MEROYAN, EGO DAN DELUSI
Cukup menarik komen Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor melatarkan ucapan: UMNO adalah punca kepada ketidakstabilan politik Malaysia, maka para pengundi Johor seharusnya tidak memenangkannya. Ada juga baiknya bila Sanusi berkata, menang dengan kerusi yang sedikit maka UMNO tidak boleh mengancam kerajaan yang memerintah.
Sanusi merujuk kepada Kedah kerana itulah dirinya yang sangat berbangga.Jika UMNO menarik sokongan, kerajaan Kedah tetap diterajui oleh PAS. PAS ada 15, Bersatu 6: sudah melepasi majoriti mudah. UMNO tidak mampu, hanya memiliki dua kerusi, masih jauh daripada majoriti mudah, yakni 19 kerusi.Wakil rakyat UMNO hanya di Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan di Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.Ertinya, penyandang lelaki dari UMNO “semacam pupus” dalam DUN Kedah, ketika ini.
Kedah sebenarnya tidak mempunyai kepimpinan politik yang mampu melakarkan kemenangan besar, jika dilihat daripada perspektif ‘kuasa’ dan ‘keupayaan’, khususnya UMNO/BN. Sebahagian besar pemimpin-pemimpin ‘heavyweight’ dilihat semakin tidak bertenaga, belum kebah daripada kekalahan PRU ke-14. Bagi sesetengah penganalisis, UMNO/BN agak sukar untuk bangkit jika hanya bersandarkan kepada keupayaan MP yang masih berkuasa, iaitu dua, Padang Terap (Mahadzir Khalid) dan Baling (Azeez Rahim). Azeez ikut tersenarai dalam kategori Kluster Mahkamah.Mahadzir, adalah salah seorang saksi dalam kes kontrak tenaga solar ke sekolah-sekolah di Sarawak yang membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor.
Tetapi, apabila Sanusi bercakap dalam nada sebegitu di Batu Pahat, Johor menyebabkan minda saya teringat bacaan terdahulu yang boleh dikaitkan dengan apa yang dimahukan, meraih kemenangan buat PN kerana di dalamnya ada PAS. Saya mengharapkan pengundi Johor tidak boleh membacanya dengan jelas.Alasannya, bila UMNO/BN menang besar, keadaan negara tidak stabil.Itu lojik Kedah yang hendak dibawa ke Johor sebagai permulaan gendang perang oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, bagi menghapuskan stigma PAS hampir tenggelam di Johor.
Alasannya cukup kukuh apabila melihat kepada budaya politik PAS.Selepas PRU ke-11 (2004), keadaan di Kelantan tidak goyah walaupun diperintah dengan majoriti satu kerusi antara tahun 2005-2008. PRU ke-11, PAS menang 24 tetapi tinggal 23 apabila PAS tewas di PRK Pengkalan Pasir (6 Disember 2005) ekoran penyandangnya, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar meninggal dunia (31 Oktober 2005) akibat kanser. Selepas PRU ke-11, Mustapha Mohamad berada dalam keadaan ‘stand-by’ untuk mengambil alih jawatan sebagai MB Kelantan jika berlakunya perubahan menyebelahi UMNO/BN. UMNO/BN sudah begitu lama menantikan ‘bulan gerhana sekali lagi di Kelantan’.
Hingga kini, harapan itu menjadi semakin jauh apabila PAS pada PRU ke-12 (2008) berjaya mematikan angan-angan yang dibina sejak tahun 1990.PRU ke-12, PAS menang 38, jauh meninggalkan UMNO/BN dengan 6 dan PKR 1 kerusi, yang akhirnya memperlihatkan ‘jalan sukar buat Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Keputusan PRU ke-12 seolah-olah menunjuk ‘jalan keluar’ buat Abdullah walaupun PRU ke-11, beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang buat UMNO/BN (DUN Semenanjung–Perlis 14 (15), Kedah 31 (36), Perak 52 (59), Selangor 54 (56), Negeri Sembilan 34 (36), Melaka 26(28), Johor 32 (33), Pahang 41 (42), Terengganu 25 (32), Kelantan 21(45), Pulau Pinang 38 (40) manakala di peringkat Parlimen 198 daripada 221 kerusi). Kelantan gagal dirampas oleh UMNO/BN selepas kekalahannya pada PRU ke-8 (1990).
