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini 22 Disember 2025 menolak permohonan semakan kehakiman berkenaan Titah Addendum oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak mempunyai kesan yang besar bukan sahaja terhadap diri Najib Razak tetapi lebih dari itu ke atas institusi Raja-Raja Melayu.
2. Tanpa berniat untuk mengkritik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu atau untuk menghina keputusan Mahkamah tetapi keputusan Mahkamah tersebut jelas menolak kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong, yang bukan membebaskan Najib dari tuduhan tetapi sekadar meringankan hukuman kepada tahanan di rumah baki sisa hukuman Najib di dalam kes SRC International adalah sesuatu yang mencemar dan menghina saki baki sedikit kuasa Raja Raja Melayu yang masih ada di dalam Perlembagaan Persekutuan.
3. Keluhuran Perlembagaan Persekutuan memang wajib dipertahankan dan dijunjung. Namun begitu pentafsiran isu keperlembagaan tidak wajar keras dan kaku sehingga meremehkan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi salah satu tiang seri negara demokratik Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
4. Rakyat sekarang bertanya mengapa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pada tahun 2018 boleh mengampunkan Anwar Ibrahim sepenuhnya sehingga Anwar boleh bebas dari penjara walaupun tempoh tahanan penjaranya masih ada.
Mengapa Anwar Ibrahim boleh tetapi Najib Razak tidak boleh?
5. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini oleh Hakim Alice Loke perlu dirujuk ke Mahkamah Rayuan seterusnya oleh hakim-hakim kanan rayuan supaya kemungkinan kekhilafan hakim Mahkamah Tinggi itu tidak menjadi satu precedent yang meletakkan kuasa-kuasa prerogative dan kuasa budibicara Raja-Raja Melayu terhakis sehingga institusi Raja Berlembagaan itu langsung tidak ada saki baki kedaulatannya.
6. Perlu diingat oleh semua pihak termasuk hakim-hakim mahkamah bahawa sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan telah wujud institusi raja-raja Melayu di sembilan buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu.
7. Raja-Raja Melayu tersebut telah bersetuju menerima dan menghormati aspirasi rakyat yang mahukan sebuah negara demokrasi berparlimen dengan menerima hakikat kehilangan sebahagian besar kuasa-kuasa raja feudal untuk membina sebuah negara demokratik dan progresif. Sebagai timbal balasnya Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa kuasa budibicara dan kuasa prerogative Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu termasuklah dalam soal memberi pengampunan.
8. Jadi institusi Mahkamah perlu membandingkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Yang Arif Alice Loke dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mempertahankan dan mengekalkan keputusan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar Ibrahim pada tahun 2018. Semua permohonan untuk mencabar keputusan pengampunan ke atas Anwar Ibrahim oleh Yang di-Pertuan Agong telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan seterusnya ditolak juga oleh Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan.
9. Jadi adalah pelik apabila Hakim Alice Loke selaku Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak menghadham, menghayati dan mengambil iktibar dari kes pengampunan Anwar Ibrahim.
[Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, juga Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya]
Sumber: bebasnews.my
