REZEKI, KASIH SAYANG DAN CINTA DALAM MEMBANGUNKAN KEHIDUPAN (III)
Setiap kehidupan, ia bermula dengan prosesnya dan secara fizikal boleh dibahagikan kepada: dalam keadaan belum lahir (janin), ketika lahir (bayi), membesar (kanak-kanak), remaja, dewasa, period tua (warga emas) dan peringkat akhir (mati). Setelah meninggalnya seseorang, maka ia bukan sahaja meninggalkan nama juga sifat-sifat sebagai manusia sama ada berjasa atau di sebaliknya.
Dalam Islam, apabila meninggalnya seseorang (anak atau keturunan Nabi Adam AS, dan setiap manusia bernasabkannya) maka akan "terputuslah amal ibadatnya, kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang sholeh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah RA: Muslim, no. 1631; al-Nasa'i, no. 3651; al-Tarmizi, no. 1376 dan Abu Daud, no. 2890).
Peribahasa ada mengatakan: manusia mati meninggalkan nama (jasa atau kisah-kisah kehidupannya), harimau mati meninggalkan belang. Antara manusia dan harimau, manusialah yang paling diingati tentang sumbangannya kepada kehidupan walaupun harimau juga ada peranannya dalam menentukan keseimbangan flora dan fauna serta tata ekologi. Sayangnya, setelah dunia semakin berkembang dan maju, kita sering mendengar tindakan manusia sendiri yang sangat paradoks, berkonflik dan merosakkan. Paradoks ini, dalam kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib RA ialah: "Wahai manusia yang menyerupai manusia, tetapi bukan manusia."
Satu pihak memperjuangkan keseimbangan alam sekitar dan pemuliharaan binatang liar manakala sekumpulan lagi memburu binatang liar untuk pelbagai tujuan. Antaranya sebagai bahan perubatan dan tidak kurang sebagai makanan eksotik dan untuk keperluan hiasan mewah. Aktiviti sebegini seringkali kita dengar, atas sebab kepentingan itulah maka banyak binatang diburu dan kemudian diseludup, melalui jalan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang.
Manusia bukan sahaja membunuh binatang liar, merosakkan flora dan fauna, manusia juga tidak lekang daripada kisah melampaui batas, iaitu dengan membunuh manusia lain, yang dilihatnya sebagai musuh atau penghalang kepada hasrat yang tidak pernah puas. Manusia membunuh kerana manusia hilang kemanusiaannya sehingga ada kata-kata sinis: dalam masyarakat manusia ada banyak binatang, juga dalam masyarakat binatang, ada erti kemanusiaan.
Erti kemanusiaan yang paling mudah dalam masyarakat binatang ialah cinta dan kasih sayang. Mereka sentiasa menjaga "ahli keluarga" sendiri sehinggalah generasi baharu itu mampu berdikari. Sedangkan setiap hari kita mendengar berita, orang tua dikerat atau ditikam oleh anaknya sendiri. Seorang da'i didapati bersalah kerana melakukan ambang seksual atau merogol. Seorang guru agama, pendidik dihukum penjara kerana kesalahan menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi, yakni memuaskan nafsu.
Seorang pemimpin yang sepatutnya menjaga amanah dan melaksanakan tanggungjawab dalam sesebuah organisasi, dihantar ke penjara dan didenda berjuta ringgit kerana menyalahgunakan kuasa, meminta rasuah bagi sesuatu proses pemilikan sesuatu aset atau agihan projek. Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara kerana membuat tuntutan palsu dengan menggunakan matan resit ke atas aktiviti bekalan yang palsu atau tidak memadai.
Seorang pegawai dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan mendapat bayaran bulanan untuk melindungi aktiviti haram (pelacuran, premis judi haram, dan sebagainya). Paling mengecewakan apabila sekumpulan penjawat awam terlibat dalam skandal "counter setting", melindungi imigran dan sebagainya. Semuanya itu berlaku kerana manusia hilang sifatnya sebagai insan, dan melihat sebuah kehidupan bersandarkan pemenuhan nafsu.
Tetapi dalam dunia manusia, kedengaran cukup janggal walaupun Allah SWT mencipta setiap manusia "sebaik-baik ciptaan" dengan menempatkan akal fikiran sebagai titik perjalanan kehidupan yang bermaruah dan beradab. Manusia menggunakan akal fikirannya secara bebas atau dikongkong oleh hawa nafsu dan dari situlah manusia bertukar menjadi "binatang" yang masih menggunakan jasad manusia.
Al-Ghazali menyifatkan manusia dan amanah seperti pengembala yang menjaga kambing dari serangan serigala; tetapi, "Apa jadinya, bila si pengembala sendiri adalah serigala?. Dalam syairnya yang lain, al-Ghazali menambah:
"Hai orang yang bijak, hai garam bumi. Jika hilang rasa lazatmu, apa lagi guna garam?". (Margaret Smith, Pemikiran dan Doktrin Mistis Islam Al-Ghazali, terjemahan bahasa Indonesia oleh Drs Amrouni, Jakarta: Penerbit Riora Citra, 2000, hal. 128).
Imam al-Ghazali (1058-1111M) yang kecewa dengan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam pada zamannya, telah memulakan langkah perubahan dalam dirinya sendiri untuk kembali kepada asas sebenar kehidupan. Beliau yang ketika itu berada dalam reputasi dan posisi yang begitu menanjak, akhirnya menyedari bahawa ilmu yang dimilikinya belum mampu membawanya kepada "kebenaran hakiki" lantaran semakin menyebabkan kekacauan. Para ahli fiqh sibuk dengan fatwa menghukum sedangkan apa yang diketahui sesuatu fatwa itu bertujuan untuk mendisiplinkan manusia, bukan menjadikan manusia semakin berpecah belah.
Kemunculan pelbagai aliran pemikiran juga menyebabkan malapetaka bagi umat Islam. Ia menjadikan manusia hidup dalam kelompok tertentu dan saling menyalahkan kelompok yang lain kerana kelompok sendirilah yang dianggap paling benar dan menepati kehendak agama. Kesemuanya itu membawa kepada suatu pencarian untuk mengembalikan pemahaman agama kepada masyarakat, mengelakkan perpecahan yang lebih besar. Al-Ghazali menunjukkan teladan terbaik dalam usahanya untuk membina semula semangat agama, dan memurnikan kedudukan tasawuf sebagai kaedah terbaik dalam mendisiplinkan diri dalam kerangka Amar Makruf Nahi Mungkar; jalan menuju ketakwaan.