Wakil rakyat PAS ‘tidak mudah dibeli’, maka kembalilah Mustapha ke Kuala Lumpur dengan sedikit kecewa sambil menilik surat ‘arahan stand-by’. Mustapha, walaupun dilihat mampu mengekalkan kerusi Jeli (Parlimen) dan DUN Air Lanas, mungkin hampir senasib dengan Anwar yang juga gagal menjawat jawatan PM. Mustapha gagal sebagai calon UMNO/BN untuk jawatan MB Kelanta, tetapi, sedikit berbeza kerana selepas itu, Mustapha merasakan harapan itu tak akan ke mana.
Beliau selepas PRU ke-14, menjadi orang keempat (Bagan Serai- Dr Haji Nor Azmi Ghazali; Bukit Gantang -Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Masjid Tanah- Mas Emeryati Samsudin) yang mengisytiharkan keluar UMNO/BN (18 September 2018) walaupun masih kekal dalam senarai barisan AMT UMNO yang diadakan pada 30 Jun 2018. Selepas kurang 24 jam daripada Tok Pa, Anifah Aman pula isytiharkan keluar UMNO.
Juga menyamai idolnya, Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah tewas merebut jawatan Presiden UMNO (1987 dan 2018). Cuma berbeza, Mustapha tidak berani mencuba, hanya sekadar Naib Presiden (2004). Setelah tewas, kekal bertanding dalam AMT. Tidak dicuba untuk jawatan yang lebih tinggi walaupun pernah ‘berjanji’ akan lakukan semula selepas tiga tahun (2007/2008). 2018, Tok Pa tolak jika ada pencalonan untuk Naib Presiden mahupun Timbalan Presiden.
Keputusan PRU ke-14, PAS menang satu kerusi dari 41 kerusi yang ditanding di DUN Johor, dan tidak mempunyai seorang wakil pun di peringkat Parlimen setelah kesemua 20 calonnya tewas. Di Johor, 36 calon yang bertanding di peringkat DUN dan 19 calon di peringkat Parlimen hilang wang pertaruhan. Itu adalah gambaran kekuatan sebenar PAS, dalam situasi UMNO benar-benar ‘sedang ditempangkan’ oleh Bersatu dan juak-juaknya dalam PH. Ketika itu, PAS bermajinasi sebagai ‘king maker’. Ia benar-benar ‘king maker’ kerana selepas PRU ke-14 tidak lagi kedengaran Gagasan Sejahtera (berganding Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
Hingga sekarang tidak sama ada masih hidup atau ‘sudah mati’. Tidak diketahui nasib dan status Ikatan dan penerajunya, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. Ikatan juga sepi akibat trauma apabila empat calonnya hilang wang pertaruhan, iaitu di Parlimen Subangdan di tiga DUN Selangor, Bukit Gasing, Pendamaran dan Kinrara. Ikatan tidak memperoleh apa-apa keuntungan bergabung dengan PAS, sebaliknya, rekam ngik.PAS tidak mampu membantu ‘memenangkan’ Ikatan, yang bererti Gagasan Sejahtera juga gagal pada PRU ke-14.
Dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, saya temukan keterbalikan ‘king maker’ iaitu rekam ngik. Rekam disinonimkan dengan istilah rakam manakala ‘ngik’ tidak muncul secara tunggal, diulang (berganda) menjadi ‘ngik-ngik’: (1) selalu sakit-sakit, kerap sahaja sakit, hidup merana, mengidap penyakit; dan (2) simpulan bahasa, hidup segan mati tak mahu. (Edisi Ekonomi, 2002, hal.1212). Maksud ‘rakam’ ada dua: (1) alur bunyi, alur suara; dan (2) garis-garis berwarna pada kain tenun. (Halaman 1489).
Berdasarkan pengertian tersebut, saya cuba fahami maksud ‘rekam ngik’ ialah selalu sakit-sakit, orang yang sakit-sakit, sangat kuat merengek (berbunyi atau bersuara). Bila ada bisul di pinggul, duduk pun tak selesa (tak mampu goyang-goyang), bahkan bersentuhan pun ingin dielakkan bagi kurangkan imajinasi ‘rasa sakit’. Itulah gambaran yang dapat kita umpamakan dengan PAS sekarang, bertempik di Johor dengan cukup lantang dan kadangkala kasar untuk menyembunyikan ‘kesakitan’ yang dialami.
