PERKASA TEGASKAN AZAN SYIAR ISLAM, BUKAN GANGGUAN
SHAH ALAM — PERKASA Malaysia menyifatkan dakwaan bahawa laungan azan Subuh mengganggu tidur penduduk sehingga membawa kepada laporan polis sebagai satu isu yang perlu ditangani secara berhati-hati demi memelihara keharmonian masyarakat dan kesucian syiar Islam.
Naib Presiden PERKASA Malaysia yang juga Pengerusi Biro Agamanya, Dr. Amini Amir Abdullah, berkata, azan bukan sekadar panggilan untuk menunaikan solat, sebaliknya merupakan syiar Islam yang telah diamalkan lebih 1,400 tahun dan dilindungi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Menurut beliau, Malaysia dibina atas asas saling menghormati kepelbagaian agama dan budaya, justeru mana-mana pihak tidak seharusnya menjadikan syiar Islam sebagai sasaran tuntutan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan penganut agama.
Beliau berkata, sekiranya terdapat isu berkaitan pengurusan bunyi, ia sewajarnya diselesaikan melalui saluran dialog yang berhemah serta mengikut lunas undang-undang, bukannya dengan mewujudkan persepsi bahawa laungan azan merupakan satu kesalahan atau gangguan.
Dalam masa sama, PERKASA menggesa pihak berkuasa agama, kerajaan negeri serta agensi penguat kuasa supaya terus mempertahankan hak umat Islam untuk melaungkan azan sebagaimana yang dijamin oleh undang-undang, di samping memastikan pelaksanaannya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Dr. Amini turut mengingatkan bahawa sebarang cubaan mencabar atau memperlekehkan syiar Islam berpotensi menghakis keharmonian masyarakat majmuk sekiranya tidak ditangani secara tegas dan berhemah.
Katanya, kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan perlu difahami sebagai hak yang datang bersama tanggungjawab untuk saling menghormati amalan agama masing-masing.
Sehubungan itu, PERKASA menyeru umat Islam agar terus bersatu mempertahankan kesucian syiar Islam melalui pendekatan yang berlandaskan hikmah, undang-undang dan Perlembagaan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan hubungan baik dalam masyarakat.
“Azan bukan bunyi yang mengganggu. Azan ialah syiar yang menyatukan umat, mengingatkan manusia kepada Tuhan serta menjadi sebahagian daripada identiti negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan,” katanya.
Sumber: bebasnews.my
