POLITIK MALAYSIA SEDANG MENCARI RENTAK!!!!
Sejak runtuhnya kekuasaan mutlak BN selepas PRU ke-14 (2018), kerangka politik Malaysia masih belum mempunyai rentaknya yang betul dan kuat. Pada awal keruntuhan BN itu, PH yang dipimpin oleh Dr Mahathir dilihat mampu menggantikan BN untuk tempoh yang memadai, tetapi akhirnya belum mencapai setengah penggal ia tumbang secara "organik", iaitu akarnya "mereput" dan tidak dapat menampung dahan-dahan yang mulai tumbuh..
Sejak itu rentak politik Malaysia lebih "mudah rapuh" kerana ia dibina atas kesepakatan longgar selepas mendapat sokongan majoriti. PN tumbang dalam tempoh 17 bulan setelah UMNO/BN menarik sokongan. Ia kemudian digantikan dengan UMNO, tetapi UMNO juga mula dirasuk "faham kabilah", sebabnya yang menjadi PM adalah bukan Presiden. Cara UMNO menjatuhkan kerajaan yang diterajui oleh UMNO sendiri ialah mendesak PM membubarkan Dewan Rakyat bagi memberi laluan awal kepada PRU ke-15.
PRU ke-15 menjadi medan "trimming" dahan-dahan tertentu yang dikira tidak lagi sesuai dengan aspirasi Presiden UMNO. Akhirnya, percubaan UMNO semakin gagal dengan hanya berjaya menguasai 26 kerusi Dewan Rakyat. Ia menjadi sejarah pencapaian terburuk UMNO sejak parti itu dizahirkan, dan menyertai pilihan raya.
Akibatnya, bukan sahaja berlaku perpecahan dalam Barisan Nasional yang diterajui UMNO bahkan UMNO sendiri mula bertabrakan. Pemimpin-pemimpin UMNO yang "hidup selesa" kerana pembabitannya dalam politik bukan sahaja menjauhkan diri bahkan menjadi pengkritik kuat kepada kepimpinan baharu yang diterajui oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketika ini, kekuatan BN hanya bergantung kepada tiga buah parti awal yang membentuk Perikatan pada tahun 1955. UMNO, walaupun menjadi sebahagian dari Kerajaan Madani, kedudukannya juga dilihat cukup rapuh. Ia bergantung kepada PH, namun PH juga tidak mempunyai kekuatan yang memadai untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Kekuatan kerajaan madani adalah kerana sokongan rapuh daripada wakil rakyat yang menang daripada bukan daripada PH, termasuk bekas wakil rakyat Bersatu yang sudah hilang keyakinan kepada parti.
Kekuatan pembangkang, walaupun awalnya mendakwa sudah "cukup jumlah", kegagalan dalam mengulangi strategi "tebuk atap" dilihat kurang menyerlah untuk meruntuhkan gabungan PH-BN-GPS dan sebagainya.
Kini, dalam PN semakin jelas berlaku perpecahan dalaman yang berpunca daripada rasa tidak puas hati penyokong-penyokong PAS terhadap Bersatu. PAS dengan jumlah kerusi 43 merasakan partinya adalah parti yang terkuat secara individu, maka seharusnya kepimpinan PAS menguasai dan menentukan corak PN.
Bersatu, masih terkial-kial mencari rentak setelah prestasinya begitu mengecewakan pada PRN. Bersatu gagal menguasai Selangor walaupun bekas MB Selangor diberikan tanggungjawab untuk menjatuhkan PH.
Azmin Ali kehilangan kerusi peringkat Parlimen (Gombak) namun kekal menguasai DUN Hulu Klang. Ia belum cukup untuk membolehkan PN menguasai DUN Selangor. Analisis prestasi bagi empat buah negeri bagi PRN lalu menunjukkan PAS lebih menyerlah manakala Bersatu hilang dalam seruan Gelombang Hijau.
Dari perspektif parti, nampaknya PAS lebih dinamik dan tersusun jenteranya. Oleh sebab itu, dalam beberapa PRK ia jelas menunjukkan jentera PAS lebih menguasai berbanding Bersatu termasuk ketika calon Bersatu dipilih mewakili PN.
Tentunya, agresifnya jentera kempen PAS lebih terserlah jika melibatkan calonnya, misalnya PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Air Kuning (Perak) dan PRK DUN Pelangai (Pahang).
Salah satu tindakan PAS yang cukup memalukan Bersatu ialah "memaksa" Bersatu menerima ahli PAS sebagai calon PRK DUN Gua Musang. Bersatu menelan "kemarahan" sebabnya kemenangan awal (PRN) di DUN Nenggiri (Gua Musang) itu pun atas sokongan PAS. Ini menunjukkan, jika Bersatu bertanding atas kapasiti partinya sendiri, peluang untuk kalah total di Kelantan adalah cukup besar.
