PERPADUAN DAN PENYATUAN ATAS KEPENTINGAN HAGEMONI
Satu kenyataan yang kontradiksi dan penuh unsur-unsur retorik. Apa yang dikejar ialah kuasa, kerana penyatuan itu bermakna kuasa; kuasa untuk menjadi raja.
Ramai masih ingat akan fatwanya yang cukup besar pengaruh terhadap penyatuan Melayu-Islam yang digomolkan secara melulu tanpa bersandarkan kepada makna penyatuan yang diharapkan berdasarkan al-Quran dalam doktrin "kafir" yang boleh sahaja berlaku "bila berkawan dengan orang kafir".
Ramai juga masih ingat bagaimana seruan-seruan yang tidak ikhlas dan akhirnya membawa kepada jarak yang semakin luas. Contohnya, UMNO perlu dibubarkan tetapi PAS tidak wajar dibubarkan.
Semua orang Melayu-Islam menyertai PAS sebagai pasukan (jemaah) demi untuk Islam. Kenapa UMNO dibenci, kerana UMNO membawa falsafah kebangsaan Melayu, PAS membawa ideologi Islam. Ya! Ideologi Islam bukan Islam yang sepatutnya. PAS membawa ideologi Islam, kerana itu ia jauh berbeza dengan Islam. Islam bukan parti politik, tetapi PAS adalah sebuah parti politik.
Secara sedar semua orang Islam tahu, Islam adalah keseluruhan cara hidup. Tetapi, politik bukanlah seluruh cara hidup. Politik hanyalah sebahagian daripada cara hidup, yakni cara mentadbir, mengurus dan memenuhi aspirasi rakyat. Jadi, politik yang diterjemahkan sebagai "kaedah mengurus negara" tidak sepatutnya dikecamukkan dengan agama, tetapi ia tidak bermakna memisahkan politik dan agama.
Islam boleh menjadi kerangka dasar dan kaedah pelaksanaan dasar, tetapi bukan satu bentuk pemaksaan kepada semua rakyat sebagaimana PAS membina etos politiknya sejak penubuhannya dahulu. Kata pemimpin PAS, adalah satu bahaya besar jika politik dan agama dipisahkan, ia merupakan fahaman sekular. Jadi, apakah tindak tanduk politik PAS bebas daripada unsur-unsur sekular?
Pilihan raya adalah salah satu daripada bentuk sekular, kerana dalam tradisi sejarah Islam tidak pernah ada. Begitu juga dengan hal-hal yang membawa kepada pembangunan material, yang memberikan hasil kepada negara, seperti industri dan perekonomian skala besar. Apakah PAS akan menolak kesemuanya itu yang tidak pernah ada dalam rangka pensejarahan Islam?
Bukankah dalam Islam itu sendiri, setiap daripada penganutnya digalakkan untuk berusaha seolah-olah "kita tidak akan mati esoknya"? Dalam masa yang sama kita diperintahkan agar beribadatlah seolah-olah kita akan mati esoknya. Islam meletakkan keseimbangan, dunia dan akhirat, kerana keseimbangan itulah sebenarnya menjadi makna kepada sebuah kehidupan yang beradab dan bersusila.
Namun, sejarah juga menyebabkan kita bertanya apa yang telah dilakukan oleh PAS dalam memberikan jiwa kepada kehidupan? Setelah beberapa dekad memerintah di Kelantan apakah telah berjaya membentuk jiwa sebagaimana dikehendaki oleh Islam? Apakah Kelantan tidak lagi mengeksport puluhan ribu setahun anak mudanya ke Lembah Klang, ke Johor mahupun ke Pulau Pinang? Berapa ribukah peluang pekerjaan yang telah berjaya mereka ciptakan sejak mengisyaratkan slogan "Membangun Bersama Islam?"
Walaupun pertanyaan itu merupakan pertanyaan yang agak klasik, ia adalah asas kepada pengukuran kehebatan sesebuah pemerintahan. Jika rakyatnya tidak mampu menghasilkan pendapatan, secara jelas ia adalah sebuah kegagalan yang nyata. Kejayaan tidak diukur dengan pembelian kereta mewah untuk kegunaan para elit yang memerintah. Ia diukur daripada indeks kesejahteraan dan paras pendapatan yang dimiliki. Apakah hak ibu tidak boleh diterima sebagai ukuran, kerana pembinaan indeks atau neraca itu bersifat sekular?
Apa bezanya PAS dengan Islam? Terlalu jauh, Islam menasihatkan setiap penganutnya berbuat baik, hidup dalam kasih sayang. PAS menyemai doktrin yang mengarahkan sekte dan politik kebencian. Aktivis PAS boleh berbohong, juga boleh memfitnah.
