PESTA DEMOKRASI: ANTARA KELUARGA DAN KUASA
Meriahnya PRN Sabah ke-17 kali ini. Meriahnya kerana 596 calon sudah menapak dengan gaya dan cara masing-masing untuk bersilat di pentas PRN kali ini yang mempunyai 73 konstituensi, yang masing-masing mengharapkan akan dipanggil YB nanti. Itu gambaran hari pertama ketika menyerahkan borang pencalonan, hari yang mengesahkan gendang sebenar pilihan raya sedia ditabuh, selama 12 hari berkampung, berkubang dan bersilat, dalam riuh dan gempita bermacam ragam.
Namun, hari-hari berikutnya akan menjadi hari dan malam yang meletihkan, letih segalanya: masa habis di jalanan, keringat tumpah di mana-mana kerana setiap lorong akan dimasuki, fikiran akan sentiasa menumpahkan ilham, bagaimana mahu menentukan kemenangan. Tidak hanya itu, belanja juga akan menjadi sesuatu yang cukup besar, kalau sebelumnya tidak bersedia "belanja makan", kali ini akan menjadi seorang yang cukup pemurah.
Kalau sebelumnya enggan bergelumang di jalan berselut, kali ini rela menyinsing seluar hingga ke lutut, asal dilihat orang awam cukup sederhana dan cakna, walaupun hanyalah lakonan atau kepura-puraan. Panjang dengar ada orang uzur, akan segera dijenguk dan bertanya khabar dengan sedikit buah tangan, atau janji segera bantu ringankan beban.
Ganjarannya cukup besar, jika menang, ada harapan akan digantungkan, kerana harapan itu bukan untuk siapa-siapa, hanya untuk diri sendiri. Paling tidak pun, cukup sepenggal sudah dapat pencen. Penjawat awam, perlu habiskan 25 tahun untuk dapat pencen penuh (50 peratus daripada gaji akhir), atau 60 peratus selepas 30 tahun berkhidmat. Untungkan!!! Berlipat ganda, berlipat kemudahan dan yang sangat dinginkan, bergelar Yang Berhormat, nanti senang pula dapat bintang dan darjah kebesaran. Oh! Untuk apa? Rakyat atau diri sendiri? Bangsa atau kendiri?
Sinar Harian, edisi Ahad (16 November 2025) memakai tajuk "pertembungan paling 'kacau bilau', disebabkan ada temasya perebutan sehingga 14 orang calon. Lebih menarik ialah seramai 7 orang calon dari keluarga Musa Aman diangkat menjadi calon, menjadikan legasi keluarga terbesar dalam sejarah politik tanah air, malah mengalahkan tradisi yang berlaku dalam PKR, hanya sekadar tiga orang - suami, isteri dan anak. Juga melangkaui legasi DAP pada suatu ketika: bapa, anak, adik beradik, menantu dan sepupu sepapat. Kali ini, sudah sampai ke tahap biras dan anak saudara.
Keluarga Musa Aman terdiri daripada saudara (Anifah Aman), anak-anak, menantu, anak saudara dan biras. Katakanlah semua ahli keluarga Musa Aman menang, ia akan menjadikan Sabah kali ini dikuasai oleh keluarga seakan-akan kembali kepada sistem politik zaman purbakala bagi penggal ke-17, di mana Musa Aman sendiri adalah TYT YDP Sabah.
Ada yang melihat pola demokrasi sebegini seumpama demokrasi keluarga, satu perkembangan baharu dalam corak demokrasi tercipta. Kalau sebelumnya ada demokrasi terpimpin, demokrasi perwakilan, maka kali ini akan muncul demokrasi keluarga. Dari segi peraturan, ia tidak salah tetapi dari segi moral politik ia dianggap tidak manis.
Biarpun berlainan parti, ia tidak memisahkan nasab, bukan seperti yang pernah berlaku dalam budaya sebuah parti di Semenanjung, tidak boleh ada dua "nakhoda dalam sebuah kapal'; mesti bercerai hanya atas alasan berbeza pegangan politik, yang satu "syurga" dan yang satu lagi "menuju ke neraka".
Parti sudah dianggap sebagai akidah, walhal parti politik itu hanyalah alat yang dicipta manusia untuk mendapatkan kuasa, dalam sistem yang manusia gelarkan demokrasi. Islamisme bukan Islam, kerana Islam itu adalah agama, Islamisme itu adalah fahaman yang menunggang agama, atau mengatasnamakan agama untuk meraih kuasa politik. Apakah di Sabah kali ini mereka akan keluarkan pelbagai fakwa pelik sekali lagi: Malaikat akan bantu calon mereka, pengundi yang tidak pulang "boleh sahaja hadir mengundi" kerana malaikat turut membantu!!
