MITOS ‘HARIMAU PUTIH’ DAN BERUDU
Ketika masyarakat Orang Asli di Gua Musang ketakutan, PAS keluarkan kisah itik patah kaki, bekas Menteri Agama bercerita burung penguin yang dagingnya halal dimakan. Tiga jenis haiwan, satu spesies yang ditakuti dan dua spesies dalam spesies yang sama – itik dan penguin, iaitu burung –dua kaki dan dua sayap. Istimewanya, ketiga-tiga binatang itu boleh berenang. Akhirnya kita ketawa, bila mendengar jawapan dan hujah terhadap tiga spesies berkenaan, yang kebetulan disampaikan oleh para ulama (orang yang berpengetahuan agama).
Kita ketawa kerana naratif itu bukan pengkisahan para saintis ataupun pakar kaji haiwan, apa sebabnya harimau memasuki kampong Orang Asli: burung penguin tidak lagi boleh terbang dan itik patah kaki setelah sembuh kembali berenang sendiri. Jelasnya, sejak bilakah ulama-ulama tersebut sudah pakar mengenai habitat haiwan?
Isu harimau telah menyentap minda masyarakat Malaysia, bukan kerana memasuki kawasan petempatan Orang Asli, tetapi kerana jawapan dari seorang ulamak, kerana harimau itu sakit maka merayaplah memasuki ke situ untuk mendapatkan makanan. Sebelumnya, seorang penduduk Pos Bihai telah mati dibaham pak belang.
Jawapan tersebut adalah reaksi semberono dari seorang ulama yang cukup istiqomah sebagaimana istiqomahnya tanpa bekalan air bersih: tidak ada hal, boleh lawan UMNO dan jadi EXCO. Jawapan itu sekadar melenyapkan dakwaan bahawa harimau berkeliaran kerana habitat semulanya terancam oleh pembakan dan penggondolan hutan. Hutan simpanan dah jadi simpanan dosa terhadap rakyat di atas pembohongan tidak beraku pembalakan haram, penerokaan hutan secara leluasa dan melanggar ketetapan, sebagaimana Allah SWT tegaskan:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)
Hutan, bukan sahaja kaya dengan hasil mahsul bahkan menjadi kediaman utama binatang buas yang turut mengharmonikan kehidupan manusia, membantu membekalkan oksijan untuk pernafasan dan menahan kejadian malapetaka ataupun menyerap air ke dalam tanah. Tetapi, kerana sumber hasil itu dilihat hanya satu-satu kaedah tercepat memperolehi wang, maka pokok-pokok perlu ditebang untuk dijual sebagai hasil balak. Itulah kisahnya, balak juga telah menjadi isu besar kepada PAS pada tahun 1977, setelah beribu ekar kawasan hutan diberikan kepada Duff Company yang berpengkalan di Singapura.
Pendedahan tersebut bukan sahaja mengejutkan, bahkan menjadi titik permusuhan sehingga terpaksa diselesaikan menurut pentadbiran Mageran menerusi Akta Darurat. Kuasa politikus digantung sehinggalah keadaan kembali tenang. PRU ke-5 (1978) menyebabkan PAS kehilangan kuasa di Kelantan, dan sebelumnya, disingkirkan daripada Barisan Nasional.
Tahun 2000-an, isu penggondolan hutan kembali mewarnai politik Kelantan. Kali ini, ia berselindung disebalik Ladang Rakyat apabila ribuan akar tanah diberikan kepada pemimpin DAP Perak untuk tujuanpenanaman semula hutan. Kenapa diberikan kepada pemimpin DAP? Ia berkaitan dengan ‘balas budi’ PAS Kelantan apabila DAP bersetuju menerima Mohd Nizar Jamaludin dilantik sebagai MB Perak.
