UMNO YANG GAWAT, PAS YANG ‘KEKWAT’
UMNO tersungkur pada PRU ke-15: kedudukannya semakin terpinggir daripada arus politik tetapi diselamatkan bila terbentuknya tiga kerajaan campuran: Perikatan Nasional, Keluarga Malaysia dan Kerajaan Perpaduan. Apa yang jelas ialah dominasi UMNO sebagai teras kuasa politik sudah berakhir, walaupun tidak sepenuhnya ‘mati’.
Dalam usia ke-72 tahun (2008), UMNO kekejangan akibat “angin ahmar” namun semangatnya masih kuat untuk bangkit semula seperti semangat kebangkitan semula LDP di Jepun. LDP melakukan banyak pembaharuan dari dalam, tetapi UMNO masih dengan tabiat dan perangai lama, menganggap dirinya seperti binatang raksaksa yang kuat walaupun tidak mampu menerkam (tidak berkuku dan taringnya telah patah).
Ketika memasuki usia 77 tahun (2023), langkah UMNO dilihat semakin sakit sehingga perlukan tongkat untuk berjalan. Slogan yang dimomokkan selama ini, dari “hidup Melayu” ke ‘ketuanan Melayu’ menghampiri megalothymia, mencari kebanggaan dalam kesukaran bernafas dan bergerak.
Kemerosotan UMNO sangat signifikan dengan perubahan pilihan para pengundi kerana sebahagian daripada mereka menganggap telah berlakunya insiden ‘crash’ pada PRU ke-12 (2008). UMNO kurang disambut oleh generasi muda, proses peremajaannya telah gagal dan masih tebal dengan fenomena sangat berperasan bila melihat wajah di cermin, bukan pada reaksi masyarakat.
PRU ke-12 (2008), UMNO hilang kuasa di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, selain gagal merampas Kelantan walaupun bersendawa besar mampu menukarkan kerajaan dengan cara tertentu. Niatnya tidak kesampaian, tidak ada wakil rakyat PAS sanggup ‘menyeberang’ seperti beberapa orang pemuda membelah gelap malam di Sungai Golok untuk berriadah. Masih terjelepok dengan nostalgia.
Dengan kekuatan 140 kerusi, BN sangat mudah untuk dijatuhkan sekiranya ada pihak yang sanggup ‘membayar’ untuk mencukupkan minimum 112 kerusi bagi Road to Putrajaya (16 September 2008). Mujurlah tak kesampaian kerana dua orang ‘pemburu’ tidak dapat menjejaki mereka yang menyertai lawatan sambil belajar ke Taiwan.
Kalau PRU ke-11 (2004), Abdullah Ahmad Badawi dianggap perkasa bila meraih 198 kerusi, PRU ke-12 pula dimuktamadkan sebagai ‘lost in transition’ sebab tidak mampu menguruskan kejayaan. BN turun ke paras 140 dan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, selain hilang kuasa di empat negeri.
Tetapi, pencapaian Abdullah adalah lebih baik daripada apa yang diraih oleh Najib. Najib bukan sahaja tidak mencetak kemenangan besar, bahkan telah menggelonsorkan prestasi BN hingga ke peringkat terpaksa mengaku kalah pada PRU ke-14 (2018).
Setelah mewarisi 140, kerusi BN turun kepada 133 (PRU ke-13) dan 79 kerusi pada PRU ke-14. Biarpun Najib berjaya meningkatkan sedikit kedudukan UMNO, dari 79 pada 2008 kepada 88 kerusi (2013), ia kembali merosot pada hari kejatuhannya (54 kerusi).
