SINDIR MENYINDIR; IKATAN SARUNG MUNGKIN TERBURAI

Nampaknya hubungan antara PAS dan Bersatu yang menjadi tiang kekuatan PN sejak digagaskan bersama pada tahun 2020 bakal berakhir dalam tempoh segera. Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sudah pun membayangkan bahawa parti itu ada kemungkinan bergerak solo dalam PRU 16 nanti, jika kemelut kepimpinan PN tidak dapat diselesaikan.

Setelah sebulan berlalu (sejak 29 Disember 2025), tanda-tanda untuk segera selesai belum muncul, bahkan semakin jelas menunjukkan jalan tidak selari itu tidak akan bertemu di sebuah stesen untuk berhenti seketika.

Muhyiddin mahukan siapa pun yang bakal dipilih mestilah mereka yang menerajui parti komponen (yakni presiden, bukan wakil parti).

Presiden PAS sudah buat pengakuan tidak mahu. Presiden Gerakan juga menolak. Ertinya, belum ada calon yang sesuai, maka secara langsungnya, Muhyiddin masih belum disahkan bukan lagi Pengerusi PN. Beliau masih kekal selagi belum ada keputusan konsensus dibuat. Keputusan yang sepatutnya dibuat minggu lalu, seperti yang digambarkan oleh Presiden PAS, tidak dibuat.

Lantaran kebuntuan itu, maka dicadangkan agar ditubuhkan sebuah majlis eksekutif yang tidak ada ketua (Pengerusi). Nampak menarik tetapi, ia bukan sesuatu yang berkesan. Tidak ada ketua yang akan menjadi kuasa pemutus. Ia mungkin boleh dilihat seumpama anak ayam kehilangan ibu. Di situ akan memungkinkan situasi akan kekal bercempera, perhitungan tanpa penyelesaian, politiking tanpa henti.

Akhirnya, Timbalan Presiden PAS menasihatkan agar semua komponen PN berjaga-jaga daripada anasir luar yang akan mengambil peluang untuk memecahbelahkan. Umumnya mengetahui, ramai yang sudah dapat bayangkan bahawa PN sedang dilandai kemelut yang sukar diselesaikan. Ia mungkin boleh diselesaikan sekiranya PAS berpatah balik, tidak memberi sokongan kepada kelompok Bersatu yang ingin singkirkan Presidennya sendiri. Ertinya, memberi nasihat dan memujuk kelompok itu agar kekal bersolidariti dengan Muhyiddin, sekurang-kurangnya untuk setahun dua lagi.

Muhyiddin sebenarnya sudah menyiapkan rangka kerja yang berbeza. Reaksinya kepada tindakan PAS bersama Dr Mahathir, Muhyiddin merintis sebuah kesepakatan yang lain, "meninggalkan" atau "tanpa persetujuan" PAS terlebih dahulu.

Muhyiddin mahu bentuk pakatan yang lebih besar, yang mungkin boleh memaksa PAS ikut sama dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR). Ertinya, kalau sebelumnya PAS terkenal dengan budaya "bermain di banyak kolam", Muhyiddin juga berusaha ke arah itu. Dengan cara itu, Muhyiddin mampu mengimbangi tekanan politik yang dilakukan oleh PAS. Muhyiddin ada kuasa pengimbang daripada parti lain, walaupun kelihatan kecil dan kurang menyengat. Mereka ada suara yang lebih besar di luar pentas kuasa sebenar. Boleh jadi saluran pendesak ataupun menghentak (lobi melobi).

Pada suatu ketika, PAS berbuat demikian kerana bimbang dengan dominasi UMNO dalam Muafakat Nasional. Atas sebab itu, PAS menyertai Bersatu untuk menubuhkan Perikatan Nasional selain mengharapkan sedikit sebanyak sumber kewangan daripada Bersatu yang muncul "cukup kaya" dan boleh berbelanja besar untuk kempen PRU 14.

PRU 15, kewangan Bersatu tidak jenuh, maka Bersatu kadangkala terpaksa tunduk kepada kehendak PAS. Beberapa bulan lalu muncul dakwaan, Bersatu menyumbangkan dana pilihanraya, untuk membantu parti itu membiayai kempen dan juga membayar deposit calon. Panglima Perang PAS yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN akhirnya membuat penafian, mahukan butiran lanjut sebagai bukti.

