TIGA TAHUN GURUH BERDENTUM, DUA TAHUN LAGI APAKAH HALILINTAR MEMBELAH?

Sebenarnya saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh dua tahun yang masih berbaki, sama ada kerajaan Madani tumbang atau sebaliknya, kekal menanjak mengharungi badai politik yang sejak awal lagi tidak pernah reda.

Semalam (24 November 2026), genap tiga tahun kerajaan perpaduan yang digambarkan oleh Presiden PAS sebagai kerajaan yang ditubuhkan dengan "muslihat dan penuh perangkap", Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menamakan "kerajaan luar tabie" dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau ringkasnya Bersatu) sifatkan "tidak sah" terus kekal biarpun bekas pemimpin PAS memberikan nasihat agar bekas rakan-rakannya untuk menyimpan pahat dan tukul. Sebabnya, "rumah sudah siap" dan dibina dengan struktur yang kuat. Terbuka atap tidak lagi berjaya, walaupun ada yang kata, pintu hadapan tidak kukuh.

Nampaknya, ombak-ombak yang awalnya kelihatan besar telah bertukar menjadi riak-riak kecil kerana kapal yang dibina oleh kerajaan madani walaupun mempunyai "ideologi politik berbeza" terus kekal mengharungi samudera politik, yang awalnya dikatakan hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga atau paling lama enam bulan.

Tiga tahun sudah berlalu, dan dalam masa itu, kekuatan pembangkang mula kelihatan seperti orang tua yang masih bernafsu. Menariknya, tiga watak yang dilihat itu berada dalam usia yang sama, iaitu 78 tahun. Bersatu bersepai, masalah dakaman belum selesai, hanya berhenti seketika. PN menjadi asakan untuk didominasi oleh PAS kerana parti itu lebih berpengaruh daripada Bersatu.

Watak pertama, yang terkenal dalil politik "gula lel" atau "gula kapas" tidak lagi mampu berlari. Gula lel merupakan sejenis jajan yang dibuat daripada gula, membentuk "benang-benang halus" setelah diputar menggunakan acuan yang berputar. Waktu saya kecil, acuan itu dipijak dengan kaki dalam keadaan berdiri, dan "benang-benang halus" kemudiannya diputar menjadi seperti bola atau spiral. Watak kedua, juga seusia sudah dikategorikan watak yang cukup berat bagasinya. Watak ketiga, iaitu Anwar Ibrahim cukup cergas untuk ke sana ke mari, dalam negeri mahupun luar negeri. Setakat ini belum tercatat mengambil cuti, biarpun terpaksa berehat sehari akibat keletihan.

Shahidan Kassim nampaknya perlu menjadi suri di dapur sekali lagi untuk membuat kira-kira, agar "bawang, belacan, ikan kering dan beras" tidak berkurangan. Jika berkurangan, mandatnya mengetuai PN di Perlis akan dicap gagal, kerana rakyat Perlis tidak lagi bersyahdu dengan kejayaan masa silamnya sebagai taruhan, rakyat mahu berpijak kepada realiti. Ini dapat kita contohi bagaimana Dr Mahathir ditolak oleh pengundi Langkawi, sedangkan pulau yang menjadi legenda Mahsuri itu menjadi anak emasnya sendiri. Bukan tolakan manja, tetapi tolakan hingga ke dinding (hilang deposit).

Sebabnya cukup banyak, tanpa hubungan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, ada hal yang sangat tidak beres, yang akan kekal sebagai "janji manis" seperti Sanusi Mohd Nor katakan, apa masalahnya jika kerajaan negeri nak buat Kulim Atropolis, bukan nak lawan lapangan terbang Bayan Lepas, tetapi Kulim perlu kerana kargo bertambah. Apakah pertambahan itu cukup menampung justifikasi, juga untuk Kedah bangunkan pelabuhan sendiri?

