TERGAMAKNYA MEREKA LAKUKAN; DOSA SEMAKIN TIDAK TERBATAS

Kutipan zakat yang tujuannya untuk membantu golongan asnaf, sanggup mereka selewengkan. Bukan sedikit, jutaan ringgit hilang, tetapi pelakunya tidak pula rasa bersalah, malah ada yang merasa bangga dengan kelicikan cara boleh membeli pelbagai aset yang hanya "mampu bermimpi" oleh ramai orang. Kayangan sungguh mereka, rumah banglo jutaan ringgit, longgokan kereta mewah dan macam-macam lagi yang tidak dapat digapai oleh orang biasa.

Terbaharu, RM 230 juta dana zakat sudah dicairkan oleh orang dalam dan bersengkongkol dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Heboh seluruh negara, bukan lagi pegar yang diharapkan menjaga padi, pegar bukan hanya sekadar makan padi, bahkan ikut merosakkan sawah itu sendiri.

Kisah burung pegar, bukan kisah yang hanya membabitkan persoalan survival. Ia sudah melangkaui soal tamak, haloba dan ingin menguasai seberapa banyak material biarpun caranya adalah salah, atau cukup berdosa. Mereka yang melakukannya, bukan tidak tahu aturan agama, tetapi mereka bijak mengatur langkah untuk menipu, hanya kerana mahu memenuhi "kehendak" yang tidak terbatas.

Dari perspektif humanistik, perbuatan itu adalah satu bentuk kemuncak daripada "sebuah persaingan" yang lahir daripada "agama industri". Menurut Erich Fromm, seorang sarjana sosiologi dan juga ahli falsafah yang berpengaruh dari Jerman, kemunculan industri telah melumpuhkan makna humanisme. Dalam bukunya, To Have or To Be (1997), yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia, Dilema Jiwa Manusia: Antara "Hasrat Memiliki" dan "Hasrat Menjadi"(2019), ia berpunca daripada "janji besar kemajuan tanpa batas" Janji besar kemajuan tanpa batas (janji besar) ialah bagaimana "hasrat memiliki" kepada sesuatu telah menjadikan manusia sentiasa berusaha mendominasi alam, material kerana "menguasai" itu dianggap sebagai "kebahagiaan tertinggi".

Sejarah peradaban manusia, tulis Erich Fromm, "peradaban kita dimulai saat ras (bangsa) mulai mengambil kendali aktif atas alam. Tetapi, kendali itu tetap terbatas hingga majunya zaman industri. Dengan kemajuan industri, dari digantikannya energi haiwan dan manusia dengan energi mesin dan energi nuklear hingga digantikannya akal manusia dengan komputer, kita boleh merasa bahawa kita sedang menuju produksi tanpa batas, dan kerananya, konsumsi tanpa batas." (hal.11).

Lantas, perubahan dan kemajuan itulah yang sangat ditakuti oleh seorang lagi pemikir kontemporari tentang bahaya teknologi. Yuval Noah Harari banyak memperkayakan tentang kegelojohan manusia apabila teknologi semakin canggih, kerana teknologi itulah juga yang akan menghancurkan peradaban yang beradab.

Buku-bukunya cukup menjadi fenomena, dan menggambarkan betapa getirnya "perangai manusia" sehingga makna "Sapiens" yang diberikan menjadi sesuatu yang sangat menakutkan. Apa tidaknya, semakin maju teknologi dan pemikiran manusia, keberkatan sosial menjadi semakin besar dan dilakukan secara bersindiket, bukan lagi melibatkan seseorang secara individu.

Katanya, dalam sebuah video pendek di media sosial, kemajuan AI (kecerdasan buatan) bukan sahaja bakal menggantikan peranan manusia, bahkan syarikat-syarikat yang mengendalikan "mesin yang dibangunkan oleh manusia" itu boleh menyaman "manusia", bukan lagi manusia menyaman sesama sendiri atas apa yang dianggap salah dan tidak beretika.

