MURTAD merupakan jenayah yang dapat menghapuskan semua amal soleh sebelumnya dan di akhirat nanti akan menjadi ahli neraka buat selama-lama apabila seseorang itu mati dalam keadaan murtad. Ini jelas apabila Allah s.w.t berfirman dengan maksudnya:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah, dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah) angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka dapat memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa yang murtad (berpaling tadah) di antara kamu dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” (al-Baqarah: 217)
Hukuman asal bagi kesalahan murtad ialah bunuh. Ini berdasarkan hadis: “Barang siapa menukar agamanya, maka bunuhlah dia.” Kaedah dalam melaksanakan hukuman ini ialah seseorang itu tidak dibunuh sebelum diminta bertaubat terlebih dahulu. Apabila ia bertaubat, hukuman alternatif dikenankan termasuk merotan, penjara atau denda (Paizah Haji Ismail 1996: 247).
Artikel ini menganalisis pengertian murtad dari sudut bahasa dan istilah, hubungannya dengan kekufuran dan kebebasan beragama dalam Islam.
Perkataan murtad berasal daripada bahasa Arab, iaitu “riddah” atau “irtidad”. Dari sudut bahasa, riddah bermaksud “kembali daripada sesuatu kepada selainnya.” (al-ruju’ ‘an al-shay’ ila ghayri-h). Secara istilah riddah bererti “kembali daripada Islam kepada kufur sama ada dengan niat, atau dengan perbuatan kufur atau dengan perkataan sama ada dalam bentuk penghinaan, penderhakaan atau iktikad (al-Zuhayli, 6: 183). Dalam bahasa Melayu, Kamus Dewan (2005: 1330) mendefinisikan “riddah” sebagai “perbuatan keluar daripada agama Islam, sama ada melalui perbuatan, perkataan, atau niat.” Begitu juga dengan kata “irtidad” dalam bahasa Arab yang mempunyai maksud yang sama, iaitu “kembali” (al-ruju’) (al-Razi, Mukhtar al-Sihhah, 239). Ia berasal daripada kata kerja irtadda, bemaksud “kembali ia, mundur ia, murtad ia.” (Kamus al-Marbawi, 232-33). Perkataan irtidad masih tidak tersenarai dalam sebagai bahasa Melayu dalam Kamus Dewan.
Perkataan murtad dalam bahasa Melayu sebenarnya berasal daripada kata murtaddun. Kata-kata “murtaddun ‘an dini-h” bermaksud “ia kembali dari agamanya.” Murtad merujuk kepada “orang yang kembali daripada Islam kepada kufur.” Kamus Dewan (2005: 1058) mendefinisikan murtad sebagai “orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada melalui perbuatan, perkataan, atau niat.” Selain itu terdapat kata kerja “memurtadkan” dalam bahasa Melayu, bermaksud “menjadikan seseorang murtad.” Seterusnya kata terbitan “kemurtadan,” bermaksud “perihal murtad.”
Al-Zuhayli dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatu-h memberi beberapa contoh bentuk- bentuk murtad, antaranya sesiapa yang mengengkari kewujudan Pencipta, menafikan dan mendustakan para rasul menghalalkan perkara haram secara ijmak seperti menghalalkan zina, liwat, minuman keras dan kezaliman, atau mengharamkan perkara halal secara ijmak seperti mengharamkan jual beli dan nikah, atau menafikan kewajipan yang sudah disepakati seperti menafikan rakaat dalam solat-solat fardu, atau percaya wajib perkara yang bukan wajib secara ijmak seperti menambah rakaat dalam solat-solat fardu atau wajib puasa dalam bulan Syawal, bercita-cita untuk menjadi kafir atau sentiasa mengulangi untuk menjadi kafir. Termasuk juga dalam kategori murtad ialah perbuatan kufur seperti meletakkan al-Quran dan kitab hadis nabi atas najis dan sujud menyembah berhala dan matahari (al-Zuhayli 1985: 6: 183-84).