Dalam bidang psikologi, rasa nyeri yang hadir dalam bentuk imajinasi dikenali sebagai delusi, yang kata sepadan dalam bahasa Melayu ialah waham (waham pun berasal dari istilah Arab, yang bermaksud, sangkaan atau alasan yang samar-samar). Namun, ia berbeza dengan imajinasi yang berdasarkan maklumat palsu, atau dalam dunia propaganda dikenali sebagai ‘kebohongan’ atau ‘falsehood.’
Hal sebegini bukan sesuatu yang tidak boleh kita fahami, asasnya sudah bertukar di mana makna kebenaran tidak lagi berdasarkan fakta sebenar, ia dipengaruhi oleh persepsi. Persepsi pula dibina berasaskan emosi dan pendapat peribadi.Pendapat peribadi pula adalah hasil daripada andaian terhadap sesuatu maklumat yang dipunyai oleh seseorang, ada kaitan yang jelas dengan kecenderungan seseorang.
Kalau kita kembangkan dalam perspektif politik, andaian, sangkaan dan alasan yang samar-samar itulah hal yang cukup rancak dibincangkan. Sebabnya, ia boleh memberikan kesan terhadap sesuatu keputusan meskipun ‘kebenaran’ juga masih samar-samar atau hanya muncul dalam bentuk spekulatif. Kita ambil contoh, dakwaan PH semasa kempen PRU ke-14 bahawa apabila GST dihapuskan, harga barang akan turun atau menjadi lebih murah.
Realitinya, bila GST dimansuhkan, digantikan dengan SST (regim cukai sebelumnya), harga barangan dan perkhidmatan tidak turun sebagaimana diharapkan. Bahkan, setelah GST dihapuskan (I Jun 2018 dan SST diperkenalkan September 2018), ia tidak menunjukkan penurunan harga yang ketara. Harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat sehingga menteri-menteri kabinet membuat kenyataan yang berbeza: peniaga degil dan ‘ada yang sabotaj’.
Istilah delusi, atau bahasa Inggeris ialah delusion. Menurut istilah, delusion bermaksud: menipu atau ditipu; hujahnya menyakinkan tetapi didasarkan kepadaperkara yang tidak benar; dan kepercayaan palsu tentang peri pentingnya diri sendiri – Oxford Compact Adnvanced Learner’s English-Malay Dictionary, 2007, hal.369). Kecil tapak tangan, nyiru dibentangkan. Sebagai kesimpulan,apa yang dibayangkan oleh Menteri Besar Kedah, percubaan untuk memberikan kepercayaan palsu tentang peri pentingnya diri sendiri, yakni PAS.
Akibat ‘takut’ dengan imajinasi itu, Sanusi akhirnya mengakui bahawa apa yang dirujuknya adalahsatu percubaan ‘menikam dari belakang’ setelah ‘duduk serumah, makan bersama satu lauk’ oleh UMNO hanya merujuk kepada PRN Johor. Agaknya, Sanusi juga ada ‘rasa takut’ apabila dalam kekuatan yang begitu kecil UMNO/BN di Kedah boleh menyebabkan suasana yang tidak stabil jika dua orang wakil rakyat UMNO menarik balik sokongan.
Biarpun gelombangnya kecil, ia akan menjadi arus bawah yang boleh memati atau menjejaskan imej PAS kerana Pejuang dan Amanah juga ada peluang untuk menyerang PAS. Hubungan Kedah dan Pulau Pinang dilihat sukar untuk berbaik semula kecuali Sanusi memohon maaf secara terbuka dan tidak meneruskan cadangan menyekataliran air Sungai Muda serta membatalkan tuntutan ‘bayar harga air mentah’ yang disedut.
Kenapa saya berkesimpulan sedemikian?Sebab, saya cukup memahami budaya politik PAS.Memori (sejarah) masih belum tumpul terhadap makna politik, bergaul dengan politikus dan membaca kenyataan-kenyataan politik sejak tahun 1970-an, termasuk membesar dalam lingkaran komuniti penyokong PAS totok.
Saya bukan membenci politik, mahupun cukup alergik. Saya hanya melihat peranan politik itu cukup penting dalam pembinaan masyarakat dan negara, asalkan proses pemenuhan itu tidak disalahgunakan, biarpun ada kelemahan-kelemahan di dalamnya. Namun, apa yang lebih penting ialah ‘mencuba’ dan bukan ‘melencong’, seorang pemimpin politik yang berjaya ialah mereka yang berani mencuba dengan iktikad yang tegar, ikhlas dan jujur.
