SURAT TERBUKA KEPADA DAP DAN YANG SEPEMIKIRAN DENGANNYA.
DARIPADA SEORANG MELAYU.
Oleh Ustaz Noor Deros
Kepada DAP,
Sudah sampai masanya kamu berhenti menyalahkan orang Melayu dan mula bermuhasabah dengan jujur dan tanya soalan ini:
Mengapa kamu masih ditolak oleh majoriti orang Melayu?
Jangan terlalu cepat menuduh orang Melayu sebagai kolot, sempit, rasis, tidak rasional, tidak boleh berubah, atau terlalu terikat dengan sentimen lama. Tuduhan-tuduhan seperti itu mungkin menyenangkan penyokong kamu sendiri, tetapi ia tidak menjawab persoalan sebenar.
Orang Melayu bukan bangsa yang tidak pernah berubah dan tidak boleh berubah.
Dalam sejarah, orang Melayu pernah berubah berkali-kali. Pandangan alam kami pernah berubah. Sistem kepercayaan kami pernah berubah. Cara hidup kami pernah berubah. Kami pernah melalui fasa Hindu-Buddha, animisme, pengaruh istana lama, pengaruh luar, kemudian datang Islam dan mengubah jiwa bangsa ini dengan sangat mendalam.
Jadi persoalannya bukan “Mengapa orang Melayu tidak mahu berubah?”
Tapi “Mengapa orang Melayu begitu teguh dengan Islam?”. Ini yang kamu harus tanya dan fikirkan dengan dalam.
Jawapannya mudah, tetapi kamu mungkin berat untuk menerimanya.
Ia adalah kerana bagi kami, Islam bukan sekadar identiti budaya. Islam adalah kebenaran yang merentas masa, tempat dan bangsa. Islam adalah pandangan alam menyeluruh. Islam adalah sumber makna. Islam adalah asas moral. Islam adalah akar kepada kemelayuan kami yang moden dan beradab.
Kalau kamu benar-benar mahu capai sedikit kejayaan, belajarlah daripada sejarah dakwah Islam di Alam Melayu. Para pendakwah tidak datang sekadar membawa slogan kosong. Mereka datang membawa agama, ilmu, adab, akhlak, makna hidup, sistem nilai, dan pandangan alam yang lebih tinggi. Orang Melayu menerima Islam bukan kerana paksaan, tetapi kerana Islam itu sendiri memiliki kekuatan kebenaran yang menembusi jiwa.
Inilah yang kamu gagal faham, selepas berpuluh bahkan beratus tahun duduk di Tanah Melayu.
Kamu gagal bukan semata-mata kerana kamu bodoh. Kamu gagal kerana apa yang kamu cuba bawa sebagai alternatif pengganti kepada Islam itu sendiri terlalu dangkal apabila dibandingkan dengan Islam.
Kamu membawa slogan, Islam membawa makna. Kamu membawa sekularisme, Islam membawa pandangan hidup yang menyeluruh. Kamu membawa politik identiti atas nama kesamarataan, Islam membawa keadilan yang berakar pada wahyu, adab dan tanggungjawab.
Sejak Islam sampai ke Alam Melayu, bangsa ini telah melalui penjajahan Portugis, Belanda, British, Jepun, ancaman komunis, sekularisasi, liberalisasi, globalisasi dan pelbagai gelombang pemikiran luar. Tetapi orang Melayu tetap teguh dengan Islam. Kamu sepatutnya bertanya apa sumber keteguhan itu?
Mengapa selepas segala bentuk serangan dan tekanan penjajah yang tidak henti-henti, Islam masih kekal sebagai nadi bangsa ini?
Mengapa penjajah datang dan pergi, ideologi datang dan pergi, tetapi Islam tetap bertahan?
Mengapa setiap kali ada projek politik yang cuba mengecilkan Islam, orang Melayu bangkit mempertahankannya?
Jawapannya kerana Islam bukan aksesori bangsa Melayu. Islam adalah jantungnya.