Polemik itu kini tidak lagi kedengaran, tetapi ada yang cuba melihat sejarah yang pernah berlaku. PAS pernah dikatakan pernah dapat sejumlah wang daripada UMNO sehingga mampu meletakkan jumlah calon yang sangat besar dalam PRU 13. PAS akan bertindak sebagai "king maker". PRU 14, PAS bergerak dalam Gagasan Sejahtera. Ada dakwaan dapat bantuan daripada parti Ikatan. Tetapi, selepas Ikatan tidak mampu sumbangkan sebarang kerusi, Gagasan Sejahtera dimansuhkan.

Semuanya sudah hilang aura. Bersatu berhadapan dengan kewangan yang semakin terhad bahkan pada suatu ketika sukar untuk membayar gaji pekerjanya. Beberapa buah pejabat parti sudah diberhentikan operasi. Beberapa orang pemimpinnya sedang berhadapan dengan kes rasuah, salahguna kuasa dan penggubahan wang haram, termasuk Muhyiddin sendiri. Muhyiddin terus dipersoalkan kerana enggan bekerjasama membantu menantunya pulang untuk membersihkan nama daripada skandal. Menantunya itu dikatakan menetap di sebuah negara Arab dan mengamalkan gaya hidup mewah.

Kalau Bersatu sedang dikaitkan dengan amalan rasuah atau integriti, PAS pula dikatakan tidak dapat berpisah dengan fitnah. Beberapa orang wakil rakyatnya kalah dalam saman fitnah, dan memaksa kutipan derma dilakukan demi pertahankan kerusi daripada hilang. Beberapa pemimpinnya kekal dengan budaya fitnah walaupun sudah memohon maaf. PAS masih belum bersih daripada dakwaan terima wang sebanyak RM 90 juta yang didedahkan oleh portal Sarawak Report. Tindakan undang-undang yang dimulakan dihentikan. Tetapi ada bukti bahawa penyelesaian itu membabitkan pampasan lebih RM 1 juta.

Trademark itu sukar untuk dihapuskan. Namun, PAS kuat bermain dengan sentimen: membakar dan membuat ujarnya kebencian. Mengecam kerajaan madani yang semakin mengukuh kedudukan dan berprestasi. PAS mengembangkan politik identiti dengan meletakkan kesalahan besar hubungan kerjasama UMNO-DAP yang diistilahkan sebagai UMDAP, sebagai serangan No Anwar No DAP yang menjadi peluru politik dalam UMNO sendiri.

Sebenarnya, tidak ada kerjasama langsung antara DAP dan UMNO/BN. Ia hanyalah kerjasama antara BN, PH, GRS dan GPS. Oleh kerana DAP adalah komponen PH, maka kerjasama tidak langsung berlaku atas keperluan kerajaan madani. Ia adalah kerjasama dalam pembentukan kerajaan perpaduan, dan kekal sehingga akhir edah PRU 15.

Ia berbeza dengan kerjasama - tahaluf siyasi- dalam Pakatan Rakyat. Walaupun UMNO "menyokong DAP", UMNO tidak pernah mengibarkan bendera DAP dan ikut sama dengan demo yang dianjurkan oleh DAP. Itu adalah satu perbezaan yang ketara, perbezaan yang cuba ditutup oleh PAS menggunakan tikar kerecut yang hampir reput.

Juga, belum pernah ada sejarah UMNO memecat ahlinya yang menghentak DAP. Tetapi, PAS lakukan tindakan yang cukup menyimpulkan satu bentuk sokongan kepada DAP ketika dalam Pakatan Rakyat. PAS singkirkan Dr Hasan Ali yang mengkritik budaya politik DAP. DAP cuba menekan agar semua norma dan kelaziman politik diubah, selaras dengan kehendak DAP. Ia dapat dilihat daripada tindakan memanjangkan waktu berhibur (happy hour dan masa operasi) di rumah hiburan yang menjadi lokasi pelancong, penjualan arak di kedai serbanika dan paling epik ialah cadangan untuk tidak membenarkan penganut Islam bekerja di kedai atau restoran dan premis yang menghidangkan minuman arak. Begitu juga dengan kes kehadiran umat Islam di malam Thanksgiving di sebuah gereja di Damansara Utama.

