Resensi Buku

Perbincangan berkenaan buku

Sejarah bukan hanya sekadar kisah lama; Sejarah mengajar kita untuk mencari kebijaksanaan. Itulah yang dapat saya rumuskan tatkala mendengar titah Sultan Nazrin Shah perihal peristiwa yang telah melakarkan sejarah luka terbuka dalam sebuah negara yang bernama Malaysia.

 
Misalnya, kita sudah ada Pelan Integriti Nasional (PIN) telah perlakuan rasuah menjadi semakin parah walaupun sudah 21 tahun ia dirangka, cuba dibudayakan dan dibentuk mekanismenya. Tun Abdullah memunculkan idea itu (2004), tetapi sejarah memuntahkan makna yang cukup ironi dan tragis.
 
Rasuah dikategorikan sebagai jenayah, rasuah dijadikan slogan sebagai pengkhianatan, rasuah ditempelkan dengan muka hodoh yang menjijikkan, tetapi rasuah terus membarah. Ertinya, PIN bukan menjadi pembatas dan juga penyelamat, tiada vaksin yang benar-benar boleh menyembuhkan.
 
Ada yang mengibaratkan pelaku rasuah, perangainya lebih kurang sama dengan scammer yang berselerak dalam media sosial. Mereka hadir dalam pelbagai celahan kegilaan manusia menjadi warga Maya. Mereka hadir sebagai penjual barangan murah. Mereka hadir sebagai penasihat pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dalam tempoh singkat, hatta didakwa patuh syariah mahupun tidak.
 
Mereka hadir sebagai pengawal yang boleh "membatalkan saman" atau "membantu" selesaikan masalah pelanggaran undang-undang. Mereka juga hadir dengan nada "mencari cinta" atau "atasi kesepian diri" kerana berseorangan menjalani hidup adalah suatu yang amat disesali.
 
Tidak kurang juga hadir tatkala kita dalam situasi bingung memikirkan kos sara hidup yang semakin meningkat, mereka sedia membantu kita dapatkan apa yang kita perlu dengan harga yang murah, maka terpesonalah diri dengannya. Sayangnya, semua itu berlaku dalam rencah, ramuan dan proses yang cukup keji: menipu dan penuh kebohongan.
 
Tidak setakat itu, politik juga semakin kacau dengan percubaan membentuk persepsi. Ada ketikanya, mulut yang berbicara lebih laju daripada otak yang berfikir. Akhirnya, benar bahawa kerana mulut badan binasa. Contoh yang gempar sekarang ialah perihal seorang menteri, mulut keluarkan bunyi perkataan semacam ugutan.
 
Awalnya cuba pertahankan kesilapan itu, sebab dia juga ada hak. Tak tahulah hak yang dikatakan "ada hak" itu betul atau benar-benar menepati makna hak atau dalam bahasa Inggeris ialah right. Hak itu bermakna: (I) benar, kebenaran; (2) kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat, dll); milik, kepunyaan; dan (4) yang (mana satu)" (Kamus Dewan, 2007, hal.500).
 
Apakah hak seorang menteri? Jika menteri disoal atau ditanya, dia ada hak untuk menjawab atau tidak menjawab. Tetapi, dia tidak ada hak untuk mengecam, kecuali pertanyaan itu bersifat menghina. Jadi, wartawan yang bertanya itu bukan berhasrat menghina, tetapi ia memerlukan penjelasan. Penjelasan itu perlu kerana undang-undang negara meletakkan bahasa Malaysia atau Melayu sebagai bahasa rasmi. Oleh kerana tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai slogan Tahun Melawat Malaysia 2026, maka wartawan itu berhak bertanya.
 
Ia berasaskan kepada falsafah, dengan bertanya seseorang itu lebih memahami dan mendekati kebenaran. Sebab itu dalam tradisi pembudayaan Islam, kita sentiasa diberitahu, seseorang datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanya untuk nasihat, perangsang dan panduan bagi mengatasi masalah yang dihadapinya, dengan pelbagai isu.
 