Murtad membawa kepada seseorang menjadi kafir, kufur (kufr), iaitu terkeluar daripada Islam. Menurut syariah, implikasi menjadi kafir ialah di akhirat nanti ia kekal dalam neraka setelah mati, dan ketika di dunia tiada qisas untuk pembunuhannya, tidak berhak menikah wanita muslimah, tiada perlindungan terhadap jiwa dan harta, dengan darah dan hartanya boleh dirampas.
Imam al-Ghazali (m. 505/1111) menyedari bahawa isu menjadi kafir begitu rumit dan sentisif dan timbul pula pendapat yang berlebihan dan ekstrem dalamnya, seperti isu kafir mengkafir sesama Islam dan menuduh semua kelompok lain sebagai kafir melainkan kelompok sendiri ia berada. Pada pandangan al-Ghazali asas dan dasar sebelum gelaran kafir dikenakan sangat penting untuk diletakkan. Menurut al-Ghazali dasar yang benar ialah bahawa setiap orang yang mendustakan Rasulullah s.a.w adalah menjadi kafir. Hanya dengan berpandukan kepada dasar ini penetapan gelaran kafir dapat dibuat tanpa ada campuran dengan sikap ekstrem dan berlebihan.
Al-Ghazali membahagikan pendustaan kepada Nabi s.a.w terbahagi kepada enam kategori, iaitu:
Secara umumnya, hanya tiga golongan yang pertama dapat dikategori sebagai kufur. Manakala tiga golongan yang seterusnya tidak dapat diketegori sebagai kufur menurut Imam al-Ghazali. Mereka yang murtad pula ialah orang Islam yang menukar agama Islam kepada agama lain selain Islam. Mereka termasuk dalam golongan kafir apabila melakukan jenayah tersebut. Mereka juga telah melanggarkan objektif syariah dalam menjaga agama masing- masing. Persoalan murtad termasuk dalam perbahasan ilmu fiqah. Ia dibicarakan dalam bab hukum jenayah.
Dalam keadaan semasa terdapat beberapa kajian tentang faktor-faktor yang membawa kepada murtad di dalam negara. Ini termasuklah:
Dengan kata lain, gejala murtad ini dapat diatasi apabila faktor-faktor ini ditangani secara baik oleh semua pihak termasuk keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa.
Kebebasan beragama disebut dalam al-Quran (2: 256; 10: 99; 18: 29; 109: 1-6). Islam menerima kebebasan dalam beragama dan berakidah. Islam menolak paksaan walaupun ia dikatakan sebagai cara mudah untuk menyebarkan Islam.
Allah s.w.t berfirman dengan maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang engkar kepada Taghut, dan ia beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 256).
Al-Quran menerima kedudukan tentang kebebasan beragama ini dalam seruan Allah sendiri kepada Nabi Muhammad s.a.w. Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” (Yunus: 99).
Manusia sememangnya diberikan Allah untuk memilih kepercayaan yang mereka akan anuti. Nabi juga memahami bahawa tiada kompromi dalam dasar ini (Kamali 1999: 34). Al- Quran pula menyebut:
“Dan Katakanlah: Kebenaran itu datang dari Tuhanmu, maka sesiapa yang beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang kufur, biarlah ia mengingkarinya. Kerana Kami telah sediakan bagi orang yang zalim itu api neraka, yang meliputi mereka; dan jika mereka meminta minuman, mereka diberi minum dengan air seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (al-Kahf: 29)
Menurut Dr. Yusof al-Qaradawi (1997: 291), perbezaan kepercayaan merupakan fakta yang nampak dan ia berdasarkan kehendak dan ketentuan Allah sendiri. Allah sudah memberi
kebebasan kepada manusia untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu. Manusia tidak boleh dipaksa-paksa.
