PENDIDIKAN KARAKTER BUKAN KARAKTER DALAM DRAMA
Di Dewan Rakyat semalam (16 Oktober 2025), Menteri Pendidikan yang diserang teruk oleh sekelompok netizen setelah insiden dan tragedi yang melibatkan pelajar agar meletakkan jawatan atau dipecat, mengumumkan mulai tahun hadapan (2026) akan diperkenalkan Pendidikan Karakter. Ia akan dimulakan di peringkat tadika dan kemudiannya pada tahun 2027, akan dijadikan sebagai kurikulum pendidikan di semua peringkat persekolahan.
Jelas Fadhlina Sidek, "Kurikulum baharu 2027 ini akan memperkenalkan mata pelajaran penting yang menjadi asas kepada semua, iaitu Pendidikan Karakter.
"Ia akan menjadi teras utama dalam pelaksanaan kurikulum bermula tahun 2026."
Katanya lagi, ia akan menjadi landasan utama yang menyatukan keseluruhan sistem pembelajaran baharu KPM, seiring hasrat warga pendidik untuk melahirkan generasi pelajar berakhlak tinggi dan berkeperibadian seimbang.
Seorang bekas pendidik berkata, alangkah indah bunyi hasrat itu, sedangkan hasrat itu sebenarnya sudah lama terangkum dalam Falsafah Pendidikan Negara, tetapi kerana sistem pendidikan sangat mementingkan kecerdasan intelek, keutamaan aspek pembinaan karakter telah lama dilupakan.
Dalam Falsafah Pendidikan ada singkatan JERI, bukan Tom & Jerry. J bermaksud Jasmani. E bermaksud Emosi. R bermaksud Ruhani (spiritual). I bermaksud Intelek. Realiti, intelek menjadi kayu ukur utama, berapa ramai pelajar yang lulus dan berapa peratus yang cemerlang. Seluruh nadi berdenyut ke arah prestasi yang diukur daripada jumlah pelajar yang lulus, tetapi tidak ada ukuran dalam aspek jasmani, emosi dan ruhani. Kalau KAFA dijadikan ukuran, ia belum memadai.
Katanya lagi, walaupun terlewat kita sepatutnya memahami jika perihal kenakalan remaja tidak dibendung sekarang, sekolah mungkin akan menjadi lokasi berhantu pada masa hadapan. Sekarang pun sudah ada "hantu" yang berjaya merasuk dalam fikiran dan jiwa warga sekolah: guru, murid dan juga kakitangan sokongan. Semuanya dalam bentuk material atau pesona dunia.
Pelajar senior membuli pelajar junior sehingga terluka, patah tulang, dan lebih dahsyat lagi meninggal dunia. Pelajar junior pula sanggup melakukan tindakan ganas kepada pelajar senior atas sebab-sebab tertentu, seperti cinta ditolak, malu dengan ejekan dan sebagainya.
Pegawai keselamatan yang diharapkan menjaga keselamatan sekolah dan pelajar ketika berada dalam kawasan sekolah, hanya meronda untuk menjaga sekolah, bukan menjaga keselamatan para pelajar. Sebab itulah ada pegawai keselamatan melakukan amang seksual ke atas pelajar. Ada juga pegawai keselamatan yang diberikan peranan mengambil hal guru besar. Bila waktu pulang sekolah, pegawai keselamatan akan ambil anak guru besar dan dihantar ke rumah. Guru besar pulang lewat, sebab banyak kerja yang perlu dibereskan atau ada mesyuarat.
Guru juga tidak kurang nakalnya sehingga masyarakat cukup curiga sesetengahnya, kalau pun tidak semua. Ibu bapa dah mula memberikan leteran, "guru patut dengar pandangan kami" dan dalam masa yang sama "kami tidak mahu dengar pendapat guru". Kenapa?
Sebab, kadangkala guru menyembunyikan apa yang berlaku di sekolah. Kata Ketua Pengarah Pendidikan, ada kes "sembunyi sampah di bawah karpet". Menteri Pendidikan muncul untuk memberikan penjelasan, tidak bermaksud menyembunyikan perilaku menyimpang yang berlaku di sekolah. Namun, masyarakat sebenarnya sudah lama tahu, budaya sebegitu telah lama berlaku, termasuk cara sekolah memainkan peranan untuk menutup setiap kes dengan mudah.
Ustaz atau guru agama juga tidak boleh dipercayai, sebab ada yang buat hal dengan pelajar. Pengetua atau guru besar juga kadangkala tidak adil, lebih memihak kepada ibu bapa yang sentiasa hadir ke sekolah mengadu, atau berbaik-baik dengannya.
