OLD WINE IN A NEW BOTTLE: GALAU POLITIK TAHUN BAHARU?
Percaturan politik Perlis sudah membentuk petanya sendiri. Bersatu dengan lima ADUN kekal menerajui pentadbiran negeri manakala PAS hanya menyokong tetapi tidak sebaris lagi. Tiga ADUN yang dipecat keahlian PAS kekal sebagai ADUN bebas. Speaker DUN Perlis menarik balik pemberitahuan kekosongan dan bermakna tidak berlaku kekosongan.
Bersatu dengan lima kekuatan untuk mentadbir, tetapi tiga bekas ADUN PAS boleh buat keputusan menyokong kerana mereka sudah tidak tertakluk dengan perlembagaan parti seperti sebelumnya. Bagaimana kalau tiga ADUN itu menyebelahi kerajaan PN yang ditolak oleh PAS? Ada kekuatan majoriti mudah, iaitu lapan daripada 15 kerusi.
Kekuatan kerajaan yang baharu dikatakan tidak lama, akan ada "guling mengguling" sekali lagi, kecualilah PAS benar-benar kekal untuk menyokong sehingga PRU ke-16. Apa yang pasti, kenapa Speaker DUN Perlis menarik balik notis kekosongan? Ia suatu persoalan yang menarik untuk dibincangkan, walaupun tidak diberitahu dengan jelas sebabnya.
Krisis politik Perlis sudah memasuki fasa yang lebih kompleks, mungkin akibat telahan PAS sendiri bahawa jika PRK diadakan, ia belum tentu PAS boleh menang di tiga DUN berkaitan. Sebabnya, ukuran yang dibuat, telahan yang ditakwilkan, PAS cukup sukar untuk menang. Itu mungkin menjadi sebab kenapa notis kekosongan dibatalkan, atau dibiarkan kosong sehingga PRU diadakan. Ia lebih baik dibiarkan kosong berbanding menerima kekalahan yang memalukan, kerana di tiga DUN berkenaan, pengaruh PAS tidaklah begitu menonjol biarpun mempunyai jentera parti yang baik.
Walaupun meraih majoriti yang kukuh pada PRU 15 - Guar Sanji 5,101; Chuping 2,420; dan Bintong 4,329 - situasinya adalah cukup berbeza dengan sekarang. Katakanlah, tiga ADUN itu kekal bertanding, tetapi atas tiket parti lain, kemungkinan menang tetap ada berdasarkan gerak kerja sebelum ini. Jika ini berlaku, bermakna PAS akan mendapat malu yang besar, tidak mampu pertahankan kerusi-kerusi tersebut.
Kemenangan ketika itu dalam keadaan UMNO/BN yang lemah disebabkan masalah dalaman dan penyingkiran beberapa orang elit politiknya. Menariknya lagi, ketika itu mood penolakan terhadap UMNO/BN kuat, dan kerjasama dengan Bersatu cukup ngam. Tetapi kali ini cukup berbeza kerana UMNO/BN sudah mampu "jongolkan kepala" sebab elit politik yang keras sudah diketepikan. PAS sudah tidak boleh bergantung harap kepada Shahidan Kassim lagi, kerana beliau dilihat gagal menangani isu SD biarpun sudah dua bulan mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi PN Perlis. Apa Shahidan buat dalam tempoh dua bulan itu?
Mungkin itulah yang difikirkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS ketika menjelaskan bahawa PRK tidak perlu. Beliau bimbang, PRK belum menjamin kemenangan parti, dan cuba memberikan gambaran bahawa hubungan dengan Bersatu tidaklah sekeruh yang diperkatakan. Saya kira pandangan itu mempengaruhi sedikit sebanyak keputusan menarik balik notis kekosongan. Mungkin juga Ahmad Adnan Fadzil ingin "mengawal kerosakan" yang berlaku agar tidak membuak-buak. Sebab itu katanya, Bersatu tidak terlibat dalam "pengkhianatan" terbabit.