Selain magnum opusnya, Ihya Ulumuddin yang ditujukan untuk pembacaan dan amalan setiap orang Islam bagi meraih "kebahagiaan hakiki", dalam dakapan jiwa agama dan amalan-amalan pembentukan jiwa, al-Ghazali yang turut dikategorikan sebagai peletak dasar psikologi Islam. Beliau adalah tokoh paling awal yang memperkatakan tentang makna jiwa dan peranannya dalam kehidupan seseorang.
Al-Ghazali telah mendahului pemikiran psikologi, baik dalam bidang psikoterapi, kaunseling mahupun penataran manusia berakhlak yang jauh lebih kompeten berbanding psikoanalisa (Sigmund Freud), logoterapi (Victor Frankl) mahupun teori pelaziman (Ivan Pavlov atau JB Watson) dan pelbagai aliran dalam psikologi tingkahlaku (behaviorisme) serta psikologi kehibaan (grief psychology) dalam pelbagai bentuk (kemurungan, burn-out, depression, anxiety, stress dan sebagainya) yang banyak membawa masalah berhubung dengan kesihatan mental.
Kesihatan mental semakin menjadi masalah manusia moden, yang tentunya mempunyai kaitan rapat dengan gaya hidup dan penyimpangan makna sebenar tujuan hidup menurut perspektif fitrah. (lihat juga, Imam Al-Ghazali, Psikologi Sufi, terjemahan dari Ma'arij al-Quds fi Madarij Ma'rifah an-Nafs oleh Ach. Khoiron Nafis, Yogyakarta: DIVA Press, 2025; Salasiah Hanim Hamzah, Pendekatan Kaunseling Spiritual Menurut Al-Ghazali, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016; Shaikh Abdullah Hassan Mydin, Pengurusan Diri Mengikut Model al-Ghazali, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2020; dan, Nor Shakirah Mohd Akhir, Al-Ghazali and Theory of the Soul: A Comparative Study, Pulau Pinang: USM Press, 2010).
Kekacauan inilah yang cuba diatasi oleh al-Ghazali dengan cara menganjurkan pembersihan jiwa dan pengekalan kehidupan berakhlak berdasarkan nilai-nilai agama. Jalan itulah yang terbaik untuk manusia, kerana tasawuf mampu memahamkan setiap manusia ke Jalan Yang Lurus, yakni Jalan Kebenaran dan Jalan Hakikat bagi setiap manusia menuju batas kehidupan yang fana (sementara atau tidak kekal).
Dalam syairnya yang terakhir al-Ghazali menulis:
Aku seekor burung: jasad ini sangkarku
Namun aku telah terbang meninggalkannya
sebagai tanda jua."
(Margaret Smith, Al-Ghazali: The Mystics (1944), dipetik kembali oleh Martin Lings, Apa Itu Tasawuf, terjemahan dari What is Sufism? oleh Khairul Anam, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2023, hal. 3).
Dalam pengalaman tasawuf, disebabkan oleh kegelisahan dalam kehidupan yang dilihat semakin tidak beradab dan bercanggah dengan hakikat Islam, para "pemberontak" mengasingkan diri daripada kekalutan itu. Mereka berusaha untuk meninggalkan segala hal yang dilihat tidak menepati ajaran agama untuk menumpukan sebuah kehidupan yang bebas dari kejahatan dan maksiat, hidup secara terasing dan meneruskan kehidupan sebagai manusia asketis.
Istilah itu merujuk kepada "tindakan melarikan diri" dari segala kekalutan yang dimulai dengan pemahaman bahawa "berlaku penyimpangan dari jalan lurus" akibat perbezaan-perbezaan yang muncul kemudiannya.
Ibnu Khaldun, tokoh sejarawan Islam yang terkemuka memberikan gambaran menarik mengenai fenomena ini:
"Ketika generasi sahabat berlalu, dan datang masa setelah mereka, yang penduduknya menerima bimbingan para sahabat secara langsung melalui pengajaran dan pendidikan, mereka disebut tabi'in. Selanjutnya generasi setelah mereka disebut tabi'in tabi'in.
"Lalu, manusia pun mulai dilanda perbezaan antara satu sama lain. Tingkatan-tingkatan mereka pun bervariasi. Penyimpangan dari jalan lurus mulai meluas. Mereka lalu melupakan urgensi dari aktiviti-aktiviti hati atau bahkan sama sekali mengabaikannya.
"Majoriti manusia hanya memerhatikan perbaikan amal jasmani dan memelihara ritual-ritual agama tanpa memperhatikan batin atau berusaha memperbaikinya. Para fuqaha (ahli fiqh) sibuk dengan hukum-hukum muamalah dan ibadah lahiriah yang menjadi keperluan umum masyarakat, sesuai tuntutan posisi fatwa dan bimbingan massa.
"Maka orang-orang hamba memerhatikan hati secara khusus menyandang nama zuhhad (orang yang hidup seketika), 'ubbad (ahli ibadah) dan pencari kebahagiaan hakiki (akhirat), yang mengkhususkan diri untuk Allah, berpegang teguh pada agama mereka "seperti memegang bara api" sebagaimana disebutkan dalam hadis [riwayat at-Tarmidzi no. 2262 dalam bab Al-Fitan (kekacauan) yang bermaksud:
"Dari Anas bin Malik RA yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang suatu zaman ketika orang-orang yang berpegang teguh kepada agamanya ibarat orang yang menggenggam bara api.".[Syeikh Abdul Qadir Arnauth berkata: Hadis itu memiliki syahid (penguat) yang membuatnya meningkat (darjatnya) dalam Jami' al-Ushul, 4/10.]
Lanjut Ibnu Khaldun, "Kemudian bencana bida'ah (penyimpangan) dalam persoalan akidah mulai merebak. Ritual-formal saling bertentangan dengan kelakuan asketik (zuhud) seiring dengan merebaknya gerakan Mu'tazillah, Rafidiyah (Syi'ah ekstrem), dan Khawarij. Dalam keadaan ini, reformasi dimensi aktiviti zahir dan batin pun sia-sia kerana rosaknya asas akidah dibawahnya.
"Segelintir orang yang masih menghasrati kedalaman agama dan penghayatannya kemudian memisahkan diri dari hiruk pikuk perdebatan ini, untuk kemudian memilih menghidupkan Sunnah (ajaran Nabi Muhammad SAW yang lebih menitikberatkan pada aspek-aspek batin.