Sebab itu, apabila kamu membawa gagasan “Malaysian Malaysia”, orang Melayu nampak sesuatu yang lebih dalam daripada slogan penyamarataan. Kami nampak projek untuk mengenepikan kedudukan Islam, mengenepikan bahasa Melayu dan kemelayuan, mengecilkan institusi raja, dan mencairkan asas sejarah negara ini.
Tiada alasan retorik yang boleh kamu beri untuk menafikan hakikat ini. Kami sudah belajar daripada sejarah. Ada contoh-contoh jelas di sekeliling kami yang kami boleh lihat sendiri.
Dalam istilah “Malaysia” itu sendiri ada “Malay”. Tanah ini bukan ruang kosong tanpa sejarah. Kemelayuan di sini dibentuk oleh Islam, institusi beraja, bahasa Melayu, adat dan budaya Melayu. Empat perkara ini bukan hiasan pinggir. Ia adalah tiang seri negara.
Tetapi apa yang kami lihat daripada perilaku politik kamu selama ini? Kamu kelihatan tidak senang dengan Islam sebagai asas negara. Kamu tidak selesa dengan institusi diraja.
Kamu tidak benar-benar mengangkat bahasa Melayu sebagai jiwa kebangsaan. Kamu tidak memahami budaya Melayu kecuali sebagai sesuatu yang perlu “direformasi” menurut selera liberal-sekular.
Hakikatnya, kamu berada di Tanah Melayu, tetapi kamu tidak menyukai banyak asas kemelayuan itu sendiri.
Maka jangan hairan jika orang Melayu tidak akan mempercayai kamu.
Saya menyeru DAP dengan terus terang: tinggalkan gagasan Malaysian Malaysia, tinggalkan sekularisme, dan masuklah ke dalam Islam.
Kalau kamu merasakan kamu lebih cerdik, lebih cekap, lebih layak memerintah negara ini, maka ada satu jalan paling mulia untuk benar-benar diterima oleh orang Melayu, yaitu masuk Islam, perbaiki bahasa Melayu, hormati institusi diraja, fahami sejarah negara ini, dan jadilah saudara kami yang sebenar-benarnya.
Orang Melayu tiada masalah mengangkat sesiapa sahaja yang jujur, berkemampuan, beradab dan berpijak pada asas Islam. Kami tidak menolak manusia kerana keturunan. Islam sendiri mengajar bahawa kemuliaan bukan pada warna kulit atau darah, tetapi pada taqwa, ilmu, amanah dan keadilan.
Tetapi jangan datang kepada kami dengan projek sekular mundur yang mahu mengajar kami membuang agama kami sendiri.
Kamu yang perlu tinggalkan sekularisme. Tinggalkan Malaysian Malaysia sempit yang kononnya moden tetapi sebenarnya miskin makna. Tinggalkan taqlid buta kepada Barat. Kamu sebenarnya tidak memiliki apa-apa yang lebih tinggi untuk ditawarkan kepada umat Islam.
Dunia hari ini sudah melihat kemunafikan besar atas nama hak asasi manusia, liberalisme, demokrasi Barat dan sekularisme. Prinsip-prinsip itu dilaungkan apabila menguntungkan mereka, dan dilupakan apabila mangsanya adalah umat Islam. Gaza telah membuka mata dunia. Iraq, Afghanistan, Syria, Libya dan banyak lagi telah menjadi saksi. Barat yang kamu kagumi itu tidak sebersih yang kamu sangka. Bahkan mereka lah setan dunia sebenar yang kamu sangkakan sebagai Umat Islam selama ini.
Masalah kamu ialah kamu terlalu lama mewarisi cara fikir penjajah. Kamu menolak Islam bukan kerana kamu benar-benar telah mengkajinya secara adil. Kamu menolak Islam kerana kamu mewarisi prejudis British, permusuhan Barat terhadap Islam, dan pandangan sekular yang menganggap agama mesti disempitkan ke ruang peribadi.
