MUHYIDDIN LETAK JAWATAN PENGERUSI PN
KUALA LUMPUR — Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini.
Presiden Bersatu itu mengetuai gabungan tersebut yang kini dianggotai Pas dan Gerakan sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan secara rasmi.
Menerusi kenyataan media yang dimuatnaik di Facebook, bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepada beliau sepanjang memimpin gabungan terbabit.
“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan PN yang memberikan sepenuh sokongan kepadanya selama lima tahun
Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata pihaknya turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada Pas.
Perselisihan hubungan antara Pas dan Bersatu semakin ketara selepas berlakunya pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari Pas, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Situasi bertambah gawat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Pada masa yang sama Muhyiddin juga didesak Pas untuk mengambil tindakan terhadap lima ADUN Bersatu yang didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis sebelum ini yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Shukri sebagai Menteri Besar Perlis.
Sumber: bebasnews.my
