Ensiklopedia

Keterangan ringkas & tepat mengenai pelbagai ilmu!

 

KEMERDEKAAN JIWA BERSIH BUKAN 'MENYAKAU'

Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Pada 31 Ogos, rakyat Malaysia akan menyambut hari yang bersejarah, iaitu hari memperingati ulang tahun kemerdekaan. Allah SWT menciptakan umat manusia di seantero dunia ini dengan bekal kemerdekaan dan kebebasan agar mereka menjadi umat yang bertakwa, iaitu satu umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Kemerdekaan Malaysia ini patut menjadi refleksi bagi kita seorang umat beragama, sejauh mana kita telah mengisi kemerdekaan ini dengan kegiatan yang mendekatkan diri pada Allah SWT bukan kegiatan menyakau duit negara. Isu berkaitan dengan 'Tabung Haji' amat menyedihkan umat Islam. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana simpanan tersebut kepunyaan umat Islam untuk menunaikan Haji.

Kemerdekaan merupakan salah satu nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia. Oleh hal yang demikian itu, kita wajib mensyukuri atas nikmat Allah itu kerana kita diberi kesempatan menyambut kemerdekaan diri dan negara ke-69 dalam suasana yang penuh aman, damai dan sejahtera.

Sekiranya kita menyedari akan hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap kebebasan dalam erti yang sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan nikmat Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 20 yang bermaksud

``Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: ``Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu).

Intipati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. supaya kita memperbaiki diri akan kebebasan kita daripada penjajahan mental dan moral oleh kolonial dan neo-kolonialisme.

Hakikatnya dalam konteks negara kita yang sudah pun berusia 69 tahun banyak pencapaian dari segi material mahupun spiritual yang telah dicapai. Di manakah rahsia daripada kekuatan kita ini? Adakah pada senjata-senjata yang canggih? Rahsia kekuatan ini tidak boleh dikaji sekadar melihat kepada benda yang ada di depan kita. Tetapi ia harus dilihat ke dalam batin, lihatlah ke dalam jiwa.

Sesungguhnya kekuatan kita ialah kepercayaan, kekuatan iman dan akidah kita. Kekuatan inilah yang mempertahankan negara ini daripada segala bentuk ancaman yang boleh memusnahkannya. Rakyat Malaysia patut bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat menyelesaikan banyak masalah yang amat serius khususnya yang berkaitan hubungan agama dan negara. Beberapa aspek penghayatan syariat Islam secara hikmah, yang turut dinikmati orang bukan Islam khususnya di Malaysia bukan sahaja disanjungi, malah turut dicontohi oleh masyarakat Islam di negara luar. Kesungguhan kerajaan melaksanakan Islam yang bermula dengan Dasar Penerapan Nilai-Nilai disekitar tahun 1980-an, kemudian diikuti dengan gagasan Islam Hadhari kedalam sistem pentadbiran negara secara sistematik dan teratur adalah selaras dengan tuntutan agama..

Banyak di kalangan negara Islam cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan mengorbankan agama dan memilih sekularisme (fahaman yang memisahkan agama dan negara), atau mengorbankan kepentingan sebahagian anggota masyarakatnya yang majmuk ketika memilih salah satu agama atau fahaman keagamaan dalam mengatur kehidupan berbangsa, bernegara dan bermasyarakat.

Ada dikalangan negara-negara Islam yang cuba-cuba menerapkan ajaran Islam secara keras dengan mengabaikan pandangan anggota masyarakat lain, yang akhirnya meletakkan negara mereka sentiasa berkonflik.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam memberi kedudukan yang penting bagi semua agama yang dianuti masyarakatnya dan menuntut mereka sama-sama berperanan membangun bangsa dan negara. Ini sesuai dengan peranan dan fungsi agama itu sendiri dalam sesebuah negara iaitu melaksanakan urusan manusia bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Demikian juga dalam hubungan pemerintah dan agama di Malaysia.

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 27
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com