Kamu tidak sedar bahawa kamu sedang bertaqlid buta kepada Barat sambil menuduh orang Melayu bertaqlid kepada tradisi.
Alasan bahawa kamu menolak Islam kerana orang Melayu lemah, miskin, mundur atau tidak cekap adalah alasan yang sangat dangkal. Bezakan antara agama dengan kelemahan sebahagian penganutnya. Kalau sebahagian Muslim lemah, itu bukan bukti Islam lemah. Kalau sebahagian orang Melayu gagal, itu bukan bukti Islam gagal.
Islam pernah membina tamadun kelas dunia. Islam pernah memimpin ilmu, falsafah, sains, undang-undang, perdagangan, seni bina, pendidikan dan pemerintahan. Bahkan hingga hari ini, Islam tetap memiliki kekuatan rohani dan intelektual yang tidak mampu diberikan oleh sekularisme.
Kamu sebenarnya tidak mempunyai hujah kukuh untuk membuktikan bahawa sekularisme lebih baik daripada Islam. Yang kamu ada hanyalah slogan, menakut-nakutkan, prasangka, dan contoh buruk sebahagian orang Islam yang kamu jadikan alasan untuk menolak Islam keseluruhannya.
Itu bukan kecerdikan. Itu kemalasan.
Kamu boleh membenci Islam, kamu boleh menolaknya, kamu boleh memperlekehkannya, tetapi kamu tidak akan mampu menghapuskannya dari jiwa Melayu.
Ia bukan sekadar gerakan politik. Ia adalah agama Tuhan sebenar yang Maha Esa. Ia tidak akan kalah.
Barat pula sedang menunjukkan tanda-tanda kejatuhan moral, sosial dan intelektual. Sekularisme gagal memberi makna. Liberalismenya gagal menjaga keluarga. Hak asasi manusianya gagal apabila berdepan kepentingan kuasa. Demokrasi Baratnya gagal apabila wang, media dan lobi menguasai keputusan. Individualismenya melahirkan manusia yang sunyi, keliru dan hilang arah.
Dan kamu masih mahu menjual barang lama, mundur dan beracun itu kepada orang Islam?
Bahkan kini Islam sedang bangkit cergas, khususnya di Barat, tanah asal tuan kepada aqal kamu.
DAP, PKR dan semua yang sekapal dengan projek sekular-liberal ini perlu bermuhasabah. Kamu mungkin menang kerusi. Kamu mungkin menang bandar. Kamu mungkin menang undi kelas tertentu. Tetapi kamu belum menang hati umat Melayu-Islam, kerana kamu tidak memahami jantung umat ini.
Jantung itu ialah Islam.
Kalau kamu benar-benar mahu masa depan bersama orang Melayu, jangan minta kami mencairkan Islam demi kamu. Sebaliknya, dekatilah Islam dengan jujur. Fahamilah ia. Masuklah ke dalamnya. Jadilah sebahagian daripada umat ini bukan sekadar secara politik, tetapi secara iman, adab dan pandangan hidup.
Kami tidak perlukan kamu datang sebagai guru sekular yang mahu membetulkan cara fikir dan agama orang Melayu.
Tinggalkan kesombongan ideologi. Tinggalkan warisan pemikiran penjajah. Tinggalkan permusuhan terhadap Islam yang kamu warisi tanpa sedar.
Sekali lagi, kaji Islam dengan jujur dan masuklah Islam. Dengan Islam kamu hanya akan makin maju, mulia dan kaya.
Dan selepas itu, kalau kamu jujur, berilmu, amanah dan berkemampuan, orang Melayu tidak akan keberatan mengangkat kamu sebagai saudara dan pemimpin.
Tetapi selagi kamu datang dengan projek jelas mengenepikan Islam, jangan salahkan orang Melayu jika kami terus menolak kamu.
Akhirnya usaha berdekad-dekad kamu akan sia-sia.
Sumber: https://www.facebook.com/share/p/1CgeB97ztp/
Dipetik daripada bebasnews.my