Semua orang tahu, Bersatu sudah terbabit walaupun bukan keputusan parti secara jelas. Lima ADUN Bersatu itulah yang menghantar SD bersama-sama tiga ADUN PAS. Jadi, jika mereka tidak terbabit, siapa sebenarnya yang menimbulkan angkara? Semua orang tahu, dua tahun lalu ADUN Kuala Perlis (Pengerusi Bersatu Perlis) mengisytiharkan "perang" terhadap MB Perlis, Mohd Shukri Ramli. Perang itu kerana tidak dilantik sebagai EXCO. Setahun kemudian, Mohd Shukri membuat penyusunan semula, maka Abu Bakar Hamzah dilantik.
Ada cerita (mungkin), Bersatu lebih awal menghantar senarai calon MB kepada Raja Perlis (tiga nama). Kemudian, PAS menyusul dengan dua nama. Sebelum Tuanku Raja Perlis membuat keputusan, PAS tidak hadir berunding dan ia menjadikan ruang cukup terbuka untuk Bersatu. Muhyiddin menjelaskan, keputusan yang dibuat oleh lima ADUN Bersatu tidak diketahuinya, tetapi beliau menghantar tiga senarai nama atas restu parti. Maknanya, apakah kaitan senario tersebut sehingga Presiden PAS rasa kurang senang.
Muhyiddin kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN, tetapi tetap kekal sebagai Presiden Bersatu. Mungkin Muhyiddin terasa panas dengan PAS, dan atas sebab itu meletakkan jawatan. Kemudiannya muncul.kenyataan bahawa PAS bersedia memimpin PN. Apa yang kita ingat, Muhyiddin ada rancangan lain, iaitu membentuk sebuah lagi pakatan yang tidak disertai oleh PAS, disokong oleh 11 buah parti-parti kecil, Ikatan Prihatin Rakyat.
Muhyiddin yang pernah menggelar PAS sebagai Parti Ajaran Sesat mungkin sedar, jika PAS bersama dalam pakatan baharu itu, ia tidak akan mendapat sambutan daripada parti-parti yang berideologi liberal dan juga berasaskan kaum. Ini kerana PAS kekal dianggap sebagai sebuah parti "berjalur keras" manakala Muhyiddin diterima sebagai penghubung dalam pengagihan parti-parti pembangkang walaupun Bersatu juga bersifat sekterian.
Ini kerana beberapa buah parti tidak senang dengan PAS atas sifat politiknya yang sedikit keras terhadap bukan Melayu dan bukan Islam, walaupun cuba dinafikannya. Percubaan PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tidaklah begitu berjaya, sebab apabila bercakap mengenai budaya politik, PAS sentiasa memperlihatkan sikap yang tidak boleh bertoleransi. Trade Mark tersebut tidak boleh dihapuskan dengan mudah, termasuklah apabila mengitar semula doktrin kafir dalam versi baharu (mengundi lebih penting daripada ziarah kematian, wajib pulang kampung walaupun berjalan kaki, derma jihad dan malaikat bantu undi PAS). Rakyat memang kekal ingat bagaimana PAS mengeluarkan kenyataan, tidak boleh mengambil bukan Islam sebagai pembantu, walaupun sesekali berkata "Islam tidak mengetepikan hak bukan Islam."
Dalam kebanyakan kempen, PAS mengitar semula senjata "jika tidak mengundi PAS, masuk neraka" dan "hanya parti PAS memperjuangkan Islam". Ia adalah retorik politik kerana Islam melarang fitnah, mencerca dan melabelkan parti lain. Akhirnya, PAS terjerat dengan pelbagai denda kalah saman fitnah. Takiyudin Hassan, misalnya, memohon maaf kepada Mujahid Yusuf Rawa. Takiyudin pernah menuduh Mujahid ikut promosikan (sokong) LGBT. Senarai pemimpin PAS yang dikaitkan dengan fitnah cukup panjang, termasuklah Ketua Pemuda PAS yang dijatuhkan hukuman denda lebih RM 100,000.
Sangat diingati ialah bagaimana PAS "menipu boleh menang" samannya terhadap pengasas Sarawak Report atas dakwaan menerima sumbangan RM 90 juta daripada 1MDB. Setelah beberapa kali perbicaraan berjalan, PAS mengambil keputusan menarik balik saman tersebut. Akhirnya, PAS disahkan membayar ganti rugi sebanyak RM 1.4 juta. Wang itu mungkin daripada derma yang dipungut dari orang awam. Begitu juga dengan derma lebih RM 800,000 yang terpaksa dibayar oleh Dr Mastura, wakil rakyat PAS yang kalah saman terhadap beberapa orang pemimpin DAP.
