TRUMP SELESAI MENARI, SEBAHAGIAN RAKYAT MALAYSIA MASIH 'MABUK CIPTA TARIAN" (II)
Jepun yang dijadikan model sudah kehilangan pengaruhnya, China muncul sebagai kekuatan baharu. Ketika Malaysia mendekati hubungan ekonomi dengan China, membawa masuk pelaburan daripada China, disebut pula sebagai "menggadaikan negara kepada China". Kita ingat potretnya bersiri di sisi sepanduk Forest City. Kita ingat bagaimana dahsyatnya kecaman terhadap ECRL, landasan keretapi laju ke Pantai Timur dan HSR Kuala Lumpur-Singapura. Juga janjinya untuk bawa balik John Lo tetapi bila berkuasa, keluarkan alasan, tidak sanggup berperang dengan negara yang melindungi John Lo. Sampai sekarang John Lo tidak berjaya dibawa balik.
Semuanya dianggap tidak betul, dikatakan bahawa suatu hari Malaysia akan menjadi "annex" kepada China, bila Najib berusaha mewujudkan sebuah kawasan industri Malaysia-China dan membawa masuk pelaburan besar China dalam pembangunan infrastruktur. Negara akan tergadai kerana hutang berkaitan akan meningkat. Kita tahu, dalam tempoh 22 bulan sebagai PM 7, hutang negara telah meningkat lebih RM 100 bilion. (2017 berjumlah RM 686.6 bilion dan tahun 2019 meningkat kepada RM 793 bilion). Itupun dalam keadaan rakyat disuruh "ikat perut" dan jangan harapkan ada subsidi lagi. Ada cadangan nak bangunkan automotif ketiga negara, akhirnya gaduh sesama sendiri tanpa diketahui pihak manakah yang bakal melabur. Kereta terbang, model empat kipas KDK yang besar, hanyalah pembangunan dron.
Katanya, negara boleh bangkrap dengan hutang yang tinggi, walhal semasa menjadi PM 7, telah meninggalkan hutang yang mencecah RM 1 trillion, meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh 22 bulan. Najib meninggalkan hutang sebanyak RM 686.6 bilion (2017), tetapi dijualnya sebanyak RM 1.02 trillion, dalam kamus "perlakuan kreatif". Akhirnya, terserlah, angka itu adalah nilai ambang yang akan disasarkan di akhir pemerintahan PM7.
Allah SWT akhirnya menghadirkan gelombang penentangan dari dalam PH sendiri sebagai Langkah Sheraton, menyebabkan PM 7 pening lalat lalu meletakkan jawatan tanpa merujuk kepada Majlis Pakatan Harapan yang memberikannya mandat untul menerajui PH setelah menang PRU ke-14. Apakah situasi itu bukan hadir dalam bentuk "karma" di atas pelanggaran janji yang dibuat sebelum menang, untuk segera "beralih kuasa" setelah Anwar layak menerajuinya?
Jelas, janji sendiri pun dikhianati, dan manifesto "bukan kitab suci". Rakyat diminta "ikat perut" kerana nak pulihkan negara "yang sudah rosak", akhirnya, terserlah kerosakan psikologi politik menjadi semakin parah, hingga kini masih bermuarakan "dendam" dan "ujaran kebencian". Mahathirisme 2.0 gagal setelah memerintah selama 22 bulan, pengkhianatan politik menjadi hal yang semakin membudaya, dan rentak tarian pula bukan sahaja canggung, malah bercampur aduk antara "kung fu dan breakdance."
Turut kedengaran bahawa perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia-Amerika Syarikat beberapa hari lalu sebagai satu bentuk "imperialisme" yang akan menyebabkan negara terpaksa tunduk kepada kehendak Amerika Syarikat. Kononnya perjanjian itu "sangat mengikat" dan Malaysia wajib mengikut kehendak Washington, maka Fadhil Shaari menulis analisisnya, berdasarkan prasangka dan kepintaran manipulasi politik (https://malaysiagazette.com/.../fadhli-dakwa-perjanjian.../) dan akhirnya ditempelak besar oleh netizen, dengan memintanya "berhentilah jadi bodoh" (https://m.facebook.com/groups/6587879991264794/permalink/25389115474047962/?mibextid=Nif5oz).
