TRUMP SELESAI MENARI, SEBAHAGIAN RAKYAT MALAYSIA MASIH "MABUK CIPTA TARIAN SENDIRI"
Agaknya, sampai bila kisah tarian dan budaya menari dalam politik Malaysia akan berakhir walaupun Trump dan Anwar sudah selesai menari. Menariknya, walaupun Trump tidak memahami makna dan irama zapin, beliau tetap menari biarpun tidak sama dengan apa para budayawan-politik kita mahukan.
Kita tahu, Trump ada budaya politik yang sukar dibaca, bahkan pendiriannya cukup mudah berubah setelah tersinggung. Kata orang, Trump kadangkala berperilaku seperti seorang yang sangat tidak stabil hormonnya. Sensitif dan panas baran. Dalam masa yang sama, jika emosinya tidak terganggu, cakapnya boleh dipakai.
Akibat ketidakstabilan hormon itulah ramai pemimpin dunia datang bertemu Trump untuk berunding apabila diancam dengan Tarif Timbal Balas dengan mengambil kira peratus perbezaan imbangan perdagangan antara negara. Malaysia dikenakan kadar 24 peratus, kemudian dikurangkan sebanyak 19 peratus setelah berunding pada bulan Ogos lalu.
PM India akhirnya terperangkap dengan Trump walaupun bersedia membeli semua pesawat Boeing yang dibatalkan oleh China, sekitar 800 buah. Tetapi, Trump terus kenakan kadar lebih tinggi, kerana India membeli minyak dan gas daripada Rusia. India juga terpukul kerana pendiriannya untuk terus kekal dalam BRICS yang sangat diharapkan oleh Trump untuk cuba memecahbelahkannya.
Trump mahu gunakan India sebagaimana beliau berjaya pengaruhi rakyat Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah dengan menyebarkan politik identiti dan mempropagandakan persoalan rampasan peluang pekerjaan oleh buruh asing.
Indonesia juga hadir bertemu Trump, tetapi akhirnya terpaksa menyerah jualan tembaga bermutu, membeli pesawat Boeing dan memberi laluan tanpa syarat produk Amerika Syarikat memasuki pasaran domestik. Ertinya, setelah bertemu Trump, Indonesia tetap dikenakan kadar 19 peratus, turun daripada tarif awal 32 peratus. Dari perspektif ini, Malaysia lebih berjaya berbanding Indonesia kerana PM tidak hadir "melutut" kepada Trump.
Ramai juga yang merasa "geli" bila Anwar ikut melayan Trump menari dalam irama zapin walaupun tidak sampai "naik syih" atau tahap ekstasi. Hamzah Zainudin, Ketua Pembangkang dalam satu sidang media mengatakan tidak dengki dengan "syoknya" menari dengan Trump, walhal kalau tidak dengki tidak akan dikecamnya sehingga mencadangkan agar PMX tukar kerjaya sebagai "penari". Jika diteliti makna ayat-ayatnya berdasarkan prinsip semiotika, cukup jelas bahawa Hamzah sebenarnya cukup dengki dengan apa yang berlaku, mungkin beliau ada dendam terhadap Anwar.
Juga bila dibaca rungutan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang cukup kecewa dengan kehadiran Trump atas jemputan Pengerusi ASEAN itu seolah-olah menggadai maruah negara kepada kuasa besar yang sedang menggila dengan slogan Make America Great Again itu. Sebenarnya, Anwar tidak menggadai negara, ia tidaklah seteruk zaman PM4 yang cuba "menjepunkan Malaysia" dengan pelbagai pendekatan ekonomi, sosial dan psikologi, hingga penjawat awam pun terpaksa belajar budaya kerja orang Jepun dan Korea Selatan.
Ketika zamannya, beliau juga turut mengharapkan kemasukan pelaburan asing, dengan memberikan tumpuan kepada Jepun, Korea Selatan dan beberapa buah negara Eropah. Ertinya, dakwaan bahawa "penjajahan bentuk baharu" berasaskan kontrak itulah yang pernah beliau amalkan ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. (https://www.facebook.com/share/r/1GjrrwsiSr/ dan https://www.malaysiakini.com/news/759496).
