PAS DAN UMNO DALAM KONTEKS ASABIYAH: ANTARA SEMANGAT KEBANGSAAN DAN BATAS SYARAK
Oleh: Ibnu Majid
1. PENDAHULUAN
Dalam wacana politik Melayu, PAS dan UMNO sering dilihat sebagai dua entiti berbeza, namun dari sudut sosiologi politik, kedua-duanya lahir dari akar yang sama: semangat membantu bangsa.
UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 untuk menyatukan orang Melayu menentang Malayan Union. PAS ditubuhkan pada tahun 1951 juga oleh golongan ulama dan aktivis Melayu-Islam yang mahu membela Melayu melalui landasan Islam.
Justeru secara asasnya, kedua-dua parti ini adalah parti berasaskan bangsa Melayu, walaupun pendekatan berbeza. Satu lebih menonjolkan nasionalisme, satu lebih menonjolkan Islamisme. Inilah yang dalam ilmu Islam disebut sebagai asabiyah.
2. APA ITU ASABIYAH?
Asabiyah bukan bermakna bangsa itu sendiri. Asabiyah adalah sikap fanatik melampau terhadap kaum sendiri sehingga menzalimi kaum lain.
Rasulullah SAW bersabda:
"Bukan dari golongan kami orang yang menyeru kepada asabiyah, bukan dari golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan dari golongan kami orang yang mati kerana asabiyah." - Hadis Riwayat Abu Daud
Ulama membahagikan asabiyah kepada dua:
· Asabiyah Mahmudah:
Rasa cinta dan mahu membantu bangsa sendiri untuk kebaikan, tanpa membenci bangsa lain. Ini fitrah manusia. Contoh: Mahu majukan ekonomi Melayu, mahu pertahankan bahasa Melayu, mahu bantu orang Melayu miskin. Ini dibenarkan dalam Islam.[Terpuji]
· Asabiyah Mazmumah :
Cinta bangsa sehingga melampaui batas. Merasakan bangsa sendiri sahaja yang benar, bangsa lain hina. Menolak kerjasama, menolak keadilan, menolak kebenaran hanya kerana berbeza bangsa. Inilah yang diharamkan.[Tercela]
3. PAS DAN UMNO: DUA WAJAH ASABIYAH YANG SAMA
Jika dilihat secara jujur:
UMNO: Asabiyah Nasionalisme.
Perjuangannya jelas untuk Ketuanan Melayu, ekonomi Melayu, hak Melayu. Kekuatan utamanya ialah semangat kebangsaan. Kelemahannya, jika tidak dikawal, ia boleh menjadi fanatik bangsa sehingga menutup ruang keadilan untuk bukan Melayu yang juga rakyat Malaysia.
PAS: Asabiyah Islamisme Melayu.
Walaupun membawa agenda Islam, realiti keahlian dan sokongan utamanya adalah Melayu-Islam. Perjuangannya untuk Islam di Malaysia secara praktikalnya juga perjuangan untuk Melayu. Kelemahannya, jika tidak dikawal, ia boleh menjadi fanatik kelompok sehingga merasakan hanya kumpulan Islam Melayu sahaja yang benar, dan menolak total bangsa lain atau Muslim lain yang berbeza pandangan.
Maka kedua-duanya mempunyai unsur asabiyah. Kewujudan keduanya asalnya mulia, untuk menolong bangsa, tetapi ujian terbesar keduanya ialah bagaimana mengimbangi rasa kebangsaan itu.
4. FAKTOR RASA: KUNCI KESEIMBANGAN
Islam tidak menyuruh kita buang rasa cinta pada bangsa. Islam menyuruh kita seimbangkan rasa itu.
Allah berfirman:
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali." [Al-Hujurat:13]
Ayat ini tidak menyuruh kita menolak bangsa. Allah sendiri yang jadikan kita berbangsa-bangsa. Tetapi tujuannya ialah "lita'arafu" - untuk saling mengenali, bukan untuk saling membenci dan menolak total.
Bagaimana menyeimbangkan?
a) Jangan Tolak Total Bangsa Lain: Malaysia adalah negara majmuk. Cina, India, Iban, Kadazan juga adalah warga negara. Menolak total kerjasama dengan mereka atas nama kemurnian Melayu hanya akan merugikan Melayu sendiri dalam ekonomi dan pentadbiran.
b) Beza Antara Membantu dan Memusuhi: Membantu bangsa sendiri adalah wajib. Tetapi membantu bukan bermakna memusuhi bangsa lain. Kita boleh perjuangkan Melayu tanpa menzalimi bukan Melayu.
c) Elak Fanatik Membuta Tuli: Fanatik yang dimaksudkan ialah taksub sehingga hilang pertimbangan. Bila pemimpin salah, tetap sokong kerana sebangsa. Bila kebenaran datang dari bangsa lain, tetap tolak kerana bukan sebangsa. Inilah asabiyah yang dilarang.
5. KESIMPULAN
PAS dan UMNO tidak boleh lari dari hakikat bahawa mereka adalah parti Melayu. Asal-usul penubuhannya, ahlinya, dan perjuangannya adalah untuk Melayu-Islam.
Itu tidak salah. Itu adalah Asabiyah Mahmudah.
Yang menjadi salah ialah apabila semangat itu menjadi melampau, fanatik, sehingga sanggup menolak total bangsa lain, menolak keadilan, dan menolak kebenaran.
Maka jalan tengah yang paling adil ialah:
Perjuangkan bangsa, tetapi jangan zalimi bangsa lain. Cintai Melayu-Islam, tetapi jangan benci kepada kemanusiaan.
Kerana kekuatan Melayu yang sebenar bukan pada menolak orang lain, tetapi pada kemampuan untuk memimpin dengan adil untuk semua.