"Mereka mengikut jejak para pendahulu yang mulia (al-salaf al-shalih) dalam melakukan reformasi amal-amal, baik yang bersifat lahir mahupun batin. Orang-orang lantas menggelarkan mereka dengan mutashawwifah (para sufi)." (Ibnu Khaldun, Pengantar Ilmu Tasawuf, terjemahan dari Syifa' al-Sa'il wa Tahdzib al-Masa'il oleh M Hasan I Mubarak, Yogyakarta: DIVA Press, 2026, hal. 30-31).
(bersambung)
MONOSIN SOBRI
REZEKI, KASIH SAYANG DAN CINTA DALAM MEMBANGUN KEHIDUPAN (II)
Kitab Mawaizh Ushfuriyah atau Belajar Cinta Dari Seekor Burung Pipit (BCBP) setebal 332 halaman mengandungi 48 hikayat bagi menjelaskan 32 hadis manakala lapan hadis tidak disusuli hikayat. Secara keseluruhannya, kitab ini mewakili keinginan pengarang untuk memperlihatkan kebenaran sejarah terhadap sesuatu hadis dalam pembuktian hikayat atau anekdot, dan juga sebagai usaha pendalaman makna, agar mudah difahami dan diingat menerusi cerita. Inilah yang dikatakan sebagai satu bentuk sastera deduktif, sastera yang membawa pengajaran dan pembingkaian moral yang cukup tinggi dalam nilai agama dan keluhuran ajaran Islam.
Terdapat 20 hadis yang diterangkan secara menarik dalam satu hikayat, 8 hadis diberikan dengan dua hikayat, dua hadis dengan tiga hikayat dan hanya satu hadis dengan lima hikayat. Hikayat terbanyak itu mewakili hadis ke-10, yang mengajak manusia untuk mencari syurga dan menjauhi neraka (hal.63), yang bermaksud:
"Khulaib bin Hazim RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Wahai umatku, kejarlah syurga sedaya upayanya dan jauhilah neraka dengan segala kekuatan yang ada. Sesungguhnya pencari syurga itu tidak tidur. Demikian juga dengan neraka: orang yang berusaha menjauhinya juga tidak tidur. Ingatlah bahawasanya syurga itu di kelilingi oleh pelbagai hal yang tidak disukai (oleh Allah selama di dunia), sedangkan neraka di kepung oleh pelbagai keseronokan dan kenikmatan yang menggoda. Maka, janganlah semua itu melalaikan kamu dari akhirat."
Hikayat pertama ialah tentang sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah bersabda:
"Ketika para penghuni syurga masuk ke dalamnya, maka akan kedengaran seruan berbunyi 'di tempat ini kamu akan hidup dan tidak akan mati untuk selama-lamanya. Kamu akan sihat terus menerus dan tidak akan sakit selama-lamanya. Kamu sentiasa muda dan tidak akan tua selama-lamanya. Kami sentiasa bersenang-senang dan tidak akan dukalara selama-lamanya."
Jelas Syeikh Muhammad Abu Bakar, penulis kitab ini, dalam al-Qur'an Allah berfirman:
"Dan diserikan kepada mereka: 'itulah syurga yang diwariskan kepada kamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan".
Dalam hikayat kedua, Syeikh Muhamad Abu Bakar bercerita: Abu Hurairah RA memberitahu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Allah SWT telah berfirman,: 'Aku telah menyiapkan hamba-hamba-Ku yang sholeh kelak sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terbersit di hati manusia."
Pinta pengarang, "cuba kamu baca firman Allah yang bermaksud;" Maka tidak ada jiwa yang mengetahui apa yang disembunyikan bagi mereka dalam bentuk kesenangan yang menyejukkan hati sebagai balasan terhadap apa-apa yang mereka kerjakan.'
Cerita al-Ushfuri lagi "di dalam syurga itu juga ada sebatang pokok besar yang naungannya tidak akan selesai ditempuh oleh seorang penunggang kuda selama seratus tahun.
"Cubalah kamu baca firman-Nya yang bermaksud: "Dan naungan yang terbentang luas, air yang sentiasa mengalir, buah-buah yang banyak tanpa putus serta bebas dipetik, dan permaidani-permaidani yang tebal lagi empuk. Kami juga menciptakan bidadari-bidadari sebagai penghuninya secara langsung."
Pada hikayat atau khabar ketiga, al-Ushfuri, berdasarkan riwayat Mughirah bin Syu'bah, Rasulullah SAW bersabda:
"Nabi Musa AS pernah bertanya kepada Allah SWT: 'Wahai Tuhanku, beritahulah kepadaku siapakah orang yang terakhir masuk syurga dan berapa lama orang itu akan berada di syurga tersebut?
Allah SWT menjawab: 'Wahai Musa, tidak ada seorang muslim yang akan terus berada di neraka kecuali seseorang yang akhirnya Aku keluarkan darinya kerana rahmat-Ku. Lalu orang itu akan berdiri di pintu syurga hingga Aku berkata padanya:" Masuklah ke syurga".
Namun, orang itu menjawab:" Bagaimana aku hendak masuk ke syurga kerana semua orang yang sudah berada di dalamnya sudah ada di tempat dan kedudukannya (masing-masing) sampai tidak tersisa satu kenikmatan atau satu tempat pun untukku? '
Allah SWT kemudian menjawab:" Wahai hamba-Ku, mahukah engkau Ku-beri satu tempat di syurga yang luasnya sebesar kerajaan dua orang raja di dunia?
"Mahu, wahai Tuhanku," jawab orang itu.
"Kalau begitu, masuklah ke syurga. Engkau akan mendapatkan tempat yang luasnya beberapa kali ganda dari yang Ku-seburkan tadi," jelas Allah SWT.
Demikianlah akhirnya, akhirnya didapati tempat seseorang itu di syurga "seluas kerajaan empat orang raja yang ada di dunia".
Khabar itu membawa kita kepada sebuah jaminan bahawa setiap orang Muslim akan ada tempatnya di Syurga, kecuali mereka yang tidak diberikan rahmat oleh-Nya. Ertinya, mereka yang akan menjadi penghuni syurga yang tidak akan pernah kesakitan, dukalara dan sentiasa bergembira di temani bidadari, serba kecukupan makanan dan sebagainya, adalah atas Ihsan Allah SWT, bukan "janji kosong manusia" oportunis dan "narsistik". Tidak ada seorang pun yang dijamin syurga secara alami oleh sesiapa pun pemimpin yang ada, kecuali Nabi Muhammad SAW yang akan memberikan syufaatnya.