Menurut Husam, sukar untuk mendapat perkenan dari pakatan pembangkang supaya YB Nizar Jamaluddin diangkat sebagai Menteri Besar Perak selepas PRU 12, kerana DAP langsung tidak bersetuju PAS memegang tampuk pemerintahan Perak. Ia hanya diterima selepas PKR memberikan alasan bahawa parti itu tidak mempunyai calon yang layak, sebuah pengakuan strategik oleh Saifudin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha PKR, yang turut memberikan cadangan nama Dr Zambry Abdul Kadir, atas andaian wakil rakyat Pangkor itu akan menyertai PKR. (https://peraktoday.com.my/2010/08/ingat-orang-melayu-perak-sudah-pernah-kita-gadaikan/)
PAS hilang daripada radar politik gabungan PR pada tahun 2016. PAS memberikan pendirian yang tegas, tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang bekerjsama atau ada kaitan dengan DAP. Hal itu memberikan gambaran, PAS dan DAP sudah bermusuh, dan tidak lagi ‘rakan sepasukan’ sebagaimana PAS mengisytiharkan UMNO/BN sebagai musuh sejak terlerainya penyatuan dalam BN (1977).
Beberapa hari lalu, kisah hutan yang digondolkan muncul sekali lagi walaupun sebelumnya, Kelantan terpaksa menerima kesan buruk bila beberapa daerah cukup dahsyat ditenggelami oleh ‘air termenung’ berwarna teh tarik (2014). Ada pendapat mengatakan, akibat pembalakan tanpa kawalan, penggondolan hutan dan tebang pokok besar-besaran secara haram, maka alam sekitar terganggu dan banjir cukup cepat berlaku. Ia disangkat oleh PAS, dan muncul kenyataan bahawa faktor hujan luar jangkaan telah menyebabkan banjir besar yang melumpuhkan kawasan Hulu Kelantan, Tumpat dan Kota Bahru. (Rujuk Dr Wan Nik Wan Yusof dan Ahmad Akasyah Hassan, Bencana Banjir Kelantan 2014: Tanda Kekuasaan Ilahi, Kota Bahru: Pusat Kajian Strategik Kerajaan Negeri Kelantan; dan bandingkan dengan Zulkifli Yusop dan Abdul Hamid Mar Iman, penyunting, Bah Kuning 2014 di Kelantan, Skudai, Johor: Penerbit UTM, 2020).
Akibat hutan digondolkan, harimau bukan sahaja merayap keluar ke kawasan petempatan, bahkan habitat itu dikatakan semakin berkurangan jumlahnya, dan kalau tidak ada langkah tegas, spesies pak belang yang unik itu dijangka pupus. Khabarnya, pada masa ini jumlahnya dianggarkan sekitar 150 ekor. Bagi mengelakkan kepupusannya, langkah-langkah pemuliharaan perlu disegerakan sebagaimana wujudnya kawasan pemuliharaan beruk belanda (probiscus monkey) atau di Indonesia dikenali bekantan yang berhidung mancung di Sepilok, Sandakan, Sabah.
Cukup menarik ialah apabila ada kajian yang dibuat oleh seseorang, yang kemudiannya dijadikan alasan bahawa hutan-hutan yang digondolkan, yakni dikeluarkan balaknya, akan membantu harimau untuk membiak. Apabila pokok-pokok besar lupus, kawasan yang gondol itu akan ditumbuhi oleh pokok-pokok kecil, yang menjadi sumber makanan rusa, pelandok, kijang, napuh dan sebagainya. Binatang-binatang ini akan menjadi sumber makanan bagi pak belang. Bila makanan bertambah, pak belang mudah membiak.
Andaian tersebut dipersoalkan, maka timbul pula cerita harimau masuk kampong bukan kerana tidak ada makanan, tetapi harimau itu berpenyakit. Akibat sakit, harimau tidak tenteram dan boleh tidur. Sebab itulah tiada keperluan untuk memindahkan Orang Asli ke penempatan sementara, meskipun diancam harimau sejak sebulan lalu (Disember, 2021).Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau tidak menafikan masyarakat di kawasan itu hidup dalam ketakutan, namun arahan telah dikeluarkan agar mereka tidak keluar rumah ketika ini. Jadi, macam PKP jugalah namanya .(https://www.kosmo.com.my/2022/01/26/harimau-masuk-kampung-sebab-sakit-bukan-pembalakan/).
