RCI TABUNG HAJI | APA BERLAKU SEBENARNYA?
Oleh: Ibnu Majid
Jika dilayari media sosial beberapa hari lepas, garis masa rakyat didominasi dengan satu isu yang sangat hangat: Laporan RCI Tabung Haji. Dikatakan bahawa sehingga RM 12 billion telah disakau oleh pihak-pihak tertentu.
Namun pemerhati yang lebih tajam akan mempersoalkan mengapa ianya timbul setelah 3 tahun dimuktamadkan? Malah perbincangan RCI Tabung Haji mendominasi media massa di kaca televisyen, dan di atas pentas politik.
Justeru mengapa dokumen rasmi kerajaan dijadikan peluru politik, sedangkan ia sepatutnya dibahas di Parlimen dan kemudian dibawa ke pihak pendakwaan pada tahun 2023 lagi?
Bedah Siasat RCI Tabung Haji
Bila diteliti dan dibedah laporan RCI tersebut secara cermat dan ilmiah, penyata kewangan Tabung Haji 2017 sebenarnya kekal disahkan dengan Sijil Audit Bersih daripada Ketua Audit Negara. Apa yang dipaparkan dalam laporan RCI hanyalah perbahasan teknikal mengenai perbezaan kaedah perakaunan, iaitu pertembungan antara kerangka Prudential Regulation yang diamalkan oleh bank konvensional dengan falsafah kewangan Islam yang berteraskan Maqasid Syariah dan keutamaan pendeposit. Bahkan kaedah penilaian Realisable Asset Value (RAV) yang dikecam, merupakan kenderaan kewangan yang diguna pakai oleh Khazanah Nasional hari ini.
Apa yang lebih membimbangkan adalah tindak balas menteri kewangan ketika itu yang mahu menjual aset-aset TH akibat propaganda "rugi" ini. Tindakan menjual aset TH pada waktu nilai pasaran jatuh berisiko menyebabkan aset-aset strategik umat Islam dijual murah kepada syarikat kroni atau entiti luar, lalu merugikan dana ummah apabila nilainya melambung semula di masa hadapan.
Kesimpulannya, satu portfolio pelaburan yang sama boleh menghasilkan tiga gambaran penyata yang berbeza bergantung kepada kaedah yang dipakai. Isu Tabung Haji bukanlah isu kecurian, penyelewengan, atau "sakau" seperti yang didendangkan. Tetapi demi syahwat politik murahan, perbezaan piawaian akaun ini difitnah sebagai jenayah besar di atas pentas ceramah demi membunuh karakter musuh politik.
Corak 'Pilih Kurang Mudarat'
Isu Tabung Haji ini membongkar satu corak politik yang sangat membimbangkan di Malaysia hari ini, iaitu kebiasaan melemparkan tuduhan dan jenayah rasuah di platform media sosial serta pentas ceramah untuk melabelkan musuh politik sebagai penjenayah. Taktik toksik ini dijustifikasikan oleh satu mantra politik yang ditularkan iaitu: "Pilih mana yang kurang mudarat."
Akibat daripada doktrin "kurang mudarat" ini, para pelakon politik tidak lagi berlumba-lumba untuk membawa gagasan pemikiran yang terbaik. Sebaliknya, mereka berlumba-lumba untuk memfitnah dan membuktikan bahawa pihak lawan mereka 'lebih jahat' dan 'lebih memudaratkan' semata-mata supaya diri mereka kelihatan 'kurang jahat' di mata pengundi. Inilah punca mengapa komunikasi politik di Malaysia hari ini dipenuhi dengan carutan, pendedahan terpilih, dan pembunuhan karakter.
Inilah kerosakan fikiran yang perlu dibetulkan. Umat Islam tidak boleh membiarkan instrumen kerajaan terus dikorbankan di atas altar politik balas dendam (vindictive politics) yang dipacu oleh syahwat kekuasaan.
Solusinya sangat mudah. Jika wujud salah-laku korupsi dan sebagainya, terus siasat, dakwa dan biarkan mahkamah menentukan hukuman yang sewajarnya. Kuatkan lagi undang-undang untuk mengekang rasuah di Parlimen, supaya ahli politik tidak boleh memanipulasi sistem atau agensi kerajaan di masa hadapan.
Tiada keperluan untuk mencanang istilah sakau di atas pentas, supaya dilihat sebagai hero. Sedangkan gerak kerja yang sepatutnya dilakukan masih tidak bergerak. Rakyat bukanlah sebodoh itu, hingga tidak dapat membezakan antara tin mana yang penuh dan mana yang kosong.