Cukup legenda ialah PAS bersetuju memberikan gelaran kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang sebagai satu bentuk pentadbiran ala Khalifah Umar Abdul Aziz. Prinsip kerjasama antara DAP dan UMNO berlaku setelah diberikan jaminan untuk tidak menyentuh tiga tiang utama Perlembagaan Negara - kedudukan orang Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu- sedangkan PAS sanggup mengubah prinsip perjuangan Negara Islam menjadi Negara Berkebajikan.

Hukum Hudud juga alami kekenduran tindakan, baik dalam ucapan mahupun kesungguhan tindakan melaksanakannya. Tidak juga didesak agar premis judi ditamat atau dikurangkan di Pulau Pinang dan Kedah. Sanusi kemudian lakukan di Kedah, tetapi tindakan itu diputuskan tidak sah oleh Mahkamah. Tidak pula PAS mendakwa ia sesuatu yang "mengancam'" sebagaimana kekalahan kerajaan Kelantan dalam kes Nik Elin dan puterinya. Kekalahan itu segera dilabelkan sebagai Black Friday.

UMNO tidak pernah makan setalam dengan pemimpin DAP dan dalam kes-kes yang berlaku sekarang, beberapa pemimpin UMNO sanggup mencabar atau menghentak pemimpin DAP. Contohnya apa yang dilakukan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh. UMNO tidak memecat keahlian dan jawatan Dr Akmal dalam parti. PAS gugurkan jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor, jawatan EXCO dan keahlian Dr Hasan Ali. Walaupun Dr Akmal meletakkan jawatan sebagai EXCO Melaka, keahlian parti masih kekal.

Tidak ada pekikan UMNO ikut rentak pemimpin DAP sebagaimana dilakukan oleh pemimpin PAS ketika dalam Pakatan Rakyat. Pemimpin PAS bukan sahaja sanggup bersama pemimpin DAP memijak potret pemimpin UMNO bahkan turut berdoa agar Allah SWT melaknatkan pemimpin UMNO yang berkuasa - pecah perut, dibutakan mata dan ditimpa musibah berat. Jika pemimpin DAP lakukan kesilapan, UMNO tidak bersedia berkompromi. Itu adalah satu kenyataan yang cukup jelas dan ketara.

PAS pula sanggup berselindung di sebalik "kunjungan hari jadi" untuk menyatakan bahawa DAP sudah menerima Islam. Akhirnya, konflik muncul lebih besar. Konflik itu membawa kepada hubungan yang semakin bermasalah. PAS tidak tahan lagi, ambil keputusan putuskan tahaluf siyasi. Ketua Pemuda PAS, tentu maklum hal itu, kerana beliau turut menjadi penulis bersama (Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi) mengenai Tahaluf Siayasi PAS dan DAP di Pulau Pinang.

Sejak Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN ekoran "tebuk atap rumah sendiri" dalam krisis politik di Perlis bulan Disember tahun lalu, PAS yang mendakwa bahawa partinya akan mengambil peranan itu masih buntu untuk memilih siapakah penggantinya. Diharapkan pada Presiden, Presiden sudah diketahui secara jelas tidak ada keupayaan. Disandarkan pada Naib Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ada yang menentang atas sebab calon itu dalam kalangan ahli fiqh, selain tidak sesuai dengan realiti politik semasa.

Dicadangkan Timbalan Presiden, khabarnya bukan seorang yang kompeten dan mampu mengendalikan riuh politik semasa. Untuk Sanusi Mohd Noor, ramai yang kecewa kerana acuan politiknya cukup bebal dan kadangkala penuh kenyataan yang membodohkan khalayak. Semua pengumuman projek belum ada satu pun yang boleh dibanggakan sebagai mercu tanda kompetensi wawasan besarnya. Jadi, itulah sebenarnya dilema yang sedang dihadapi oleh PAS, maka mahu tidak mahu, terpaksa meletakkan impian kepada Timbalan Presiden Bersatu.

Muhyiddin sejak mendapat tahu ada percubaan untuk menyingkirkannya dari dalam parti sendiri, diam-diam mengatur langkah mencantas. Beberapa pemimpin yang mendesak beliau berundur dikenakan tindakan disiplin, digantung keahlian dan dipecat. Mereka yang masih dilihat ada kaitan dengan Hamzah Zainudin dikembirikan. Kedudukan sebagai Pengerusi Bersatu Negeri diganti. Itulah puluhan yang ada untuk Muhyiddin. Pilihan itu akhirnya dilihat ikut menjerut PAS walaupun asalnya adalah untuk mengekalkan kedudukan Muhyidin sendiri.

