SKANDAL NVIDIA DAN MEGASPEED BUKAN SEKADAR CHIP (VII)
Seorang pakar sejarah ekonomi politik, Chris Miller meramalkan chip merupakan punca ketegangan masa depan dunia, kerana chip digunakan dalam semua operasi manusia dari penyimpanan data, operasi perniagaan hinggalah pembuatan senjata, kenderaan moden dan strategi perang.
Tulis Chris Miller, dunia akan dilihat mudah ditakluki sekiranya dapat mengawal industri pengeluaran chip atau semikonduktor. Oleh itu, China dijangka akan membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan chip sehingga melebihi pembelian minyak dan gas. (Chris Miller, Chip War: The Fight for the World's Most Critical Technology, New York: Scribner, 2022).
Andaian itu menepati apa yang berlaku sekarang. Oleh kerana teknologi penyelidikan dan pembangunan chip merupakan flagship terbesar industri teknologi baharu Amerika Syarikat, perdagangannya semakin menjadi senjata "perang" yang cukup hebat. Oleh kerana Amerika Syarikat sudah tidak lagi mampu bersaing dalam industri lain, maka penjualan semikonduktor digunakan sebagai strategi perang melawan penguasaan China dalam perdagangan antarabangsa.
Walaupun China sudah lama bergiat dalam bidang pemprosesan nadir bumi sehingga berjaya mengawal 80 peratus sumbernya, Amerika Syarikat tetap mahu laksanakan apa yang dianggapnya boleh melemahkan dasar perdagangan dan eksport China. Setelah Trump kembali menduduki Rumah Putih, beliau dengan tegas berusaha untuk menjayakan slogan Make America Great Again (MAGA), maka setiap negara perlu membayar tarif yang tinggi sekiranya mahu mengeksport produknya ke Amerika Syarikat.
Ketika dunia automotif berhadapan dengan kekurangan chip, China yang mengawal nadir bumi yang siap diproses memulakan tindakan melarang eksport sebagai bentuk reaksi terhadap dasar Trump yang anti China. Pada tahun 2017, pengeluaran kereta dunia terjejas tetapi China terus mengeluarkan kereta mereka tanpa halangan. Ini kerana komponen pembuatan chip berjaya mereka kawal, dan ia menjadi senjata membalas dasar perdagangan Washington.
Dalam keputusan penggal kedua pentadbiran, Donald Trump melarang penjualan chip kepada China, terutamanya yang berkaitan dengan teknologi AI. Kalau dalam tahun 2017-2018, Donald Trump melarang mana-mana firma teknologi Amerika Syarikat menjual atau bekerjasama dengan firma China dalam pembangunan teknologi 5G, maka kali ini, Trump memberikan kata putus yang cukup tegas, tidak ada pihak yang boleh menjual semikonduktor versi AI kepada China, dan agensi perdagangan Amerika Syarikat akan menyiasatnya. Semuanya perlu mendapat kelulusan Washington. Ia umpama kebenaran terhadap penjualan senjata canggih buatan Amerika Syarikat.
Inilah yang berlaku ke atas Nvidia, pemilik pattern chip yang cukup diperlukan bagai membolehkan semua perkara digerak berasaskan teknologi AI. Nvidia adalah pemain utama dalam reka bentuk dan pemilikan chip AI, sehingga digelar sebagai Raja AI (King of AI). Namun, di tengah-tengah kemuncak itu, Nvidia diserang secara halus agar penguasaannya dapat dibunuh atau dikerdilkan. Ini kerana Nvidia berjaya melonjakkan nilai pasarannya, termasuk peningkatan pelaburan dan harga saham.
Apa yang kita boleh belajar daripada kes tersingkirnya Jensen Huang daripada Nvidia cukup wajar dilihat sentimen sekelompok teknokrat teknologi yang sendiri mencari ruang agar mereka juga mampu memimpin pasaran. Tidak kurang juga sentimen terhadap penguasaan sebahagian besar mereka yang menduduki posisi teratas dalam industri teknologi semakin dikuasai oleh bukan warganegara asal Amerika Syarikat. Maknanya, kulit putih. Kebanyakan mereka adalah dari Asia, seperti Taiwan, China dan India.
Walaupun pada prinsipnya Amerika Syarikat sebagai negara yang menyanjung tinggi prinsip demokrasi dan kebebasan, secara budaya dan politik, ia adalah hal cukup sinis dan prejudis. Sejarahnya sudah berlaku, di mana keturunan bukan kulit putih, walaupun telah menyumbang pelbagai kepakaran, akan tetap dicari ruang untuk menjatuhkannya. Kita boleh kembali kepada seorang yang genius dalam bidang kejuruteraan sibernetik, Qian Xuessen (Hsue-Shen Tsien, 1911-2009).
Qian mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dalam perjanjian dengan China. Amerika Syarikat menawarkan biasiswa atas dasar berjaya mengalah pemberontakan Yihetuan (Boxer) yang menolak kemasukan pihak asing yang berlaku pada tahun 1899-1901. Ketika itu, China dikuasai oleh Dinasti Qing.
Pada tahun 1934, Qian memasuki Universiti Kebangsaan Chiao Tung (kini dikenali sebagai Universiti Jiao Tong Shanghai) untuk mendalami pendidikan dalam bidang kejuruteraan. Beliau kemudiannya sempat belajar setahun dan ditawarkan tempat di Institut Teknologi Massachusetts (MIT). Setelah itu, menyambung pelajaran di Institut Teknologi California (Caltech) sehingga tamat PhD. Beliau kemudiannya bertugas sebagai penguji roket di Caltech.