Seramai 596 calon bertanding, mewakili 30 buah parti berdaftar dan calon Bebas yang ramai ikut menjadikan pengundi mempunyai lebih banyak pilihan. Namun, yang akan mengukir sejarah ialah hanya 73 calon yang akan dipilih, manakala 526 orang lagi berada dalam kelompok yang tewas. Daripada yang tewas itu, ramai yang menjangkakan 80 peratus akan diisytiharkan hilang wang pertaruhan. Apakah selepas PRN nanti akan kedengaran dakwaan ada yang tidak kena menyebabkan calon yang paling berambisi tewas?
Jumlah calon terbanyak ialah daripada Warisan (73) yang masih yakin akan mampu kembali mengambil alih pentadbiran politik Sabah walaupun pada PRN lalu kecundang (tidak cukup jumlah). GRS yang ditubuhkan selepas PN memenangi pilihan raya lalu menjadi parti yang memerintah tetapi hanya bertanding di 55 kerusi kerana selebihnya mengharapkan calon PH mampu menang. Secara rasmi, dalam PRN kali ini, ada kerjasama langsung antara GRS dan PH.
Perikatan Nasional yang kecewa dengan perubahan sokongan apabila wakil rakyat Bersatu tidak lagi kekal dalam acuan atau khemahnya, meletakkan 42 calon. Namun, apa yang menjadi idaman PAS yang kekal dalam PN buat kali ketiganya mengharapkan akan lahir anak sulong pertama mereka pada PRN kali ini.
Namun, ia bukan sesuatu yang mudah kerana PAS awal-awal lagi sudah menunjukkan "kepalang ajar" apabila ADUN Kuala Ketil, Kedah menyifatkan "budaya politik pengundi" mudah dijinakkan hanya dengan pemberian roti Gardenia. Dah ada reaksi "pulangkan semula", PASdonia, ikut slang pekat loghat Terengganu yang kerap kedengaran bila mendakwa "cukup jomlah'.
Biarpun kata-kata menghina itu sudah ditarik balik dan ADUN berkenaan memohon maaf, ia tetap menjadi luka terdalam yang sukar sembuh. Dalam bahasa politik, harapan untuk PAS menang adalah sangat sukar dan jika bersandarkan kepada pengaruh Bersatu, lupakanlah. Bersatu juga sedang kacau bilau. Bersatu juga kenanaran setelah hilang pedoman dan cerita epik pilihan raya yang lalu berakhir dengan ilusi, sampai jenteranya bertabrakan. Bersatu bersepai.
Parti Impian Sabah (PIS) mengemukakan 72 calon, menjadikan parti kedua terbanyak dalam persaingan kali ini, selepas Warisan. Walaupun calon Bebas menjadi calon terbanyak, potensi untuk menang adalah sukar kerana bebas itu sendiri dilihat bersifat individu, bukan hadir sebagai sebuah parti politik.
Ada di antara calon Bebas adalah mereka yang kecewa dan tidak mempunyai dasar politik yang jelas, kata seorang veteran politik, kebanyakannya hadir sebagai pengacau atau berusaha menebak lukah? Ada yang tidak dicalonkan lagi mengemukakan borang pencalonan sebagai calon Bebas. Hal ini dilihat sebagai pemecah yang cukup bahaya: bahaya kepada bekas parti dan juga perpecahan masyarakat. Diharapkan, ia tidak akan berlaku keadaan yang lebih parah, masyarakat akan bertaut kembali seperti sebelumnya. Masyarakat menolak oportunis dan juga populis.
BN meletakkan 45 orang calon, dengan harapan mampu meraih kemenangan untuk kembali menapak gagah di negeri bawah bayu yang juga terkenal dengan sumandak bayu. Kita maklum, walaupun berlaku pertembungan antara PH-GRS-BN, ia dilihat sebagai strategi, kerana kerjasama di peringkat pusat masih kekal dan tentunya, mereka juga akan berkongsi jika tidak ada mana-mana parti atau gabungan yang melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Sabah selepas hari pengundian nanti (29 November 2025). Ada yang menggelarkannya sebagai persaingan dalam persahabatan. Ia bukan pertandingan Black Panther, atau pukul mati.