Derita itu menjadi semakin menyucuk-nyucuk, Zahid membuat percaturan yang silap, hanya tinggal lebih sedikit daripada separuh yang diwarisinya dari Najib, iaitu 26 kerusi (PRU ke-15). Kedudukan itu memperlihatkan UMNO sangat-sangat gawat, dan perlu kepada reformasi yang serius jika mahu kembali meraih kejayaan seperti LDP. Apa yang UMNO perlu lakukan ialah merombaknya dari dalam dan bergerak dengan semangat baharu yang lebih relevan dengan kehendak anak muda yang membentuk 40 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Itu adalah satu-satunya pilihan yang ada, bukan terus kekal dengan “jiwa tua” yang sangat takut untuk berubah kerana melihat ‘orang muda’ tidak matang dan berpengalaman. Akibat sekatan dan halangan psikologi itulah menyebabkan hanya 13.55 peratus yang mengundi UMNO pada PRU ke-15 berbeza dengan anak muda yang memilih PH atau PN. Tulis A Kadir Jasin, UMNO kini umpama “kutu dipelihara semut” (Malaysiakini, 12 Januari 2023).
Saya bersetuju apabila ada perwakilan UMNO berkata: UMNO masih dalam paradigma yang sama dan hanya bersifat retorik. Kenapa kita katakan bersifat retorik sebab dalam dewan ini ada macam-macam idea yang bernas dan sebagainya tetapi apabila majlis penutup Sabtu petang nanti segala perkara itu sudah tidak diingatkan lagi.” Itu ucapan Ketua Wanita UMNO Kuala Pilah, Suziyana Mahayuddin pada 13 Januari 2023 di PAU 2023, WTC, Kuala Lumpur.
Satu fenomena biasa, ketika berbahas cukup banyak cadangan tetapi selepas PAU tamat, masing-masing bertekad untuk kembali kekal dengan budaya politik lama. Mereka mencari habuan, terus menerpa mereka yang berstatus menteri agar diberikan projek dan sebagainya. Semuanya mahu hidup kerana menjaga bahagian atau cawangan perlukan duit, termasuk membayar yuran tahunan ahli, menaja pelbagai aktiviti dan sebagainya.
Tentunya, Zahid ada kuasa untuk membantu, kerana dibawah kuasanya terletak inisiatif projek kecil di bawah kemajuan desa. Sebab itulah ramai yang menolak dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan. Mereka ‘takut terlepas’ dan melihat kalau mungkin Khairy dibenarkan, seterusnya menang, mereka akan terkeluar dari senarai ‘pelobi projek’.
Bagaimana pula dengan Perikatan Nasional yang sangat galak mengembek dan sesekali menyalak kuat untuk meruntuhkan bukit yang dibina menerusi percantuman kuasa antara parti yang pernah bermusuhan? PN dalam “mood kekecewaan” itu cukup mempamerkan budaya ‘kekwat’, sangat menonjol membentuk persepsi umum bahawa ‘kerajaan perpaduan’ wajar dibatal atau dimansuhkan.
Pada suatu kenyataan, Presiden PAS bertelagah mengenai konsep dan makna ‘kerajaan perpaduan’ kerana cukup berbeza dengan apa yang difahaminya mengenai ‘unity government-UG’ yang pernah diajukan bersama BN selepas PRU ke-12 (2008). UG yang dicadangkan itu turut ditentang oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat sehingga memunculkan cadangan agar PAS melaksanakan proses ‘membuang buah busuk’.
UG juga menyebabkan DAP “menghulurkan tanduknya” untuk berlaga seperti temasya lawan pedang oleh kanak-kanak yang terpengaruh dengan adihero animasi Swordman. Isu itu kemudiannya tidak berkembang, ia mati setelah Presiden PAS terasa kedudukannya sedikit tercabar apabila MB Kelantan itu berkata, dialah yang membaja dan menyiram PAS. Ketika parti itu begitu kerdil setelah disingkirkan dari BN. PAS berjaya dipulihkan sehingga mampu membentuk semula kerajaan di Kelantan setelah terlepas pada tiga musim PRU (1978, 1982 dan 1986).