Sebab itulah politik menjadi ‘menu harian’, setiap pagi saya membaca laporan-laporan akhbar, buku-buku politik dan merayap-rayap di lebuh raya maklumat ‘maya’, yang kadangkala terjumpa hal yang cukup unik, magis, dan misteri berkenaan politik. Kadangkala saya menjadi sedikit ‘marah’ apabila kenyataan-kenyataan politikus seperti ‘mencipta serangan’ yang dalam istilah pengurusan strategik dipanggil ‘strategi lautan merah – red ocean strategy – walhal apa yang diperlukan ialah kaedah memantapkan ‘strategi lautan biru –blue ocean strategy’. Ia merupakan satu konsep yang diperkemaskan oleh W Chan Kim, seorang pakar pengurusan perniagaan dari Korea Selatan dan mendapat dokongan Renee Moubough, pakar teori pemasaran dari Amerika Syarikat. BOS –Blue Ocean Strategy menjadi sesuatu yang cukup melatari konsep pengurusan dan pentadbiran PM ke-6, yang diadaptasikan dalam pelbagai perspektif.
Biarpun Najib tidak berjaya sepenuhnya, kesilapan terbesar ialah kerana ‘gila indeks’.Indeks adalah satu permulaan yang baik, yang sepatutnya diteruskan dalam konteks yang lebih bersifat psikologi.Model BOS perlukan anjakan paradigma, bukan bersifat mekanistik.Ia perlu kepada pemaknaan dalam diri seseorang. Dr Mahathir juga gagal walaupun berusaha melakukan anjakan paradigma selama 22 tahun pentadbirannya (1981-2003).Kemahuan politiknya telah mengatasi keperluan transformasi sosial. Itulah sebab yang juga memungkinkan Najib tewas, bahkan tidak menunjukkan prestasi terbaik bila diberikan tanggungjawab mengemudikan kepimpinan politik berbanding perdana-perdana menteri sebelumnya.
Tunku Abdul Rahman mencapai permulaan politik yang baik selepas dipilih sebagai Ketua Menteri (Perdana Menteri) dalam PRU pertama (1959); Tun Razak mencapai kejayaan gemilang pada PRU ke-4 (1974) selepas diberikan baton pada tahun 1970; Tun Hussein Onn juga cemerlang pada tahun 1978 (PRU ke-5); Dr Mahathir pada PRU ke-6 (1982); dan Abdullah Ahmad Badawi pada PRU ke-11 (2004). Ia tidak berlaku pada Najib. Semasa mewarisi kepimpinan politik dari Abdullah Ahmad Badawi, kedudukan BN ialah 140 kerusi (PRU ke-12), manakala pada PRU ke-13 (PRU pertama bagi Najib), kedudukan BN menggelonsor ke 133 kerusi, berkurang 7 kerusi di peringkat pusat. Situasi yang dialami pada era Najib seumpama mencipta ‘riuh dalam kesempitan’.
PRU ke-14 (2018), UMNO/BN tewas dengan pukulan ‘KO’. PH berjaya menempatkan kedudukannya sebagai gabungan yang menang besar (140 daripada 222 kerusi Parlimen), yakni menimbulkan ‘trauma’ atau fobia kepada UMNO. apabila hilang kuasa di Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Sabah, Perak dan Melaka. UMNO hanya mendominasi di Perlis dan Pahang.PAS berjaya kekal di Kelantan, yang juga gagal ditembusi semasa Dr Mahathir, Tun Abdullah dan Najib, selain berjaya mengembalikan kedudukan dominan di Terengganu.
Kemudian, PAS menguasai Kedah apabila berlakunya perpecahan dalam PKR selepas Langkah Sheraton. Di Perak, meskipun berlaku perubahan pucuk pimpinan dari PH ke BN, PAS bukan mendominasi pentadbiran politik Perak. PAS mendominasi kepimpinan politik Kedah apabila Mukhris terpaksa mengakui kedudukannya tidak lagi mendapat sokongan majoriti.Ini menjadikan Mukhriz orang pertama yang terpaksa turun dari jawatan MB sebanyak dua kali ekoran ‘tidak cukup sokongan’.
