SEBENARNYA AIDILADHA ITU APA?

Sewaktu kecil hanya ada dua hari raya yang diraikan dan dinantikan. Pertama Hari Raya Aidilfitri, yang dipanggil Hari Raya Puasa. Aidiladha pula dipanggil Hari Raya Haji. Oleh kerana orang yang pergi haji biasanya orang dewasa atau tua, maka ia dianggap sebagai perayaan untuk orang tua.

Di Hari Raya Haji, kanak-kanak tidak merasa meriah sebagaimana Hari Raya Puasa. Dua sebab kenapa kurang meriah: Hari Raya Haji tidak ada riuh rendah seperti Hari Raya Puasa. Hari Raya Puasa terasa meriah kerana ia dirayakan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, dan kerana itu, seminggu sebelumnya, cukup ramai ayah ibu menghitung macam-macam, termasuk menu hidangan utama.

Hari Raya Haji tidak banyak persiapan dibuat, bahkan tidak ada aktiviti pasang lampu sepanjang jalan atau kawasan halaman rumah. Tidak ada ibu bapa yang risau anak-anak tidak berbaju baharu, kerana pakaian Hari Raya Puasa boleh dipakai kembali.

Hari Raya Haji meriah dengan jamuan terbuka ramai-ramai, kerana adanya korban lembu atau kambing. Korban itu adalah ibadat, dan dilaksanakan selepas sembahyang sunat Aidiladha sehingga Hari Raya ketiga. Itu bererti mood Hari Raya Haji sekadar tiga hari berbanding Hari Raya Puasa, sehingga berakhir bulan Syawal (raya sebulan).

Setelah dewasa, kita pun tahu bahawa Hari Raya Puasa adalah lebih meriah kerana persiapan sebelumnya yang mungkin dua bulan lebih awal. Ia juga dirayakan sampai sebulan. Rumah terbuka juga banyak dibuat, kadangkala kita 'berperang dengan diri" tidak terkejar untuk menyahut setiap undangan. Hujung minggu jalan jadi sesak di Kuala Lumpur, kerana banyak rumah terbuka. Harga barangan mentah meningkat dan pembekal makanan masak kadangkala tidak cukup tangan menerima tempahan.

Hari Raya Haji tidak ada rumah terbuka, kecuali tiga hari pertama bagi mereka yang melaksanakan ibadat korban. Selepas tiga hari, suasana jadi seperti hari-hari biasa. Namun, jalan-jalan utama ke Kuala Lumpur tetap sesak kerana "perantau" kembali merantau, meninggalkan desa yang menjadi kebanggaan sendiri.

Tahun ini, ramai yang ambil cuti panjang. Ia kebetulan jatuh pada musim cuti sekolah. Turut bersambung dengan dua cuti umum, iaitu cuti Keputeraan Yang Di Pertuan Agong dan Hari Wesak. Orang Sabah dan Sarawak meraikan Hari Gawai Dayak (1 Jun 2026) dan Pesta Kaamatan (30 - 31 Mei 2026).

Kenapa Aidiladha seringkali dipanggil Hari Raya Korban dan juga Hari Raya Haji? Kenapa Aidiladha dikatakan sebagai perayaan orang tua? Lama-kelamaan, saya mula faham kenapa Aidiladha dijoloki sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Dua istilah itu, korban dan haji adalah dua rukun yang terdapat dalam ibadah haji, yakni rukun Islam kelima. Rukun kelima yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang mampu, bukan sahaja dari segi kewangan bahkan persiapan mental dan upaya diri.

Namun, ada juga yang diajarkan kepada kita, walaupun kesihatan tidak mengizinkan tetapi dengan azam yang kuat, ibadat itu tetap dilaksanakan dengan bantuan orang lain. Ia mengingatkan kita kepada kisah Uwais al-Qarni untuk menunaikan hasrat ibunya, yang namanya tidak diketahui dengan jelas hanya tercatat sebagai Ummu Uwais (ibu Uwais) menunaikan haji.