Bagaimanapun, kewajipan seorang Muslim untuk berdakwah dan mengajak kepada Islam tetap berjalan sebagai perintah Allah. Walaupun begitu tugas pendakwah ialah hanya untuk menyampaikan dakwah sebaik mungkin. Soal hidayah diserahkan kepada Allah untuk menentukan. Ini bertepatan dengan ayat dakwah yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl: 125)
Menurut al-Faruqi (1998: 292), sekiranya bukan Islam tidak tertarik dengan kebenaran dan ajaran Islam, hak mereka perlu dihormati. Nabi (s.a.w.) sudah diminta untuk mengisytiharkan dalam al-Quran bahawa “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (al-Kafirun: 6)
Walaupun Islam sebenarnya ingin masyarakat menusia keseluruhan mempercayai dan menerima akidah Islam, ia melarang usaha-usaha yang dibuat melalui cara yang tidak sah dan batil. Ini termasuk (1) penerimaan Islam secara paksaan, dan (2) penerimaan melalui cara luar biasa seperti menggunakan mukzijat dan sebagainya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya.” (al-Shu’ara’: 4). Islam lebih menyukai pendekatan berdasarkan rasional dan bukti empirikal dalam menyeru kepada Islam. Islam menentang cara-cara berdakwah yang penuh muslihat dan tipu daya.
Kebebasan beragama di Malaysia pula terjamin dalam perlembagaan. Perkara 11 (1) menyebut “Tiap-tiap orang adalah berhak menganut dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan agamanya.” Fasal (4) menyebut bahawa “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad dan kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.”
Berbanding dengan agama-agama lain Islam disebut dan diterima sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan. Ia mendapat tempat istimewa berbanding dengan agama- agama lain. Orang Melayu pula ditakrifkan dalam Perlembagaan sebagai sesiapa sahaja asalkan menganut agama, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Dengan sendiri, orang Melayu tidak boleh melalui Perlembagaan menukar agamanya kerana bertentangan dengan ruh dan takrifan Melayu dalam Perlembagaan. Dengan kata lain, ia bersesuaian dengan kehendak Islam yang melarang seseorang Muslim untuk menjadi murtad.
Lagi pula Islam melihat bahawa tiada agama selain Islam yang lebih benar dan tinggi. Membenarkan penganut Islam untuk murtad juga bertentangan dengan intipati dan roh Islam itu sendiri. Dengan itu isu murtad tidak termasuk dalam soal kebebasan beragama. Islam tidak memberi kebebasan kepada penganutnya untuk keluar daripada agama sesuka hati. Begitu juga apa yang berlaku dalam masyarakat Arab. Nabi s.a.w berusaha berdakwah kepada mereka. Mereka pula tidak diberi pilihan untuk keluar agama secara bebas. Mereka ini tertakluk kepada undang-undang Islam. Islam bagaimanapun tidak pula mencuba membawa kaum Yahudi dan Kristian di Madinah dan Arab Kristian di Najran secara paksaan kerana menghormati kebebasan beragama (Ahmad Ibrahim 1997: 516). Begitu juga dengan masyarakat pelbagai agama di Malaysia tidak boleh dipaksa menganut agama Islam.
Dengan kata lain, pilihan orang Melayu hanyalah Islam dan bukannya agama lain kerana kebenaran Islam itu sendiri dan kedudukannya yang lebih tinggi berbanding dengan agama lain sama ada menurut Perlembagaan dan ajaran Islam itu sendiri. Memilih agama lain bermakna memilih agama yang lebih rendah berbanding dengan status Islam. Kedudukan ini bukan dipaksa-paksa kepada semua orang untuk menerima. Malah Islam sedia membuktikan kebenarannya dengan kajian, dialog, perdebatan dan sebagainya. Masyarakat Melayu pula hendaklah terus mengkaji dan membandingkan Islam dengan agama-agama Islam. Kajian mendalam akan membuktikan kedudukan Islam yang sebenar. Ini dapat mengatasi masalah keciciran dalam beragama dan isu murtad yang sering dibangkitkan sekarang.
Oleh ABDUL SALAM MUHAMAD SHUKRI
PROF. MAYDA DR. ABDUL SALAM MUHAMAD SHUKRI ialah ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)v