Jika menurut ‘track record’ sedemikian,Najib sepatutnya tidak lagi berusaha untuk membina semula pengaruh sehingga dianggap ‘bakal PM’ sekali lagi jika BN memenangi PRU ke-15. Tunku berundur apabila memahami kepimpinan politiknya menurun, begitu juga Tun Hussein Onn yang terpaksa ‘beralah’ dengan peningkatan pengaruh Dr Mahathir sebagai ‘ultra-Malay’. Hal yang sama diambil oleh Tun Abdullah, bila keupayaqn kepimpinannya merosot daripada pencapaian terbaik UMNO/BN pada PRU pertama pimpinannya (PRU ke-14- 2004) yang hampir menewaskan PAS di Kelantan dan berjaya merampas semula Terengganu dari PAS, atas semangat ‘kesejahteraan politik berundur’ dengan harapan UMNO dapat dipulihkan.
Awalnya, Najib berjaya memulihkan pencapaian UMNO, tetapi Najib dihukum oleh sebahagian penyokong UMNO sendiri apabila berlaku peralihan sokongan dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu terhadap UMNO/BN. Tsunami pengundi Cina sudah pun berlaku pada PRU ke-12 (2008) dan seterusnya meningkat pada PRU ke-13, kemuncaknya ialah PRU ke-14.
Apakah pada PRU ke-15 akan berlaku ‘arus balik’? Pengundi Melayu kembali menyokong UMNO/BN di Semenanjung setelah ‘trauma politik, sosial dan ekonomi’ sangat menghantui pentadbiran PH dan PN selepas berkuasa?Ia sudah ada petunjuk kecil, tetapi ia tidak bermakna petunjuk itu tidak akan berubah.
Petunjuk kecil pertama ialah kekalahan beberapa PRK oleh calon PH, yang kemudiannya diikuti kekalahan besar PH dan PN di PRN Melaka, disusuli tewasnya PH pada PRN Sarawak.Itu juga menjadi trauma PAS, kerana dua PRN, parti itu gagal memperoleh sebarang kemenangan.PAS dilihat berpaut ‘di dahan yang rapuh’ yakni bekerjasama dengan Bersatu dan mengetepikan semangat MN dalam PRN Melaka. Pada PRN Sarawak, PAS kalah bersendirian, tidak dibantu oleh mana-mana parti. Ia menjadi dua ‘asas ukuran’ yang berbeza, tetapi masih ada persamaan imajinasi.
Disebabkan imajinasi PAS hampir terkandas menjelang PRN Johor, maka reaksi pemimpin-pemimpin mereka cukup menyebabkan gelanggang ROS- red ocean strategy- ditabuhkan gendangnya.Ia dimulakan oleh Timbalan Presiden PAS, menilai tawaran 4 kerusi dari 56 kerusi DUN sebagai sesuatu yang tidak baik. Ia kemudiannyamenyebabkan Mokhtar Senik mengeluarkan kenyataan seumpama menghina, UMNO kembali ke perangai asal, tiada pawang yang dapat menyembuhkannya, kecuali kekalahan. Ia cuba dineutralkan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, bahawa UMNO/BN dan PAS belum memutuskan agihan kerusi, belum diadakan mesyuarat secara rasmi. Malangnya, air yang cuba disemburkan itu tidak mampu memadamkan ‘api di tanah gambut’ yang memangnya Johor cukup luas kawasan tanah berjenis gambut.
Sanusi, Menteri Besar Kedah merupakan Ketua Pengarah PAS Pusat, maka beliau perlu memperlihatkan idealisme politik yang besar, bukan sekadar merasionalkan tindakan Majlis Perbandaran Alor Star tidak membenarkan pendirian rumah-rumah ibadat di tanah kerajaan, atau menunjukkan ‘kemarahan’nya kepada Pulau Pinang di bawah DAP melihat program pembinaan Lapangan Terbang Kulim sebagai ancaman kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
Pulau Pinang sebenarnya semakin ‘tertekan’ apabila pelaburan asing meningkat di Kedah dan perpindahan operasi kilang syarikat asing ke Kulim dari Bayan Lepas, Butterworth, Mak Mandin dan Juru. Pulau Pinang tidak mungkin dapat bertahan dalam jangka masa panjang, kerana kos pembinaan kilang di Kedah adalah lebih murah di samping insentif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri lebih baik, selain masalah tenaga buruh.