Kata Setiausaha Agung PAS, dalam politik, fitnah dibolehkan. Dalam Islam, fitnah dilarang. Ertinya, pada titik itu sudah menunjukkan perbezaan yang nyata dan jelas. Atas "kebenaran" itu, aktiviti politik PAS seolah-olah tidak terpisah daripada fitnah, biarpun pada masa yang sama, bila keburukan pemimpinnya didedahkan, maka dirujukkan dengan fatwa dan pandangan, agar setiap orang Islam menutup keburukan orang lain, semoga Allah SWT menutupi kelemahan kita.
Kontradiksi yang cukup menyerlah, hanya kerana inginkan kuasa untuk memerintah dengan cara yang salah. Apabila Anwar dilantik sebagai PMX, dikatakan kerajaan yang dibentuknya "tidak sah" dan "penuh muslihat dan perangkap". Tidak pula melihat dengan neraca yang sama ketika ikut bersama merancang kejatuhan kerajaan sebelumnya, walaupun akhirnya ikut bersama dalam kerajaan "tebuk atap".
Lebih menarik lagi apabila berkata, dengan hanya 18 kerusi berjaya "menjadi kerajaan" manakala parti yang lebih kerusi tidak "ada dalam kerajaan". Karma muncul akhirnya, walaupun PAS ada lebih banyak kerusi, PAS berada di luar kerajaan pusat.
Apa makna perpaduan? Bagi PAS perpaduan itu adalah setiap orang atau parti berada di bawah naungan kuasanya. PAS tidak boleh berada dalam naungan kuasa parti yang lain. Itu bukan bermakna penyatuan dan perpaduan, itu maknanya dominasi dan hagemoni. Lihat sahaja apa yang berlaku dalam PN sekarang? Ada pelbagai usaha untuk menguasai, tetapi tidak ditunjukkan secara terbuka, kerana takut dikecam sebagai parti tamak kuasa.
Sejarah juga membawa maksud, bila PAS mempunyai kedudukan yang besar, ia sukar menterjemahkan makna perpaduan, kecualilah bila keadaan menjadi cukup terdesak. Kita boleh lihat bagaimana PAS mengkhianati Semangat 46. Jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan diwujudkan satu lagi hanya kerana didesak, takut Semangat 46 mengambil tindakan sebagai pembangkang di DUN Kelantan.
Sejarah itu tidak akan terpadam; akan kekal sebagai faktor yang menggambarkan apa sebenarnya yang PAS mahukan dan ke mana ia akan pergi dengan slogan perpaduan dan penyatuan. Begitu juga projek Turunkan Anwar, setakat itu belum berjaya walaupun sudah bertukang lebih dua tahun.
Khabarnya, PAS sedia memimpin negara dengan menghormati masyarakat majmuk. Ertinya, sebelum itu PAS wajib meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudah terluka dengan Fatwa Haji Hadi 1982.
PAS sedia memimpin berlandaskan Perlembagaan Malaysia. PAS sekali didesak agar memohon maaf kerana pernah mendakwa Perlembagaan Malaysia adalah warisan penjajah dan taghut.
Jadi, kenapa sekarang baharu kata nak junjung Perlembagaan sedangkan dahulu mahukan tukarkan Perlembagaan yang diwarisi daripada penjajah? Di manakah letaknya aspirasi berzaman dengan syariat dan undang-undang Islam? Apakah itu hanya satu bentuk retorik untuk memancing undi?
Kata Presiden PAS, parti menolak perpaduan sempit dan berusaha menyatukan bukan Islam yang tidak ekstrem. Namun, dalam masa yang sama tidak dijelaskan apa maksudnya perpaduan yang luas, dan menamakan kelompok bukan Islam yang esktrem. Kita tahu, sudah banyak kali Presiden PAS cukup gemar membuat kenyataan sebegitu, seolah-olah mahu membersihkan persepsi kama terhadap parti itu yang pernah dikategorikan ekstrem oleh Tun Dr Mahathir pada tahun 1980-an dan 1990-an.
Ramai juga rakyat Malaysia bertanya, sudahkah parti itu berjaya membersihkan imejnya sebagai "Parti Ajaran Sesat" yang pernah diberikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini berada dalam kepimpinan Perikatan Nasional? Apakah Muhyiddin telah dengan rasminya menggugurkan gelaran tersebut terhadap PAS? Apakah Tun Dr Mahathir sudah menarik balik kenyataan lamanya apabila bersahabat baik dengan PAS dan akhirnya dilantik sebagai penasihat SG4?.