Kadangkala, pengetua atau guru besar "pejam mata" bila anak kawan baiknya melakukan tindakan salah, ia dianggap tidak sengaja kerana kanak-kanak gemar bergurau dan juga menyakat. Hari ini mereka bergaduh, esok mereka akan berbaik. Bukan semua boleh diselesaikan dengan mudah, kerana ada yang berdendam. Panggil kawan-kawan, belasah di luar kawasan sekolah atau di tempat menunggu di luar pintu masuk sekolah.
Guru wanita juga kadangkala tidak malu melakukan hubungan seks dalam kereta dengan suami orang. Rakamkan adegan itu dan kemudian sebarkan tanpa rasa bersalah dan berdosa. Agaknya, kenapa nak salahkan generasi Z yang dikatakan "digital native" itu lebih nakal atau jahat daripada generasi sebelumnya, juga tidak tepat. Sebabnya, ada generasi "baby boomer" yang mencabul dan merogol cucu sendiri. Nenek juga buat perkara sumbang kerana "dengan suami tak rasa apa-apa". Apa makna semuanya ini?
Ada yang berkata ia adalah sunnatullah; Allah menguji manusia dengan pelbagai cara, termasuklah melakukan perkara sumbang. Nampaknya macam kisah drama rantaian yang sedang popular sekarang, Takdir Cinta Terlarang. Anak lelaki berselingkuh dengan ibu tiri, walaupun ibu tiri masih ada suami, yakni ayahnya sendiri. Ibu tiri juga 'jahat', menggoda anak tiri tanpa memikirkan risiko jika perselingkuhan mereka terbongkar.
Inilah budaya masyarakat yang sedang melekat dalam pemikiran masyarakat, yang asalnya adalah sebuah cerita rekaan, kemudiannya akan mempengaruhi jiwa dan tindakan. Sepatutnya, masyarakat tidak menonton drama-drama sebegitu. Tanpa penonton yang ramai, drama sebegini tidak menarik rating. Tiada rating maka hilanglah sumber pendapatan besar stesen televisyen. Demi survival, stesen tv akan mengubah perspektif mencari nilai-nilai mulia dalam kehidupan, menyiarkan lebih banyak program bermutu dan tidak bercelaru,.macam siri Opah pada suatu waktu.
Media semakin mengelirukan nilai yang patut diteladani. Media sosial lagi teruk kesannya, penuh maki hamun, provokasi dan juga program yang mencabar nilai moral serta agama. Ustaz pun banyak yang keliru, keliru dengan dakwahnya sendiri sehingga apa yang betul dipraktikkan selama ini cuba dirombak akibat terhasut dengan pelbagai fahaman aliran pemikiran.
Kita sanjung para ustaz yang berusaha memperbetulkan pemikiran, tetapi jangan sampai menghukum seolah-olah apa yang kita belajar dan faham daripada ulama terdahulu sebagai kufur, bidaah dan haram. Misalnya, keperluan membaca Qunut Nazilah, bukan untuk menghancurkan sesama Islam walaupun berbeza pandangan politik. Kini, Qunut Nazilah digunakan sebagai "senjata politik" bagi membudayakan ujaran kebencian.
Sepatutnya, jika dirasakan kerajaan melakukan kesilapan atau ada kelemahan, doakanlah pemimpin itu dilembutkan hatinya, diberikan petunjuk oleh Allah SWT. Hal ini tidak berlaku, jika kesilapan itu berlaku di pihak kerajaan, ia akan dikecam, menteri atau perdana menteri didesak letak jawatan dan sebagainya. Tetapi bila kesilapan itu berlaku atau ada hubungannya dengan pemimpin pembangkang, mereka diam bahkan bersedia mempertahankannya. Misalnya, kes kibar bendera. Bila bendera China berkibar, dihunjam marah. Bila bendera Israel dikibarkan, pertahankan ia sebagai simulasi kepada sebuah kezaliman dan kejahatan.
Bagaimana jika logik yang sama digunakan, simulasi kepada kejadian rogol atau rogol berkumpulan. Sanggupkah mereka tonjolkan "lakonan semula" tanpa kata-kata dan penjelasan kerana dalam jenayah rogol, tidak banyak kata-kata muncul kecuali teriakan mangsa rogol. Kalau rogol statutori, tidak ada kata-kata melawan, kecuali ada teriakan seronok dan asyik. Itu sudah menunjukkan kontradiksi yang tidak boleh dimaafkan oleh masyarakat yang beradab dan hukum politik beradab.
