NAJIB DIBENAR JALANI BAKI HUKUMAN TAHANAN DI RUMAH HINGGA OGOS 2028 SELEPAS PERKENAN AGONG
Oleh Meja Berita / BebasNews
KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 selepas mendapat perkenan pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ketetapan berkenaan dicapai menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang bersidang hari ini.
Kebenaran pengampunan bersyarat berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada syarat di mana bekas ahli Parlimen Pekan itu perlu melunaskan bayaran denda berjumlah RM50 juta.
Diwajibkan patuh syarat, batal sekiranya langgar perintah
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan rasmi menegaskan bahawa Najib tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat ketat sepanjang tempoh tahanan di rumah tersebut.
“Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” jelas BHEUU.
Keputusan terbaharu ini dibuat selepas permohonan pengampunan beliau ditangguhkan oleh Seri Paduka Baginda dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu untuk pertimbangan semula.
Kronologi hukuman kes SRC International
Najib sebelum ini mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan ke atas beliau kepada enam tahun, selain mengurangkan denda asal RM210 juta kepada RM50 juta.
Sumber: Astro Awani / BebasNews