Suatu kemusnahan yang cukup fatal apabila Google boleh menyaman seseorang. Microsoft boleh melenyapkan usaha individu untuk meneruskan kelangsungan hidupnya apabila menghadap pangkalan data. Bahkan, lebih mendukacitakan apabila syarikat-syarikat teknologi menjual "data peribadi" untuk meraih keuntungan besar.

Walaupun ada undang-undang, tetapi undang-undang tetap ada kelemahan yang dapat meloloskan semuanya itu. Ia bukan lagi soal "benar atau tidak", tetapi lebih berpaksikan kepada "bagaimana jejak itu dikesan." Ertinya, bagaimana sesuatu yang sangat teknikal itu difahami dan dipergunakan sebagai bukti. Jelas pengarang buku Nexus (2024 ), Sapiens (2011) dan Homo Deus (2015), kekayaan sekarang bukan lagi milik individu atau manusia (human being) tetapi milik syarikat AI (rujuk: https://www.facebook.com/share/v/1BimUnHSAk/).

Kehidupan semakin "berhijrah" dan meninggalkan moral kehidupan lama yang diperjuangkan oleh doktrin sosial dan agama, kerana "kehendak" menjadi lebih banyak. Kehendak yang lebih banyak itulah menciptakan pula kaedah untuk memilikinya, sama ada secara "benar" hinggalah "langkah kebenaran". Konsep "benar" semakin berubah dan berpindah makna. Benar yang pada awalnya merujuk kepada "sosial, agama dan adab" dipertaruhkan dengan bentuk pergeseran baharu, yang akhirnya, dicelah-celah itulah munculnya istilah relatif.

Kebenaran bukan lagi sebuah penentuan batas atau sempadan bertindak, kerana semuanya haus oleh lojik pemikiran, rasional dan realiti zaman. Maka, di situlah "kebenaran" mula dibina sempadan baharu, yang diikat dengan makna kebebasan, hak dan kehendak, sehingga ia bertukar pagar yang membentuknya.

Begitulah, apabila agama hanya dilihat sebagai "milik peribadi" bukan lagi sebagai wahana pembangunan sosial dan pembentuk masyarakat. Dalam masyarakat industri, kerana pengeluaran tanpa batas, yakni semakin besar permintaan pengguna, maka "batas masa dan sosial" menjadi semakin terbatas. Bayangkan, seorang pekerja industri, hilang waktu-waktu terbaiknya untuk berada dalam lingkungan masyarakat, kerana memenuhi tuntutan kerja, hamba industri.

Kerja, waktunya berubah. Kalau dalam. masyarakat tradisi dan agraria, jadual kerja ialah waktu siang. Ertinya, ada waktu rehat yang panjang menjelang malam dan waktu malam. Perintah agama boleh dilaksanakan dengan baik, tanpa "aral palsu" kecualilah benar- benar "melintang aral", seperti sakit yang kritikal dan tidak mampu bergerak. Namun, dalam hati masih ingatkan Tuhan, kerana Dialah Menentukan Segala-Galanya. Orang di sekeliling sentiasa mengingatkan bahawa Allah Maha Besar, dan kepada-Nya kita mengharapkan dan berserah.

Dalam budaya industri, semuanya sudah bertukar arah. Bekerja ikut waktu yang ditetapkan, dan, untuk melakukan ritual ibadat walaupun cukup ringkas sangat terbatas. Begitu juga dengan kehidupan sosial, bayangkan suami atau isteri tidur keseorangan waktu malam.

Isteri atau suami bekerja waktu malam, dan pulangnya, awal pagi dalam suasana "mengantuk dan keletihan". Itulah rutin hidup "manusia industri", dan kini ia semakin menjadi lebih gila setelah globalisasi benar-benar membudayakan. Kitaran kerja, pejabat beroperasi dua puluh empat jam, tujuh hari seminggu. Ia membawa makna "kelesuan" dan "kebiadapan".

Apa hubungannya dengan rasuah? Ya, rasuah dilarang oleh agama, undang-undang dan juga sosial. Tetapi, rasuah terus berlaku, malah semakin menakutkan bila dilihat dari jumlah wang yang diselewengkan. Rasuah, secara mudahnya bererti "mengambil bukan hak sendiri" laku dijadikan "hak orang lain" sebagai "hak sendiri".