Ketika itu, Haji Hadi belum muncul sebagai panglima besar. Haji Hadi masih bersama Anwar dalam ABIM, walaupun pernah cuba bertanding di DUN Marang (1978), tetapi tewas dengan 64 undi. Empat tahun kemudian (1982) baharu berjaya setelah mengeluarkan amanat yang cukup kontroversi (7 April 1981) di Banggul Peradong, Kuala Terengganu. Majlis Fatwa Kebangsaan (24 Julai 2002) dan Majlis Agama Islam Kelantan meletakkan amanat tersebut ‘bertentangan dengan Islam’ manakala Melaka memutuskannya sebagai ‘sesat’. (Berita Harian, 19 Julai 2022; https://peraktoday.com.my/2012/12/kenapa-amanat-hadi-awang-1981-salah/; dan,Berita Harian, 21 April 2001)
Empat tahun kemudian, berlaku Tragedi Memali (19 November 1985). Ia dikaitkan dengan pemahaman dan keyakinan penyokong-penyokong PAS terhadap amanat tersebut. Sebelumnya, kerajaan mengeluarkan Kertas Putih mengenai penyelewengan agama sehingga berlakunya pencerobohan terhadap kuil di Batu Pahat (Johor) dan Kerling (Selangor) ; dan diakhiri dengan Tragedi Memali.
Dalam kertas putih Memali, dicatatkan bahawa Amanat Haji Hadi telah dicetak dalam empat versi. Versi bertulisan jawi dicetak oleh Bahagian Penerangan PAS Kelantan dan diedarkan secara meluas dalam kempen PRK Selising (Pasir Puteh) 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985. (https://partiamanahmalaysia.wordpress.com/2019/06/29/amanat-hadi-bermula-7-april-1981-kenapa-kerajaan-malaysia-tidak-ambil-tindakan-terhadap-haji-hadi-sampai-sekarang/)
Sejak itu, Haji Hadi mendapat fokus dari banyak pihak dan pernah disifatkan sebagai tokoh muda PAS yang mampu mencetak kejayaan besar pada masa hadapan politik Malaysia. Kini, Presiden PAS cukup berkuasa kerana tidak ada siapa yang menghalangnya selepas kematian Mursyidul Am PAS pada 12 Februari 2015. Pandangan dan pendapatnya tidak boleh dibantah, dan bila dibantah akan menyebabkan seseorang itu disisih, seperti berlaku ke atas Dr Khairudin Aman Razali.
Pada PRU ke-15, beliau bertanding menggunakan tiket BN dan tewas. Khairudin yang tewas dalam pemilihan PAS 2021, dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS namun digugurkan dua bulan kemudian. Pada 14 Mac 2022, Khairudin mengambil keputusan keluar daripada PAS dan kekal sebagai wakil rakyat Bebas.
Sejak tidak ada kuasa di peringkat kerajaan, Haji Hadi konsisten menyerang ‘kerajaan perpaduan’ yang dilihatnya penuh perangkap dan muslihat. Namun, pada hakikatnya Presiden PAS itu sangat kesal kerana merasakan PN berjaya membentuk kerajaan sebelum keputusan PRU ke-15 selesai diumumkan dan yakin dengan ramalan awal bahawa PN peroleh kemenangan. (Astro Awani, 19 November 2022).
Setelah kerajaan perpaduan menjadi kenyataan, absah dari segi keahlian Dewan Rakyat, Haji Hadi nampaknya tidak dapat menerima hakikat bahawa Malaysia akan mampu ditadbirkan secara berkesan menerusi gandingan parti-parti politik yang pernah bermusuhan. Seperti ada suatu kenyataan, dalam politik ‘tidak ada musuh kekal, tidak ada kawan selama-lamanya’; UMNO dan DAP boleh berganding bahu.
