SIAPA YANG BODOH?
Kalau derma untuk membantu bekas Perdana Menteri membayar denda RM 50 juta bagi membolehkannya dibenarkan menghabiskan sisa tahanan di rumah, Ummi Humairah Bakhit, seorang pelajar Universiti Malaya menganggapnya sebagai satu tindakan bodoh, apa pula dengan derma-derma yang dikumpulkan oleh orang perseorangan untuk membantu membayar saman atau kos guaman akibat fitnah atau salah laku?
Mungkin dia sendiri belum faham, dalam kehidupan di dunia ini banyak hal-hal yang dianggap bodoh telah menjadi sesuatu yang sangat "baik' selepas takrif kebodohan itu menyusut. Ia boleh menyusut akibat kecondongan politik mahupun atas hubungan tertentu yang boleh dipersepsikan sebagai kultus dan ihsan.
Boleh saja kita kaji sejarah, berapa banyakkah idea dan tindakan yang boleh didefinisikan sebagai bodoh menjadi sesuatu yang dipercayai cukup baik hingga kini. Misalnya, kisah seorang ahli bahasa yang terjatuh ke dalam perigi di malam yang gelap. Suara meminta tolongnya didengar oleh seorang ahli sufi yang berjalan-jalan di padang pasir. Setelah mendekati ahli bahasa itu, ahli sufi menawarkan pertolongan membantunya keluar dari sumur. Ahli sufi mengatakan beliau akan cuba, tetapi terlebih dahulu perlu mendapatkan tali bagi digunakan sebagai alat mengangkat (menarik keluar).
Mendengar kata-kata itu, ahli bahasa pun berkata sinis: Sungguh tidak betul tindakan itu. Bahasa ahli sufi itu adalah tidak tepat atau salah. Maka, ahli sufi itu pun pergi meninggalkan ahli bahasa menghabiskan malam tersebut dalam suasana gelap dan kedinginan.
Ahli sufi itu kemudian datang menjelang fajar dengan membawa tali. Atas sifat keikhlasan dan semangat kemanusiaan itu, ahli sufi tidak membalas kata-kata ahli bahasa yang tersalah makna berdasarkan perkataan yang disebutkan itu. Ahli bahasa tidak berfikir bahawa takut itulah yang akan menyelamatkan, tetapi masih berbangga dengan kepakaran berbahasa.
Setelah tali dihulurkan, ahli bahasa itu pun diminta untuk mengikat diri agar tidak terlucut apabila ditarik. Beberapa saat kemudian, ahli bahasa itu berjaya dibawa naik hanya kerana ahli sufi bersedia membantu, walaupun kalau diikutkan hati, tindakan tersebut tidak akan berlaku. Setelah berjaya diselamatkan, ahli sufi itu membalas: Sungguh bahasa tuan cukup baik, tetapi bahasa tuan tidak menyelamatkan tuan daripada kesejukan malam serta keluar daripada perigi.
Ahli sufi itu pun pergi. Ahli bahasa itu kemudian tercengang dan akhirnya menyedari bahawa makna sesuatu, walaupun istilahnya sama, ia akan tetap membawa maksud yang berbeza. Perbezaan itu berlaku kerana berbeza konteks, pengalaman, pengetahuan dan dalam bidang ilmu komunikasi dipanggil rangka rujukan (frame of reference). Maka, walaupun seseorang itu pakar dalam analisis bahawa, wacana atau ahli semantik, ia akan membawa tafsiran berbeza dalam konteks semiotik mahupun situasi dan bagaimana ia diucapkan.
Jadi, sebelum Ummi Humairah Bakhit boleh membuat kesimpulan "tindakan paling bodoh", seharusnya melihat tindakan yang sama atau hampir sama berlaku tatkala derma dikutip untuk tujuan membantu membayar saman, kos guaman dan sebagainya. Jangan tersilap makna atau tafsiran, kerana akibatnya cukup fatal kepada diri sendiri. (Madeleine Beekman, The Origin of Language: How We Learned to Speak and Why, 2026).
