Masih terdapat segelintir peminjam yang mengabaikan tanggungjawab untuk melangsaikan hutang walaupun telah diberikan pelbagai peringatan dan peluang. Malah, ada antara mereka yang hidup dalam keadaan mewah tetapi tidak amanah serta enggan membayar hutang kepada pihak yang pernah membantu mereka mendapatkan pembiayaan pendidikan. Keadaan ini menjadi lebih memalukan apabila sebahagian daripada individu yang tersenarai sebagai penghutang terdiri daripada orang Islam, sedangkan Islam amat menitikberatkan sifat amanah dan kewajipan melunaskan hutang.
Pada masa kini, isu kegagalan melunaskan hutang semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi dengan kemudahan "Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL)" yang semakin berleluasa. Kemudahan ini digunakan oleh pelbagai golongan tanpa mengira sama ada mereka bekerja, tidak bekerja mahupun pelajar. Ada yang berbelanja melebihi kemampuan kerana tertarik dengan tawaran pembayaran secara ansuran atau penangguhan bayaran, namun akhirnya gagal menjelaskan hutang mengikut tempoh yang ditetapkan.
Selain itu, masih terdapat segelintir peminjam yang mengabaikan tanggungjawab untuk melunaskan hutang walaupun telah diberikan pelbagai peringatan dan peluang. Malah, ada antara mereka yang hidup dalam keadaan mewah tetapi tidak amanah serta enggan membayar hutang kepada pihak yang pernah membantu mereka mendapatkan pembiayaan. Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila sebahagian daripada individu yang gagal melunaskan hutang terdiri daripada orang Islam, sedangkan Islam amat menitikberatkan sifat amanah dan kewajipan menunaikan hak serta melangsaikan hutang.
Adalah amat dibimbangi budaya berhutang menjadi gaya hidup masyarakat Islam. Ia mungkin tidak pelik jika di lakukan dalam keadaan darurat. Oleh itu, sikap mudah terpengaruh dengan iklan jualan murah, tidak puas dengan apa yang ada, mudah membuat pinjaman, dan gagal mengawal nafsu berbelanja dikenal pasti punca budaya ini menular.
Dalam suasana ekonomi pada masa ini, kita hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak dengan budaya berhutang. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada manusia seperti tekanan emosi, muflis, kehilangan semangat untuk bekerja, kecelaruan fikiran, merompak, melacur, kehidupan keluarga yang tidak bahagia, dan tidak diampuni dosanya oleh Allah s.w.t. Ini selari dengan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan:
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.”
Agama Islam mengharuskan seseorang itu berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukan kewangan untuk meneruskan kehidupan. Walau bagaimanapun, Islam sangat teliti dalam soal memberi, menerima, dan membayar semula hutang tersebut.
Pada dasarnya isu hutang dan pinjam meminjam berkait rapat dengan sikap amanah pemiutang dan penghutang. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang, dan ketinggian iman seseorang antara mereka yang mampu dengan mereka yang berada dalam kesusahan.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 283:
Maksudnya: “Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.”
Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap yang berhutang wajib melaksanakan amanah dan bersifat jujur membayar hutang mereka setelah berkemampuan. Bagi sesiapa yang suka melewat-lewatkan atau menangguhkan pembayaran hutang ini, maka maruah mereka menjadi hina, hidup hilang keberkatan dan tidak diredhai oleh Allah s.w.t, amalan kebajikan tertolak, dan tergolong dalam orang yang zalim.
Semua pihak terutama yang berhutang tetapi tidak menjelaskan hutang tersebut diingatkan supaya bersegeralah untuk melunaskan hutang piutang kita. Akhir-akhir ini bukan sahaja yang berhutang menjadi korban, bahkan ahli keluarga mereka turut terbabit sama seperti diugut, dipukul, di samun, dan dibunuh.
Kesimpulannya, amalan berhutang dibenarkan dalam Islam apabila benar-benar diperlukan, namun setiap hutang yang dibuat wajib dilunaskan dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Fenomena kegagalan membayar hutang serta budaya "Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL)" yang semakin berleluasa menunjukkan bahawa masih ramai masyarakat yang kurang berdisiplin dalam mengurus kewangan dan mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah. Sikap ini bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada diri, keluarga dan masyarakat, malah turut mengundang kemurkaan Allah SWT kerana hutang merupakan amanah yang wajib diselesaikan. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah berbelanja mengikut kemampuan, mengelakkan hutang yang tidak perlu, serta berusaha melunaskan segala hutang apabila berkemampuan. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membendung budaya berhutang secara berlebihan dengan mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah. Semoga masyarakat Islam sentiasa memelihara hak sesama manusia dan menjadikan tuntutan agama sebagai panduan dalam setiap urusan kewangan agar memperoleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
Catatan: Ibnu Majid