Walaupun Sanusi mendabik dada dengan pelaburan yang masuk ke Kedah, ia tidak bermakna pelaburan yang tiba itu semata-mata atas usaha Kedah sendiri. Kita tahu, ia datang dengan jaminan kerajaan pusat dalam pelbagai aspek, bukan hanya sekadar keperluan terhadap tanah untuk membina kilang. Ia termasuk galakan pelaburan dan juga regulasi yang menggalakkan pelaburan. Infrastruktur dibina oleh kerajaan persekutuan. Jangan pula kali ini Sanusi ulangi dakwaan bahawa Kedah akan maju jika negeri itu dekat dengan Kuala Lumpur.

Tidak seperti retorik Wan Ahmad Faysal, Kelantan katanya akan maju sekiranya ada sebuah pelaburan laut dalam di Tok Bali. Dua idea itu nampak logik, tetapi realitinya, apakah dapat memenuhi keperluan secara lestari dengan hasil yang diproduksi. Kedah juga nak bangunkan pelabuhan, walhal pelabuhan Butterworth sudah lama mapan dan serba lengkap.

Tiga tahun sudah berlalu, kerajaan Madani belum tumbang walaupun ada pelbagai percubaan untuk menumbangkannya. Kata Dr Khairudin Aman Razali, setiap malam mereka bertukang, (saya tambah) akhirnya mereka yang bertukang itu semakin kelayuan, kurang bertenaga tetapi tetap masih bernafsu.

Apa tidaknya, nilai ringgit semakin mengukuh bahkan menjadi mata wang yang "paling bernilai" berbanding rupiah, bhat, yen dan juga rupees, bahkan dolar sendiri. Satu juta rupiah pernah mencecah setara RM 250, dan kerana itu, ramai juga yang memuji, bekerja di Malaysia adalah lebih baik berbanding kekal di negara sendiri. Banyak klip video dalam Tik Tok yang mengatakan Malaysia menjanjikan harapan buat TKI (Tenaga Kerja Indonesia). Ramai juga yang menyeludup masuk menggunakan pelbagai cara, termasuk jalan tikus.

Beberapa hari lalu sebuah bot karam berhampiran Langkawi, ramai yang mati. Warga Myanmar sanggup membayar ribuan ringgit untuk datang ke Malaysia, kerana mengharapkan peluang pekerjaan, dengan cara haram. Ini tentunya menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang baik, bukan hanya sekadar statistik yang didakwa dan disangkal oleh hulubalang maya yang bencikan kerajaan Madani.

Mereka berkokok bukan mempertahankan kebenaran, tetapi membungkus "kebohongan dengan kebenaran". Mereka cuba menipu orang awam bagi membangunkan persepsi benci berlandaskan ilusi yang mereka sendiri ciptakan. Pada mereka, persepsi itulah yang akan membawa laba politik walhal keuntungan itu tidak kekal lama, ia seumpama kesan buih semata-mata.

Sebab itulah mitos ringgit tidak laku sudah tidak kedengaran lagi, malah semakin ramai rakyat asing berhasrat untuk melamar pekerjaan di Malaysia, walaupun ramai juga doktor dan jururawat beralih kerjaya ke Singapura. Pola keluarnya pekerja tempatan ke negara asing bukanlah perkara baharu selagi manusia tidak puas dengan gaji, persekitaran kerja dan ada keinginan yang lebih besar, atas keinginan mencapai "self-esteem". Akibat terlalu menuju "self-esteem" kita sebenarnya sedang membakar "peta yang kita ciptakan sendiri" kerana kita sangat percayakan "peta baharu" yang belum pun dapat kita lukiskan, yang mungkin lebih besar lopak dan gelembung harapan.

Walau bagaimanapun, persoalan rakyat beralih kerja ke luar negara bukanlah fenomena yang menunjukkan ekonomi negara bermasalah. Ia terus berlaku selagi manusia memikirkan gaji dan apa yang mereka boleh dapat, mereka bekerja bukan dengan rasa cinta dan terpesona dengan "hujan emas". Mereka mengira wang dan material, tetapi itu semuanya tidak kekal lama kerana pada suatu ketika akan ada rasa yang mengecewakan yang tidak terpenuhi dalam jiwa sendiri, kerinduan tetap kerinduan yang tidak boleh dipatahkan dengan wang dan pangkat.

