TOLAK PEMIMPIN ELIT YANG RAKUS
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Barah Pengkhianatan Silam
Jika kita menyelusuri helaian sejarah Islam, keruntuhan sesebuah daulah sering kali dipacu oleh watak musuh dalam selimut. Pada tahun 1258 Masihi, kota Baghdad yang merupakan pusat ketamadunan Islam paling megah tidak jatuh hanya kerana serangan tentera Mongol Hulagu Khan. Baghdad runtuh dari puncak kuasa disebabkan Muhammad Ibn al-Alqami, Wazir Abbasiyah kepada Khalifah Al-Musta’sim.
Ibn al-Alqami menghancurkan Daulah Abbasiyah secara halus melalui manipulasi sistemik dan sabotaj birokrasi. Beliau memainkan naratif defisit fiskal, berpura-pura khuatir akan beban kewangan negara lalu berjaya meyakinkan khalifah untuk mengecilkan saiz angkatan tentera dan membubarkan divisyen-divisyen pertahanan utama. Apabila barisan pertahanan lumpuh, beliau menipu Khalifah kononnya mobilisasi ketenteraan dialihkan ke sempadan, sedangkan hakikatnya beliau mengutus surat rahsia kepada Hulagu Khan bahawa Baghdad sedia diserahkan tanpa tentangan sengit.
Namun, sunnatullah merakamkan pengakhiran yang tragis. Sebaik sahaja Baghdad lumat dibantai, Ibn al-Alqami melutut merayu ganjaran sebuah takhta boneka. Hulagu memandangnya dengan penuh kejijikan; seorang petualang yang sanggup menjual tanah air sendiri tidak akan sesekali dihormati oleh pihak musuh. Beliau akhirnya disisihkan dan meninggal dunia dalam kehinaan sebagai hamba bawahan yang tidak bernilai.
Naratif sabotaj ini tidak jauh bezanya dengan kisah Mir Jafar di Bengal, India pada tahun 1757. Jika Ibn al-Alqami menggunakan birokrasi, Mir Jafar memusnahkan negaranya melalui kontrak komersial dan pakatan politik haram. Sebagai komander tentera yang sepatutnya mempertahankan tanah air daripada pencerobohan Syarikat Hindia Timur Inggeris (East India Company), takhta yang dijanjikan British telah membutakan mata hatinya.
Di tengah-tengah Pertempuran Plassey, Mir Jafar mengarahkan pasukannya berpaling tadah dan membiarkan pemerintah sah digulingkan. Beliau membungkus pengkhianatan itu dengan retorik yang biasa kita dengar hari ini: “Demi kebaikan ekonomi, demi pembangunan.” Tetapi realitinya, beliau menandatangani sub-kontrak penyerahan kedaulatan kepada entiti korporat asing. Beliau mendapat takhta boneka, manakala rakyatnya dijajah dan dihisap darah ekonominya selama beratus tahun. Ketamakan elit pembuat dasar sebegini akhirnya memaksa rakyat marhaen membayar harga sebuah pengkhianatan dengan darah dan nyawa mereka sendiri.
Geopolitik Moden
Realiti dalam sistem geopolitik moden hari ini, kuasa-kuasa besar atau musuh luar sudah tidak perlu menghantar kereta kebal atau tentera untuk penjajahan. Ia dianggap strategi kuno yang merugikan, selain daripada mencalar imej negara-negara tersebut.
Hari ini, mereka hanya perlu menaja, menanam, dan memelihara watak-watak seperti Ibn al-Alqami dan Mir Jafar moden di dalam sistem politik tempatan. Mereka mengeksploitasi politik identiti. Mereka membiarkan parti-parti politik sibuk berebut kuasa di peringkat negeri, bertelingkah sesama sendiri tentang perkara-perkara remeh, sementara isu-isu besar seperti ketirisan sempadan, integriti yang lebur, dan pembangunan ekonomi yang lemah dibiarkan tanpa penyelesaian.