Bila KPM mengumumkan Pendidikan Karakter, ramai yang mengalu-alukannya, tetapi ada yang tidak setuju. Mereka yang tidak setuju merasakan mata pelajaran itu akan membebankan semua orang, guru, murid dan masyarakat. Murid dan guru terbeban kerana berlakunya penambahan mata pelajaran. Penambahan mata pelajaran bermakna penambahan beban guru, mereka akan dilatih untuk melaksanakan kurikulum itu jika KPM tidak mampu membekalkan guru mata pelajaran tersebut.
Masyarakat melihat ke perspektif yang lain, berapa banyak peruntukan yang perlu untuk melatih semula guru, dan tentunya, akan muncul pula situasi kelas "tidak ada guru". Bayangkan, kalau seluruh sekolah, lebih 10,000 buah sekolah kerajaan yang ada di seluruh perlukan dua orang guru Pendidikan Karakter, maka lebih 20,000 jawatan baharu akan dicipta. Berapa lama pula guru-guru opsyen Pendidikan Karakter itu akan berjaya dilatih?
Masyarakat juga memikirkan, bagaimana Pendidikan Karakter itu harus diterjemahkan di dalam bilik darjah. Adalah sekadar menghafal buku teks atau guru wajib menyelesaikan kurikulum mengikuti tempoh yang ditetapkan? Akhirnya, tujuan "melahirkan generasi yang tinggi akhlak"nya tidak kesampaian. Ia gagal kerana sistem itu hanya menekankan aspek kognitif dan psikomotor, tidak pada peringkat afektif.
Ada yang berkata, mata pelajaran itu tidak perlu kerana di sekolah sudah ada Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Apa yang perlu ialah memperkemaskan aspek afektif mata pelajaran terbabit dan mensyaratkannya sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan awam, di peringkat SPM. Namun, kita harus ingat, masyarakat juga ada yang menentang apabila pelajar Islam diwajibkan berjemaah zohor di surau sekolah. Kita ingat bagaimana ada politikus menolaknya, dengan alasan itu tidak perlu, buang masa dan sebagainya.
Drama politik berkumandang kerana politikus itu sendiri tidak faham dengan kaedah begitu akan menjadikan kanak-kanak lebih faham sebagaimana sebahagian daripada kita faham kenapa ibu ayah boleh siramkan air ketika kita masih tidur waktu subuh. Tindakan itu, mendisiplinkan kita sehingga kita merasakan rasa berdosa jika tidak sembahyang subuh.
Berapa ramaikah lagi ibu bapa sekarang sanggup melakukan hal yang sama, sebagai pelajaran untuk mendisiplinkan anak-anak bangun sembahyang subuh walaupun ketika musim cuti sekolah? Berapa ramaikah ibu bapa yang marahkan anak-anak apabila menjelang maghrib masih belum pulang? Tentunya, cukup ironi kerana ibu bapa pun jarang balik ke rumah sebelum masuk waktu maghrib. Waktu maghrib masih berada di jalan raya, atau masih "banyak kerja."
Sebenarnya mendidik generasi bukan hanya berlaku di sekolah, ia berlaku di setiap sudut kehidupan dan lokasi: di rumah, di pasar raya, di jalan raya, dan juga di dalam media, termasuk media sosial. Jika ada sekatan menurunkan apa yang sahaja yang bercanggah dengan adab, budaya dan nilai agama, jangan pula ada yang cuba mempertahankannya atas prinsip kebebasan dan hak asasi. Jika MCMC melakukannya, jangan tuduh ia sebagai regim kawalan dan undang-undang kuku besi.
Apa makna bila seorang peguam mengatakan tidak wajar "buang sekolah" pelajar yang disyaki terbabit 'rogol berkumpulan" (kes di Baling, Kedah) kerana ia belum dibuktikan bersalah? Kenapa pula ada pula ahli politik marahkan KPM kerana lambat bertindak, yakni mengambil keputusan membuang sekolah empat orang pelajar yang merogol seorang pelajar tingkatan tiga di Alor Gajah, Melaka.
Semuanya ada saham dalam pembentukan adab dan akhlak, bukan hanya tanggungjawab sekolah. Sekolah mungkin boleh memenuhi peranannya kerana ada prosedur dan ketetapan, tetapi bagaimana dengan masyarakat, media dan politikus yang berkata di sebelah pagi "boleh" dan malamnya "tidak wajar"; bila membabitkan pihak lain "haram" tetapi pihak sendiri "dibolehkan". Suatu ketika ada ungkapan menyindir buat wakil rakyat, SKMM. Saya tidak berhasrat menghuraikannya.
Berhentilah berdrama, kerana drama itulah sebenarnya menjadi punca kerosakan dan hilangnya sebuah peradaban. Sekolah bertungkus lumus membina, di luar sekolah terlalu ramai kontraktor yang terus bertingkah memusnahkannya.
KAMARUN KH