Dalam tilikan mutakhir, Bersatu sedang "berselewang" dengan perpecahan dalaman, adanya dua kelompok: satu kelompok mahu kekalkan penguasaan Muhyiddin Yassin manakala satu kelompok lagi mahukan Hamzah Zainudin menerajui parti. Ini termaktub dengan jelas dalam surat layang, termasuk yang mengatakan kesihatan Muhyiddin semakin memburuk. Ia tersebar ketika Bersatu sedang bersiap sedia untuk mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) hari dan esok di Shah Alam (5-6 September 2025).
Biarpun ucapan Muhyiddin berusaha mengukuhkan "perpaduan parti", ia tidak bermakna perancangan halus tidak akan diteruskan, sebabnya, kepimpinan Muhyiddin sudah dianggap sedang alami surut yang tidak boleh ditahan-tahan lagi. Mungkin pada PAT ini mereka cuba menunjukkan "penyatuan", ia tetap memperlihatkan tindakan antara kompromi dan hipokrasi. Ia sekadar menutup masalah dengan nyiru yang sudah bocor dan reput.
BN juga nampaknya sedang memerhatikan sorong tarik MCA dan MIC. MIC sudah memberikan kata dua kepada BN yang kekal ditunjangi oleh UMNO untuk melaksanakan reformasi. Jika tidak berbuat demikian, MIC mungkin akan keluar daripada BN dan juga mungkin menyertai sebuah pakatan baharu yang pernah dibayangkan oleh Muhyiddin beberapa minggu lalu. Setia Usaha Agong Bersatu, Azmi Ali sudah mengesahkan bahawa perbincangan awal MCA dan MIC berlaku, tetapi belum ada keputusan muktamad.
Bagi sekelompok pemimpin UMNO, ia terpulang kepada keputusan MCA dan MIC sendiri, kerana dua parti itu cukup kuat khayalannya ada cahaya lebih luas jika menyertai pakatan baharu, yang turut dianggotai oleh PUTRA, Pejuang, Berjasa dan sebagainya yang bakal menjadikan gabungan parti terbesar (14 buah parti).
Namun, jika diukur daripada track record, hampir kesemua parti yang bakal bergabung itu juga sakan mood "patah sayap" dan hanya sedang "bertongkat paruh". Parti yang lebih gagah dan kuat ialah PAS, tetapi apakah PAS sanggup berkorban kerusi untuk memberikan laluan kepada "rakan" baharu itu?
Ia akan menjadi lebih jelas bahawa parti-parti yang berasaskan Melayu akan bersimpang jalan sesama sendiri. Apakah PAS bersedia berkompromi? Begitu juga dengan kemasukan parti-parti yang mewakili bukan Melayu, yang tentunya ikut mahukan kerusi dalam PRU ke-16. Pada satu sisi, perebutan kerusi akan menjadi hal yang cukup bingit nanti.
Hal yang sama juga akan berlaku dalam parti-parti yang bernaung dalam kelompok parti kerajaan, terutama antara UMNO dan PH. Kalau hanya menggunakan formula "mempertahankan kerusi masing-masing atas alasan kerusi menang", tentunya ia tidak akan menjadi sebuah solusi terbaik. Unsur-unsur dominasi akan muncul kemudiannya seandainya keputusan PRU 16 hampir sama dengan keputusan PRU ke-15.
Percaturan ini walaupun tidak semestinya ikut berjaya dilaksanakan dalam PRU je-16, akan sedikit sebanyak bakal mencari rentaknya dalam PRN Sabah yang akan berlangsung sebelum hujung tahun ini. BN sudah mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan PH, bukan dengan GRS. Sanggupkah GRS bekerjasama dengan PN, sedangkan GRS menjadi sebuah tikaman tajam kepada Beratur dan PN?
Kilasan politik itulah sebenarnya telah melemahkan Bersatu di Sabah, sehingga Bersatu hilang gigitannya. PAS tidak bersedia di Sabah, sebabnya mudah, parti itu tidak mendapat tempat dalam kalangan pengundi. Beberapa kaki percubaan, semuanya gagal melahirkan "anak sulong" di Sabah.
Setakat ini, belum diketemukan rentak dan bentuk yang jelas mengenai politik Malaysia kerana kekuatan mutlak sesebuah parti atau gabungan belum sampai ke garis yang diimpikan. Semuanya masih dalam ujian dan percubaan, sebab itulah kita seringkali mendengar, pakatan hanya sekadar untuk membentuk kerajaan dan tidak mengikat satu sama lain.
KAMARUN KH
