Peradaban

Tingkah laku manusia

 

Leslie Wines, seorang wartawan Amerika Syarikat yang mempelajari agama-agama Timur mendeskripsikan Rumi dan karya-karyanya dengan ungkapan yang cukup menarik:

"Bagi dunia Islam hari ini, [karya] Rumi dibaca dengan pelbagai alasan yang sama ketika ia masih hidup. Ia dipuja-puja kerana kehebatannya sebagai seorang penyair; kemampuannya yang langka (luar biasa) dalam berempati dengan manusia, binatang, dan bahkan tumbuh-tumbuhan; kemurnian peribadinya; dan terutama kemampuannya yang sempurna dalam menunjukkan jalan moral bagi tercapainya wahdah al-wujud dengan Allah SWT." (Leslie Wines, Menari Menghampiri Tuhan: Biografi Spiritual Rumi, terjemahan edisi Inggeris, Rumi: A Spiritual Biography oleh Sugeng Hariyanto, Bandung: Penerbit Arasy, 2004, hal.15).

Konsep wahdah al-wujud (kesatuan wujud) adalah intisari tasawuf yang digagaskan oleh Ibnu Arabi, yang juga merupakan salah seorang guru Jalaludin Rumi semasa beliau dihantar belajar ke Aleppo dan Damsyik bagi mendalami pengalaman tasawuf selepas kematian ayahnya, Bahaudin Walad. Nama asal Ibnu Arabi ialah Abu Abd Allah Muhammad ibnu Arabi al-Ta'i al-Hatimi. Beliau hidup antara tahun 1165-1240. Al-Arabi turut menerima gelaran Muhyiddin (menghidupkan agama) dan Syeikh al-Akhbar (guru paling besar/utama).

Franklin D Lewis (1961-2022) bekas pensyarah sastera Parsi di Universiti Chicago, Amerika Syarikat yang mahir berbahasa Parsi dan Arab mengakui bahawa sumbangan Rumi cukup besar bukan sahaja dalam bidang sastera Parsi kepada masyarakat dunia, bahkan karya-karya Rumi terus kekal menjadi ilham kepada masyarakat moden untuk membaiki diri menerusi jalan spiritual biarpun kadangkala menyimpang daripada konteks ajaran Rumi yang asal.

Sebagai seorang yang dianggap pakar sastera klasik Parsi (generasi baru), Franklin D Lewis berusaha untuk mengedit semula beberapa terjemahan yang dianggap "kurang tepat", yakni terjemahan ilmuan dan orientalis ke bahasa Inggeris, termasuk R A Nicholson (meninggal 1945) dan A J Arberry (1905-1969), yang menjadi perintis memperkenalkan karya-karya sufi kepada masyarakat berbahasa Inggeris. Terjemahan-terjemahan RA Nicholson dan AJ Arberry turut diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain kemudiannya, antaranya bahasa Indonesia dan Melayu.

Misalnya, terjemahan lengkap Mathnawi (6 jilid, terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia , (ITBM) tahun 2012) oleh Profesor Mohd Ajmal bin Abdul Razak al-Idrus (meninggal 16 September 2017) banyak merujuk kepada terjemahan R A Nicholson). Edisi terjemahan bahasa Melayu ini adalah lebih lengkap daripada edisi terjemahan bahasa Indonesia, biarpun khalayak Indonesia lebih terkedepan dalam memahami puisi-puisi dan ajaran Jalaludin Rumi.

Belum terdapat terjemahan lengkap Mathnawi dalam bahasa Indonesia, kebanyakannya diterjemahkan berdasarkan topik, serpihan-serpihan puisi dan aforisme. Beberapa percubaan ke arah itu sedang dilakukan dengan merujuk kepada edisi berbahasa Parsi, termasuk yang disunting dan diberikan catatan kaki oleh Profesor Badiozzaman Forozanfar (1904-1970) dan Abdul Baki Golpinarli (1900-1982), ilmuan dan pengkaji sastera sufi.