Ia berbeza dengan budaya politik pemimpin Bersatu, mereka lebih diterima oleh bukan Melayu dan bukan Islam walaupun Bersatu diasaskan dalam perjuangan Melayu (Pribumi). Sebab itu Muhyiddin dianggap mampu menjadi jambatan yang menghubungkan Melayu - bukan Melayu dan Islam-bukan Islam. Wajah berkerut Haji Hadi akan tetap dikenang sebagai seorang politikus yang gemar membungkus politik dengan agama, termasuk memberikan label yang buruk kepada pemimpin politik yang tidak disukainya.
Nampaknya kali ini, Haji Hadi masih tidak mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja berlaku peletakan jawatan secara berjemaah dalam PN. Azmin Ali meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor. Dr Saharuddin Jamal mengosongkan jawatan Pengerusi PN Johor. Faizal Azumu (Peja) mengucapkan selamat tinggal kerusi Pengerusi BN Perak. Begitu juga Pengerusi PN Negeri Sembilan dan Sarawak. Mas Ermieyati Shamsudin enggan melepaskan jawatan Pengerusi PN Melaka, atas alasan tumpukan PRN Melaka yang akan berlaku pada tahun 2026. Setiausaha PN Negeri Selangor melepaskan melepaskan jawatan, yang dianggap penyokong Muhyiddin dan Azmin Ali.
Nampaknya, pada tahun 2026 ini akan berlaku beberapa percaturan politik sama ada benar-benar mencerminkan semangat kerjasama atau sebaliknya. PAS mungkin tidak akan mengambil peluang untuk merebut jawatan Pengerusi PN, tetapi, cuba menempatkan diri sebagai Timbalan Pengerusi. Pengerusi diserahkan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin manakala Timbalan adalah Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ramai melihat ianya mungkin begitu, tetapi, pada masa yang sama, Dr Ahmad Samsuri akan berada di kerusi itu sebenarnya. Alasannya, Dr Ahmad Samsuri lebih berpengaruh selepas Hamzah dan mudah diterima oleh penyokong PAS.
Hamzah juga dijangka akan cuba mencabar Muhyiddin sekiranya Muhyiddin tidak mahu melepaskan kerusi Presiden Bersatu. Tetapi, ia akan menjadi sesuatu yang cukup sengit, kerana Azmin Ali turut mahu mengatur langkah. Atau sekiranya ada kompromi, Azmin mungkin akan berada di posisi nombor dua. Ia hanyalah kompromi di permukaan sahaja, sedangkan arus dari dalam Azmin bergerak ke arah itu. Sebabnya, Azmin ada cita-cita yang lebih besar, dan cita-cita itulah yang membawanya untuk memetakan Langkah Sheraton. Walaupun kecundang, hasrat besar itu belum terpadam. Bukan sekali beliau dikembirikan, bahkan ia kekal menjadi "dendam" apabila tidak bersetuju Anwar mengambil alih jawatan PM daripada Dr Mahathir yang didesak oleh Otai Reformasi.
Muhyiddin sudah pun berjanji untuk tidak melanjutkan pegangan ke atas Bersatu, dan penggal ini merupakan penggal terakhir. Tetapi itu adalah kenyataan politik, ia boleh dibuat berbeza antara semalam dan esok. Kita tahu, Muhyiddin mungkin akan terus mahukan jawatan itu sekiranya "isteri" tidak merestui sebagaimana yang berlaku sebelum ini, tidak sampai tempoh sehari penuh.
Pada pandangan awam, jika Muhyiddin tidak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN, krisis akan menjadi lebih besar dan ia akan membahayakan PN. Tatkala krisis itu meletus, mula bersambut cadangan untuk hidupkan semula Muafakat Nasional oleh PAS. Kenapa? PAS sedar, bila mampu bekerjasama semula dengan UMNO/BN. Mereka sedar, yang diperjuangkan oleh Muhyiddin ialah jawatan Perdana Menteri sekali lagi. Untuk apa?