Misalnya, dalam sejarah Islam, Abu Nawas digelar orang yang paling bodoh oleh orang ramai tetapi hakikatnya beliau adalah seorang yang bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu perkara atau pertanyaan.
Ada sebuah kitab klasik yang menghimpunkan cerita-cerita dalam dunia persuratan Islam yang dianggap bodoh, aneh dan tidak masuk akhirnya difahami bahawa pembawaan dan pemikiran tokoh-tokoh itu ternyata cukup dilihat sebagai pencerahan.
Kita ambil kisah tentang "tindakan bodoh" menderma untuk membantu Najib bagi meringankan beban membayar denda. Pertama, kutipan dana itu dibuat oleh UMNO bukan diinisiatifkan oleh keluarga Najib. Kedua, UMNO melakukannya sebagai tanda sokongan kepada bekas PM dan juga bekas pemimpin parti. Ketiga, orang yang menderma merasakan perlu berbuat demikian atas sebab, semua akaun yang dimiliki olehnya dan ahli keluarga masih dibekukan. Ertinya, Najib tidak mampu berbuat demikian kalaupun beliau dikatakan mempunyai aset yang banyak.
Kembali kepada contoh yang lain, beberapa orang pemimpin politik pernah dikenakan denda ratusan atas jutaan ringgit disabitkan kesalahan memfitnah. Ada dua situasi yang berlaku, pertama pemimpin itu sendiri melancarkan tabung untuk membantu dirinya menanggung kos perundangan yang cukup mahal. Situasi kedua, oleh kerana parti tidak mahu kehilangan kerusi yang dimenanginya, maka parti mengutip dana untuk membantu menyelesaikan denda.
Kes pertama kita boleh ambil contoh: Lim Guan Eng dan Lim Lip Seng (MP Kepong). Juga kes yang pernah di buat oleh PAS bagi membantu parti membayar kos guaman tatkala menyaman pemilik portal The Sarawak Report ekoran dakwaan parti itu menerima derma RM 90 juta daripada dana 1MDB.
Kes kedua ialah bayaran RM 800,000 yang diputuskan oleh mahkamah ke atas MP Kepala Batas, Dr Mastura Mohamaed dalam saman fitnah terhadap pemimpin DAP dan kaitannya dengan Parti Komunis Malaya yang telah lama diharamkan. Apakah tindakan mengutip derma itu tidak boleh dikategorikan sebagai "bodoh" dan pendermanya adalah mereka yang "bodoh"?.
Kalau masih belum faham saya nasihatkan pelajar UM itu membaca banyak buku-buku yang mengisahkan kisah bodoh seperti tulisan Michael Moore (White Stupid Man), Abu al-Qarim an-Naisaburi (Kitab Kebijaksanaan Orang-Orang Gila) atau Jean-Francious Marmion (Psychology of Stupidity). Bodoh Mr Beans juga ada kebijaksanaan yang ingin dibuktikan dalam situasi baghal, bebal dan bongok.
Secara nalurinya, kita tidak setuju dengan setiap perlakuan yang menyimpang dan menyalahi etika, norma mahupun undang-undang. Tetapi, kita berada dalam kerangka sistem yang sudah dibangunkan sebelum kita mengenalinya, maka mahu tidak mahu kita ikut bersamanya.
Seperti kata Jalaluddin Rumi: Semalam saya berhasrat untuk mengubah dunia. Tetapi, hari ini saya berusaha mengubah diri saya sendiri. Mengubah diri sendiri adalah lebih bijaksana daripada bercita-cita mengubah dunia, kerana dunia akan berubah bila kita berubah terlebih dahulu.
Contohnya cukup banyak. Apakah Nelson Mandela "bodoh" apabila mengambil pendekatan melawan kolonialisme dan apartheid di Afrika Selatan? Apakah perjuangan Mandela itu begitu mudah sebagaimana Ummi buat keputusan bahawa mereka yang menderma untuk Najib sebagai "bodoh"?