Malangnya, landskap politik hari ini menyaksikan figura atas pentas lebih gemar mempolitikkan setiap isu demi kelangsungan jangka pendek, berbanding menumpukan usaha kepada pembangunan yang hakiki. Di saat kesibukan mereka bertekak di pentas propaganda, pemulihan serta pembangunan ekonomi rakyat kekal perlahan dan lesu, manakala pembangunan kerohanian serta acuan Islam yang sebenar terpinggir menjadi retorik kosong. Agenda membina maruah bangsa dan jiwa ummah dikorbankan demi percaturan kuasa yang tidak berkesudahan, sedangkan ia memegang kunci dalam melahirkan masyarakat Rabbani.
Sifat Kepimpinan Rabbani Melawan Kebobrokan Elitis
Justeru, amaran keras harus diberikan kepada para sang penguasa. Pemimpin yang memenangi mandat rakyat jangan sesekali cuba membina empayar peribadi, menyuburkan kronisme, mahupun mengagungkan nepotisme. Takutilah Allah SWT yang Maha Melihat segala gerak-geri kita. Sifat takwa wajib ditanam dalam sanubari kerana hanya orang yang bertakwa akan memperoleh kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.
Memang sukar untuk mencari kepimpinan yang bertakwa pada hari ini kerana seawal riwayat lagi, ramai yang tewas kepada runtunan nafsu sendiri. Manusia cenderung menjadi gelojoh apabila memperoleh kuasa hingga lupa asal usul, lalu melahap habis-habisan apa sahaja ganjaran di hadapan mata. Mereka mengenyangkan perut sendiri dahulu, manakala perut rakyat diletakkan di tempat kemudian.
Sifat rakus ini amat jauh berbeza dengan susuk agung Nabi Muhammad SAW. Rasulullah sanggup mengikat perut menahan lapar yang amat sangat ketika umat Islam diboikot oleh musyrikin Quraisy, sanggup berlapar demi kelangsungan ummah. Umat Islam hari ini sedang menanti dan mendambakan sosok pemimpin yang benar-benar menjadi pembebas golongan mustadh'afin, iaitu golongan marhaen yang tertindas. Kita memerlukan pemimpin yang memerhatikan derita rakyat, yang memberi mereka makan di saat kelaparan, dan yang paling utama, membebaskan masyarakat daripada belenggu penindasan menuju tauhidul ummah, kesatuan umat yang berpaksikan keadilan serta persamaan hak, bukannya memihak kepada golongan elitis semata-mata.
Ingatlah amaran besar daripada baginda Nabi SAW:
"Bila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpul harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana; zaman yang berat (meleset), pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat, dan ancaman daripada musuh." (Riwayat ad-Dailami).
Kesimpulan
Maka, apakah kualiti substantif yang wajib dicari oleh para pengundi dalam memilih seorang pemimpin?
Sejarah dan nota syariat telah menggariskan dua tiang utama: Al-Qawiyy (kompetensi dan ketegasan) serta Al-Amin (integriti dan amanah). Ummah ini memerlukan sosok yang memiliki ketegasan untuk melindungi hak rakyat, kebijaksanaan makro-ekonomi untuk memulihkan kesejahteraan rakyat, dan komitmen spiritual yang utuh untuk memartabatkan acuan nilai Islam yang sebenar.
Kepada para pengundi yang bakal mencorakkan landskap politik tidak lama lagi, gunakan mandat anda untuk turun mengundi sebagai satu tanggungjawab moral yang tinggi, dengan meletakkan pertimbangan akal dan penilaian yang matang mengatasi emosi dan amarah politik. Pilihlah dengan penuh ketelitian, demi masa depan yang lebih utuh. Ayuh tunjukkan kematangan sebagai umat Islam dengan membina semula kekuatan sistem menerusi kertas undi kita.
