SOLAT JUMAAT DI PARLIMEN
Oleh: Ibnu Majid
PENGUMUMAN SOLAT JUMAAT DI PARLIMEN
Pada 5 Oktober 2026, Dewan Rakyat menyaksikan satu pengumuman yang julung kali dibuat dalam sejarah pentadbiran negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, memaklumkan di dewan yang mulia bahawa satu sesi Solat Jumaat khas akan didirikan di Kompleks Parlimen sempena Hari Pembentangan Belanjawan 2027. Justifikasi rasmi yang diumumkan kepada awam adalah ringkas: “Bagi memudahkan pergerakan Ahli-ahli Yang Berhormat yang beragama Islam.”
Sebagaimana lazimnya isu-isu agama di Malaysia, ia dengan pantas mencetuskan Polemik Fikah: Adakah ini satu bentuk kemudahan dan keanjalan syarak, atau ia satu pelanggaran terhadap disiplin Dhawabit Syarie mengenai perbanyakan tempat Solat Jumaat (Ta'addud al-Jumu'ah)?
PERBAHASAN FIKAH
Dari sudut Fikah, isu Solat Jumaat di Kompleks Parlimen sebenarnya mempunyai dua sudut pandang yang berasas.
Di satu sisi, pihak yang membolehkannya, yang diperjelaskan secara rasmi oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menegaskan bahawa bangunan masjid bukannya syarat sah Solat Jumaat. Syarak membenarkan Ta'addud al-Jumu'ah (penambahan tempat Jumaat) sekiranya wujud keperluan (Bihasab al-Hajat), seperti kawalan keselamatan yang ketat, kepatuhan jadual pembentangan Belanjawan, dan pengurusan logistik ratusan Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan. Malah, ia disokong oleh kebenaran Pihak Berkuasa Agama dan Ulil Amri, di dalam konteks ini adalah MAIWP.
Namun dari sisi lain, para pakar Fikah Syafi'iyyah dan pengkritik berhujah bahawa hukum asal Solat Jumaat wajib dihimpunkan di satu tempat. Kelonggaran hanya diberikan sekiranya wujud kesukaran sebenar yang terbukti. Dengan jarak Masjid Negara yang hanya 1.9 kilometer dari Parlimen dan berkapasiti sehingga 15,000 jemaah, alasan supaya memudahkan untuk menyusun jadual dinilai sebagai Tahsiniyat (keselesaan), bukannya Hajat Syarie yang mengharuskan penambahan tempat Jumaat.
Kedua-dua hujah ini mempunyai landasan Fikah masing-masing. Namun hakikatnya, isu Parlimen ini hanyalah cermin kepada satu penyakit yang lebih parah di dalam sosio-politik Muslim di Malaysia.
PERLUMBAAN 'OPTICS' SIAPA YANG 'LEBIH ISLAM'
Di negara kita hari ini, dengan adanya media sosial, umat Islam sedang menyaksikan satu pertandingan politik untuk dilihat "Siapa Yang Lebih Islam" di mata orang awam.
Daripada blok kerajaan sehinggalah ke barisan pembangkang, para pemimpin dan politikus Islam seolah-olah bertungkus-lumus, bersaing menunjukkan simbol-simbol ketaatan. Setiap langkah, pentas, dan penganjuran dirancang rapi. Tetapi ia dilihat bukan lagi berorientasikan impak jangka masa panjang kepada ummah secara amnya, tetapi berdasarkan Optics dan persepsi di media sosial.
Banyak inisiatif, program, dan simbolisme keagamaan yang diumumkan hari ini seolah-olah dirangka bukan untuk menyelesaikan krisis sebenar rakyat di bawah, seperti krisis ekonomi, pengangguran belia Muslim, kemerosotan moral, atau hilangnya adab. Sebaliknya, sebahagian besarnya dibuat demi menjaga hati “Boss” atau pihak atasan, menyenangkan kepimpinan tertinggi, dan membina imej 'mesra Islam' di mata pengundi.
Agama kini diturunkan darjatnya daripada satu sistem nilai dan disiplin kebenaran, menjadi sekadar 'kosmetik' untuk menunjuk-nunjuk, hatta demi political mileage.
Apabila penganjuran program keagamaan dijadikan KPI dan alat pengukuhan kuasa, kita sebenarnya sedang menghasilkan sebuah kepimpinan yang kaya dengan simbolisme, tetapi muflis dari segi substansi.
BERGADUH DEMI ALGORITMA
Yang paling tragis di sebalik pakaian simbolik keagamaan ini ialah watak sebenar di sebalik pentas. Meskipun di hadapan kamera para pemimpin politik tampil dengan imej Islamik dan penganjuran majlis-majlis ibadah, namun di medan media, pemimpin Muslim dari kedua-dua belah jurang politik masih tegar bersengketa dan mencaci secara terbuka.
Agensi-agensi penguatkuasaan dan undang-undang negara dilihat seolah-olah dijadikan 'senjata' politik untuk menjatuhkan lawan di media. Pada masa yang sama, platform media sosial digunakan secara terancang untuk menyemai benih kebencian, fitnah, dan persepsi jahat sesama saudara seIslam, semuanya demi mengejar angka engagement dan pengaruh algoritma.
Ini adalah satu hipokrasi politik yang amat dahsyat. Islam dijadikan perisai untuk mempertahankan diri apabila diserang, dan Islam juga dijadikan pedang untuk menyerang musuh politik. Inilah kemuncak kerosakan pemimpin yang kemaruk akan kuasa, apabila nilai moral Islam dikorbankan demi menjaga takhta.
RESOLUSI — SERUAN KEIKHLASAN DAN ADAB BERAGAMA
Solat Jumaat di Kompleks Parlimen sudah tentu akan dilaksanakan. Dari sudut hukum, ia mungkin mempunyai ruang keharusan. Namun, ia wajib menjadi titik muhasabah buat seluruh barisan kepimpinan negara, sama ada di pihak Kerajaan mahupun Pembangkang.
Umat Islam di Malaysia tidak memerlukan lebih banyak pementasan Optics atau simbolisme keagamaan yang lahir daripada ketidakikhlasan politik. Rakyat dan ummah memerlukan kepimpinan yang Ikhlas, Beradab, dan Beramanah.
Sudah tiba masanya para pemimpin politik memanfaatkan platform media sosial mereka bukan lagi sebagai gelanggang penyebar benih kebencian, sebaliknya sebagai wadah menyemaikan perpaduan, kerana apabila pimpinan menunjukkan keteladanan yang jernih, rakyat di bawah akan mengekorinya.
Pemergian Almarhum Tun Dr. Siti Hasmah baru-baru ini membuktikan bahawa perbezaan fahaman politik mampu dileburkan demi penghormatan dan kasih sayang; maka janganlah menunggu kematian serta air mata, barulah rakyat dapat melihat pemimpin umat Islam beradab dan bersatu.
Kembalikanlah kemuliaan Islam kepada hakikatnya yang sebenar. Hentikan persaingan dangkal untuk kelihatan 'Siapa Yang Lebih Islam', dan mulakan persaingan sihat untuk memperkasakan taraf hidup, maruah, dan keadilan buat rakyat marhaen di bawah. Bawa kembali keikhlasan dalam beragama, dan pupuk semula adab dalam berpolitik.