Selain mana pun seorang ulama, ia tidak akan dapat menjamin pengikutnya ke syurga, kerana dirinya sendiri belum dijamin tidak akan dihisab oleh Allah SWT di Hari Pengadilan. Namun bagi pengamal sufi, mereka menempuh jalan itu dengan cara melupakan diri dalam pelbagai pesona dunia, hidup dalam dunianya sendiri dengan penuh tawakal dan zuhud.
Jalan itulah yang membawa mereka kepada konsep penyucian diri, sebuah perjalanan menuju Syurga Allah SWT yang telah dijanjikan bagi mereka yang beriman, beramal sholeh dan setiap kata-kata, tindakan dan pandangnya mencerminkan kebaikan. Dalam konteks ajaran agama, Imam al-Ghazali menamakan Amar Makruf Nahi Mungkar.
(bersambung)
MONOSIN SOBRI
REZEKI, KASIH SAYANG DAN CINTA DALAM MEMBANGUN KEHIDUPAN
Burung pipit (sparrow) adalah antara burung yang terkecil dan dalam kehidupan seharian, kita mudah temuinya. Pipit kadangkala juga dikenali sebagai ciak, dan tentunya bila mendengarkan perkataan itu kita akan segera teringat tentang burung ciak rumah; burung kecil yang bertenggek di celahan atap, kayu perabung atau ruang sisi atap rumah .
Dalam kehidupan psikologi, burung pipit membawa banyak pengajaran yang boleh kita pelajari, bahkan merenung secara mendalam tentang ghairah hidup, cinta dan kasih sayang. Salah satu cerita yang masyhur ialah kecewa seekor burung pipit betina, setelah siap membina sarangnya, tiba-tiba malam itu muncul angin kencang. Angin itu meruntuhkan seluruh sarangnya, dengan hari yang kecewa, burung pipit berkeluh kesah, lalu mengecam apa yang berlaku.
Kecaman itu didengar, lalu keluhan itu dijawab dengan suatu suara: angin kencang muncul pada malam itu, ketika pipit sedang nyenyak tidur, Tuhan ingin menyelamatkan penghuninya. Seekor ular besar sedang menerpa ke arah sarang itu, lalu muncullah angin kencang. Sarang itu jatuh, tetapi burung pipit terbang bertenggek di dahan yang lain. Pipit selamat walaupun sarangnya musnah, yang penting dirinya selamat.
Ketika kita dilanda musibah, kita seorang mengeluh menyalahkan apa sahaja, termasuk keadaan dan iklim. Dalam dunia sufi, dan juga dalam kepercayaan umat Islam, setiap apa yang berlaku ada pengajarannya dan setiap musibah ada ikhtibar yang perlu difahami, kerana Allah SWT tidak menjadikan "sesuatu dengan sia-sia".
Seorang ulama sufi Mesir, Muhammad bin Abu Bakar al-Ushfuri yang hidup pada abad ke-17 telah menyusun sebuah buku mengandungi 40 hadis Rasulullah SAW yang dikaitkan dengan cinta dan kasih sayang. Setiap hadis yang ditadaburkan itu mempunyai cerita atau hikayatnya sendiri, yang berkaitan dengan peristiwa ataupun kisah-kisah khusus dalam kehidupan yang dikumpulkan.
Kisah itu terkumpul dalam Kitab Mawaizh Ushfuriyah yang menjadi salah satu koleksi pengajaran di pesantren sebagai "cerita petang" bagi meneguhkan keimanan secara deduktif kepada para pelajar. Kitab itu diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan judul, Belajar Cinta Dari Seekor Burung Pipit (2019), dengan hampir setiap hadis ada cerita yang berkait (hikayat), kecuali lapan hadis.
Dalam Islam, sebagaimana kita fahami bahawa penciptaan makhluk, alam semesta, udara, air dan sebagainya adalah bukti kasih sayang Allah. Allah SWT adakan semuanya itu untuk manusia (makhluk) sedangkan Allah SWT tidak mengharapkan kasih sayang makhluk. Cara memposisikan kedudukan itu, Syeikh Muhammad bin Abu Bakar yang lahir di Damascus tetapi menetap lama di Mesir sehingga kematiannya pada tahun 1103H/1692M cukup sederhana dan penuh kerendahan hati.
Walaupun tidak banyak maklumat mengenai kehidupan sehariannya, kita dapat menggambarkan bagaimana kerendahan hati sehariannya, dengan ungkapan dan pengakuan yang jujur dan ikhlas. Syeikh Muhammad menyifatkan dirinya sebagai "hamba yang penuh dosa", yang telah lama "terbenam dalam lautan dosa dan angkara". Jarang kita temui kejujuran begitu dalam diri seseorang, kecualilah pada diri mereka yang zuhud, dan sentiasa bergerak dalam setiap nafas untuk membersihkan diri. Tanpa sentiasa mengekalkan keadaan diri yang bersifat, tidak akan muncul ketenangan. Itulah jalan tasawuf atau jalan yang dilalui oleh sufi sejati.
Apa yang kita dapati, Belajar Cinta Dari Seekor Burung Pipit (BCBP) ini menggambarkan antara "kedalaman spiritual" dan "kesungguhan taubat" di mana sabda Rasulullah SAW sejumlah 40 yang dipilih diberikan makna sebagai "pelita hidup", juga sebagai "perjalanan batin" pengarangnya dalam perjalanan batin yang penuh kerendahan hati dan penyesalan, dengan mengharapkan rahmat Allah SWT.
Apa yang kita faham tentang burung pipit? Selain kisah sarangnya yang jatuh ditiup angin, kita juga memahami sifat asasnya burung pipit ialah sangat penyayang. Burung pipit juga digambarkan telah membantu menyelamatkan nasib Khalifah Umar RA dari siksaan kubur.
Suatu hari, ketika menyusuri kota Madinah, Umar terserempak dengan seorang anak remaja lelaki yang sedang memegang dan bermain-main dengan seekor burung. Hati kecil Umar cukup terasa, lalu menawarkan remaja itu untuk menjualnya. Setelah dibeli, Umar kemudian melepas-bebas burung itu untuk pertama kalinya sejak ditangkap.
Setelah Umar meninggal dunia, ulama bermimpi bertemu. Lalu ditanyakanlah apa yang berlaku kepada Umar: Apa yang telah Allah lakukan terhadapmu?". Umar menjawab: "Allah memaafkanku dan mengampuni dosa-dosamu.". Ulama masih belum puas dengan jawapan itu, lalu terus bertanya: Apa yang telah membuatkan Allah mengampunimu? Apakah kerana kedermawananmu, atau kerana kezuhudanmu?"