Sumber tenaga buruh tempatan adalah lebih mudah diperoleh di Kedah berbanding Pulau Pinang, Kilang-kilang di Pulau Pinang banyak bergantung kepada tenaga kerja asing (Indonesia, Bangladesh dan sebagainya) ekoran ketidakmampuan pekerja tempatan membeli kediaman sendiri dan peningkatan kos kehidupan. Pekerja tempatan masih ada keinginan hidup dalam lingkaran ‘institusi keluarga’ berbanding pekerja asing.
Pekerja asing kurang tertekan dengan pola budaya sedemikian, biarpun ada di antaranya berada dalam ‘kehendak’ yang sama. Tekanannya adalah lebih kecil kerana terpaksa memikirkan banyak perkara, termasuk kos kesihatan dan biaya keluarga di Malaysia juga tiada tekanan sosio-budaya daripada kawan-kawan dan keluarga.
Sebahagian besar yang bekerja di Malaysia mengatakan, tujuan mereka ialah untuk mendapatkan wang dan selepas memperoleh wang yang cukup, mereka akan membina kehidupan keluarga di negara asal, kecuali pekerja dalam sektor pembinaan, sebahagian besar adalah PATI.
Sebab itulah Malaysia terus menjadi tumpuan PATI, walaupun sedar terpaksa melakukandalam dilema ‘hidup atau mati’ untuk memasuki perairan negara. Kalaupun ada yang berkata sinis, Indonesia sudah jauh meninggalkan keupayaan Malaysia dan Thailand dalam perekonomiannya, setakat ini masih mengharapkan ada ‘ruang untuk rakyatnya bekerja di Malaysia’ secara legal dengan jaminan dan juga dari perspektif individu, Malaysia masih menjadi pilihan untuk mengubah nasib. Belum ada kenyataan secara memadai bahawa PATI tidak lagi berminat bekerja dan mencari rezeki di Malaysia.
Kalau kurang yakin, tanyalah rakyat Indonesia yang masih ada di Malaysia.Sebahagiannya ‘takut pulang’ apabila sukar ‘masuk semula’.Tanyalah juga kepada pemuda Bangladesh, kenapa mereka mahu berada dan tinggal lebih lama di Malaysia? Kenapa ‘agen-agen tenaga kerja asing’ cukup marah bila Malaysia melakukan perubahan dasar pengambilan pekerja asing? Itu adalah di antara kesimpulan bukan ilmiah yang saya dapat setelah hampir seminggu berinteraksi dengan rakyat Indonesia dan Bangladesh semasa cuti Tahun Baru Cina yang lalu, sekitar Sungai Petani (Kedah) dan Bayan Lepas (Pulau Pinang).
Mengenai ‘perseteruan PAS dan UMNO’ yang kemudiannya diperkuatkan ‘perseteruan UMNO dan Bersatu’ akibat mahu mempamerkan siapakah ‘jaguh pada PRN Johor’, saya melihat persekitaran itu adalah ‘kemahuan terdesak’ PAS dan Bersatu. Kenapa PAS dan Bersatu terdesak? Dua faktor yang cukup menarik, pertama ialah keinginan masing-masing, ‘PAS dan Bersatu’ sudah cukup diakui bertindak ‘menikam dari belakang’.PAS menikam UMNO/BN kerana bersengkongkol dengan Bersatu untuk mengabsahkan PN.PAS ‘menikam dari belakang’ apabila melupakan Muafakat Nasional dan bekerjasama dalam PN untuk menumbangkan UMNO/BN di Melaka. Pada PRN Sarawak, PAS tidak melakukannya, kerana UMNO/BN dan Bersatu tidak bertanding.
Faktor kedua ialah ‘kemahuan PAS dan Bersatu’ yang cukup besar untuk menebus kekalahannya dalam PRN Melaka. Bersatu akan menerima aib yang besar sekiranya gagal membina kubunya di Johor, kerana Muhyiddin dikaitkan dengan semangat tersebut, tetapi bukan semangat Bangsa Johor.
PAS juga begitu, kerana imajinasinya cukup besar.Dengan bertanding lebih banyak kerusi, kemungkinan menang besar boleh berlaku. Keyakinan itu telah menyebabkan PAS kembali ke pangkuan PN kerana dikhabarkan Bersatu sedia memperuntukkan kerusi yang lebih banyak, walaupun tidak yakin PAS mampu menang besar, atau separuh daripada kerusi yang ditandinginya, mengambil tempat Amanah. (PRU ke-14, Amanah bertanding 12 menang 9).