Ketika merujuk kepada kenyataan pemimpin PAS tatkala berdemo Turunkan Anwar bulan Julai tahun lalu, dijayakan parti itu mempunyai ramai calon yang boleh diketengahkan sebagai calon PM. Kalau disusun semuanya berbaris di atas lori, ia boleh dimuatkan dalam empat buah. Namun, tidak diberitahu besar manakah saiz lori yang dianalogikan itu.

Setelah demo Turun Anwar yang dilihat oleh pendokong PN sebagai berjaya menghantarkan isyarat "amaran", Anwar Ibrahim yang mereka sasarkan semakin berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai PM. Kalau diukur dari sokongan awam, ia sudah menjadi petunjuk yang cukup jelas, bukan sahaja mampu menamatkan penggal pentadbiran PRU 15 malah mungkin mencipta kejayaan lebih besar pada PRU 16.

Walaupun muncul pelbagai isu yang cuba digunakan sebagai satu bentuk penafian kecekapannya - flip flop dasar, kebebasan media, rasuah yang melanda sektor awam, perjanjian perdagangan dengan USA, dan sebagainya - gerakan politik pembangkang seolah-olah hilang arah kerana gabungan mereka menjadi semakin tidak ketentuan petunjuk.

Anwar sudah membuktikan bahawa dalam tempoh pentadbirannya, dia sudah memulakan langkah yang tepat di mana nilai ringgit menjadi matawang yang cukup berpengaruh sejak pertengahan tahun lalu. Kini, nilai tukaran telah meningkat lebih 3 peratus, menjadikan matawang terbaik di Asia berbanding Yen, Bhat, Rupee dan Rupiah. Nilai matawang Rupiah Indonesia cukup "anjlok" dan setiap hari rakyatnya yang berada di Malaysia mengepos "semangat menyala bekerja di Malaysia walaupun sebagai kuli bangunan."

Ada yang membuat perhitungan, jika terus kekal bekerja di Malaysia dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, mereka mampu beli sebidang tanah di kampung selain boleh membina sebuah rumah idaman. Hakikatnya, memang Malaysia menjadi lubuk rezeki buat imigran walaupun pembangkang terus memainkan sentimen rakyat terhimpit oleh kenaikan kos sara hidup. Secara perlahan-lahan kerajaan madani berjaya mengatasi kos sara hidup walaupun didakwa oleh pembangkang tidak memadai.

Penjawat awam, pesara dijanjikan kenaikan gaji dan jumlah pencen melalui penyelarasan fasa kedua Januari lalu. Bagi mengelakkan ketirisan barangan bersubsidi, digunakan mekanisme yang semakin menghalang bukan warganegara membelinya, seperti pembelian RON 95 dan minyak masak paket. Mulai April nanti, semua kenderaan yang didaftarkan di luar negeri tidak dibenarkan lagi membeli RON 95 bersubsidi. Langkah itu memberikan makna bahawa hanya warganegara sahaja yang layak mendapat subsidi, bukan warganegara tidak layak.

Itulah yang dinamakan sebagai keadilan ekonomi, bukan "kera di hutan disusui". Namun, kini muncul pula isu bahawa menjelang tahun 2090, seluruh Semenanjung akan menjadi wilayah yang dikuasai oleh pendatang asing, yakni Rohingya. Setakat ini kita tidak pasti kebenarannya, tetapi ia hanyalah satu bentuk spekulasi.

Spekulasi inilah yang banyak digunakan oleh kelompok pembangkang sejak mereka berusaha untuk menjauhkan diri daripada bergabung dalam sebuah kerajaan perpaduan. Mereka berspekulasi, kerajaan perpaduan yang dibentuk tanpa PN adalah sebuah bentuk kerajaan yang penuh muslihat dan perangkap. Dengan nada yakin dan percaya, Presiden PAS memberikan jaminan kerajaan perpaduan tersebut akan tumbang dalam masa yang singkat. Jika tidak tumbang dalam tempoh enam bulan, beliau sanggup membubarkan PAS.

Janji itu belum ditepati walaupun tempoh yang dijanjikan itu sudah lama berlalu. Tetapi yang cukup jelas, setelah tiga tahun mentadbir Perlis, kejayaan yang dibanggakan itu berakhir. Kata beberapa orang anak muda Perlis, satu bentuk hukum karma kecil sudah mula berlaku.