Ummu Uwais mengalami lumpuh tetapi hidup dalam suasana penuh iman dan takwa. Uwais merupakan seorang pengembala kambing yang hidupnya dengan kemiskinan dan sehariannya tidak pernah melupakan Tuhan sejak menerima agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Namun, dua beranak itu cukup zuhud dan sangat mencintai Allah SWT. Uwais menjadi penunjang kehidupan setelah ayahnya meninggal dunia.

Bahkan, ketika Nabi Muhammad SAW patah gigi semasa Perang Uhud, Uwais yang mendengarnya bertindak mengetuk giginya sehingga patah sebagai tanda "simpati" dan empati, sayangnya kepada Rasulullah SAW. Beliau memeluk Islam pada zaman Rasulullah SAW, dan terus mengabdikan diri sebagai seorang hamba Allah SWT yang berserah kepada-Nya tanpa prejudis. Beliau sangat teringin untuk menemui Rasulullah SAW, walau bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian.

Uwais pernah berusaha untuk berjumpa dan berhasrat mendengar sabda baginda, tetapi tidak kesampaian. Uwais pernah meninggalkan ibunya untuk bertemu Rasulullah SAW di Madinah. Setelah berjalan lebih 400 kilometer, sampai di rumah baginda, beliau hampa kerana Rasulullah SAW berada di medan perang. Oleh kerana tidak tahu bilakah Rasulullah SAW akan pulang, dan mengenangkan si ibu tinggal bersendirian, Uwais mengambil keputusan pulang ke Yaman.

Sekembalinya dari perang, Rasulullah diberitahu tentang seorang pemuda datang untuk bertemu, tetapi atas setianya kepada ibu, dia tidak sanggup menunggu lama. Setelah itu, Rasulullah memberitahu puterinya, Fatimah, bahawa pemuda itu adalah "penghuni langit", yang cukup kental imannya dan sangat menyayangi ibunya yang sudah tua, lumpuh dan buta. (kisah ringkas boleh dibaca di: https://www.facebook.com/share/p/1Y1hCdj65G/. Juga dalam buku, Maulana Uwais Ahmed Akhtarul Qaderi, Riwayat Hidup dan Peristiwa Pada Zaman Uwais al-Qarni, P.Jaya: The Biblio Press, cetakan ke-4, 2024).

Uwais menggendong ibunya berjalan kaki dari Yaman ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Uwais tidak mampu membeli unta untuk membawa mereka berdua untuk perjalanan yang sangat jauh itu, ribuan kilometer (antara 1200 hingga 1500 kilometer dalam kiraan masa kini, dan ia bergantung lokasi di Yaman). Uwais bertekad tidak mahu menghampakan hasrat ibunya, lalu beliau mula melakukan persiapan mental dan tenaga untuk memenuhi niat ibunya. Uwais membeli seekor anak lembu. Anak lembu itu kemudian diletakkan di atas puncak sebuah bukit.

Setiap pagi, Uwais mendaki bukit itu untuk menjaga anak lembu. Ia menjadi latihan fizikal berbulan-bulan lamanya, sehinggalah Uwais merasakan ada kemampuan untuk melakukan perjalanan yang panjang itu. Selain perjalanan yang panjang, Uwais juga harus memikirkan bagaimana untuk menanggung beban di belakangnya, dan latihan mendaki bukit itu ikut disusuli dengan membawa beban yang dianggarkan menyamai berat ibunya dan barang-barang yang akan dibawa.

Ada riwayat mengatakan, Uwais berlatih mendaki bukit selama lebih lapan bulan, sehingga anak lembu yang ditempatkan di puncak bukit mencapai berat 100 kilogram. Mungkin itu menjadi anggaran beban yang akan digalasnya nanti, yakni menyamai berat ibunya yang sudah tua dan lumpuh. Uwais juga mengalami masalah kulit, yakni berpenyakit sopak. Kisah Uwais itu membawa makna satu lagi bentuk pengorbanan yang menjadi pengajaran kedua terbesar dalam ibadat haji.