Selain menyerang UMNO, Hadi turut menyerang DAP. Serangannya membabitkan dakwaan parti itu mempromosi Islamofobia. DAP kemudiannya membuat laporan polis. Hadi tidak berhenti setakat itu, pelantikan Zahid sebagai TPM didakwa sebagai ‘suatu pengkhianatan’ kerana Anwar menerima mereka yang terbabit dengan kes rasuah. Hadi tidak boleh menerima bahawa dalam undang-undang Malaysia, seseorang yang didakwa masih boleh memegang jawatan sehinggalah ia dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
Hadi mungkin terlupa ketika Mohamad Sabu dihadapkan dengan persoalan ‘ditangkap khalwat’, PAS tidak mendesaknya meletakkan jawatan, sebaliknya cuba mencari jalan bagaimana untuk menutupi kes tersebut. Begitu juga ketika Mustapha Ali dikaitkan dengan seorang wanita dan videonya tersebar secara meluas pada tahun 2013.
Kerajaan campuran pertama selepas pilihan raya juga tidak dapat menghabiskan tempoh Parlimen ke-14 dengan mulus, Perikatan Nasional tertekan akibat persengkongkolan Presiden UMNO untuk menjatuhkannya atas beberapa sebab: agihan jawatan kabinet, tidak campur tangan Muhyiddin untuk membuang kes yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO pada zaman pentadbiran Dr Mahathir dan tiada jawatan TPM, yang sepatutnya dikhaskan kepada UMNO.
Akhirnya menyebabkan berlakunya penarikan sokongan sebahagian wakil rakyat BN ke atas Muhyiddin dan muncul pula dakwaan Zahid berhasrat untuk memberikan laluan kepada Anwar. Muhyiddin ikut tercabar apabila menggunakan Proklamasi Darurat untuk memanjangkan hayat politik dan tidak sanggup berhadapan dengan usul ‘undi percaya’ yang diminta oleh beberapa orang wakil rakyat agar diadakan undi percaya di Dewan Rakyat.
Kini, Muhyiddin sedang bercuti atau merancang sesuatu di London, Khabarnya ada skema Langkah London, tetapi telah dinafikan oleh Ismail Sabri Yaakob dan juga Mahadzir Khalid. Munculnya Langkah St Regis, tetapi yang sangat rakyat Malaysia faham ialah Langkah WTC yang tidak membenarkan adanya pertandingan dua jawatan utama dalam parti dengan andaian, boleh mengundang perpecahan.
Wakil-wakil rakyat BN secara terbuka mengisytiharkan hilang keyakinan kepada Muhyiddin (Dr Shamsul Anuar Nasarah, Nazri Aziz (pada bulan Julai 2021, menarik balik ‘sokongan’ yang dibuatnya pada Februari 2020)).
Bagaimanapun percubaan itu gagal kerana wakil rakyat BN yang menduduki barisan kabinet Perikatan Nasional tidak bersetuju. Bagi meredakan sedikit tekanan daripada UMNO, Muhyiddin melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai TPM, sebelumnya tidak dilihat ianya penting. Ia dikanggap cukup dengan empat jawatan menteri kanan, dan menyifatkan ‘a cabinet that delivers’ .
Walau bagaimanapun, hanya dua orang menteri kanan yang boleh mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya PM tidak ada atau berhalangan, iaitu Azmin Ali dan Dr Radzi Jidin manakala Ismail Sabri (Menteri Pertahanan) dan Fadhilah Yusuf (GPS) tidak layak.
Ini bermakna, Bersatu memang tidak jujur dalam perkongsian kuasa. Rasa ‘tidak puas hati’ itu muncul bersama-sama dengan keinginan besar untuk ‘membunuh’ UMNO. Cara Bersatu ‘membunuh UMNO’ ialah membuka ruang kemasukan wakil-wakil rakyat UMNO/BN, yang dilihat oleh sekutunya dalam PH sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, dan melanggar keputusan bersama. Kesannya, Dr Mahathir terpaksa mencari alasan lain untuk mewujudkan ‘tempoh bertenang’ dengan menyatakan kemasukan mereka akan diteliti terlebih dahulu dan tidak akan diberikan apa-apa jawatan dalam tempoh setahun.