Wartawan juga ada hak, hak untuk bertanya. Mereka hanya tanya kenapa tidak gunakan slogan dalam bahasa Malaysia, kerana bahasa itu adalah bahasa kebangsaan. Dia dikecam, dia disindir tajam. Akhirnya dia memohon maaf dan sebagai "punishment", dia menawarkan majlis “makan malam” untuk menjernihkan yang sudah keruh. Apakah majlis makan malam itu dijadikan sebagai "reward" setelah menggelupur dengan kontroversi? Atau, sebagai langkah untuk memujuk semula para wartawan agar tidak menjauhkan diri atau memboikot?
 
Ini mungkin mengingatkan kita kepada satu "tragedi" yang pernah menimpa akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo ketika isu stoking dan kasut hitam bermula. Walaupun tiada arahan langsung daripada Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik, Ketua Setiausaha KPM mengarahkan semua institusi pendidikan dan agensi di bawah KPM membatalkan semua langganan akhbar terbitan Kumpulan Utusan Melayu.
 
Maszlee cukup marah, sebabnya akhbar berkenaan memaparkan isu stoking dan kasut hitam seolah-olah itu sahaja yang dapat difikirkan dalam reformasi sistem pendidikan. Maszlee juga mencetuskan kontroversi apabila berusaha menukarkan program pemberian susu kepada cadangan program penyediaan sarapan pagi kepada para pelajar.
 
Ia menjadi lebih kontroversi bila menerima pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah IIUM, sedangkan secara moralnya tidak seharusnya diterima kerana beliau adalah Menteri Pendidikan. Komen beliau ketika itu, saya dilantik, bukan memintanya. Namun yang lebih menakutkan ialah apabila beliau berkata bahawa dirinya akan kembali ke IIUM selepas 10 tahun bergiat dalam politik. Secara literalnya, Maszlee akan melakukan apa sahaja ke atas IIUM agar "kepulangan" nanti menjadi lebih selesa dan bergaya.
 
Masyarakat mula melihat, Maszlee mencari peluang dengan menerima pelantikan itu, kerana beliau boleh menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Pendidikan untuk merancang masa depannya di universiti berkenaan, tempatnya mengajar sebelum dilantik sebagai menteri. Ia dilihat suatu bentuk salah laku, ada ciri-ciri "conflict of interest".
 
Rakyat biasa juga ikut mahu campur sedalam-dalamnya, sebagai respon terhadap sesuatu isu yang muncul. Baguslah, jika respon itu boleh dijadikan "masukan maklumat", untuk diambil tindakan secara berhemah oleh pihak yang terbabit. Situasi itu memberikan tekanan kepada Maszlee, akhirnya beliau membuat keputusan menolak pelantikan.
 
Namun, jika korelasinya tidak ada hubungan yang tepat, maka muncullah spekulasi yang sangat kacau. Chaos. Kita mungkin belum terlupa dengan kisah seorang suri rumah bernama Suhaila Halim yang menggunakan akaun Facebooknya mengecam Yang di Pertuan Agong pada awal Januari 2025. Begitu juga dengan seorang wanita, Persana Avril Sollunda, 43 yang memuat naik dalam media sosial video sijil nikah palsu dirinya dengan seorang kerabat diraja pada bulan Februari 2025. Avril kemudiannya dihukum penjara selama setahun mulai 18 Jun 2025.
 
Sedihnya, Suhaila pada prosiding awal tidak diwakili peguam, dan masyarakat melihat ia adalah satu layanan cukup berbeza oleh sebuah parti politik yang disokongnya. Beliau merupakan ahli sebuah parti politik, sentiasa ditarbiahkan doktrin politik parti itu, tetapi bila berada dalam situasi sulit, tidak ada apa-apa pembelaan terhadapnya, termasuk membantu menyediakan wang jaminan dan perundangan.
 
Ia berbeza dengan kes seorang wakil rakyat, kerana takut kehilangan kerusi, wakil rakyat terbabit diberikan pelbagai dokongan termasuk pasukan peguam dan dana bagi membayar denda yang dikenakan, yakni beratus kali ganda daripada wang jaminan yang dikenakan ke atas Suhaila. Itulah nasib yang menimpa orang biasa berbanding "elit", yang telah membuktikan parti politik bukan lagi berpaksikan rakyat, tetapi berpaksikan siapa yang ada title atau memegang kuasa.
 