Semasa Perang Dunia II, Qian dilantik sebagai penasihat saintifik tentera. Selepas tamat perang, Qian menjadi salah seorang pengasas makmal roket, yang kemudiannya menjadi tulang belakang NASA.
Apabila China mengisytiharkan negara itu sebagai People's Republic of China, dan Mao Tse Tung berkuasa (1949), Qian dicurigai sebagai penyokong komunis. Qian dibatasi pergerakannya tetapi mendapat sokongan daripada Caltech, dan seterusnya pada tahun 1955 mengambil keputusan untuk pulang ke China. Beliau menaiki kapal ke Hong Kong, dan seterusnya menaiki keretapi ke Beijing.
Khidmat Qian dipergunakan oleh kerajaan China dan diberi tanggungjawab untuk membangunkan roket, peluru berpandu balistik dan satelit. Selepas kematian Mao Tse Tung, Qian terus menjadi pelopor dalam bidang kejuruteraan angkasa sehingga China menjadi sebuah negara yang mempunyai keupayaan industri senjata canggih.
Walaupun Qian meninggal pada tahun 2009 akibat sakit tua, namanya tetap dianggap tokoh kejuruteraan sibernetik yang menyumbang kepada pembangunan industri ketenteraan dan satelit China. Bagi orang yang mengkaji sejarah NASA, mereka menganggap pengusiran Qian ke China adalah "hal yang cukup bodoh yang telah dilakukan oleh Amerika Syarikat."
Kedua ialah mengenai Morris Chang, pendiri Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), yang menjadi fabrikasi chip terbesar dunia. Morris Chang (Zhang Zhongmou, lahir 1931 di Taiwan). Morris Chang belajar di MIT (BSc, 1952 dan MSc 1953) dan Universiti Stanford (PhD 1964). Sebelum melanjutkan ijazah kedoktoran, beliau bekerja dengan Texas Instruments, yang merupakan pelopor dalam industri pembuatan chip/semikonduktor.
Selama 25 tahun bekerja (1958-1983), beliau tidak dilantik sebagai CEO disebabkan oleh prejudis pentadbiran syarikat. Pegawai yang lebih junior dalam kalangan kulit putih dilantik menduduki pelbagai jawatan penting termasuk CEO. Qian kecewa dengan prejudis dan diskriminasi yang berlaku, lalu mengambil keputusan kembali ke Taiwan.
Tahun 1987, ketika berusia 55 tahun, Morris berjaya membangunkan TSMC, sebagai kilang fabrikasi semikonduktor. Peringkat awal penubuhannya, TSMC tidak mendapat sambutan tetapi dengan kesungguhan dan kepakaran yang dimiliki akhirnya menjadi pengeluar chip terpenting dunia. Menurut Jensen Huang, TSMC mengeluarkan lebih 80 peratus chip canggih dunia, termasuk untuk AI Nvidia, AMD dan sebagainya.
Sebab itulah Amerika Syarikat sanggup mempertahankan Taiwan sekiranya China ingin mengambil alih wilayah tersebut. Taiwan sangat berhati-hati dengan tindak tanduk China, kerana tidak mahu menjadi wilayah China, biarpun sejarahnya adalah sebahagian daripada China.
Ramai teknokrat di Taiwan adalah mereka yang pernah mendapat pendidikan dan pengalaman bekerja di Amerika Syarikat, tetapi menyahut seruan kerajaan untuk kembali berbakti kepada negara. Itulah semangat anak-anak Taiwan dalam menentukan kemajuan dan pembinaan negara dan tanah leluhurnya.
Itulah juga yang dibimbangi akan dilakukan oleh Jensen Huang sekiranya kepakaran dan kebolehannya diketepikan oleh sistem budaya yang masih belum terlepas daripada prejudis dan diskriminasi kulit putih. Kini, muncul cerita tentang "Hokkien Connection" dalam kelompok usahawan di Amerika Syarikat, sebagai satu bentuk penghinaan ke atas warga Taiwan yang meraih kekayaan di sana.
Dikatakan sudah muncul "Hokkien Club" dalam komuniti pemimpin dan pengurus tertinggi syarikat semikonduktor: Jensen Huang, Lisa Su, dua orang keturunan China Malaysia (Hock Tan, CEO Broadcom dan Lip-bu Tan (CEO Intel) dan CC Wei (CEO TSMC). Ia seolah-olah mengulangi dakwaan dan kerjasama keturunan China dalam Bamboo Network.
Selain itu, salah seorang eksekutif kanan Nvidia yang berasal dari India, Jay Puri ikut dikaitkan kerana beristerikan seorang wanita Asia bernama Cenly Fen. Eksekutif kanan tersebut sedang disiasat kerana ikut menjadi orang yang bertanggungjawab menjual chip dan pelayan kepada Megaspeed yang dikatakan sebagai transit sebelum dieksport semula ke China.
Sedangkan, secara jelasnya Jensen Huang yang sudah bersebati dengan budaya Amerika sejak berumur sembilan tahun, dididik, membesar dan meraih kejayaan luar biasa untuk Amerika tetap dicurigai, walaupun menjelaskan Amerika tetap di hati dan tidak mungkin meninggalkannya.
(bersambung)
MONOSIN SOBRI