Tentu kita ingat, kerajaan Madani mengambil alih untuk melepaskan ekonomi negara daripada keadaan yang pernah merunsingkan setiap daripada kita akibat COVID-19, yang menjadikan "emosi terkepung" cukup panjang (dari PKP hingga darurat): hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, meningkatnya ancaman bunuh diri, dan sebagainya. Tahun 2026 pelajar sekolah akan menikmati masa persekolahan seperti sebelumnya, bermula penggal baharu di awal tahun dan berakhir penggal akhir pada akhir tahun.

Jadi, kita kembali kepada norma yang sangat kita sukai, boleh merancang cuti hujung tahun sedikit panjang kerana sesi persekolahan sudah tamat. Kita semakin berusaha memenuhi hasrat kita dengan mencari ruang bagaimana untuk memenuhinya, bukan lagi sekadar melihat dinding dan siling seperti yang berlaku tatkala kita dikurung oleh pergerakan penuh kawalan, sekadar dalam pagar rumah sahaja.

Tetapi, geruh politik Malaysia masih belum berakhir walaupun kehidupan kita menjadi semakin norma. Kempen untuk menjatuhkan Kerajaan madani akan menjadi lebih keras, kecualilah PN tewas sehingga "terduduk" dalam PRN Sabah yang akan berlangsung ada 29 November 2025, yang sedikit sebanyak terjejas kerana empat negeri di Semenanjung sedang dilanda tengkujuh.

Tentunya hulubalang-hulubalang kempen daripada Semenanjung tersekat perjalanan ke Sabah. Kalau berkokok nyaring pun hanya menerusi media sosial, yang kadangkala menampakkan kebodohan sendiri. Bercakap dengan emosi, mengulas tanpa fakta, dan lebih terus melepaskan marah sendiri kerana tidak dapat apa yang diinginkan. Kadangkala cukup bodoh apabila berkata: babi pun buat jalan. Kalau begitu tak usahlah gunakan jalan raya atau lebih raya, gunakan jalan yang dibuat oleh babi itu.

Persoalannya, apakah dalam tempoh tiga tahun yang penuh guruh itu akan bersambung halilintar? Bagi mereka yang tidak sukakan PMX dan kerajaan Madani akan berkata "ya". Begitulah sebaliknya bagi yang menyokong PMX atau kerajaan Madani. Secara peribadi, saya katakan kerjasama itu akan kekal jika kecenderungan politik masih memperlihatkan corak pengundian yang sama sejak BN tewas pada PRU ke-14.

Biarpun pada PRU ke-14, ada gabungan yang melepasi majoriti mudah, masalah dakaman parti menyebabkan PH tumbang, ibarat sebuah kapal yang mempunyai pelbagai destinasi walaupun dikendalikan oleh seorang kelasi berpengalaman. Akhirnya, kelasi bingung dengan kehendak yang tidak pernah berhenti menuntut, dan dalam masa yang sama, membangun ransangan untuk berpisah.

Kelasi yang sama itu bangkit untuk menolak kerajaan Madani, yang pada pandangan umum kebangkitan itu adalah sebuah kebangkitan dalam kemarahan yang tidak bersebab nyata. Khayalan seorang tua yang merasakan diri sendiri paling baik dan sempurna. Orang tua kuat bernostalgia, dan dalam masa yang sama berhadapan dengan delusi.

PRU ke-15 menjadi detik yang cukup mengajarkan kita erti "berpecah" yang tidak menguntungkan sesiapa, termasuk rakyat yang memilih siapa dan siapa yang akan membawa harapan. Kerajaan Madani dibentuk dalam suasana tersebut, dan akhirnya,mereka boleh bekerjasama dalam satu pasukan walaupun tidak serasi sepenuhnya, masih ada "tension" dan "tabularasa" yang menukar kadar tiupan angin. Alhamdulillah, setakat ini berjaya dikawal, dan layar terus berkembang untuk teruskan ke hujung garisan masa yang ditetapkan.