Semakin lama semakin berubah cara melakukan rasuah, ia bukan lagi sekadar "minta wang jaminan atau wang perlindungan" tetapi melangkau kepada transaksi yang berliku, sehingga diperlukan pengesan jejak-jejak tersebut dengan kemahiran baharu.

Ia dilakukan secara berselindung, berselindung di balik "jubah pelaburan" atau "projek" yang kadangkala hanya dalam bentuk perancangannya sahaja. Realitinya, tidak nampak dan kadangkala memerlukan masa yang panjang untuk melihatnya, kerana jalan yang dibina itu "berkerikil" dan "penuh selekoh". Bahkan, kereta sport ferrari pun tidak sanggup menjejakinya. Tetapi, yang boleh mengesan jejak-jejak itu ialah "kereta lembu yang bergerak menggunakan roda kayu".

Ertinya, kita perlu kembali kepada keyakinan dan kepercayaan tradisi jika ingin mendisiplinkan manusia kontemporari. Bukan tujuan untuk kembali kepada kehidupan purba, tetapi untuk menjadikan mereka kenali diri dan apa tujuan sebenar hidup ini. Hidup kini, penuh keserakahan dan kebingungan, kerana mereka mendengar "kata hari" tetapi enggan untuk "membersihkan hati" dan "menyempadani diri" dengan perintah agama.

Sebab, agama hanya sekadar keperluan ketika berada dalam kesulitan, bukan untuk mengingati jalan yang dipilih ketika sedang menuju ke puncak. Manusia bebas berbuat apa sahaja atas makna "peluang" dan "hak asasi". Itulah tuhan manusia moden, manusia hilang kendali sebagai "human being" atau Homo Sapiens.

Namun, manusia kontemporari mula menjadi Homo economicus (manusia materialistik) dan kata Yuval Noah Harari, ada ketikanya manusia masa hadapan bakal meletakkan dirinya sebagai "Homo Deus" yang menjalankan dirinya sendiri. Itulah kebijaksanaan manusia yang semakin terindah, hingga ada yang hanya mengetahui sebaris ajaran agama mula mengatakan dirinya "sudah beriman" sedangkan keimanan itu bukan sebagai ayat-ayat suci. Keimanan itu bukan sekadar fikiran, ia dibentuk berdasarkan amalan dan tingkah laku yang berbentuk "kehambaan kepada Maha Kuasa", bukan pemilik kuasa dalam syarikat atau negara.

Kalau "agama industri" bermula di barat, di timur juga mula berlaku kekalutan yang sama. Inilah bahaya budaya yang menyingkirkan agama sebagaimana telah membentuk "dilema jiwa manusia" menurut Erich Fromm, kenapa masyarakat sebelah timur ikut terpengaruh? Kerosakan akibat "agama industri" ikut berkembang di sini, yakni di Malaysia yang pada suatu ketika berjaya mengekang pengaruhnya dalam jiwa orang Melayu-Islam. Agama kental biarpun segelintirnya memuja barat, Islam terus dipertahankan sebagai cara hidup.

Kini, cara hidup Islam sudah menyusul dengan perubahan dan kedangkalan makna Islam itu sendiri, yang menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas kerana falsafah pendidikan yang tempang, dan sangat berkiblatkan "industri", bukan menjadikan manusia sebagai "human being" dan memahami kelakuannya sebagai manusia beradab.

Malang sungguh "padi" yang mengharapkan "burung pegar" kerana semakin berusia semakin cenderung melakukan rasuah. Kalau di peringkat awal bekerja, seseorang itu bergelut dengan strategi bagaimana "mempersilakan bos", lama kelamaan setelah menduduki posisi "boleh membuat keputusan", semakin terdedah dengan rasuah. Itulah sebabnya kata pengarah sosial, semakin berkuasa seseorang semakin dekat dengan rasuah. Hanya mereka yang tegas dan percayakan dosa akan dibalas dengan siksaan sanggup menolaknya.