"Tidak lama setelah kamu menguburku dan menimbusku dengan tanah, kamu meninggalkan aku bersendirian. Ketika itu datanglah dua malaikat yang cukup bengis. Akalku melayang dan seluruh sendiku terasa sakit dan sengal. Kedua malaikat itu memegangku, kedudukan dan hendak bertanya, tiba-tiba muncul suara ghaib: "Tinggalkanlah hamba-Ku ini dan jangan kamu berdua menyakitinya. Sesungguhnya aku menyayanginya dan telah Ku-ampuni dosa-dosanya. Sebab, di dunia ia menyayangi seekor burung sehingga Aku pun menyayanginya di akhirat ini." (hal. 2-3)
Kisah itu merupakan hikayat pertama daripada dua hikayat yang menjadi kisah sebuah hadis yang bermaksud: Dari Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: Para penyayang akan disayangi oleh Sang Maha Penyayang. Maka, sayangilah semua makhluk di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh sesiapa pun yang ada di langit.".
Hikayat kedua, yang dikaitkan dengan hadis tersebut ialah kisah seorang ahli ibadah dari Bani Israel. Ahli ibadah itu menemukan segundukan [selonggok] pasir, lalu berkhayal: Seandainya gundukan [longgokan] itu tepung, nescaya aku akan berikan kepada sebuah Bani Israil sehingga setiap perutnya kenyang."
Jelas Syeikh Muhammad bin Abu Bakar, maka Allah SWT berfirman kepada salah seorang nabi dari mereka: "Sampaikanlah kepada di fulan ' Allah akan tetap memberiku pahala meskipun engkau hanya membayangkan seandainya gundukan pasir itu tumpukan tepung maka engkau akan menyedekahkannya"
"Ketahuilah", tegas ulama sufi itu "barang siapa menyayangi hamba-hamba Allah, nescaya Allah akan menyayanginya." Tetapi, seseorang itu perlu ingat bahawa "ketika di hamba tadi menunjukkan rasa sayangnya kepada sesama hamba Allah dengan ucapan 'Seandainya gundukan ini adalah tepung nescaya aku akan membuat orang-orang itu kenyang", tambah Syeikh " ia sudah mendapat pahala seperti kalau dia benar-benar melakukannya." Jelaslah, niat baik akan meraih pahala dan bertambah lagi jika niat baik itu dilaksanakan dengan rendah hati dan sejujurnya.
(Bersambung)
MONOSIN SOBRI
INSAN YANG SUCI DALAM PERSPEKTIF PSIKOLOGI ISLAM
Menapaki hari ini, Ahad 8 Februari 2026 dengan mengatur langkah membaca sebuah buku lama, terbitan 30 tahun lalu (1996), Insan Yang Suci: Konsep Fitrah Dalam Islam. Walaupun sudah tiga abad berada dalam pasaran, ia tetap memberikan saya pemahaman yang baik dalam konseptual "manusia suci" yang banyak diperkatakan oleh manusia politik apabila membidas pandangan yang berbeza dengan sikap dan pendirian arus politik yang diyakini sebagai terbaik dan sempurna.
Buku ini adalah terjemahan dari edisi bahasa Inggeris, Fitrah: The Islamic Concept of Human Nature (London, 1996). Edisi terjemahan bahasa Indonesia diterbitkan oleh Penerbit Muzan, Bandung, Indonesia 1997 hasil terjemahan Masyhur Abadi.
Buku ini asalnya dikembangkan daripada salah satu bab tesis sarjana yang diselesaikan oleh Yasien Mohamed pada tahun 1986 di Universiti Western Cape Town, Afrika Selatan. Ketika tesis ini ditulis, Yasien mendapat bimbingan langsung Dr Jannie Hofmeyer dan Profesor Ismail Faruqi (1921-1986). Tajuk tesis itu ialah Islamic Conception of Human Nature with Special Reference to the Development of Islamic Psychology.
Sebenarnya, saya membaca buku ini kerana saya tidak menemui perihal atau konsep "manusia suci" dalam bacaan sebelumnya, termasuklah sebuah buku tulisan Dr G Hussein Rassool daripada Pakistan, Islamic Psychology: Human Behaviour Experience From Islamic Perspective (London, 2021), juga dalam buku-buku politik kontemporari. Semuanya bercakap mengenai sebuah tatadunia yang sedang dibangunkan dalam bingkai kuasa: membuli, menekan, konflik dan genosid. Akar kepada permasalahan ini, Syed Ahmad Fathi (Dari Orientalisma ke Genosida, 2025) melihatnya dalam kerangka orientalisme manakala Syed Mohd Naquib al-Attas dengan kebobrokan sekularisme (Islam dan Sekularisme, edisi bahasa Melayu, cetakan kedua, 2021)..
Saya juga cuba untuk membandingkan pandangan seorang penulis Yahudi yang cukup dianggap berpengaruh masa kini, tetapi sayangnya amalan hidupnya dalam budaya LGBT, Yuval Noah Harari dan empat buah buku monumentalnya, Sapiens: A Brief History of Humankind (edisi Bahasa Inggeris, 2014); Homo Deus: A Brief History of Tomorrow (2015); Nexus: A Brief History of Information Networks from the Stone Age to AI (2024); dan 21 Lesson for the 21'st Century (2018) yang cuba merumuskan apa yang dibincangkan dalam dua buah buku awalnya, Sapiens dan Homo Deus. Masih belum tertanam jelmaan "manusia suci" walaupun Yuval Noah Harari cukup cemas tentang masa depan manusia ekoran perubahan teknologi, arus sejarah dan kegalauan pelbagai kehendak dan perjuangan politik.
Menariknya tema buku ini, Insan Yang Suci ialah perbincangan yang meluas mengenai konsep fitrah dalam pelbagai perspektif, dari makna istilah hinggalah kepada hakikat kehidupan manusia menurut pandangan intelektual Islam, dan dibandingkan dengan pandangan teori psikologi barat. Ia meliputi pandangan intelektual Islam dalam konteks fitrah manusia; teori psikologi barat dan bagaimana seharusnya sebagai intelektual Muslim harus membina kerangka antologi, epistemologi Islam sendiri, tanpa tersesat dengan kerangka ilmiah barat yang bertolak hanya pada peringkat kognitif, tanpa menyelami hakikat kejiwaan insan. Ruang dan relung hati yang sering ditinggalkan sedangkan Islam sangat memberikan masukan agar sentiasa membersihkan hati. Hati yang bersih menghasilkan jiwa yang tenang.