Dari dalam tidak ada gerakan seperti berlaku pasa zaman PH 1.0 yang diterajui oleh seorang kelasi berpengalaman. Tidak ada "cah keting" seperti yang dilakukan oleh Muhyiddin terhadap Tun Dr Mahathir dan Azmin Ali menolak Anwar Ibrahim sebagai "PM" yang disebut-sebut sebagai "peralihan kuasa". Dalam kerajaan Madani belum muncul gerakan itu, tetapi dalam PN isu itu sudah muncul dan dikatakan akan memuncak sekiranya PN tewas di Sabah.

Political game dalam PN belum berakhir, hanya reda seketika kerana PRN Sabah. Hamzah yang disebut sebagai pengganti Muhyiddin sedikit diam kerana tidak mahu memperlihatkan kerakusannya untuk menguasai parti. Namun, ada desas-desus terbaharu, Hamzah sebagai Ketua Pembangkang akan digantikan dengan Dr Radzi Jidin, setelah beberapa penyokong Hamzah cuba dikembirikan. Wan Ahmad Faysal, digantung keahlian. Wan Saiful Wan Jan pula dilucutkan keahlian parti. Kesemua ini memberikan makna, Muhyiddin perlu cepat bertindak, sebab gerakan untuk menjatuhkannya bukan kecil, sudah sampai tahap 120 Ketua Bahagian membawa akuan bersumpah, cepat-cepatlah berhenti. Resah itulah menyebabkan Muhyiddin memanggil mereka, bertemu untuk menukarkan pendirian, memujuk agar Hamzah terus bersabar, baton itu akan dilepaskan bila tiba masanya.

Ertinya, PN sebenarnya sedang berselimut dengan kain tebal untuk kekal menjadi gabungan pembangkang yang berpengaruh. Kenapa? Tentunya, kerana kerajaan madani semakin mengukuh, walaupun belum berupaya melaksanakan sepenuhnya apa yang dijanjikan, terutama apa yang PH janjikan. Benar, kos sara hidup menjadi "kebimbangan awam" tetapi ia tidak sampai ke tahap yang memaksa rakyat bertahan dalam ketiadaan makanan sebagaimana berlaku pasa zaman Muhyiddin, yang ditandai dengan bendera putih.

Bagi golongan berpendapatan rendah, kerajaan Madani terus membantu mereka, walaupun bantuan yang pernah disifatkan sebagai DEDAK oleh Presiden PAS turut memanfaatkan ahli-ahli PAS. Kali ini tidak lagi kedengaran kata-kata sinis sepatutnya "diajar memancing", bukannya berikan ikan. Nampaknya, merekalah yang pantang dengar ada bantuan, akan terus diambil, tanpa toleh belakang.

Apabila PMX mengurangkan subsidi petrol dan diesel, ramai yang mengatakan ia cukup membebankan, tanpa melihat secara saksama mekanismenya. Benar, ketika berdebat pada tahun 2007, isu harga petrol cukup mempengaruhi. Walaupun tidak menang PRU yang diadakan beberapa bulan kemudian (2008), kedudukan BN sedikit tergugat dan hasrat untuk menafikan kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat berhasil.

Pengaruh retorik tersebut masih berakar dalam masyarakat. PMX dipersoalkan, kenapa setelah memerintah (berkuasa) hatta petrol tidak diturunkan ke tahap yang pernah dijanjikan. Mekanisme harga ditetapkan dengan perihal subsidi bersasar, tetapi langkah awal kerajaan PH 1.0 terpaksa ditangguhkan. Kini diberikan kuota bagi setiap rakyat, dengan syarat memiliki lesen memandu dan menunjukkan MyKad sebagai pengesahan, dengan 300 liter sebulan pada harga subsidi (RM 1.99 seliter).