Menarik juga, jika benar MB Terengganu yang pernah disebut sebagai calon PM bagi PN (khususnya PAS) berkata Sidang Kemuncak ASEAN itu "gagal" kerana "kurang sambutan" berbanding sambutan "Himpunan RXZ" pada Ahad lalu, ia adalah sesuatu yang cukup dangkal dan kurang bijak. (https://www.facebook.com/share/1BmFiTthNB/).
Sidang Kemuncak tidak memerlukan penyertaan orang ramai, tetapi ekspedisi "Himpunan RXZ" memang disasarkan penyertaan orang ramai, kerana program yang dianjurkan oleh Terengganu adalah "program galak", walaupun cukup tidak berfaedah dan berisiko besar kemalangan. Himpunan RXZ menggalak budaya rempit, sedangkan Sidang Kemuncak menghalalkan kemakmuran ekonomi dan memahami diplomasi ego pemimpin, termasuk pemimpin negara kuasa besar.
Wan Ahmad Faysal yang digantung keahlian dari Bersatu "memekik di Dewan Rakyat" dengan berkata perjanjian perdagangan itu umpama "perjanjian syaitan" kerana penandatangannya adalah "iblis besar". Namun, beliau yang terkenal dengan Mat Jargon itu sebenarnya "menggagau dalam pemahaman yang keliru" akibat tidak jelas dengan keseluruhan terma perjanjian (Perjanjian Perdagangan Timbal Balas, ART).
Beliau kemudiannya dijawab oleh PMX, agar baca dan fahamilah terlebih dahulu sebelum "marah, marah". PMX sedia menerima pandangan, kritikan dan sebagainya, bukan "rasa marah" kerana di dalamnya terdapat "exit clause", yang tidak menggadai maruah dan keselamatan negara. Tidak puas hati dengan jawapan tersebut, Wan Ahmad Faysal membalas, "exit clause" yang ada hanya boleh berlaku jika mendapat kebenaran "abang besar" (https://www.facebook.com/share/v/16bgVKsBTi/).
Perjanjian itu tidak menatijahkan "penjajahan kuasa besar" sebagaimana yang dilabelkan oleh segelintir pihak yang cuba menjadi jaguh atau membentuk persepsi awam. Begitu juga dengan dakwaan, untung sejempur tetapi rugi bergantang-gantang. Nilai tarif timbal balas yang dikecualikan terhadap lebih 1700 produk Malaysia beratus kali ganda dengan nilai pembelian produk dari Amerika Syarikat.
Kita tahu, sebahagian besarnya ialah melibatkan pembelian pesawat Boeing, yang sudah dirancangkan sebelum perjanjian itu lagi. Begitu juga dengan pembelian LNG oleh Petronas, dalam bentuk ethanol, bahan bakar bermutu tinggi untuk kegunaan pesawat.
Sebenarnya, sudah lama Petronas membeli ethanol, begitu juga syarikat penerbangan dari Malaysia menempah pesawat komersial tersebut. Ia adalah sesuatu yang sangat perlu untuk membolehkan industri penerbangan komersial.
Hanya ada dua pengeluar pesawat penerbangan termaju, iaitu Boeing dari Amerika Syarikat dan Airbus dari Perancis (dibangunkan bersama dengan British Aerospace). Maknanya, perbelanjaan yang dikatakan berjumlah lebih RM 1 trillion bukan daripada kerajaan, ia datang daripada pihak swasta.
Namun, tidak ramai yang berfikir rasional, sebaliknya, ramai yang mula menari tanpa rentak sehingga ada yang mula kelihatan cukup melalak dalam "ektase" dan "histeria". Namun, Isham Jalil masih belum puas sebaliknya mencabar Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berdebat. Ia adalah satu sarana yang baik, kerana perdebatan yang sihat mampu memberikan pencerahan dan menangkis sangkaan buruk yang dibuat berdasarkan "andaian dan spekulasi".
Kalau ianya menjadi, bukan mencari siapakah pendebat yang handal, tetapi mencari satu titik kefahaman dan penjelasan yang matang dalam justifikasi. Kita sangat mengharapkan sebuah penerangan yang jelas terhadap apa yang termaktub dalam ART itu, bukan hanya penjelasan dalam beberapa perkara tertentu. ART tersebut dilaporkan sudah dipersembahkan kepada Yang di Pertuan Agong untuk mendapat perkenan sebelum ianya boleh dikuatkuasakan.
(bersambung)
KAMARUN KH