Jiwa yang tenang menghasilkan tingkah laku yang berakhlak, menepati konsep "insan suci" dan fitrah azali yang ditentukan lebih awal sebelum kelahiran, kerana bayi yang lahir tidak dibebani dengan apa pun "dosa warisan" sebagaimana menjadi doktrin dalam agama Kristian. Bagi Islam, selagi seorang kanak-kanak belum akhil baligh, ia tidak menanggung dosa, tetapi ibu bapalah yang akan menanggungnya kerana gagal membentuk jiwa anak-anak dengan apa yang sepatutnya disosialisasikan. Ini kerana, dalam proses pertumbuhan itulah kanak-kanak itu dicorakkan oleh ibu bapa dan kemudian berkembang dalam lingkungan sosial dan setelah itu, dikerangkakan pula oleh persekitaran, pengetahuan, imajinasi dan idealisme, setelah mereka mula berada dalam komuniti yang lebih luas dan terbuka.
Kita sering mendengar teguran, sindiran, ajakan mahupun pandangan, jika seseorang itu berbuat salah, pulanglah ke pangkal jalan. Ertinya, dalam makna yang lain ialah kembali kepada fitrah kehidupan? Tetapi, apakah itu fitrah? Apakah fitrah itu suatu bentuk ketetapan atau proses atau tembok yang menyakat kita daripada kebebasan? Inilah persoalan yang ingin dijawab oleh penulis, seorang pensyarah bahasa Arab dan Pengajian Islam daripada University Cape Town dalam buku ini.
Dalam meletakkan tema fitrah, beliau mengambil perbincangan tiga kelompok intelektual Islam dalam period klasik dalam kitab-kitab mereka mengenai fitrah manusia dan kehidupan. Kelompok pertama, kelompok yang melihat fitrah itu sesuatu sudah ditetapkan sebelum seorang manusia itu lahir, dan setelah lahir, lingkungan sosial atau persekitaran akan mempengaruhi sikap dan peribadi seseorang.
Kelompok ini diwakili oleh sebahagian ahli sufi (tasawuf) dan juga ulama klasik yang mengambil pengertian atau makna al-Quran secara Harfiah (textual). Kelompok ini bermula pada abad kesembilan, yakni semasa munculnya mazhab Qadariyah, yang memberikan respon terhadap Jabariyyah. Kedua-duanya menganut faham kebebasan (libertarians. Qadariyah seolah-olah mempertahankan pandangan-pandangan fatalisme dari Jabariyyah.
Bermula dari sini, muncul pula kelompok neutral yang dilakukan oleh ibnu Qayyim (m.571H/1350M), untuk mencari satu titik pertemuan antara kebebasan dan determinisme. Setelah itu, muncul pula kelompok positivisme, yang mewakili pendapat kolektif tentang fitrah. Antara tokoh dalam kelompok positivisme ini ialah Ibnu Taimiyyah (m.1328M) dan diikutinya oleh muridnya, Ibnu Qayyim
Pandangan ulama klasik dalam kelompok fatalisme dapat dikesan daripada Ibnu Mubarak (m.181H), Abdul Qadir Jailani (m.561H). Asasnya, menurut kelompok ini, makna fitrah dilihat sebagai sebahagian daripada doktrin takdir, sebagaimana difahami oleh Jahm bin Safwan, iaitu:
"hal-hal yang terjadi di dunia tidak ada bezanya dengan perbuatan-perbuatan manusia; kesemuanya secara berkesinambungan dan langsung ciptaan Allah."
Oleh kerana itu, "determinisme sebab dan akibat juga boleh diterapkan kepada perbuatan-perbuatan manusia, sama seperti Allah telah menciptakan dunia dan hukum-hukum (tentang) alam, Dia juga telah menciptakan semua perbuatan manusia. Dengan demikian, baik tindakan yang benar mahupun yang salah merupakan bahagian daripada ciptaan-Nya." (hal.41).
Atas tafsiran sedemikian, kelompok ini menyatakan "setiap individu, melalui ketetapan Tuhan, adalah baik atau jahat secara asal, baik ketetapan ini semacam ini terjadi secara semuanya atau sesuai dengan rencana Tuhan. Ibnu Mubarak menafsirkan hadis pokok bahawa anak-anak orang-orang musyrik terlahir dalam keadaan kufur atau iman. " (hal.42).
Namun, menurut Abu Manzur, hadis ini "muncul sebelum turunnya wahyu tentang faraidh (kewajipan-kewajipan Islam) dan merujuk kepada ketetapan Tuhan sebelum seorang anak itu lahir.
Apa yang dikatakan itu berkaitan dengan takdir pra-eksistensi (sebelum seseorang itu lahir) yang digagaskan oleh seorang ulama sufi, Sahl at-Tustari (m.238H/896M).
pandangan netral, muncul sebagai jawapan kepada kelompok fatalisme, daripada ulama bebas yang berusaha mempertanyakan keabsahan pandangan-pandangan fatalisme. Menurut Yasien, yang paling menonjol ialah Ibnu Abd al-Barr (m.362H) dengan menegaskan, "sifat dasar manusia secara ekstrem bersifat deterministik: sesuai dengan kehendak dan ilmu azali Allah, setiap individu telah ditakdirkan untuk memperoleh kebahagiaan atau penderitaan. Oleh sebab itu, seorang mukmin akan terlahir dalam keadaan Islam sementara orang kafir terlahir dalam keadaan kufur.
Bagi kelompok ini, "fitrah bukanlah suatu keadaan iman yang asal, mahupun keadaan kufur secara asal. Anak terlahir dalam suatu keadaan suci, suatu keadaan kosong sebagaimana adanya, tanpa pengetahuan atau kesedaran tentang iman atau kufur. Iman atau kufur hanya muncul ketika anak tersebut mencapai usia dewasa (taklif)..(hal.44).
Pandangan tersebut dipegang berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun." (QS an-Nahl [16] : 78).
Bagi kelompok positivisme, fitrah "merupakan satu keadaan kebajikan bawaan" yang membawa kepada pendirian Ibnu Taimiyyah bahawa "semua anak terlahir dalam keadaan fitrah; dalam suatu keadaan kebajikan bawaan, dan lingkungan sosial itulah menyebabkan seorang individu menyimpang dari keadaan ini.