Menariknya lagi, ada hal yang cukup ironi berlaku: pemilik lesen motosikal benar-benar menghabiskan kuota pembelian dalam tempoh kurang sebulan. Ada dakwaan, cuba mengisi petrol untuk seseorang yang tidak layak, dan ada laporan, akibat mekanisme tersebut sebahagian besar penyeludup petrol kehilangan punca pendapatan. Mekanisme ini sebenarnya berjaya, berjaya menyekat aktiviti melanggar undang-undang, tetapi ada kerajaan negeri membantah dalam diam.

Dentuman terkini mengenai ART, perjanjian perdagangan yang ditandatangani lebih sebulan lalu dengan Amerika Syarikat. Trump hadir di Kuala Lumpur, ada yang ingin melontarkan emosi marah di atas apa yang berlaku ke atas Palestin, tetapi Trump memuji Malaysia sebagai sebuah negara kecil yang tidak boleh diperkecilkan.

Ramai yang bencikan ART, lantas menuduh sebagai perjanjian menggadaikan negara seperti berlaku pada tahun 1874, Perjanjian Pangkor. Kata mereka, Malaysia akan jadi "tangan kiri" Amerika Syarikat, kerana berjaya diperangkap, perlu laksanakan apa yang Amerika Syarikat mahukan. Bahkan Dr Mahathir yang cukup bencikan Anwar menyifatkan tindakan itu sesuatu yang teruk, tetapi ia tidak bermakna semasa pentadbiran PM 7, keadaan lagi teruk.

Secara amnya, setelah tiga tahun, kepimpinan Anwar sudah mula menunjukkan perubahan ketara dalam amalan budaya politik gabungan berbanding zaman PM 7 dan PM 8. Model politik begitu semakin diterima walaupun masih kedengaran antara parti boleh beryelagah, belum berlaku seperti zaman PM 7 dan PM 8 yang terpaksa meletakkan jawatan akibat kehilangan majoriti.

Jika menggunakan skor 1-10, kata Mohsin Abdullah, Anwar kencatatkan markah C ( https://www.freemalaysiatoday.com/.../24/3-tahun-sebagai-pmx) ia sangat berbeza dengan apa yang Dr Mahathir peroleh dalam tinjauan pendapat Malaysiakini, skor yang diberi jauh lebih rendah daripada Mohamad Sabu atau Wan Azizah dan Dr Zulkifli Ahmad. (https://www.malaysiakini.com/news/505434 ).

Bentuk kerajaan campuran yang diterajui oleh Anwar sudah pun melepasi tahap psikologi 17 bulan yang dilalui oleh Muhyiddin, 13 bulan oleh Ismail Sabry Yaacob dan Mahathir sendiri hanya mampu bertahan 22 bulan walaupun berpengalaman luas (selama 22 tahun) sebelumnya. Ia menunjukkan Mahathir adalah seorang yang gagal mengulangi kejayaan sebelumnya, kerana beliau berpolitik dalam kerangka "balas dendam" dan meraih kemenangan berdasarkan ujaran kebencian. Ujaran kebencian jugalah yang menyebabkan dirinya dilihat tidak relevan lagi.

Cabaran yang Anwar hadapi masa kini adalah jauh berbeza dengan apa yang Dr Mahathir hadapi ketika berada di puncak kuasa. Dr Mahathir berada dalam situasi parti yang mendokongnya cukup kuat, sedangkan Anwar mengambil kuasa dalam keadaan tiada sebuah pun gabungan atau parti politik yang melepasi majoriti mudah.

Ini bermakna Anwar bergerak dalam situasi "tanah paya" yang cenderung jerlus mahupun tenggelam. Tiga tahun berlalu, Anwar sudah melihat kematangan politik untuk berjalan di atas tanah berpaya, dan mencergaskan semula ekonomi setelah terbantut akibat COVID-19. Manakala emosi masyarakat sudah terlepas daripada "kurungan" yang menyiksakan, Rakyat sudah mula memahami bahawa mengurus negara bukan semudah membina formula ataupun siang malam menghasut seperti Rafizi lakukan atau mereka yang bencikan Anwar buka gelanggang "silat pulut".                       

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com