Nelson Mandela meringkok dalam penjara, bertahun-tahun lamanya sehinggalah apartheid terus menjadi sumber perlawanan tanpa berpenghujung. Itu adalah kejayaan yang dapat kita fahami.
Najib dibicarakan dan didapati bersalah. Malangnya, ada sesuatu yang nampak tidak adil dalam proses tersebut, bila hasrat itu bercampur antara pembungkusan politik dan kalimat dendam. Walaupun belum terbukti, ramai yang masih percaya ia adalah satu bentuk konspirasi politik. Najib dilihat sebagai mangsa.
Rasulullah SAW bersabda: Katakanlah perkataanmu, tetapi janganlah kamu digoda syaitan." (Riwayat Abu Daud dan Nasa'i, dipetik dari Imam al-Ghazali, Panduan Mengawal Lisan: Kenali Bahaya dan Kegelincirannya, 2003, hal.26. Ia merupakan terjemahan dari kitab Adab al-Lisan, bab ke-25 Ihya Ulumuddin, dalam rubu' al-Muhlikat/perkara-perkara yang membinasakan).
Sebabnya, tidak ada usaha yang benar-benar boleh disifatkan wajar bagi mengambil tindakan ke atas semua yang dilihat terbabit. Kenapa sampai kini tidak ada usaha sungguh-sungguh untuk menangkap John Lo yang dianggap sebagai "master mind"?
Begitu juga dengan beberapa orang yang bersubahat dengan John Lo. Mengapa beberapa orang masih bebas? Apa yang berlaku ke atas aset-aset 1MDB yang dikatakan menjadi liabiliti pada awalnya, sedangkan pada masa kini, cukup dibanggakan.
Awalnya, hutang yang terpaksa ditanggung ialah sekitar RM 31 bilion. Sayangnya, setelah beberapa tindakan dan perkembangan yang berlaku, sudah puluhan bilion wang tersebut berjaya dikembalikan melalui langkah dan tindakan undang-undang. Beberapa lagi aset 1MDB dijual. Aset 1MDB masih berbaki lagi.
Tetapi, kisah hutang 1MDB masih belum selesai, bahkan kadangkala digambarkan seolah-olah rakyat akan terus menanggungnya selama berabad-abad. Terus teranglah, kenapa tidak dilangsaikan seluruh hutang itu.
Jangan buat seperti apa yang dilakukan ke atas TH. Dipindahkan beberapa aset kepada UJSB. UJSB janjikan suntikan wang melalui sukuk. Sukuk telah dibuat, tetapi TH tidak diberikan wang itu. Bila sampai waktu, satu lagi dokumen pemanjangan tempoh dengan kadar yang lebih rendah, tetapi wang tetap tidak diberikan.
Akhirnya terbongkar, UJSB sebenarnya berniaga di atas angin. UJSB alami kerugian, tidak pula diambil tindakan sebagaimana berlaku tindakan terhadap kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings.
Rakyat melihat ada hal yang berlaku sebagai siri pembodohan. KWAP kena "kencing" RM 164 juta. MyEG tidak jelaskan kutipan berjumlah RM 314 juta kepada JPJ. Itu belum lagi beberapa trail yang sedang diperhatikan oleh rakyat berkaitan "kartel" dan "mafia korporat."
Jadi, perbetulkan dahulu apa yang ada dalam tubuh sendiri sebelum memperbetulkan orang lain, atau berteriak sana sini "bodoh". Sebenarnya tindakan membodohkan orang lain itulah perkara yang paling besar kebodohannya.
Apa pula pandangan Ummi Umairah Bakhit bila Presiden Indonesia memutuskan untuk memadam api (karhutla) dengan menggunakan tepung ubi kayu? Bukankah air sebenarnya unsur yang paling mujarab memadamkan api? Kita tahu, kebakaran hutan bukan sahaja apinya membakar pokok, tetapi apinya turut marak di dalam tanah. Hampir kesemua kawasan itu adalah tanah gambut.
KAMARUN KH