Sistem pendidikan tidak mengarah kepada keperluan tersebut. Sistem pendidikan lebih mengarahkan kepada "nilai tukar" maka itulah sebabnya kita lihat idealisme semasa menjadi pelajar mudah lentur bila berada dalam dunia pekerjaan sebenar, kerana menganyam kehendak dalam bentuk "nilai tukar". Kata Erich Fromm, "nilai tukar" itulah yang membinasakan manusia dalam dilema "kehendak": memiliki dan menjadi. Sepatutnya, apa yang menjadi perjuangan setiap orang ialah "nilai guna". Ia mudah difahami apabila kita kembali kepada pesanan tradisi, setiap hari ibu berpesan, belajarlah rajin-rajin "agar jadi orang yang berguna", bukan menjadi "orang yang kaya" dan dihormati kerana "memiliki" segalanya".

Almarhum Syed Muhamad Naguib al-Attas sudah lama berjuang untuk menjadikan pendidikan sebagai wahana menyemai adab, dalam bahasanya pendidikan sebagai "ta'adib". Pendidikan sepatutnya dilaksanakan dalam kerangka "nilai guna" bukan "nilai tukar". Akibat "nilai tukar" itulah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berkembang sebagai "budaya hidup, terlalu sukar untuk dibanteraskan. Tetapi, tidak bermakna langkah "menukarkan semula kepada nilai guna" tidak boleh dilakukan, walaupun dilihat sebagai langkah berundur.

Berundur untuk memasakkan agama dan keyakinan kepada kebaikan tidak bermakna menolak kepada kemajuan dan pembangunan. Setiap ilmu pengetahuan hendaklah dikerangkakan dalam bingkai "kemaslahatan" bukan "kemaksiatan". Maka, setiap daripada kita harus meneliti semula pertanyaan: apa cita-cita setelah lama belajar. Apa makna "hidup" dan "ke mana" hidup ini perlu dibentuk dan dijadikan arah, bukan hanyut dibawa arus yang berkeladak.

Seperti juga sungai, apa saja boleh dibawa pergi, lama kelamaan sungai itu menjadi permukaan air yang cetek, busuk dan mungkin boleh "termenung" menjadi lagun berkeladak. Tetapi, jika sungai itu terus dibersihkan, dijaga dan ditata rapi "tanpa rasa sakit" ia benar-benar membawa makna "sungai untuk kehidupan".

Pendidikan seharusnya begitu, menyemai makna "nilai guna" kerana nilai itulah yang memacu kepada sebuah peradaban yang luhur dan sejahtera: bukan peradaban material yang bobrok dan tuna susila. Maka, dengan itu manusia akan terus berusaha memugar kehidupan dengan kental menyempadani dosa dan pahala. Pahala yang dicari, dosa yang ditolak.

Pesan Faridudin Attar: Sekalipun engkau menjadi Alexander Agung, dunia sementara ini pada suatu hari nanti akan menyediakan selembar kain kafan untuk seluruh kegemilanganmu yang seperti Alexander Agung."

Kata Imam al-Ghazali: "dunia adalah sementara". Dalam kesemenyaraan itulah kita hidup. Kita hidup seumpama petani, kerana dunia adalah "da'wah" tempat kita menanam. Kita boleh tanam apa saja, tetapi di akhiratlah kita akan dapat menuai apa yang kita tanam. Apakah tanaman itu berbuah manis atau masam, ia tergantung kepada apa benih yang kita cambahkan. Apakah kehidupan yang sementara ini sebagai "ladang pahala” atau "ladang dosa"; ia adalah pilihan kita sendiri.

Tuhan telah menyediakan semuanya yang kita perlu dan kehendaki, tetapi Tuhan juga menetapkan, kehendak itulah yang akan memerangkap dan menjadikan kita terus mengumpul dosa, jika hari disaluti dengan tamak, haloba, iri dan berlumba-lumba dalam mencari kemewahan material yang dikerangkakan oleh "agama industri".

MONOSIN SOBRI

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com