‘YEYE’: ATM SIASAT DIRI SENDIRI, MANA MENTERI?
KUALA LUMPUR: Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin mempersoalkan kewajaran dan keberkesanan tindakan Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku moral dan kemasukan orang awam ke premis tentera.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menegaskan bahawa individu yang didakwa melakukan perbuatan sumbang dan membawa masuk orang awam (dipercayai wanita) ke mes tentera adalah anggota tentera sendiri.
Justeru, beliau membangkitkan persoalan cepumas mengenai rantaian perintah (chain of command) dalam institusi pertahanan itu.
”Menteri Pertahanan jaga Ketua Turus Angkatan Tentera, Ketua Turus Angkatan Tentera jaga anggota tentera. Benda tidak elok berlaku libatkan anggota ATM. Orang nombor satunya adalah Menteri Pertahanan dengan diikuti oleh Ketua Turus Angkatan Tentera dan pegawai-pegawai atasannya.
”Jadi bolehkah orang dalam rantaian perintah diharap menyiasat apa yang mereka sendiri gagal awasi dan cegah? Atau, silap-silap, mereka pun tumpang sekaki!” tulisnya sinis.
Menurut Abdul Kadir, dalam tentera, unsur kerahsiaan (stealth) adalah sangat utama, tetapi apabila salah guna kuasa berlaku secara terbuka melibatkan orang awam dan kontraktor, jelas integriti ATM telah terkorban (compromised).
Beliau turut menyindir bahawa tuduhan salah guna kuasa membabitkan kepimpinan tertinggi ATM yang sedang diuar-uarkan ini dilaporkan berlaku antara tahun 2023 dan 2025.
Ini bermakna ia berlaku pada zaman Kerajaan Madani di mana Perdana Menterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadikan pembanterasan rasuah sebagai satu perjuangan utama (crusade).
”Selagi kartel, sindiket dan kabal (pakatan jahat) wujud dalam kerajaan, selagi itulah penghapusan rasuah dan pendisiplinan birokrasi kekal sebagai janji kosong,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan arahan Kementerian Pertahanan kepada ATM yang dibuat sekadar melalui kenyataan akhbar Unit Komunikasi Strategik sebagai ‘lemah’ (flimsy), sambil mempersoalkan keberadaan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam isu serius ini.
Tambahnya, siasatan dalaman oleh jabatan sendiri selalunya tidak membawa kepada penyelesaian tuntas dan sekadar berakhir dengan ‘tindakan disiplin ala kadar’ (slap on the wrist).
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar siasatan dilakukan oleh badan bebas seperti Ombudsman yang sedang dicadangkan di bawah peta Reformasi Institusi untuk memastikan semak dan imbang serta meningkatkan kepercayaan rakyat.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata isu salah guna kuasa, rasuah dan ketidakdisiplinan dalam Kementerian Pertahanan bukanlah perkara baharu.
”Kalau kerajaan dulu dan sekarang benar-benar hendak banteras salah guna kuasa dan rasuah dalam kementerian itu, bertrak-trak pelaku, daripada yang kecil kepada raksasa, sudah diangkut ke penjara.
”Tetapi lebih banyak cakap daripada tindakan. Maka jadilah walhasil balik asal, itu pasal tak hasil. Pi mai, pi mai dok tang tu,” ujarnya.
Terdahulu, tuduhan berkenaan budaya tidak bermoral membabitkan anggota tentera semakin mendapat perhatian selepas beberapa video dan gambar tular di media sosial.
Sebuah akaun TikTok mendedahkan rakaman dipercayai memaparkan perlakuan tidak senonoh anggota tentera termasuk tangkap layar perbualan dengan wanita dipercayai wanita penghibur yang dibawa masuk ke premis tentera.
Sumber: harakahdaily.net