Dari segi umur calon pula menunjukkan mereka yang berumur 51 hingga 60 adalah kohort terbesar (159) diikuti 41-50 tahun (149), 18-40 tahun (80), 71 hingga 80 tahun (17) dan dua orang dalam kumpulan umur 81-99 tahun. Apa yang menariknya, sebahagian daripada calon merupakan penyandang yang dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi tetapi ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Ini kerana tidak ada mana-mana kerusi yang dilihat berlaku pertandingan dua penjuru, dan tidak berlaku satu pun kerusi diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Paling kurang, saingan empat penjuru. Kalau semuanya tangkas menyerang, bererti sistem pertahanan juga perlu siap siaga dari segala arah, kerana 'peluru' semakin canggih dan kadangkala berupa versi hibrid. Ia boleh menyebabkan pergolakan lebih besar berlaku dan pengaruhnya banyak bergantung kepada imej yang terjelma di alam maya, yang kini cukup maju dengan kecerdasan buatan (AI), semuanya boleh direkayasa. Boleh diada-adakan apa sahaja, hal yang lama boleh dimunculkan kembali dengan versi asli atau diherotpenyotkan (distortion).
Selain berhadapan pertandingan 14 penjuru di 1 DUN (N 44- Tulid) , pertandingan tiga belas penjuru berlaku di 4 DUN, 12 penjuru (2), 11 penjuru (6), 10 penjuru (9), 9 penjuru (10), 8 penjuru (😊, 7 penjuru (10), 6 penjuru (13), 5 penjuru (😊 dan 4 penjuru (2). Situasi in, pada pemahaman konsep demokrasi ia adalah sesuatu yang cukup menarik, tetapi berdasarkan pola pengundian ia akan menunjukkan akan berlaku perpecahan yang cukup besar atau parah.
Apatah lagi jika kerusi yang dianggap sengit itu ditandingi oleh gabungan parti yang dilihat "besar dan kuat" pada suatu ketika walaupun hakikatnya, sudah berubah menjadi kerdil, misalnya DUN Karambunai. Timbalan Pengerusi Bersatu Sabah, Dr Ali Akbar terpaksa bekerja kuat dan mencetuskan idea besar yang boleh dijual serta bukan bersifat retorik. Itu pun bergantung kepada manifesto PN yang bakal dirumuskan dalam masa terdekat.
Setakat ini, peluang kemenangan PN dilihat cukup sukar kerana kuatnya sentimen parti yang dikategorikan nasional kurang "membumi" dengan aspirasi politik Sabah, termasuk persoalan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas. Rakyat juga sedar, Bersatu juga sedang jalan bersepai dan mungkin apa yang bakal berlaku dalam PRN akan menjadi petunjuk yang sangat jelas atau di sebaliknya. Kita juga maklum, sentimen Sabah untuk orang Sabah makin terhidang sebagai juadah politik yang semakin popular.
Jika PN berjaya menguasai, kepimpinan Muhyiddin boleh merasa sedikit lega. Jika di sebaliknya, paluan berundur akan menjadi lebih bingit dan bingit bergaung. Sebabnya, resah dan riak akan muncul sebagai gelombang yang lebih besar hingga membentuk taufan. Riak-riak itu sudah ada dan belum berhenti sepenuhnya walaupun ada imbangan sementara, baton kepimpinan kuasa parti akan diserahkan bila "tiba waktunya". Namun, yang akan menyerahkan baton itu sudah lama dilihat cukup letih untuk berlari, tetapi enggan berbuat demikian kerana belum mendapat restu isteri.
Ini dapat kita fahami perihal tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang perlu dikembalikan. Setakat ini, PMX tidak menolak ianya dilaksanakan dan perundingan ke arah itu dijangka akan menjadi jalan penyelesaian terbaik. Hakikatnya, meskipun PN berkata "boleh", gabungan itu sebenarnya tidak ada kuasa atau boleh melakukannya, ketika ini. Hanya sekadar boleh berjanji "jika menang". Ia sesuatu yang belum tentu kerana PRU ke-16 masih agak jauh, walaupun ada yang meramalkan bakal berlangsung tahun hadapan (2026).
Saya kira, ia akan sampai ke garis penamat, setidak-tidaknya akhir 2027 atau awal 2028. Kalau pun DUN Melaka dan Johor tidak dapat disamakan dengan PRU, tiada masalah untuk dahulukan. Biarpun DAP minta supaya disamakan tarikhnya, ia masih banyak perhitungan yang akan dibuat. Antaranya, melakukan analisis SWOT, memperhitungkan kekuatan dan kelemahan. Jika masih ada kelompongan, ia akan diatasi sesegeranya, atau dimasukkan penyelesaiannya dalam Bajet 2027 nanti.