Pada musim haji tahun ini, tersebar video tentang jemaah haji yang uzur dikendung oleh anak atau saudara mara yang ikut bersama mengerjakan haji. Menariknya, ada komen menyifatkan " ramai Uwais'; mereka berkorban tenaga dan sanggup berhadapan dengan cabaran menunaikan hasrat orang tua yang uzur untuk memenuhi rukun Islam kelima itu. Sesuatu yang boleh kita namakan sebagai jihad emosi dan jihad kendiri.

Pengorbanan pertama ialah kisah Nabi Ibrahim AS yang dengan rela dan sanggup mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS setelah mendapat perintah dari Allah SWT. Nabi Ismail AS yang ketika itu menginjak remaja tidak sedikit pun membantah apabila ayahnya menyatakan perintah tersebut. Nabi Ibrahim AS mendapat cahaya mata ketika pertama ketika berusia 86 tahun dari isteri keduanya, Hajar, Ketika berkahwin, Hajar dikatakan masih muda dan lebih muda daripada isteri pertama, Sarah. Namun tidak ada riwayat tentang umur Hajar ketika berkahwin dengan Nabi

Ibrahim. Nabi Ibrahim menunggu terlalu lama untuk mendapatkan cahaya mata, tanpa jemu memohon kepada Allah SWT.

Apa yang kita dapati ialah Nabi Ibrahim tidak pernah berhenti berdoa agar dikurniakan zuriat, dan sangat mengharapkan agar zuriat itu menjadi penyambung generasi. Setelah mendapat zuriat pertama, Nabi Ismail, Nabi Ibrahim tidak lama kemudian dikurniakan seorang lagi anak, dan kali ini menerusi isteri pertama, Sarah yang dikatakan juga sudah berusia. Anak itu ialah Ishak, yang kemudian diangkat menjadi Nabi Ishak, yang dipanggil Isaac oleh penganut Yahudi. Ishak pula mendapat zuriat dan dinamakan Yaacob, yang kelak menjadi Nabi Yaacob (Jacob), dan menjadi simbol kepada kelahiran bangsa Israel.

Kisah pengorbanan Nabi Ismail setiap kali khutbah Aidiladha menjadi kisah yang diungkapkan tentang pengorbanan, ketaatan dan memenuhi perintah Allah SWT. Ia bukan sekadar cerita lagenda, sebaliknya membawa makna bahawa pengorbanan sentiasa dituntut dalam kehidupan umat Islam. Ia meliputi pengorbanan terhadap apa yang kita ada untuk membolehkan fakir dan miskin merasai apa yang mereka tidak mampu. Ia bukan bermakna pengorbanan itu hanya sekadar menyembelih binatang ternakan pada hari Tasyrik.

Kalau bulan Ramadhan sebagai pengorbanan terhadap nafsu, maka dalam ibadat haji membawa pengorbanan puncak yang menjadi titik tolak keimanan seseorang terhadap rahmat yang Allah SWT berikan. Kita berkorban emosi, dengan tidak merasa marah, bosan, benci dan iri hati bila melihat sesuatu yang buruk berlaku. Kita menjadi seorang yang penyabar, dan juga seorang dermawan. Kita bersedia bersedekah tanpa kita rasa perlukan promosi sedangkan kedermawanan seseorang cukup tidak ikhlas bila mencari publisiti media dalam bulan Ramadhan. Akibat tidak sabar, ramai jemaah diuji dengan pelbagai peristiwa ketika berada di Tanah Suci. Kata sesetengah orang, "Allah bayar tunai, apa yang dijual oleh kata-kata" ketika di sana.