Amanah, tidak mudah untuk mempertahankan kemenangannya pada PRN Johor kali ini. Ini kerana imejnya dikaitkan dengan DAP. DAP pula sedang berhadapan pergolakan dalam cawan, ekoran timbulnya rasa tidak puas hati gaya kepimpinan Pengerusinya, Liew Chin Tong, bekas Timbalan Menteri Pertahanan era PH. Liew tewas di Parlimen Air Hitam. Liew Chin Tong adalah penyandang kerusi Parlimen Bukit Bendera (Pulau Pinang, 2008) dan Kluang (Johor, 2013). Beliau dilihat sebagai anak didik Lim Kit Siang, dan menjadi penulis autobiografi supremo DAP itu, Lim Kit Siang: Patriot. Leader.Fighter (2021).
Kempen PRN Johor, Liew Chin Tong sudah memulakan rangka teori politiknya, yakni mengkritik pola imajinasi BN yang berbentuk ‘tiga segi’ manakala PH sedang mengubahnya ke bentuk ‘ekonomi berlian’ kalaupun tidak ‘bulat dan leper’. Namun demikian, tanpa sedar, bentuk ‘tiga segi masih kekal’ dalam debut ekonomi, tetapi kedudukannya adalah terbalik, runcing dibawah dan permukaan lebih besar di atas, bukan bentuk piramid.Bagaimana untuk menterbalikkan struktur itu?
Liew Chin Tong tidak menjelaskannya secara jelas. Ada beberapa cara, antaranya, ialah menetapkan dasar dan program menguranglan bilangan miskin secara drastik. Cara lain, iailah ‘memaksa’ golongan kaya untuk tidak terlalu tamak dengan kepemilikannya, memeratakan sebahagian kekayaannya untuk membesarkan kelompok kelas menengah.
Apakah pendekatan ini dapat memberikan peluang yang sama rata atau nilai kebersamaan? Tentunya, perspektif ini akan menyebabkan 20 peratus pemilik kekayaan –menurut nisbah Pareto – tidak sanggup melakukan. Manusia memang cukup tamak dan sangat bersifat monopolistik, apatah lagi jika kebersamaan ini dimulakan dalam ruang yang cukup berbeza antara sesuatu kaum.Bukan Melayu pernah menyuarakan kemarahan, bila dasar dan program kerajaan diberikan penekanan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera, misalnya DEB, yang akhirnya dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi.
DAP mahukan konsep meritokrasi diperluaskan, maka dalam persaingan itu Bumiputera akhirnya akan ditekan dengan pelbagai kelebihan sumber yang ada dalam kalangan bukan Melayu. Ini jelas ketika Dr Mahathir memperkenalkan Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia, konsep Build and Transfer, yang kemudiannya membolehkan konglomeret bukan Melayu menguasai sebahagian entiti ekonomi yang ditubuhkan untuk orang Melayu atau berkaitan Melayu-Islam menerusi pembelian saham secara terbuka dan tekanan ekonomi. Misalnya, entiti perniagaan yang awalnya dimiliki oleh NAZA telah berpindah kepada kumpulan Berjaya selepas anak perempuan Vincent Tan berkahwin dengan salah seorang anak lelaki Allahyarham Tan Sri Nasimuddin.Nampaknya Rafidah Aziz tidak lagi boleh berbangga dengan keistimewaan yang pernah diberikan kepada Kumpulan Naza pada suatu ketika.
Begitu juga dengan kisah pemilikan sebahagian besar tanah-tanah yang dimiliki oleh TH Plantations, telah berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu-Islam menerusi pemindahan aset di bawah SPV yang ditubuhkan oleh Khazanah semasa pentadbiran PH. Penjualan Hotel Royale Chulan oleh LTAT menerusi Boustead ikut menunjukkan trenda sebegitu, ada agenda untuk ‘meleperkan’ agenda Bumiputera, secara lebih psikologi, yakni atas alasan berlaku kerugian dan tidak cukup ‘kecairan wang tunai’.
