SAMPAI BILA BARAT ANTI ISLAM?
Menurut cendekiawan terkemuka Perancis, Maxime Rodinson: ``Umat Kristian di Barat membuat persepsi dunia Muslim sebagai bahaya, jauh sebelum Islam dilihat sebagai masalah nyata.'' Pandangan ini disepakati oleh sejarawan Inggeris, Albert Hourani, yang berpendapat bahawa Islam sejak awal kemunculannya merupakan masalah bagi Kristian (Eropah). Ia melihat Islam dalam keadaan ketakutan dan kejahilan.
Umat Kristian tidak boleh menerima kenabian Muhammad ataupun kesejatian wahyu yang diturunkan kepadanya. Hal yang paling kuat diyakini umat Kristian, menurut Hourani ialah:
``Islam adalah agama palsu, Allah bukanlah Tuhan, Muhammad bukan seorang nabi.''
Seperti dikatakan oleh seorang Crusader abad ke-13 dan Polemisis (kontroversi), Oliver dari Padeborn: ``Islam diawali dengan pedang, dipertahankan dengan pedang dan dengan pedanglah akan diakhiri.''
Persepsi buruk mengenai Islam di Barat sudah mulai ditanamkan di kalangan warga Barat sejak mereka masih kanak-kanak di sekolah-sekolah menengah. Itu dilakukan dengan memberikan gambaran yang keliru atau informasi yang salah dan stereotaip mengenai Islam dan kaum Muslim. Beberapa kajian atau buku-buku teks yang digunakan menunjukkan hal itu.
Di Amerika Syarikat, contohnya, buku karangan A. Manzour dan J. People, Man and Nations: A World History (Manusia dan Bangsa: Sejarah Dunia) 1975. Dalam 878 halaman buku itu, lebih kurang daripada 700 perkataan dimuatkan mengenai Islam sebagai agama.
Paparan mengenai penyebaran, kebudayaan dan hukum Islam hanya diberikan lebih kurang lima halaman. Beberapa informasi tentang Islam tidak begitu tepat bahkan mereka menyebut Islam sebagai agama Muhammad dan menggambarkan Islam sebagai agama yang aneh dan disebarkan dengan kekerasan .
Demikian juga di Britain, situasi buku-buku teksnya juga tidak jauh berbeza, contohnya ketika memaparkan Islam, pandangan para orientalis lebih didahulukan daripada sumber asli; hadis dilihat tidak bermakna sama sekali sebagai bahan sumber sejarah; doktrin-doktrin Islam dikatakan bukan diturunkan melalui wahyu melainkan versi yang diambil daripada sumber- sumber Yahudi dan Kristian.
Situasi ini juga berlaku di Kanada. Dalam pelbagai buku seperti bidang-bidang ilmu sosial, Islam digambarkan secara keliru. Misalnya, Muhammad digambarkan mencuri sejumlah gagasan Yahudi dan Kristian, Kaabah dan zam zam disebut sebagai objek penyembahan dalam Islam.
Ramadan dianggap bulan haji, dan tentera-tentera Islam yang bengis menyebarkan Islam dengan pedang.
Kecenderungan yang sama juga terdapat dalam buku pelajaran yang digunakan di pelbagai sekolah di Jerman. Di dalam buku-buku tersebut Islam digambarkan sebagai ajaran agama yang terlalu bergantung kepada takdir. Buku itu menggambarkan juga bahawa al-Quran bukan sebagai wahyu, melainkan buku tempat Muhammad menuliskan fikirannya mengenai Tuhan. Selain itu, kandungan buku banyak berisi informasi yang menyesatkan seperti jihad disamakan dengan perang suci (crusade).
Namun tidak dapat dinafikan pada abad ke-21 ini terdapat beberapa nama di kalangan ahli fikir Barat yang melihat Islam secara positif. Antaranya ialah Montgomery Watt, Leonard Swidler, Kenneth Cragg, Hans Kung R.C Zaehner, John L. Esposito dan seorang pemikir Kristian terkemuka, Lois Massignon. Massignon percaya bahawa Islam adalah ekspresi daripada keyakinan monoteisme yang asli dan mempunyai misi spiritual yang positif, iaitu mendekatkan kembali para penyembah berhala kepada Tuhan.
Pengaruh yang sama juga terasa dalam diri dan karya Willfred Cantwell Smith, sarjana Kristian Amerika Syarikat yang memulai kariernya sebagai misionari dan mengajar di Universiti McGill, Montreal, Kanada. Beliau juga menubuhkan Institut Pengajian Islam yang bernaung di bawah universiti tersebut.
Dalam Question of Religious Truth (Beberapa Pertanyaan Mengenai Kebenaran Agama), 1967, Smith antara lain, hendak menjawab pertanyaan, apakah al-Quran itu wahyu atau sabda Tuhan. Menurutnya, banyak orang segera mengambil kesimpulan sebelum menyemak isi kitab suci itu; kaum Muslimin sudah yakin akan kebenarannya sebagai sabda Tuhan, sedangkan umat Kristian rata-rata menolaknya, bukan atas dasar bacaan teliti, melainkan atas dasar prasangka. Beliau cuba mencari jalan ketiga.
Di kalangan ahli akademik dan sarjana Barat, salah seorang yang amat menonjol dan aktif menyuarakan pandangan yang positif terhadap Islam adalah John L. Esposito, yang pernah berguru dengan Ismail Al-Faruqi. Dalam Islamic Threat: Myth or Reality? (Ancaman Islam: Mitos atau Realiti) 1995, John Esposito menyatakan bahawa gerakan-gerakan Islam tidaklah menakutkan, seperti yang digambarkan di dalam media Barat.
Menyamakan gerakan-gerakan itu dengan ancaman Khomeinisme, terorisme, ekstremisme, fundamentalisme merupakan tindakan yang melampau. Dalam jangka masa panjang pandangan monolitik seperti ini akan merugikan kepentingan manusia seluruhnya dan mereka akan saling menghancurkan antara satu sama lain. Menurut Esposito, yang harus dikembangkan dalam hubungan Islam dan Barat adalah dialog peradaban.
Di kalangan umat Islam mungkin masih mengingati buku yang ditulis oleh Micheal H. Hart, The 100: A Ranking of the Most Influential Person in History (100 Individu Yang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah). Beliau meletakkan Nabi Muhammad s.a.w. di tempat yang pertama sebagai individu yang paling berpengaruh dalam sejarah serta memberi alasan mengapa dia berbuat demikian. Beliau telah mengatur 100 individu ini mengikut kepentingan mereka iaitu besarnya pengaruh setiap orang di kalangan mereka ke atas sejarah manusia dan kehidupan seharian insan yang lain.
Catatan : Ibnu Majid