Namun, "terdapat kesesuaian alamiah antara sifat dasar manusia dan Islam; manusia disesuaikan untuk 'din al-Islam'", iaitu "menyediakan kondisi ideal untuk mempertahankan dan mengembangkan sifat-sifat bawaan manusia.
"Sifat dasar manusia memiliki lebih dari sekadar pengetahuan tentang Allah yang ada secara inheren di dalamnya, tetapi juga suatu cinta kepada-Nya dan keinginan untuk melaksanakan agama secara tulus sebagai hanif sejati. Pandangan ini mengacu kepada unsur kehendak individu, suatu dorongan proaktif yang secara sedar berusaha untuk mewujudkan keimanan dan praktik Islam." (hal.46).
Secara kebahasaan (linguistik), fitrah bermakna "penciptaan; menyebabkan sesuatu ada untuk pertama kali; dan struktur/ciri umum alamiah yang mana dengannya seorang anak tercipta dalam rahim ibunya.
Makna dalam perspektif agama, dalam konteks hadis, menurut Abu Haytam (m.1040M), bermakna dilahirkan dalam keadaan sejahtera atau tidak sejahtera (dalam hubungannya dengan jiwa):
"Dan jika orang tuanya Yahudi,.mereka menjadikannya seorang Yahudi, dalam hubungannya dengan situasi duniawinya (iaitu dalam hubungannya dengan warisan, dan seterusnya); dan jika orang tuanya Nasrani, mereka akan menjadikannya seorang Nasrani, dalam hubungannya dengan situasi tersebut; jika orang tuanya Majusi mereka menjadikannya seorang Majusi dalam hubungannya situasi tersebut; keadaannya sama dengan keadaan orang tuanya sampai lisannya boleh bercakap untuknya; tetapi jika dia meninggal sebelum mencapai usia di mana kematangan seksual mulai terlihat, dia mati dalam keadaan selaras dengan keadaan alamiahnya yang telah ada sebelumnya, di mana dengan keadaan itulah dia tercipta dalam rahim ibunya." (hal.20).
Persoalan ini bermula dengan hadis yang bermaksud: Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah). Kemudian kedua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi, sebagaimana seekor binatang dilahirkan dalam keadaan utuh. Apakah kalian melihat di antara mereka ada yang cacat (pada saat dilahirkan)?" (dikutip oleh I M Hanif, Shahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, Kitab al-Qadr, Jilid 16, 1930, hal.207).
Jadi, dalam pemahaman yang mudah, insan yang suci itu adalah bayi yang baharu dilahirkan. Setelah mencapai usia dewasa (boleh berfikir dan akil baligh) seseorang itu tidak lagi berada dalam keadaan "insan yang suci" kerana dirinya sudah dipengaruhi oleh pelbagai kawasan dan pengaruh, sosial dan psikologi. Ini bermakna, jika seseorang itu menegur seseorang agar "kembali kepada fitrah", ia bermaksud seumpama kembali semula ke masa bayi. Bolehkah?
Kita dengar ada konsep "reborn" tetapi ianya bukan dalam bentuk jasad atau fizikal. "Reborn" itu adalah konsep yang berkait rapat dengan keimanan dan kepatuhan dirinya terhadap apa yang dipercayainya benar, baik dan tidak jahat. Dari perspektif agama, ia berada dalam situasi "menghayati, mengamalkan ajaran agama"; namun kadangkala agama itu juga ada masalahnya setelah dikotori oleh aliran pemikiran tertentu. Islam tidak terkecuali, sebabnya, kemunculan firqah menyebabkan Islam dilihat bukan lagi sebagai ad-Din, tetapi sebagai alat untuk meraih sesuatu.
Dalam hal itulah kita sebenarnya perlu kembali semula kepada pemikiran tasawuf bagi membina kecemerlangan Islam; interaksi antara Insan Yang Suci dan Ajaran Yang Suci. Kita sepatutnya merintis untuk kembali kepada perspektif itu dengan udara yang lebih segar, bukan berpaut kepada kepentingan kelompok, sebaliknya pada kesatuan hasrat, cita-cita dan tujuan kenapa Islam itu dihadirkan sebagai ummah yang berakhlak.
Saya melihat perbincangan teoritis dalam buku ini, walaupun telah tiga dekad digagaskan, perlu diberikan perhatian, sekurang-kurangnya apabila kita mendengar ada yang mengakui "dirinya suci" dan semua orang lain salah, kecuali ahli kelompoknya.
Pendekatan psikologi begini cukup menarik daripada penekanan pada ceramah dan wacana yang berpusing-pusing pada sejarah, yang sepatutnya dapat melihat apa yang sudah berlaku itu sebagai motivasi pembinaan ummah dan peradaban, jihad intelektual.
Iman sejati, kata Yasien "wujud pada batin kita" dan kerana itu, kita jangan "dikaburkan oleh dampak negatif dari lingkungan sosial, politik dan falsafah". Kita sewajarnya "berpegang kepada wahyu Tuhan untuk mendapatkan petunjuk, bukan sahaja bagi konsepsi yang tepat tentang fitrahnya, tetapi juga untuk ajaran-ajaran dan perintah-perintah yang memungkinkannya untuk memulihkannya", yakni memulihkan keadaan yang terpuruk, penuh sengketa dan haloba.
Pun kita tahu, semuanya bercakap bahawa "tragedi dan kemunduran sejarah manusia adalah akibat keterasingan manusia dari fitrah; kerana selama orang-orang Muslim tidak berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah, mereka akan tetap akan bercerai-berai dan tunduk kepada imperialisme dunia dan kekuatan-kekuatan sekular lainnya." (hal.196).
Bagaimana hendak kita mulakan; bagaimana pula kita akan bertindak untuk merealisasikan cita-cita tersebut, membina peradaban baharu yang bertahtakan tauhid, iman dan ihsan? Di situlah pentingnya "insan yang suci"; yang dapat menolak segala bentuk kemungkaran, kekufuran dan sepak terajang propaganda kuasa-kuasa besar dan musuh kita. Selagi kita tidak mampu membuktikan kejernihan diri dan tindakan, selagi itulah kita akan kekal menjadi objek dan subjek adu-domba mereka.
MONOSIN SOBRI
CINTA TANPA SYARAT, PERHUBUNGAN TETAP BERSYARAT!!!