UMNO berusaha mengekang lebih ramai lagi wakil rakyatnya daripada menyeberang dengan ancaman tindakan mahkamah serta membayar denda RM 1 juta. Kemelut itu berakhir apabila Ismail Sabri berjaya menggubal dan mendapat kelulusan Undang-Undang Anti Lompat Parti.
Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO, bila dilantik sebagai PM ke-9, ada yang melihat Zahid akan tercabar, termasuklah kemungkinan pada pemilihan akan datang (2023), ada cabaran di peringkat kepimpinan tertinggi UMNO. Ismail Sabri dikatakan akan cuba membentuk kelompok pendokongnya sendiri, yang akan menjadi benteng sekiranya berlaku perebutan jawatan dalam UMNO.
Akibat kebimbangan tersebut, Zahid akhirnya memaksa Ismail Sabri membubarkan Dewan Rakyat atau ada kemungkinan dipecat sekiranya enggan menurut keputusannya. Ismail Sabri serba salah, terpaksa akur dengan kehendak Zahid. Timbul pula dakwaan bahawa Ismail Sabri bakal tersingkir kerana Zahid inginkan jawatan PM sekiranya BN memenangi PRU ke-15. Ia jelas apabila mereka yang menjadi ‘orang Ismail Sabri’ disingkirkan daripada senarai calon mewakili BN. Shahidan Kassim menyifatkan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy hanya propaganda Zahid.’
Zahid merasakan kepimpinannya sudah dipercayai (pulih) setelah UMNO/BN mencapai keputusan cemerlang dalam PRN Melaka dan Johor. PH dan PN mendapat malu besar dalam dua PRN tersebut. PH juga terpaksa menelan hakikat hakisan sokongan pengundi bila keputusan PRN Sarawak menunjukkan PKR dan DAP semakin tidak mampu mencabar GPS.
PRN Johor menjadi medan ‘perbalahan’ besar antara PAS dan UMNO, menyebabkan Muafakat Nasional teruji secara lebih terbuka dan jelas. PAS yang sebelumnya ‘keguguran’ di Melaka kembali cuba berbaik-baik dengan UMNO sebelum memutuskan kekal berganding bahu dengan Bersatu dan Gerakan. PAS menolak untuk bersama BN kerana parti itu hanya ditawarkan bertanding sebanyak empat kerusi daripada keseluruhan DUN Johor (58).
Haji Hadi menyelar UMNO dengan kiasan itik patah kaki, cuba berenang sebaik sahaja dikatakan sembuh. Tidak cukup dengan itu, Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, yang juga MB Kedah membuat perbandingan tidak tepat, Singapura maju kerana tidak dipimpin oleh UMNO/BN.
Maksudnya, sesebuah negeri yang tidak dikuasai oleh UMNO akan menikmati kemajuan yang besar. Ia adalah suatu sindiran untuk PAS sendiri yang tidak ada idea bagaimana membangunkan negeri-negeri yang dikuasainya. Contoh yang cukup nyata dan jelas, atau kelasik ialah Kelantan.
PAS menguasai Kelantan sangat lama – period pertama 1959-1974 (15 tahun); dan period kedua 1990 hingga 2022 (32 tahun), Kelantan masih terkial-kial hingga persoalan bekalan air bersih menjadi masalah besar. Menariknya, menurut Timbalan Presiden PAS, juga menteri yang bertanggungjawab di peringkat pusat (ketika itu), proses melengkapkan kemudahan tersebut memerlukan masa selama 30 tahun.
Ertinya, 32 tahun telah berlalu dengan sia-sia dan isu yang pernah membingitkan kempen PRU ke-9 (1995). Dengan itu, seseorang bayi yang lahir pada tahun 1990, akan mencapai usia 62/63 tahun bila kemudahan tersebut dapat dibangunkan, iaitu ketika sudah masuk dalam kategori warga emas.
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
