PERKASA JUNJUNG TITAH SULTAN SELANGOR SERU ORANG MELAYU DAN UMAT ISLAM KEMBALI BERSATU
KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyambut serius dan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya kembali bersatu serta menghentikan perpecahan yang semakin membarah dalam masyarakat hari ini.
Titah baginda adalah satu peringatan besar kepada seluruh bangsa Melayu bahawa perpecahan politik yang melampau sedang melemahkan kekuatan umat Melayu di tanah air sendiri.
PERKASA menegaskan bahawa keadaan semasa negara hari ini amat membimbangkan. Kedudukan agama Islam semakin kerap dipersoalkan, Institusi Raja-Raja Melayu semakin berani dicabar secara terbuka, hak Melayu Bumiputera dipertikai sedikit demi sedikit, manakala orang Melayu pula terus bertelagah sesama sendiri kerana fanatik politik kepartian.
Lebih malang, ada segelintir pemimpin politik yang dilihat semakin biadab terhadap institusi diraja dan gagal memahami semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kestabilan negara ini. Sikap seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh meruntuhkan keharmonian dan mencetuskan ketegangan kaum jika terus dibiarkan.
PERKASA ingin mengingatkan bahawa bangsa Melayu tidak akan dihormati jika terus berpecah dan saling menjatuhkan sesama sendiri. Ketika bangsa lain bersatu memperjuangkan kepentingan kaum mereka, orang Melayu masih sibuk bertelingkah sehingga banyak perkara berkaitan masa depan bangsa gagal dipertahankan secara tegas dan bermaruah.
Justeru, PERKASA menyeru seluruh orang Melayu tanpa mengira parti politik, NGO, latar belakang dan fahaman supaya kembali kepada semangat penyatuan Melayu yang sebenar. Penyatuan ini bukan untuk menindas mana-mana kaum lain, tetapi bagi memastikan kedudukan Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan terus dipertahankan serta dihormati semua pihak.
PERKASA juga menegaskan bahawa orang Melayu wajib mempertahankan tiga perkara utama yang menjadi tunjang negara ini iaitu:
* Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu
* Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan
* Hak istimewa Melayu dan Bumiputera seperti yang dijamin Perlembagaan
Mana-mana pihak yang cuba memperlekeh, mencabar atau menghakis perkara-perkara ini secara halus mahupun terbuka wajib ditentang secara demokratik dan berlandaskan undang-undang.
Golongan muda Melayu juga perlu sedar bahawa masa depan bangsa tidak boleh diserahkan kepada pemimpin yang hanya tahu berpolitik tanpa memikirkan survival umat Melayu. Anak muda mesti bangkit dengan semangat jati diri, keberanian dan kesedaran bahawa perpaduan Melayu adalah benteng terakhir mempertahankan maruah bangsa di bumi sendiri.
PERKASA percaya, jika orang Melayu terus leka dengan perpecahan dan budaya menyerang sesama sendiri, tidak mustahil suatu hari nanti bangsa Melayu hanya tinggal nama di tanah air sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang lemah kerana berpecah akhirnya akan hilang kuasa dan dihina oleh pihak lain.
Cukuplah perbalahan politik yang memecahkan umat Melayu selama ini.
Sudah tiba masanya bangsa Melayu kembali bersatu atas semangat agama, bangsa dan negara sebagaimana yang telah dizahirkan dalam titah DYMM Sultan Selangor.
Azrol Mansor
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Sumber: bebasnews.my