Tidak setakat itu. Kini, karma sedang membesar sehingga boleh meruntuhkan PN. Ia bermula dengan kekecohan kecil tentang siapakah sebenarnya layak menerajui PN. Bersatu dikatakan "kurang layak" berdasarkan penilaian jumlah kerusi yang dimiliki. Atas sebab itu, dicuba untuk "memecahkan Bersatu" dengan menyokong sekumpulan mereka yang ada keinginan besar untuk meminggirkan pengasasnya, Muhyiddin Yassin.

Selepas PRN (Ogos 2023), Bersatu tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan. PAS mencetak kemenangan yang lebih baik, dan PAS mula merasakan kedudukannya lebih dominan. Lantas, sedikit demi sedikit mula menunjukkan ada "perbezaan" dengan Pengerusi Bersatu. PAS mula menjalin kerjasama dengan bekas PM, Tun Dr Mahathir untuk membentuk "payung besar orang Melayu" tanpa mengambil kira perasaan Presiden Bersatu. Presiden Bersatu dan Tun Dr Mahathir pernah berseteru besar, kerana dijatuhkan oleh Muhyiddin, Azmin Ali yang bergabung dengan parti pembangkang (BN) untuk menjatuhkan parti yang menang (gabungan) PRU 15.

Tarikh 29 Januari 2026 menjadi satu lagi mercutanda keretakan dalam PN apabila berlaku ketidakhadiran Presiden atau wakil PAs dalam mesyuarat yang diadakan di kediaman Muhyiddin. Ada alasan, tidak hadirnya wakil PAS kerana berlaku perubahan lokasi dalam tempoh yang singkat. Ada juga surat daripada Muhyiddin yang ditujukan kepada pemimpin parti komponen bocor. Ada juga cerita, Timbalan Presiden Bersatu tidak dijemput. Kecoh jadinya. Kecoh kerana mesyuarat itu tidak menampakkan carik-carik bulu ayam akan bercantum, bahkan mungkin akan gugur ke tanah secara organiknya.

Presiden PAS yang terkenal pakar bahasa majaz (kiasan) mengenai habibat bintang pernah menyindir perebutan kuasa umpama beruk dan monyet berebut pisang. Empat bulan lalu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhil Shaari membuat analogi menggunakan binatang yang sama-sama sukakan pisang terhadap inisiatif PMX meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja. Mengapa pisang dijadikan subjek perebutan? Mungkin dua orang pemimpin PAS boleh menjawab dengan tepat.

Analogi itulah sebenarnya menjadi hal sangat memalukan PAS, Bersatu dan PN. Kalau pisang itu boleh disamakan dengan kuasa, maka itulah sebenarnya yang menjadi pertikaian yang bakal menghancurkan PN. Kita tahu, PN muncul sebagai gerakan politik tidak dijalin dengan semangat yang betul dan ikhlas, maka itulah akhirnya yang terjadi. Budaya "tikam belakang" dan berebut pisang kekal menjadi latar hijrah politik.

Semangat itu tidak kekal lama. PAS mempunyai rekod cemerlang "rebut pisang" yang paling handal. Sudah lapan kali hubungan kerjasama politik terlerai atas kehendaknya memiliki "pisang" walaupun pisang yang direbut itu hanya sekadar enak di makan mentah atau dibuat cekodok sahaja.

Apa yang dapat kita bayangkan ketika ini ialah "ikatan kain sarung" akan terlepas. Bersatu bersepai manakala PAS bakal hilang tenaga profesionalnya sekali lagi bila mahukan pakar fiqh sahaja yang layak memimpin parti. Ia sedang mengulangi perpecahan yang pernah berlaku atas keinginan mengekalkan kepimpinan ulama pada suatu ketika, sehingga munculnya Parti Amanah Nasional (Amanah).

Semangat kepimpinan ulamak telah menolak golongan profesional. Dan, kini, semangat ahli fiqh sedang membedal samudera politik PAS, yang boleh menghancurkan kekuatannya sendiri. Kata orang Kelantan, "kilah kain sendiri dah ada petunjuk bakal terlepah (terlondeh)"; muncul politiking dan sikap yang berbeza dengan Minda Presiden.

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com