Uniknya, ada dua kenyataan yang boleh dipertikaikan hubungan antara sakit dan makanan. Mohd Amar berkata: “harimau yang memasuki kampong itu bukan disebabkan pembalakan, sebaliknya haiwan buas berkenaan didakwa sakit sehingga keluar mencari makanan di kawasan Orang Asli.” Ertinya, bukankah harimau itu sakit kerana tidak ada lagi makanan di habitat semulajadi, maka terpaksa mencari makanan di kawasan petempatan Orang Asli, demi survival. Secara langsung jelas bahawa penggondolan hutan ada kaitan dengan kesukaran mendapatkan makanan, kerana lapar adalah satu penyakit.
Beberapa kali beliau menafikan bahawa tidak ada pembalakan haram di Kelantan, termasuk di kawasan hutan simpanan yang digazetkan. Namun, kerana tiada cara lain PAS memperoleh hasil, hutan-hutan semakin menjadi mangsa sehingga kita menyaksikan kehijauan Kelantan (kawsan hutan) bertukar menjadi padang pasir dari pandangan udara. Tahniah, kerana warna hijau kebanggaan PAS semakin bercorak seperti andanan rambut tercantik warga Afrika.
Laluan antara Kuala Lipis ke Gua Musang, seumpama ‘padang pasir’, tanah tinggi Lojing bertukar warna kerana diselubungi plastik putih fertigasi, setelah tanah-tanah itu dibenarkan untuk tanaman komersial –sayur-sayuran- dan sebahagiannya dikuasai oleh rakyat Singapura. Masyarakat Orang Asli pernah mengeluh, ‘tanah nenek moyang’ mereka telah ‘diceroboh dan digondolkan’, kehidupan mereka semakin susah kerana punca rezeki telah berkurangan.
Ketika menafikannya, tersebar pula gambar dari udara kawasan-kawasan hutan yang telah digondolkan manakala balak-balaknya sudah dibawa keluar. Akhirnya, Mohamd Amar terpaksa mengakui, berlaku pembalakan haram di Hulu Kelantan, ‘tetapi tidak serius.’ Ertinya, jika sesuatu yang dinafikan pada peringkar awal, ia adalah suatu kebenaran yang terjadi selepasnya.
Inilah juga suatu fenomena politik yang membudayakan ragam politik PAS. Kita tahu, PAS cukup bijak mencari alasan untuk menepis, mahupun mengalih strategi agar tidak menampak wajahnya yang hodoh. Antara yang cukup hodoh ialah persoalan takfir yang berlaku sejak tahun 1960-an, ekoran terbitnya sebuah risalah yang mengatakan sesebuah pemerintahan yang bercampur antara muslim dan bukan muslim adalah sebuah pemerintahan yang tidak boleh diterima, ibarat dua nakhoda dalam satu kapal.
Tahun 1964, berlaku isu mengkafirkan UMNO kerana bergabung dengan MCA dan MIC. Presiden PAS menjelaskan, ia adalah fenomena yang berlaku di seluruh dunia Islam walaupun tidak menjawab persoalan, kenapa PAS menghukum UMNO kafir. (Rujuk: https://www.youtube.com/watch?v=iCS4UEtt2gU).
Dalam masa yang sama menyalahkan keghairahan memetik hanya ‘tak sampai dua minit’ daripada ucapan ‘lebih sejam’. Tidak dinyatakan kenapa bahagian itu dijadikan Amanat Haji Hadi dan dicetak serta ditampal hampir di seluruh markas parti? Kenapa persalahkan orang yang mempertikaikan kewajarannya dan tidak pula menyalahkan aktivis PAS yang menjadikan Amanat Haji Hadi sebagai ‘landasan perjuangan politik’ ketika itu?