Sayangnya, syarikat-syarikat yang bukan dimiliki oleh orang Melayu-Islam diberikan bantuan dan pinjaman misalnya RM 500 kepada Air Asia yang juga berhadapan masalah akibat pandemik COVID-19. SP Setia pernah berhadapan dengan masalah ‘kecairan tunai’, termasuk anak syarikatnya, seperti KL Eco City, Island & Peninsular Group dan Setia Readymixed Sdn Bhd, mendapat perhatian secara langsung dan tidak langsung, dalam usaha menyusun hutang dan sebagainya ketika era PH.
Bagaimana ‘ekonomi berlian’ yang ingin dicipta oleh Liew Chin Tong? Ini bermakna, berlian akan dilihat menarik dan cantik apabila ia dipotong dalam bentuk yang bersegi-segi sama ada secara hexagon mahupun obral. Kepingan berlian tidak akan dilihat cantik jika dipotong secara leper atau bulat, tidak ada nilai cahaya imbasan apabila terkenakan suluhan atau sinaran. Bagaimana ‘cahaya’ itu akan dipantulkan?
Setakat ini Liew Chin Tong hanya berfikir dalam kerangka yang dinamakan jargon, cukup retorik dan berfalsafah. Itulah ‘nature politik’ apabila nilai-nilai kepembangkangan cukup menebal dan berbudaya, sebagaimana Karl Marx mencetuskan nilai sosialisme, yang sampai kini, belum muncul model pemerintahan sosialis yang berjaya di dunia sejak ideologi itu memasuki falsafah politik, bahkan falsafah matlamat menghalalkan cara menunjukkan perkembangan yang cukup aktual dalam sistem demokrasi dan kapitalisme.
Adunan kapitalisme liberal dan sosialisme, juga belum membentuk sebuah model pemerintahan yang berjaya, kecuali adunan antara kapitalisme dan komunisme sebagaimana dibuktikan oleh China. Apakah Malaysia akan ditadbir atau dipengaruhi oleh kerangka tersebut? Jika inilah yang berlaku, konsep ekonomi dan pemerintahan Islam akan mengalami penyusutan yang ketara, PAS akan menjadi kerdil idealisme politiknya.
Sebab itulah usaha untuk memecahbelahkan pengundi Melayu-Islam menjadi cukup berkesan dan perlu diperhebatkan, bukan Melayu akan memperoleh ‘keuntungan besar’ daripada perpecahan tersebut. Perseteruan besar, londeh melondeh, sailing menyailang antara PN dan UMNO/BN dalam PRN Johor akan menjadi ‘test ground’ kepada situasi ini sekiranya politikus Melayu-Islam terus berperang sesama mereka, atas apa pun alasannya.
Nampaknya, atas kemahuan dan imajinasi politik masing-masing membiarkan ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’; ‘menang sorak kampong tergadai’. Keputusan PRN Johor akan menjadi lebih baik untuk memartabatkan Melayu-Islam sekiranya tidak berlaku ‘serangan peribadi’, masing-masing menumpukan kepada apa yang benar-benar akan dilaksanakan untuk ‘membaiki kerosakan’ sekiranya UMNO/BN, PN dan PH berjaya menguasai DUN Johor. Iabukan dakwaan, jika UMNO/BN menang akan menjadi ‘penyebab’ untuk dipercepatkan PRU ke-15.
Cepat atau lambat, PRU ke-15 akan berlangsung dalam tempoh kurang dari dua tahun lagi. Bukan bermakna bila dipercepatkan ia ‘menghina rakyat’, kerana Anwar juga banyak kali menghina ‘pengundi’ , ingin mencapai cita-cita politiknya. Memori 2008 hingga 2009 cukup membingitkan.
Meroyan, ego dan delusi semakin jelas dan ketara, dalam semua parti politik kerana budaya oportunis adalah satu nilai yang cukup besar dalam diri politikus, siapa pun mereka. Tidak muncul politik kalau tidak ada kemahuan dan oportunisme, kecuali dalam diri Umar al-Khattab, Umar Abdul Aziz, Nurudin Mahmud Zanki, Salehudin al-Ayubbi, dan Amir Abdul Kader. Semasa kematian pemimpin-pemimpin itu tidak ditemukan ‘harta bertimbun’ bahkan Salehudin al-Ayubbi dan Nurudin tidak ada simpanan yang mencukupi bagi membiayai kos pengkebumiannya, yang tidak memerlukan istiadat negara, keranda yang mahal dan lokasi yang beratus ribu ringgit.
MAHANOR SALEHA
