SENI ITU INDAH
Seni adalah keindahan. Ia merupakan ekspresi roh dan budaya manusia yang mengandungi serta mengungkapkan keindahan. Ia lahir dalam diri manusia didorong oleh kecenderungan seniman kepada yang indah biar apa pun jenis keindahan itu.
Dorongan tersebut memaparkan naluri manusia atau fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kesenian adalah unsur dan alat yang ampuh dalam pertumbuhan pendidikan dan kebudayaan bangsa yang sedang membangun.
Seni sentiasa menjadi perbincangan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan ketamadunan manusia. Ia merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi dan inovasi setiap individu.
Tetapi muzik pula adalah hasil seni berbentuk bunyi-bunyian yang juga terhasil daripada kreativiti seseorang. Islam sebagai sistem hidup yang sempurna mengharuskan hiburan dengan maksud tertentu yang boleh membawa kebaikan.
Seni lagu yang diharuskan oleh syarak boleh menjadi alat mendidik sambil berhibur. Muzik dan tari antara ciri-ciri kehidupan yang melahirkan gerak irama membawa manusia ke alam luas, jauh dan syahdu.
Suara azan membangkitkan ghairah manusia mentakbirkan nama Maha Pencipta. Rentak dan gendang menyemarakkan semangat kepahlawanan para pejuang yang sedang berjuang, pekerja yang sedang bertugas. Rayuan gita (lagu dodoi) seorang ibu dengan penuh pengharapan mempercepatkan pertumbuhan bayi dalam ayunan.
Berbicara mengenai muzik dalam Islam sebenarnya membawa kita membicarakan satu unsur penting dalam tradisi kerohanian Islam, bahkan muzik merupakan satu disiplin ilmu dalam pembaharuan falsafah Islam
Di kalangan ahli sufi Islam, muzik merupakan wahana penting dalam meningkatkan tahap kerohanian di samping membentuk jiwa yang lembut, membangkitkan kedamaian rasa dan ketenangan hati.
Bidang kebudayaan dan kesenian merupakan alat untuk menentukan karakter bangsa. Bidang seni dan kebudayaan dianggap sebagai alat pembangunan. Oleh itu, meninggalkan cabang ini bererti menyisihkan jalan yang boleh membantu mencapai pembangunan bangsa.
Masyarakat Islam sendiri terutama mereka yang terdiri daripada lingkungan alim ulama, perlu mencapai kata sepakat dalam memandang serta menilai masalah seni dan kebudayaan keseluruhannya.
Jika ini adalah pandangan Islam tentang kesenian, mengapa kesenian Islam tidak terdapat dengan jelas pada masa Nabi s.a.w dan zaman para sahabat? Malahan, mengapa sering terdengar ada seperti wujud batasan yang menghalang perkembangan kesenian?
Mungkin kerana pada masa itu proses penghayatan Islam baru bermula, bahkan sebahagian mereka baru dalam tahap membersihkan gagasan-gagasan jahiliah yang telah meresap ke dalam jiwa masyarakat sehingga mereka perlu berhati-hati khususnya oleh baginda Rasulullah sebagai pembimbing.
Sesungguhnya, dunia seni amat indah dan sensitif, disukai dan dicemburui tidak kurang dieksploitasi sehingga menjerumuskan seniman ke lembah maksiat. Hakikat awalnya, seni itu sendiri bersifat murni dan amat bermanfaat untuk membangun hati nurani manusia dan kehidupan orang Islam.
Dewasa ini seni muzik dilihat dari perspektif negatif kerana berdasarkan situasi semasa yang berlaku dalam dunia muzik dan hiburan. Perkembangan seni muzik dan hiburan sama ada di Barat atau negara Islam pada masa ini dilihat banyak memesongkan akhlak dan pemikiran masyarakat.
Realitinya, masyarakat Islam kini dihujani dengan pelbagai ancaman budaya dari Barat yang berbentuk hiburan. Kesenian `sumbang' disalurkan melalui pelbagai sumber dan wahana yang kini menjadi pilihan untuk berhibur menurut selera masing-masing.
Seni muzik telah dilihat sebagai sesuatu yang melalaikan, melekakan, membuang masa dan mendorong manusia melakukan kemungkaran. Dengan kata lain, unsur-unsur harmoni yang positif sudah tidak wujud lagi dan jauh sekali dikaitkan dengan ketenangan, kedamaian, zikir, ketakwaan dan keimanan.
Batas-batas yang tidak wajar dan membawa ke alam maksiat inilah yang dilarang oleh hukum-hukum agama.
Sesungguhnya kehidupan Rasulullah membuktikan bahawa baginda tidak melarang nyanyian yang bukan membawa kepada kemaksiatan.
Nyanyian yang sangat popular di kalangan umat Islam seperti berzanji dan marhaban yang memuji Rasulullah, nyanyian yang sarat dengan nilai-nilai agama.
Lagu-lagu seperti inilah yang dinyanyikan oleh kaum Ansar di Madinah ketika menyambut kedatangan Nabi Muhammad. Sementara itu, Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa dua orang wanita mendendangkan lagu yang isinya mengenang para pahlawan yang gugur dalam peperangan Badar sambil memukul gendang.
Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum muzik dalam Islam sama ada ia dibolehkan atau dilarang. Sebahagian ulama mengharamkan mendengar muzik atau memainkannya secara umum.
Sebahagian lagi membolehkannya, selagi muzik dan nyanyian itu mengandungi nasihat yang tidak bertentangan dengan Islam. Beberapa ulama seperti Imam Az-Zahiri, Imam Syafie, Imam Malik dan Al-Ghazali membolehkan penggunaan alat muzik dan nyanyian selagi liriknya tidak terdapat ungkapan yang tidak baik dan boleh menimbulkan fitnah.
Di samping itu, terdapat beberapa hadis tentang hal ini dan diperkuatkan lagi dengan dalil dalam surah Luqman, ayat 19. Mengulas tentang ayat itu, Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa Allah memuji suara yang baik sehingga tidak dilarang mendengarkan nyanyian yang baik.
Muzik yang harus adalah muzik yang berilmu, membawa kepada kemurnian hati sanubari insan. Muzik yang bersifat kejahilan, merangsang kegelisahan hati nurani insan yang boleh membawa kepada kekaburan kemuliaan insan adalah dilarang.
Seni kata lagu juga harus mengandungi mesej ke arah akhlak mulia dan tidak melanggar batasan akidah Islam. Lagu-lagu cinta yang memuja perasaan terhadap wanita secara berlebih-lebihan misalnya dan terkandung kesesatan nafsu seksual adalah haram.
Sebaliknya, lagu-lagu sedemikian boleh menjadi kebaikan sekiranya seni kata lagu menjurus ke arah pujian terhadap wanita yang baik akhlaknya dan beragama serta mulia.
Namun begitu, pujian atau sanjungan itu bukan ditujukan kepada wanita tetapi kepada nilai-nilai agama yang mulia dan terpapar pada golongan tersebut.
Program-program hiburan berbentuk realiti televisyen semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat hari ini. Persoalannya dapatkah mendekatkan masyarakat terhadap semangat kecintaan kepada negara atau mendekatkan jiwa ke arah ketakwaan dan ketaatan kepada Ilahi?
Catatan:Ibnu Majid