Cukup hipokrit, ketika beliau berkuasa dibolehkan tetapi ketika politiknya "hilang arah", tidak dibolehkan kerana ia membuka ruang kepada "penjajahan". Ketika masanya, tidak pula melihat tekanan yang terlebih mesra kepada Jepun sebagai menggadaikan negara, atau rombakan budaya sehingga setiap daripada rakyat kecewa dan ketara kembali ingat "harakiri, selipar dan penampar Jepun" yang pernah dialami pada suatu masa, duit pokok pisang dan makan ibu kayu. (https://www.malaysiakini.com/news/759496).
Pendokong kuat beliau, Datuk Kadir A Jasin pula menyamakan Perjanjian Timbal Balas yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai mengulangi Perjanjian Pangkor 1824. (https://www.facebook.com/share/1CZDf23aTp/). Tetapi beliau lupa bahawa dasar pelaburan asing yang ditekankan pada masa PM 4 dengan kemasukan MNC - multinational corporation - juga ikut meleburkan nilai dan budaya tempatan, sehingga ada isu pekerja Muslim tidak dibenarkan bersembahyang Jumaat. Shift kerja pula penuh 24 jam, sehingga muncul fenomena kelelawar, siang tidur malam bekerja.
Dasar Pandang ke Timur yang dicetuskan olehnya telah gagal dan terlalu banyak wang dibazirkan dengan sogoshosa, rebadge jenama Mitsubishi kepada Proton dan pelbagai kaedah transformasi sosial yang gagal. Suntikan modal ke atas Proton cukup besar, tetapi hasilnya tidak menguntungkan negara, sekadar menang sorak. Sebab itulah kita kenal rangkaian pasar raya Yaohan, Hankyu dan Jaya Jusco selain Makro, Carefour, Giant dan sebagainya. Semuanya tinggal kenangan.
Suara pekerja dibungkam dengan pelbagai bentuk kawalan dan deraan untuk "datang awal, pulang lewat" sehingga saiz penjawat awam pun hendak dikecilkan, "bekukan pengambilan baru", kecilkan klasifikasi perjawatan, jumudkan beberapa jawatan, dan menggalakkan automasi. Akhirnya, perkhidmatan awam hilang kreativiti dan semuanya berlaku dalam budaya "outsourcing". Apa pun kerja, perlu dilaksanakan dengan sumber luar organisasi, manakala agensi kerajaan hanya sebagai "pengawal" atau "pengguna". Ia membuka banyak persoalan "keselamatan" dan penjualan data peribadi.
Pada masa kini, Tun Mahathir sedang menari dalam pencak silat menyerang siapa sahaja yang menjawat jawatan Perdana Menteri, kerana tidak sehaluan dengan kehendak dan ambisi legasi politiknya. Seharusnya, sebagai seorang negarawan, beliau tidak mengkritik apa yang dilaksanakan oleh mereka yang berusaha untuk membangunkan negara berdasarkan acuan semasa, yang bersandarkan kepada realpolitik semasa, zaman keemasan beliau sudah berakhir. Kata Dr Mahathir selagi ada nafas beliau akan terus mengkritik sebab "kerosakan sangat teruk"; walhal, dengan percubaan "campur tangan" itulah sebenarnya menjadi situasi semakin "buruk".
Beliau masih lagi beranggapan bahawa penerusnya "masih beringus" dan belum matang sehingga "untuk berkahwin" pun mungkin akan ditanya : mampukah kamu hidup berkeluarga dan menyara kehidupan? Apa formula bahagia? Mimpi bahagia bukan semudah yang diucapkan, ia perlu dicari dan diteroka dengan niat yang jelas dan kaedah yang berkesan. Dalam realiti politik sekarang, pendekatan Buy British Last tidak lagi sesuai, kerana dunia saling bergantung dan memerlukan. Kita juga perlu memperluaskan pasaran, bukan sahaja perlu menjual, juga wajib membeli. Itu hukum perniagaan atau perdagangan.
(bersambung)
KAMARUN KH