Muhyiddin juga pernah mengatakan PRU 15 yang lalu adalah peluangnya yang terakhir. Muhyiddin masih banyak liabiliti yang sedang ditanggungnya. Dan, tentunya, hasrat yang besar itu cukup sukar diraih kecualilah Ikatan Prihatin Rakyat menjadi kenyataan dalam tempoh 2026. Muhyiddin dilihat sebagai seorang yang "tidak jujur" kerana berdiam diri apabila menantunya dikehendaki balik ke Malaysia untuk berhadapan dengan proses undang-undang akibat pengubahan wang haram ke atas satu projek berkaitan pengkalan data imigresyen. Menantunya masih bersembunyi, dan Muhyiddin tidak bersedia mendedahkan di manakah lokasi persembunyian itu.
Ini kerana PRU 16 dijangka akan berlaku akhir 2026 atau pertengahan tahun 2027. Jadi, masa untuk menyusun strategi, memperkemaskan langkah agak suntuk, dan ia perlu diperkemaskan sebelum Dewan Rakyat dibubarkan. Jadi, PAS sudah membaca gerak geri Muhyiddin, maka itulah PAS sedia bekerjasama semula dengan UMNO/BN. Ia bukan hanya cakap Ketua Penerangan PAS, juga oleh Naib Presiden PAS, yang juga Ketua Pengarah Pilihan raya PAS dan PN, Mohd Sanusi Mohd Nor. Namun, daripada UMNO/BN cadangan itu hanya diperkatakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, belum ada apa-apa indikasi daripada Timbalan Presiden, Setiausaha Agung mahupun Presiden UMNO sendiri.
Pemuda UMNO sedang menyusun langkah untuk membincangkan keperluan sama ada kekal berkerjasama atau tidak dengan PH. Bahkan, ada pihak mencadangkan oleh kerana wujud kekeruhan cakap-cakap politik, UMNO perlu keluar daripada kerajaan madani. Apa pun, secara institusi UMNO mungkin akan mematuhi janji, akan kekal bersama sehingga tamat tempoh, sehingga tamat tempoh.
Khabarnya juga, UMNO sedia membentuk kerjasama dengan PKR dan Amanah, tetapi akan menolak DAP. UMNO dijangka akan bincangkan cadangan itu dalam perhimpunan yang akan diadakan pertengahan Januari, termasuk.menentukan pendirian berhubung cadangan MIC keluar BN.
Nampaknya MIC mungkin akan memikirkan semula penyertaannya dalam PN sekiranya PAS menerajui gabungan tersebut. MIC mungkin akan melihat bahawa PAS tidak bersedia berkompromi dalam banyak perkara, dan ia akan menjadikan MIC memaksa dibuat penjajaran baharu. Ada yang meramalkan MIC sedang tersepit setelah Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi BN. Ia akan menjadi dilema MIC di permulaan tahun baharu 2026.
Umumnya, perkembangan politik tersebut akan terus dilihat seumpama "Old wine in a new bottle" kerana penggeraknya adalah tetap watak yang sama sejak UMNO/BN hilang dominasi. Ianya akan terus berkisar antara Zahid Hamidi, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Haji Hadi Awang, Hamzah Zainudin, Azmin Ali dan sesekali Dr Mahathir. Sebenarnya, itulah kitaran politik Malaysia, walaupun muncul pelbagai parti dan pakatan baharu ia kekal dipentaskan oleh "pelakon lama" yang pernah mendapat kesenangan, kuasa dan kemewahan daripada aktiviti berpolitik.
Rakyat terus menjadi "taruhan" dengan penuh luka, kecewa dan merenung hari-hari berikutnya, kenapa harga rumah meningkat tinggi, cukai terpaksa dibayar dan harga barang semakin mahal. Semangat rakyat terus "dibakar" dan "ditagih", dan kata pak menteri, kenaikan tarif tidak membebankan; subsidi bersasar tapi kadangkala kaedahnya cukup menyusahkan (eCoss yang perlu scan, walhal tidak semua warga emas adalah digital natives, hanya sekadar tahu guna handphone untuk whatsApp dan membuat panggilan).
KAMARUN KH