Amanat itu cukup meninggalkan kesan yang besar dalam masyarakat, doktrin ‘halal membunuh’, boikot memboikot dalam rmasyarakat, pembubaran perkahwinan dan terputusnya silaturrahim sesama Islam, walaupun tahu bahawa setiap umat Islam adalah bersaudara. Kenapa hal itu berlaku? Sebabnya, kerana PAS merasakan ia adalah seruan yang boleh meraih sokongan ‘orang Melayu’ setelah kecewa Anwar menyertai UMNO dan Dr Mahathir adalah Perdana Menteri. Dr Mahathir dan Anwar pernah menggunakan majlis-majlis politik PAS untuk mengasak Perikatan.
Anwar dilihat tokoh yang mampu menarik sokongan masyarakat terpelajar, dan kelas menengah Melayu. Jika Anwar menyertai PAS, kemungkinan besar UMNO yang dipimpin oleh Dr Mahathir akan dicabar hebat.Tetapi hal itu tidak berlaku, kerana Dr Mahathir diterima kembali menyertai UMNO oleh Tun Razak (8 Mac 1972) setelah disingkirkan oleh Tunku Abdul Rahman pada bulan September 1969.
PAS tewas pada PRU ke-6 (1982), antara faktornya ialah Anwar berjaya menarik ahli ABIM dan sebahagian kelas menengah Melayu menyokong UMNO dan PRU tersebut merupakan sokongan orang Melayu kewaibawan Dr Mahathir yang dilabelkan ultra-Malay. Dari tahun 1959 hingga 1982, prestasi terbaik PAS kian menurun: PRU ke-3 (1969) menang 12 kerusi dan selepas bercerai dari BN (PRU 1978), PAS hanya menguasi 2; dan menang 4 kerusi (PRU 1982) kerusi Dewan Rakyat. Antara tahun 1982-1986, PAS dianggap mengalami masa yang gelap kerana tidak berjaya di Dewan Rakyat dan hilang kuasa di Kelantan. Imej PAS seumpama bulan gerhana.
PAS menjadi sedikit berpengaruh setelah UMNO berkrisis, ekoran perebutan jawatan pada tahun 1987. Dengan psikologi sebahagian orang Melayu bencikan Dr Mahathir dan kerjasama dengan Semangat ’46, PAS kembali menguasai Kelantan pada PRU ke-8 (1990) dan seterusnya bila berlaku krisis antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim (1998). Sejarah budaya politik PAS yang sering berubah-ubah, telah menyebabkan parti itu dilihat cukup bercelaru.
Memetik tulisan Ahmad Ismail Adam, PAS Bernafas Dalam Lumpur (2011), halaman 82: Busuk atau baik telah dibuktikan oleh lakaran sejarah yang telah dilalui oleh UMNO dna PAS. Bercerainya dengan UMNO, mendorong PAS membuka babak baru – tukar baju, tukar bulu, sekejap hitamm berubah kelabu, bertkar pula biru menyebabkan sebahagian orang Melayu sangat berbulu terhadapnya. Bercelaru.”
Kecelaruan memang menjadi ciri khusus PAS, ciri yang mewajahkan betapa tidak konsistennya budaya politik sehingga sukar untuk difahami apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh PAS. Contoh yang sangat jelas ialah kenyataan-kenyataan bahawa parti itu tidak merasa bangga ‘jadi Melayu’ atau ‘dilahirkan sebagai Melayu’, sebaliknya berbangga dilahirkan sebagai orang Islam. Apakah kebanggaan itu mencerminkan PAS benar-benar mengamalkan tatacara hidup Islam?Apakah hanya dengan mencetuskan idea Membangun Bersama Islam, PAS untuk semua dan boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR, PAS boleh menunjukkan Islamnya lebih baik daripada orang lain?