Strategi Pembunuhan Karakter
Sebenarnya politik vindiktif ini bukanlah taktik baharu, melainkan playbook lama yang sentiasa dikitar semula. Rakyat tentu tidak lupa bagaimana skandal National Feedlot Corporation (NFC) dahulunya digambarkan secara sensasi di pentas ceramah sebelum gagal dibuktikan seperti tuduhan asal di mahkamah.
Rakyat juga tidak akan lupa bagaimana bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI), difitnah secara terancang melalui dokumen ratusan muka surat semata-mata untuk menjatuhkan beliau menerusi 'Langkah Kajang'. Walaupun akhirnya TSKI terbukti bersih di mahkamah dan pihak penuduh terpaksa memohon maaf, maruah seorang pemimpin yang jujur telah dihancurkan demi syahwat politik.
Hari ini, terma-terma seperti Membongkar, Sakau, Kleptokrasi, sengaja dicipta dan dilabelkan pada setiap isu untuk menagih clicks di media sosial dan mencetuskan sensasi murah di pentas ceramah.
Tetapi rakyat perlu jujur pada diri sendiri: Agenda Reformasi yang sebenar bukannya bermula dengan pertukaran kerajaan atau pendedahan skandal, melainkan wajib bermula di dalam hati dan jiwa rakyat itu sendiri.
Apabila sesebuah masyarakat itu dipenuhi dengan sifat balas dendam, keangkuhan, dan penyakit hasad dengki, mereka secara tidak sedar sedang subur menyediakan tanah untuk lahirnya para pelakon politik yang toksik. Politikus-politikus ini tahu bahawa rakyat ketagih dengan drama fitnah dan sangkaan jahat, lalu mereka terus menggunakan modal "pembongkaran" dan "pembunuhan karakter" untuk meraih sokongan.
Selagi jiwa rakyat tidak diislahkan dengan adab, kejujuran, dan kebenaran, selagi itulah gelanggang politik tanah air akan terus dikuasai oleh mereka yang mahir menjual fitnah dan sensasi demi mengekalkan kuasa.
Pasca-PRN Negeri Sembilan
PRN Negeri Sembilan melihatkan pakatan antara BN dan PN memenangi 25 dari 36 kerusi, sekaligus memberikan majoriti 2/3. Namun respon Pakatan Harapan dengan menuduh ianya akibat Politik Identiti dan sentimen Rasisme sangat tersasar.
Ini adalah kesombongan yang melampau. Ia menunjukkan sikap terlalu angkuh untuk mengaku kelemahan dasar eksekutif, kegagalan menangani kos sara hidup, dan kemungkiran janji-janji reformasi. Sebaliknya, rakyat dan pengundi yang dituduh sebagai rasis.
Lebih hina lagi, naratif ini ditularkan secara sistematik di media sosial melalui rangkaian akaun-akaun bot dan cyber-troopers yang melemparkan celaan ke atas rakyat dengan gelaran "bodoh", "jumud", dan "menghalang kemajuan". Apabila pengundi menggunakan hak konstitusi untuk menuntut akauntabiliti, pengundi dituduh rasis. Inilah racun politik toksik yang sedang merobek fabrik sosial negara Malaysia hari ini.
Amaran Keras Buat Munafiqun
Maka di manakah letaknya adab dan ketakwaan apabila ruang politik yang sepatutnya menjadi amanah menegakkan maslahah dijadikan pentas fitnah dan pembohongan?
Perbuatan merencana fitnah dan pembunuhan karakter, menipu rakyat demi undi, dan kemudian menghina pula rakyat yang tidak menyebelahi mereka adalah manifestasi sifat mutlak golongan Munafiqun.
Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim:
"Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia mungkir, dan apabila dia berbalah (bertengkar) dia melampaui batas (Fajāra)."
Ingatlah amaran Allah SWT di dalam Surah An-Nisa', ayat 145: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah sekali dari neraka (Jahannam); dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka."
Dan ingatlah firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 58: "Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan perempuan-perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak betul dengan apa yang dilakukan oleh mereka, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan (fitnah) dan dosa yang amat nyata."
Para politikus yang gilakan kuasa wajib beringat dan takutlah kepada Allah. Kuasa di dunia ini hanyalah persinggahan yang sangat singkat. Mahkamah akhirat tidak akan menerima alasan strategi politik, mahupun retorik ceramah. Di sana kelak, balasan Neraka Jahannam sedang menanti mereka yang menggadaikan agama dan menzalimi maruah bangsa demi secebis takhta. Rakyat Malaysia wajib celik, berani, dan menolak politik kemunafikan ini.
