PESTA RAIN RAVE BUKIT BINTANG: HIBURAN YANG MERUNTUHKAN TAMADUN
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Rain Rave Water Music Festival. Satu pesta muzik di tengah-tengah Bukit Bintang, yang disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Adakah ini imej yang mahu dipersembahkan kepada pelancong luar negara, dan di manakah hilangnya suara Menteri Agama? Atau mungkin rakyat biasa yang tidak faham; bahawa inilah tafsiran golongan intelektual tentang nilai-nilai Madani. Suara Menteri Yang Tenggelam entah kemana.
Melalui Bayan Linnas Siri ke-351, SS Mufti Wilayah Persekutuan dengan sangat tegas menyatakan bahawa “hiburan ada batasnya” dan konsert berunsur maksiat wajib dihentikan. JAWI, Bahagian Dakwah JAKIM, kedua-duanya di bawah JPM Hal Ehwal Agama, serta beberapa masjid seperti Masjid As-Syakirin KLCC juga telah menyuarakan bantahan terhadap festival ini.
Namun, di sebalik ketegasan ini, umat Islam dalam negara tetap bertanya; di manakah suara Menteri Hal Ehwal Agama sendiri? Seorang menteri secara asasnya dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat. Maka secara logiknya, menteri yang memegang portfolio agama Islam diamanahkan untuk berkhidmat kepada keperluan moral dan rohani Ummah. Adakah kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan ini sekadar pameran dan status? Sesuatu yang hanya indah disebut di dalam teks ucapan VVIP untuk mendapat tepukan, tetapi tidak pernah dipraktikkan apabila tiba saatnya untuk menguatkuasakan prinsip Amar Ma’ruf Nahi Munkar?
Sentimen Umat Islam Dalam Negara Sentimen umat Islam dalam negara hari ini adalah seperti berikut; orang Islam disuruh supaya menjaga sensitiviti agama lain atas nama keharmonian dan toleransi. Namun suara pemimpin kerajaan yang mempertahankan hak keutuhan agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara selalunya sepi. Ia hanya disuarakan oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik, kepentingan peribadi dan pempengaruh media sosial.
Ketika RUU Mufti Wilayah dibacakan di parlimen, muncul suara-suara yang begitu keras mendesak mantan menteri agama dilucutkan jawatan. Alasannya kerana RUU tersebut bersifat jumud dan memecah-belahkan umat Islam. Namun ketika pesta yang menjurus kepada hedonisme dijayakan, suara-suara mereka senyap-sepi. Tiada desakan untuk menteri pelancongan mahu pun Menteri agama letak jawatan. Adakah mereka ini hanya berani sesama Muslim, dan menikus apabila berdepan dengan aktiviti yang mengundang kemurkaan Allah SWT? Oleh kerana sifat beginilah rakyat hilang kepercayaan kepada pemimpin berlatar-belakang agama. Mereka yang menghancurkan kredibiliti mereka sendiri.
Berpesta Atau Ikat Perut? Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya berjimat-cermat akibat krisis tenaga global. Pada 1 April, kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan dasar WFH yang melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan. Malah Kementerian Kewangan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara. Maka terlihatlah paradoks logik di festival Bukit Bintang itu. Pesta yang menelan belanja logistik besar, dibanjiri dengan tiket-tiket harga kayangan semata-mata demi memuaskan nafsu hedonisme. Tambahan penggunaan pula air yang banyak sebagai daya tarikan, supaya pengunjung dapat bermandi-manda bersama-sama sambil melayan DJ atas pentas. Bukankah ini satu pembaziran juga?
Hujah bahawa pesta ini meningkatkan ekonomi juga sangat pelik dan ajaib. Adakah pesta ini akan membawa pelancong luar negara, sedangkan semua promosinya di media sosial hanya menyasarkan pengunjung tempatan? Di saat ada rakyat yang terpaksa mencatu perbelanjaan dapur, di saat marhaen ditekankan supaya berjimat, budaya kemewahan yang melalaikan ini dipaparkan tanpa segan silu di tengah ibu kota. Inilah kemuncak ironi dasar kerajaan. Tersepit Tanggungjawab Kolektif.
Di dalam satu hantaran media sosial, peguam Aidil Khalid membangkitkan beberapa perkara. Beliau menulis bahawa salah satu prinsip dalam sistem tata kelola negara, ialah tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri atau Cabinet Collective Responsibility. Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri kepada Parlimen. Ini bermakna semua menteri wajib menyokong dasar kerajaan secara terbuka; jika seorang menteri tidak bersetuju dan enggan mempertahankan keputusan kabinet, beliau perlu meletakkan jawatan.
Maka adakah tindakan Menteri Agama dan agensi-agensi JPMHEA yang keluar kenyataan membantah penganjuran Rain Rave Music Festival mengikut prinsip tatakelola yang baik serta Perlembagaan Persekutuan? Adakah kerusi menteri itu terlalu empuk dan berharga? Perkara yang berulang-ulang. Sejujurnya pemimpin Islam dalam negara yang diberikan tanggungjawab menjaga agama persekutuan perlu tinggalkan sifat pasif. Terdahulu, pesta muzik Good Vibes Weekender 2022 tetap mendapat kelulusan dan menteri agama ketika itu hanya mampu menasihati umat Islam agar tidak hadir. Setiap kali sensitiviti umat Islam timbul, kita disuruh bersabar, membutakan mata dan memekakkan telinga.
Jika seluruh rakyat negara ini berfikir secara waras, moraliti dan kesopanan awam merupakan tiang asas dalam setiap peradaban, tidak mengira agamanya. Tokoh sosiologi Islam terkemuka, Ibnu Khaldun pernah mengingatkan bahawa fasa terakhir kejatuhan sesebuah tamadun ditandakan dengan kecenderungan masyarakatnya mengejar hiburan dan kemewahan yang melampau. Keruntuhan jarang sekali hanya disebabkan oleh ancaman luaran, tetapi disebabkan oleh kehilangan disiplin dalaman, kehilangan solidariti sosial, dan ketidakcekapan politik.
Sejarah telah merakamkan dengan jelas bagaimana tamadun-tamadun agung tumbang bukan semata-mata kerana asakan musuh, tetapi akibat kebejatan moral dari dalam. Dari kejatuhan Empayar Rom yang mabuk dengan pesta hedonism dan kemewahan elitnya, hinggalah kepada kejatuhan tamadun Islam di Andalusia apabila para pemimpinnya lebih mengutamakan hiburan dan kelalaian berbanding pedoman agama. Sunnatullah ini tidak pernah menipu; maksiat yang
dinormalisasikan adalah titik mula kepada kejatuhan sesebuah bangsa. “Sebagai sunnatullah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum (mu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnatullah.” - (Al-Ahzab: 62)
Inilah natijahnya apabila kuasa diamanahkan kepada pemimpin yang tergelincir kompas moralnya. Kita memberi kepercayaan kepada mereka yang ternyata boleh membawa kepada kerosakan jiwa insan. Ia sekaligus memberikan gambaran jelas, bahawa kempen masyarakat Madani dan pembinaan bangsa berakhlak yang dilaungkan selama ini, rupa-rupanya sekadar hidup di mulut, tetapi mati pada amalannya.