Pada masa kini, kita sedang meneliti apakah langkah PAS seterusnya apabila Muhyiddin berusaha membentuk gabungan baharu yang lebih besar, yang disertai oleh bukan Melayu, yang ada segelintirnya pernah dilihat sebagai ekstrem. Apakah perjuangan bukan Melayu yang sedang dalam pembentukan gagasan pembangkang baharu yang lebih besar itu tidak berlandaskan politik perkauman?
Setakat ini ia mungkin belum muncul, tetapi, ia akan muncul kemudiannya apabila persoalan kaum dan agama menjadi teras penentuan kempen gabungan pembangkang. Sebenarnya, PAS suka mempersempitkan pemikiran pendokongnya, dan semua orang turut dilakukan untuk lebih percaya bahawa parti itu sahajalah yang memperjuangkan Melayu-Islam dan kini, menukarkannya kepada masyarakat majmuk.
Terbaharu, mengkritik pendekatan kerajaan yang menggunakan "madani" sebabnya "madani" semakin dilihat sebagai titik pengukuhan pentadbiran Anwar Ibrahim berdasarkan prinsip pemerintahan mensejahterakan rakyat dan mengangkat prestasi negara.
Kata Haji Hadi slogan "madani" adalah untuk "menipu rakyat" kerana merupakan satu konsep "pembaharuan" yang dicipta oleh barat seperti istilah reformasi, konservatif, pragmatis dan sebagainya. Makanya, bagi Haji Hadi apa pun yang dibuat atau dilaksanakan oleh orang lain, ia tetap tidak menepati kehendak Islam, kecuali apa yang PAS putus atau buat.
Itu sudah cukup menggambarkan falsafah pemikiran politik PAS yang tidak mahu melihat parti lain lebih berjaya dan membawa pembaharuan yang lebih baik daripada PAS. Sedangkan semua orang tahu, PAS belum menemukan potensi sebenar dirinya dan terlalu berusaha untuk merendah-rendahkan kebolehan pihak lain yang dianggapnya sebagai musuh.
Apa yang kita tahu, kejayaan peradaban Islam kerana para pemimpin sanggup belajar dan mengadaptasi kepandaian orang lain, dengan menyesuaikannya kehendak Islam. Peradaban Islam menjadi besar dan muncul sebagai titik termaju dalam ilmu pengetahuan kerana adanya usaha untuk membawa masuk pemikiran di luar Islam, sehingga peradaban Islam benar-benar mencerahkan ummat.
Ia berbeza dengan PAS, setiap pembaharuan yang cuba dibuat oleh orang lain dianggap sekular dan bertentangan dengan Islam, termasuk konsep madani. Konsep madani muncul sekitar tahun 1985, yang merupakan jawapan intelektual Islam terhadap gerakan masyarakat sivil (civil society) yang berkembang di barat. Apa yang kita tahu, masyarakat sivil sebenarnya sudah lama muncul dari dalam peradaban Islam, yakni ketika Nabi Muhammad SAW memulakan sistem pengurusan dan pemerintahan di Madinah, dengan mengambil kira semua etnik dan kabilah yang sedia ada, berganding bahu dengan Muhajirin dan Ansar dalam Piagam Madinah.
Jadi, apakah dengan menterjemahkan semula konsep tersebut dengan perubahan zaman boleh dianggap bertentangan dengan Islam? Apakah dengan mengambil nilai-nilai yang baik daripada barat bercanggah dengan Islam? Kalau itulah yang dimaksudkan, maknanya falsafah politik yang diperjuangkan oleh bukan parti PAS tidak bercirikan Islam, walaupun mereka meletakkan Islam sebagai kerangka pembinaan dasar dan pentadbiran negara.
Apakah Islam itu hanya hadir dalam bentuk "jubah" atau "serban tebal melilit kepala?" Jika pakaian seharian itu bukan jubah, maka "semuanya setan?". Sebenarnya, apakah itu soalan setan?
Turkiye tidak diperintah oleh parti yang menggunakan Islam, tetapi Turkiye merupakan salah sebuah negara Islam termaju, bahkan lebih maju daripada beberapa buah negara Eropah. Itulah hakikat, bila politik itu didefinisikan sebagai "kuasa" maka untuk mendapatkan "kuasa" apa pun boleh dilabelkan termasuk "kafir, taghut, tidak Islamik" mahupun sekular, bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW, walhal parti yang menuduh itu tidak berdiri atas "jalan politik Rasulullah SAW".
KAMARUN KH