Rakyat hanyalah alat semasa kuasa itu hendak ditentukan, tetapi bila berkuasa, rakyat dipinggirkan, kecualilah jika parti politik boleh meraih labanya. Jangan biarkan diri dijadikan sebagai pelanduk ketika dua ekor gajah naik minyak, dan pula-pula kita sebagai rakyat ikut terpengaruh dengan idealisme politikus yang boleh menjurus kepada "matlamat menghalalkan cara".
 
Chaos hadir sebagai satu bentuk kebimbangan tanpa berpijak pada realiti, atau dalam bahasa politik dikenali sebagai populisme. Asasnya adalah membangkitkan emosi "marah dan benci", yang awalnya lahir daripada mulut yang lebih cepat mengeluarkan bunyi, seolah-olah badan sedang tersepit oleh tindihan objek amat berat.
 
Seolah-olah mesti lawan, bukan melawan objek berat yang menindih, tetapi kepada sasaran yang salah, yang kadangkala berusaha untuk lari seumpama dipatuk ular, walhal hanya terpelanting hujung sabut yang terpijak. Itulah juga mungkin berlaku ke atas seorang pekerja bank bila mengubah imej PMX dengan busana berbendera Israel. Walaupun PMX tidak mengarahkan "pemecatan", majikannya telah pun mengambil tindakan manakala pihak polis membuka kertas siasatan.
 
Sabut disangka ular, lintang-pukang dibuatnya, berlari "ketakutan". Nasib baik tidak tersembam, kalau tersembam, sekurang-kurangnya termakan pasir dan alami sedikit luka. Sakit tetap terasa, dan perlukan masa untuk pulih. Kalau parah, siapa yang akan tanggung, parti politik jangan harap, tanggunglah sendiri.
 
Itulah yang saya faham apabila seorang berspekulasi bahawa sekolah-sekolah pondok akan ditutup akibat adanya kes-kes jenayah berlaku di sekolah, termasuk sekolah pondok. Ini mungkin sepadan dengan apa yang dikatakan oleh Friedrich Nietzsche (1844-1900), ahli falsafah eksistensialisme dari Jerman: "Bahaya terbesar bukanlah kebohongan, tetapi kebohongan yang dibungkus kebenaran."
 
Kita tahu, setiap masyarakat beradab diajar bagaimana untuk membudayakan adab dalam setiap masa dan perilaku, sama ada dengan diri sendiri mahupun masyarakat. Persoalannya, kenapa adab seringkali cuba dicabar, dilupa dan diselingkuhkan dengan perilaku yang berlawanan sehingga dipanggil biadab. Tentunya, kerana seseorang itu sudah hilang integriti diri, dalam istilah moden jiwa kacau.
 
Integriti bermaksud: (1) kejujuran; (2) keadaan sempurna dan utuh, keutuhan. Berintegriti bermaksud: mempunyai integriti (kejujuran, ketulusan dsb). (Kamus Dewan, 2007, hal. 583.)
 
Dalam pemahaman lazim, integriti, selain maksud tersebut, ia turut membawa maksud: keikhlasan, ketelusan, amanah dan konsisten antara kata (cakap) dan tindakan (perbuatan). Maknanya, jika seseorang itu bercakap lain manakala tindakannya berbeza, secara literalnya boleh dianggap tidak berintegriti. Politik telah menyebabkan situasi sebegini menjadi budaya, dan politik menjadikan kita semakin jauh dengan etika dan moral yang kita warisi sejak sekian lama, juga apa yang diajar oleh agama.
 
Jelas Warren Buffett: carilah tiga perkara pada seseorang: kecerdasan, semangat dan integriti. Jika seseorang itu tidak ada yang terakhir (integriti), dua perkara lainnya (kecerdasan dan semangat) tidak ada gunanya.
 
KAMARUN KH
Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 192
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com