Kita tahu, DAP dan PKR secara teorinya adalah parti politik yang tidak berasaskan faham perkauman dan cukup alergik untuk merangkakan dasarnya berbingkaikan Islam. UMNO diserang kerana memperjuangkan nasionalisme Melayu, meletakkan Islam seolah-olah di pinggiran.Tetapi, ketika berada dalam BN, PAS berusaha memperluas dan mempengaruhi orang Melayu dengan menubuhkan cawangan-cawangannya di rancangan kemajuan tanah.Tindakan tersebut telah melukakan UMNO, akhirnya menjadi salah satu sebab PAS disingkirkan. Jika bukan orang Melayu menjadi fokus, kenapa PAS sangat ghairah untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu?. Seharusnya.PAS berikan tumpuan di kawasan-kawasan bercampur dan bukan majoriti pengundi bukan Melayu.
Itu bermakna, PAS tetap mencari pengaruh dalam kalangan orang Melayu, kerana Melayu itu diikatkan dengan Islam secara perundangan. PAS tidak boleh hidup dan berkembang dalam masyarakat bukan Melayu.Sebab itulah PAS sentiasa berusaha untuk mendominasi pemikiran masyarakat luar bandar, kerana di situlah kebanyakan orang Melayu berada.
Ketika bersama Pakatan Rakyat, PAS tidak menyebut bahawa perjuangannya khusus untuk orang Islam tetapi “..kita tidak sekadar bagi pihak PAS atau pemimpin PAS, tetapi juga kita bercakap sebagai keluarga Pakatan Rakyat yang telah memeterai janji setiakawan, dalam satu wadah untuk berhadapan dengan musuh politik Pakatan Rakyat.”
Itu adalah salah satu harapan dan keinginan yang dihasilkan oleh Muktamar PAS di Ipoh 2010, sebagaimana dipetik oleh Harakah, 15-18 Februari 2010).Maksudnya, oleh kerana UMNO bukan berada dalam gagasan Pakatan Rakyat, orang Melayu yang menyokong UMNO adalah musuh. Ia berbeza bila menganggap “DAP telah menjadi keluarga PAS”, orang bukan Islam bukan musuh PAS, bukan lagi kafir.
Bagaimanapun setelah dimalukan dengan pengakuan yang tidak tepat, PAS akhirnya memunculkan dilema dalam Pakatan Rakyat, berkontroversi dengan pemimpin DAP. Akibatnya, PAS menuduh DAP sebagai ‘abang besar’, sentiasa berusaha mengawal dan mengembirikan PAS, termasuk memperkatakan tentang Negara Islam. Kenapa PAS tersedar daripada ‘mimpi indah’nya setelah bercumbu dan bersenggama dengan DAP?
PAS melihat kedudukan DAP semakin kuat. PAS melihat DAP mampu mempengaruhi anak muda Melayu, termasuk segelintir yang berpendidikan agama menyertai DAP, sedangkan PAS bukan pilihan mereka.
PAS juga bergolak dari dalam, mereka yang berpendidikan sekular dan dari latar belakang profesyenal semakin membesar, maka perlu dihidupkan kepimpinan ulama, sebelum kedudukan ulama menjadi kerdil. Akhirnya, kedengaran desakan dan tuntutan, PAS perlu kembali kepada kepimpinan ulama, ia bergema di muktamar PAS tahun 2015 di Kota Bahru. Kemudian, tahun 2016 bila diadakan pemilihan, kelompok profesyenal tersingkir. Selepas itu muncul serpihan PAS, sebuah parti yang berhasrat menggantikan PAS dalam gabungan parti-parti pembangkang.
PAS secara rasminya meninggalkan Pakatan Rakyat, maka terburailah kekusutan yang muncul antaranya, sehingga PAS memberikan kata putus, partinya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP. Nampaknya, DAP adalah musuh ketat PAS tetapi dengan UMNO tahapnya sedikit berubah. Boleh menerima UMNO, dan PRU ke-14 menunjukkkan PAS bersedia untuk menjadi ‘regu lawan’ kerana percayakan teori, jika berlaku pertembungan lebih tiga penjuru, UMNO/BN mempunyai harapan menang.