Tafsiran cinta berdasarkan pemahaman, pengalaman dan olahan jiwa oleh bell hooks (Gloria Jean Watkins, 1952-2021) dalam penvariannya bermula dengan cinta dalam keluarga tidak berfungsi dengan sebenarnya (family dysfunctional), patriarki dan dominasi.
Beliau yang dua kali gagal dalam kehidupan berpasangan, akhirnya menemui cinta di luar jendela romantis, yakni pada keyakinan bahawa hidup ini cukup indah (spiritual) jika dipenuhi dengan cinta.
Mencari cinta bukan sesempit yang difahami; menemukan pasangan untuk hidup bersama, yang kebanyakan gagal setelah beberapa tahun bersama. Mencari cinta adalah menghadirkan ketenangan dalam semua dimensi, dan hidup menjadi lebih bermakna, bukan saling bercakaran berdominasi.
Olahan rasa cinta bell hooks adalah lanjutan daripada apa yang dibicarakan oleh Eric Formm pada tahun 1950-an, seorang tokoh psikoloanalisis, yang terkenal dengan bukunya, The Art of Loving.
Pada tahun 1978, Dr M Scott Peck melanjutkan pembicaraan cinta dalam konteks spiritual, mengambil idea Eric Formm dalam Road Less Travelled. Dua buku belum memuaskan hati bell hooks, kerana ditulis oleh lelaki yang kadangkala ada sinisme dalam memahami makna cinta dari kacamata seorang perempuan. Ini adalah beban yang sudah lama berbudaya, kerana misoginis cukup menebal dalam dunia patriarki, yang dilihat juga dalam bingkai agama sejak zaman berzaman.
Bagi bell hooks (yang tidak menggunakan huruf besar nama pena), ia sesuatu yang wajar dipecahkan agar kerumitan memahami cinta menjadi.lebih baik dan bermakna, menepati keperluan spiritual manusia, bukan dalam erti kata maskuliniti dan feminisisme. Oleh kerana telah lama membudayakan patriarki, maka muncullah bahawa kuasa dalam melayari cinta hanya ditentukan oleh lelaki, manakala perempuan dilihat sebagai golongan yang seringkali dikalahkan bila terjadinya pembubaran perkahwinan. Adat, budaya, agama dan mikrokosmos perkahwinan.
All About Love (2000) menjadi buku popular tentang olahan cinta dari sudut feminis, kerana bell hooks adalah salah seorang pejuang tegar dalam kalangan wanita kulit hitam, yang mengalami pelbagai bentuk diskriminasi dan sinisme masyarakat. Bell hooks sehingga kematiannya, telah menulis 40 buah buku dalam pelbagai bidang feminisme, etnisiti, budaya, kritik media dan sastera. Beliau merupakan pengajar bahasa dan sastera Inggeris di beberapa buah universiti termasuk University of Southern Californa, Stanford University dan terakhir di Barea Collage, Kentucky) dan pengasas sebuah pertubuhan kemasyarakatan, iaitu bell hooks center.
Edisi terjemahan bahasa Indonesia telah diterbitkan pada bulan Februari lalu, yakni selepas empat tahun kematian bell hooks akibat kegagalan buah pinggang. Namun, buku ini menarik kerana bell hooks bukan sahaja melanjutkan perbincangan mengenai cinta yang dikupas oleh Eric Fromm, seorang ahli psikoanalisa, The Art of Loving (1950) bahkan cukup melihat ke dalam cinta berdasarkan kerangka spiritual yang di bincangkan oleh Dr M Scot Peck, Roadless Traveled (1978). Buku Eric Fromm sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu diterbitkan oleh dua penerbit pada awal tahun ini: IBDE memakai tajuk Seni Percintaan manakala Biblio Press dengan judul Seni Mencintai.
Menurut bell hooks, beliau berusaha untuk membincangkan persoalan cinta menurut pandangan seorang feminis, kerana kebanyakan cinta sangat cenderung ditulis berdasarkan perspektif lelaki, termasuk oleh Eric Fromm (1900-1980), M Scot Peck (1936-2005) mahupun Thomas Merton (sami Buddha, 1915-1958) dan Jack Konfield (pakar psikiatri dan pengikut Buddha dari Amerika Syarikat).
Walaupun bell hooks ikut mengamalkan ajaran Buddha, buku ini tidak dikhususkan sebagai pencerahan cinta berdasarkan agama itu, ia masih bersifat universal kerana penulisnya turut menyanjungi ajaran spritual Kristian, dan mengakui cukup menghormati spiritual cinta Jalaludin Rumi. Tidak bermakna, tanpa mengutip falsafah cinta spiritual Rumi, ia tidak menjadikan kefahaman dan eskperimen makna cinta tidak boleh kita terima.
Pada bell hooks, cinta spiritual tidak hanya hadir dalam pengamal sesuatu agama, bahkan dalam kalangan mereka yang tidak beragama sekalipun akan terus mencari cinta, kerana cinta itu tidak dapat didefinisikan secara tepat dan tunggal. Cinta tetap hadir, tetapi proses mencintai itu ada syaratnya, cinta tidak hadir hanya sekadar "rasa tertarik" ia hadir melalui 'rasa sayang" dan "keperluan untuk beradaptasi", untuk kekal saling mencintai, tidak seharusnya saling mendominasi.
Secara ringkasnya, setelah membaca buku ini dalam versi asal, dan terjemahan, bersama-sama karya M Scot Peck dan Eric Fromm, saya memahami CINTA dengan kepanjangan Cakna (caring), Inspiratif (inspiring), Natural, Toleransi dan adaptif (adaptive). Dalam kehilangan cinta, termasuk masa lalu keluarga yang hilang fungsi (dysfunctional), bell memberikan makna yang jelas, kesakitan itu dapat dipulihkan sekiranya kita bersedia memahami bahawa hidup ini hadir dan menjadi lebih baik hanya dengan cinta. Tanpa cinta, hidup seolah "mati sebelum mati", sebagaimana diungkapkan oleh Jalaludin Rumi.
Kata akhir bell hooks: Cinta membantu kita menghadapi pengkhianatan tanpa kehilangan hati. Dan, ini memperbaharui jiwa kita , sehingga kita boleh mencintai kembali....Mereka memberitahu kita bahawa syurga merupakan rumah kita dan cinta adalah takdir sejati kita.".
Buku ini telah memenangi International' Excellence Award 2019.
Selamat membaca All About Love: Mencintai Untuk Sembuh dan Tumbuh, terjemahan oleh Adi Kumalasari, Yogyakarta: PT Bentang Pustaka, 2025, 230 halaman.
MONOSIN SOBRI