Setiap jemaah mengharapkan peroleh haji mabrur setelah melakukan pertaubatan, memohon keampunan dan hapuskan dosa-dosa silam. Kita turut mendoakan agar mereka selamat pergi dan balik selain dari berikan kesihatan yang baik serta berakhir dengan haji mabrur. Petunjuk mendapat haji mabrur bukan dalam bentuk material, tetapi perubahan perilaku dan budaya hidup, meninggalkan kelaziman diri yang bersifat sombong, narsisis dan paling utama ialah dapat memainkan peranan sebagai manusia yang baik, kata-kata dan tingkah laku, selain rajin beribadat dan memahami makna kehidupan bermasyarakat, yakni menjaga hubungan dengan Allah dan menjadi teladan dalam hubungan sesama makhluk.

Namun, setelah kembali daripada mengerjakan haji, ramai yang dilihat cukup alim dan berubah dalam tempoh beberapa minggu. Setelah masa berlalu, ada yang kembali kepada tabiatnya yang lama, tabiat yang tidak menepati Amar Makruf Nahi Mungkar. Kehidupan penuh dengan "menarik" pada untaian kata-kata tetapi melangkaui moral kehidupan "insan yang suci” walaupun sudah merasakan "disucikan" dalam ritual ibadat haji.

Sudah lupa pada makna tawaf mengelilingi Ka'bah, wukuf, saei, melontar (menghalau syaitan) dan sebagainya. Maka, ibadat haji itu seumpama kembara rohani, yang tujuannya membaiki jiwa dan nurani ke Jalan Allah. Tetapi, setelah pulang ke tanah air tidak banyak mengubah tabiat dan perilaku, hanyalah sekadar pelancongan spiritual, tidak membawa kepada kelahiran "insan yang suci'".

Tentunya, "insan yang suci'" seumpama "bayi", suci dosa silam dan berada dalam batasan diri, dekat dengan perintah Allah SWT. Ramai yang berkata: bagaimana boleh diibaratkan sebagai bayi sedangkan diri sudah dewasa? Bayi tidak ada tanggungjawab, tetapi kita sentiasa dihadapkan dengan tanggungjawab: kepada diri, kepada ahli keluarga, kepada masyarakat, kepada negara, dan terbesar adalah kepada-Nya.

"Kami ke sini, atas janji-Mu; juga kerana rasa tanggungjawab dalam memenuhi seruan-Mu.

Kami ke sini, tidak mahu berpisah dengan-Mu: dalam hati, fikir dan nurani. Engkaulah yang menentukan, apa yang akan kami hadapi sekembalinya nanti: Engkau yang kami harapkan, dalam sedar atau lena. "

Sebenarnya, kami sedang diuji dengan kesabaran kerana pengorbanan itu juga adalah sisi-sisi terbesar dalam kamus kesabaran. Tanpa kesabaran, tidak ada pengorbanan. Umpama dalam perkahwinan, dengan pengorbanan emosi, ego ia akan membentuk "kebahagiaan" kerana “kebahagiaan" hadir setelah kita berusaha menjadi seorang yang penyabar dan tidak berkelakuan untuk memenuhi tuntutan ego sendiri.

Lantunan itu mengingatkan pada sebuah puisi garapan Jalaludin Rumi (1207-1273), penyair dan ulama sufi yang terkenal dalam ajaran Jalan Cinta Allah:

"Semalaman aku bersumpah

kusangkakan sampah demi hidup-Mu

Aku tidak akan berpaling pandang dari wajah-Mu

Bila Engkau memukul dengan pedang

aku tidak akan berganjak dari-Mu

Aku tidak akan mencari sembuh dari yang lain

kepedihanku ialah kerana berpisah dengan-Mu

Bila Engkau akan melemparkan aku ke dalam api

aku bukan Mukmin bila berdengki

Aku bangkit dari jalan-Mu

bagai debu

kini aku kembali

ke debu jalan-Mu."

"Sumpah Setia", dari Kasidah Cinta Jalaludin Rumi, Yogyakarta: Narasi-Terawang Press, cetak kedua, 2026, hal.213-214).

KAMARUN KH

 

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com