Strategi itu tidak menjadi. Strategi itu dilihat sebagai kesilapan yang besar, termasuk kegilaan PAS bertanding di luar kemampuan.Iamenyebabkan PAS digelar sebagai sebuah parti yang tamak: bertanding di lebih 100 kerusi, menang hanya ialah 18. Tidak ukur baju di badan sendiri, tetapi masih merasa selesa bila memakai jubah besar dan labuh, walhal cukup cemas bila membongkok. Boleh menyebabkan terlondeh.
Selepas tewas dan merasa malu, PAS kembali ‘merujuk’ kerjasama dengan UMNO/BN yang sama-sama kalah dalam keadaan UMNO cukup ralat bila hilang kuasa. Mereka bersepakat untuk bekerjasama sekurang-kurangnya sehingga PRU ke-15, agar UMNO/BN dan PAS tidak bertembung sesama sendiri bagi menjatuhkan PH. Azam itu termeterai pada 14 September 2019, yang disambut oleh orang Melayu sebagai langkah terbaik dan mampu mengembalikan ketuanan Melayu-Islam dalam wadah perjuangan yang lebih besar. Rupa-rupanya, keazaman itu tidak menjadi kenyataan, PAS mula memungkirinya. Jubah besarnya terlondeh dengan sendiri, tiada siapapun yang melondehkannya.
Setelah tersilap percaturan, PAS kembali menghulurkan ‘salam Muafakat Nasional’, tetapi kelibat dan niatnya sudah dapat dibaca dengan jelas. Apabila UMNO/BN menyuarakan pandangan, maka dituduh bahawa parti itu seolah-olah tidak mengenang budi kerana membantu merawat ‘itik kaki patah’ dengan sindiran, ‘setelah sembuh, berenang sendiri’. Apakah makna kenyataan tersebut?
Maknanya, PAS memulangkan sejarah politiknya sendiri, dalam Pakatan Rakyat, kedudukan dan pencapaian PAS cukup terserlah dan bila keluar, semakin terngadah-ngadah. PRU ke-12 (2008) PAS menang 23 kerusi, iaitu meningkat daripada 7 kerusi pada PRU ke-11 (2004). PRU ke-13, prestasi PAS menurun kepada 21 tetapi kekal berkuasa di Kelantan.
Bagaimanapun, pencapaian DAP berbeza, 28 (2008) meningkat kepada 30 kerusi (2013). Peningkatan itu menyebabkan PAS menyemak mantera politiknya, semakin lama bertahaluf siyasi, maka semakin tumpul dan sukar untuk berprestasi. Ia ternyata, tiada lagi tahaluf siyasi, tetapi muncul pulata’awundengan UMNO/BN. Kini, ta’awun pun bertukar jadi tuduh menuduh, kecam mengecam yang boleh menjurus kepada sengketa.
Sengketanya sudah ditimbulkan dengan meletakkan UMNO/BN sebagai parti yang ‘jahat’, ‘tidak baik’ dan ‘tidak mengenang budi’; menterbalikkan label yang sudah melekat dalam diri PAS sejak cuba merobohkan Muafakat Nasional. Insiden harimau sakit, adalah keadaan sebenar PAS ketika ini setelah benar-benar ‘lapar’ kalah di PRN Melaka dan PRN Sarawak, maka dirayaplah ke khemah UMNO/BN agar dapat sedikit makanan di PRN Johor. Tetapi disebabkan tamak dan pelahap, PAS tidak boleh menerima tawaran empat kerusi, kata pemimpin PAS, UMNO telah kembali ke perangai asalnya. Apakah perangai itu tidak ada dalam diri pemimpin PAS?