Parti yang pernah dianggap "besar dan kuat" masih ada pengaruh dan legasinya, selain mekanisme kepimpinan lokal yang lebih tersusun berbanding parti-parti yang muncul kemudian, yang muncul atas "rasa kecewa" dan "balas dendam" seseorang setelah disisih atau dipinggirkan atas pelbagai alasan. Namun, apa yang menarik tentang budaya politik Sabah sejak sekian lama ialah perihal "katak" yang cukup kuat melompat, dan setakat ini belum ada larangan ke atasnya kerana kuat kuasa peraturan lompat parti belum tersedia.
Fenomena biasa dalam setiap kali berlakunya pilihan raya ialah pengisytiharan keluar- masuk daripada sesebuah parti kepada parti yang lain. Semalam (Ahad, 16 November 2025) sudah ada fenomena tersebut, khabarnya lebih 2000 penyokong asal BN kembali menyertai BN. Ada gambaran bahawa BN sedang bangkit, setelah Sabah ikut melakukan lompatan besar selepas PRU ke -14 (2018).
Selepas penamaan calon berakhir, ada yang meramalkan bahawa Warisan tidak mampu bangkit sebagaimana yang diharapkan walaupun meletakkan 72 calon. Diramalkan Warisan hanya boleh menang sekitar 23 kerusi. Secara umumnya, tidak ada sebuah gabungan pun yang akan kayak menubuhkan kerajaan, ia memerlukan kerjasama daripada gabungan yang lain. GRS juga dilihat kurang mampu, diramalkan sekadar boleh menang 12 kerusi dan ia dikatakan boleh memberikan kelebihan kepada BN, yang diramalkan akan menang 21.
Itu hanyalah perkiraan awal, bahawa BN ada peluang untuk kembali berkuasa dengan kerjasama GRS-PH dengan kiraan 36 kerusi, tetapi masih perlu bergabung sama ada dengan UPKO atau STAR. UPKO dijangka akan meraih 8 manakala STAR 6. UPKO pernah bergabung dalam PH tetapi mengisytiharkan keluar gabungan lebih seminggu lalu (10 November 2025), tetapi dua MPnya, Datuk Ewon Bennedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau terus mendokong kepimpinan PMX, sebagai menjunjung titah YDPA mengekalkan kestabilan politik sehingga penggal ini tamat.
STAR pernah bekerjasama dengan BN selepas PRU ke-14 membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa Aman. Bagaimanapun, STAR kemudian bekerjasama dengan Warisan dan PH Sabah selepas BN hilang majoriti apabila enam wakil rakyat UPKO menarik balik sokongan (12 Mei 2018). Apabila munculnya GRS, STAR ikut bekerjasama membentuk kerajaan Sabah selepas PRN ke-16 (2020).
Jika dilihat sejarah politik Sabah, ia cukup banyak warna-warninya, termasuklah kisah bekerjasama dan tidak bekerjasama antara parti, perpecahan dalaman dan paling berselera ialah perihal lompat melompat dari satu parti sebuah parti lain. Juga sejarah kehancuran sesebuah parti juga cukup menarik untuk dikaji, dari keruntuhan USNO, Berjaya, PBS dan UMNO sendiri sehingga Sabah cukup terkenal dengan pola politik "tiada musuh kekal dan tiada kawan sejati selama-lamanya".
Semuanya bergantung kepada kuasa itu diraih dan bagaimana menjadikan kemenangan yang kecil itu sebagai "king maker". Inilah persoalan yang akan muncul nanti kerana andaian awal, tidak ada satu pun gabungan yang mampu melepasi majoriti mudah (37), satu bentuk fenomena politik yang sedang berkembang dalam politik tanah air.
Pada PRN ke-17 ini, seramai lebih 1.72juta pengundi termasuk lebih 600 ribu PENGUNDI baharu akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 29 November nanti. Tentunya hanya 73 orang sahaja yang akan disahkan bergelar wakil rakyat, yang sebahagian adalah orang baharu yang mempunyai harapan baharu, manakala sebahagian yang lain adalah orang lama yang terpaksa menyesuaikan diri dengan harapan baharu, harapan Sabah yang lebih besar daripada apa yang sudah ada, termasuklah dalam konteks hubungan dengan kerajaan pusat, dalam pembinaan infrastruktur, kemasukan pelaburan asing dan peluang pekerjaan ianya akan menjadi lebih mudah bila ada "keserasian" antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
KAMARUN KH