Dalam keadaan ‘harimau sakit’, maka PAS mengibaratkan UMNO/BN seumpama itik patah kaki bagi menutupi kesakitannya akibat patah tulang belakang. Itulah hakikat sebenar ‘kesihatan politik PAS’ tetapi kerana PAS tidak pernah belajar dan mengakui kesilapan sendiri, maka ditudingnya UMNO. Tudingan itu beralih kepada PAS, dan dalam kontroversi tersebut muncul kisah burung penguin yang boleh dimakan dagingnya kerana ia termasuk dalam kategori burung air yang tidak berkuku tajam. Naratif burung penguin tidak mampu mengalihkan perbicaraan harimau sakit dan itik patah kaki, kerana burung penguin tidak ada di Malaysia, hanya berada di kawasan kutub, yang tidak ramai orang Melayu yang boleh sampai ke sana.
Setakat ini, PAS dilihat sebuah parti yang memerlukan rawatan rapi, dari segi fizikal mahupun mental kerana terlalu lama menunggang agama. Agama yang ditunggangnya bukan menjadi semakin baik dan menarik untuk diteladani oleh bukan Islam, bahkan semakin menampakkan ‘bencana politik’ yang cukup besar pada masa hadapan jika tidak ditangani.
Seperti kata Jalaludin Rumi dalam salah satu bait puisinya: Yesterday I was clever, so I wanted to change the world; Today I am wise, so I am changing myself. Kemenangan tidak akan dapat diraih hanya dengan menuding jari, kerana kemenangan sebenar ialah mengubah diri sendiri jadi baik sebelum mengubah orang lain.
Atau mungkin kita boleh mentafsirkan apa yang ditafsirkan oleh Eka Kurniawan dalam Lelaki Harimau (2004). Margio, seorang lelaki yang membesar dalam lingkungan kasar dan keluarga yang tidak harmoni, anak pertama dari dua beradik pasangan Komar dan Nureani.Adik Margio bernama Mameh. Setelah dewasa, Margio mula faham, sikap kasar dan perlakuan aneh ibunya disebabkan masalah kemurungan yang dialami. Nureani tidak mendapat belaian kasih sayang dari suami, bahkan di mana suaminya berada tidak diketahui.Kehadiran seorang perempuan, hanya sekadar memenuhi naluri seks (nafsu). Margio berhasrat untuk membunuh ayahnya sendiri, kerana merasakan dengan cara itu ibunya kembali ceria dan menjadi ibu yang penyayang.
Suatu hari, Margio mendapat tahu dia mempunyai seorang lagi adik kandung, tetapi bukan dari zuriat ayahnya, Komar. Itupun diketahui selepas tujuh hari adiknya meninggal dunia. Margio menyimpan dendam kepada Anwar Sadat, kerana membuntingkan ibunya. Nureani merupakan pembantu rumah yang bekerja dengan pasangan Anwar Sadat dan Kasia, yang beranak tiga.
Margio menemui Anwar Sadat dan mendesak agar mengahwini ibunya. Anwar Sadat menolak. Akhirnya, semangat harimau putih (saka dari datuk) menguasai Margio, diterkamnya hingga berdarah dan Anwar Sadat meninggal duna dalam pergelutan tersebut. Apakah semangat itu sudah memasuki dalam diri pemimpin-pemimpin PAS sehingga terlajak tindakan untuk ‘membunuh UMNO/BN’? Atau, mengugut agar tidak jadikan PRN seumpama ‘dendam’ kerana PAS juga ada kekuatan. Silakan jika PAS berani, jangan teragak-agak macam Muhyiddin enggan menekan butang.
Harimau putih, walaupun merupakan mitos, ia telah menjadi kekuatan Margio, dan mitos jugalah yang menjadi pemimpin PAS ‘naik angin’? Mereka ‘naik angin’ kerana apa yang dihajatinya tidak tercapai, bahkan menjelaskan, PAS bukan mengemis untuk dapatkan kerusi. Oh! Itu kata mereka, tapi kata orang ramai PAS dipenuhi ulama-tikus dan ular-mak bila berkata harimau sakit dan itik patah kaki hendak berenang tinggalkan PAS. Patutlah, mereka tinggalkan kerana yang suka bermain di banyak kolam adalah berudu.
MONOSIN SOBRI