Kemudian, muncul Coleman Barks (1937-2026) yang menterjemahkan puisi-puisi Rumi secara bebas sehingga tercabut sebahagian "nilai agama" namun terjemahan ini cukup popular. Barks menjadikan puisi Rumi begitu popular dalam kalangan masyarakat berbahasa Inggeris di Amerika Syarikat dan buku-buku tersebut dipamerkan dalam kategori motivasi atau self-help.

Terjemahan Coleman Barks yang mendapat kerjasama Robert Bly (1926-2021, juga yang memperkenalkan karya-karya Rumi) telah meraih anugerah daripada kerajaan Iran walaupun diakui sendiri bahawa apa yang dilakukan itu bukan berdasarkan teks asal berbahasa Parsi.

Beliau lakukan terjemahan puisi-puisi Rumi dalam bahasa yang mudah difahami oleh penggemar puisi berbahasa Inggeris dengan meninggalkan aspek-aspek tertentu yang dibina oleh Rumi, iaitu "berjalan di Jalan Cinta Illahi". Beliau hanya mengambil universalisme cinta yang difahami sebagai suatu perasaan yang muncul daripada gejolak jiwa manusia.

Terjemahan bebas itu menjadi cukup popular sehingga digubah sebagai lirik lagu dan sebagainya. Kita mungkin ingat frasa yang dipetik oleh Fazura (Nur Fazura Sharifuddin) tatkala menggambarkan rasa kecewa hati di ambang perceraian dengan Fatah Amin: Inilah jalan anda dan anda sendiri" dan "Orang lain boleh berjalan dengan anda, tetapi tiada siapa yang boleh berjalan untuk anda." Cuba bayangkan maksudnya jika anda hanya sekadar cuba memahami maksud puisi itu dalam situasi "emosi kecewa" terhadap seseorang?

Maksud asal puisi Rumi itu sangat berbeza dengan apa yang kita mungkin tafsirkan perasaan Fazura. Rumi melanjutkan bait-bait itu sebagai satu bentuk peringatan dan nasihat kepada anak muridnya, bahawa kita sendirilah yang akan berjalan di Jalan Cinta (Cinta Allah), yakni mendekatkan diri dengan-Nya, orang lain tidak boleh melakukannya.

Sayang sekali, saya tidak temukan ungkapan tersebut di dalam Masnawi dan dengan bantuan AI (artificial intelligence, melalui Google Search) ditemukan bahawa ia adalah terjemahan bebas Coleman Barks, lalu disifatkan sebagai "fake Rumi." Wallahuaklam.

(rujuk:https://www.google.com/search?csuir=1&udm=50&aep=28&mstk=AUtExfDqKZbGoCa1qOKG_or0zB9jCgSsQVxBIlOpmLVo14MmRRDa8hjQrK3JBWR9KMNHbtc-Y-liSSYZr4Aa5AfPUQNZrb12t2ZAFjxlG5nD7hx_pprlAbZcEKaIxFz6ImefeVfaRNUdChxqBS7pm2i1WUaQJAduw14h8qcJ-5OM7QtwdNr75BKmjsRUINqlGIPqymCUhrxwCvejM9JCVi8S9yBHBUnBYiYcX9S4mOEwZPsrd6tiTcytCiQmINiPuMbOHQ5quMVCJyCbL7waMEY_LnAJ9YMbTe8_XhVdpRjw0De5EfxpUtKAdtEutKQlnVZKreScjbSSE1OxOg&q=Rumi+%22orang+lain+boleh+berjalan+dengan+anda+tetapi+tidak+boleh+untuk+anda&oq=&gs_lcrp=EgZjaHJvbWUqEggAECMYJxjqAhjwBRieBhiiBzISCAAQIxgnGOoCGPAFGJ4GGKIHMgkIARAjGCcY6gIyCQgCECMYJxjqAjIJCAMQIxgnGOoCMgkIBBAjGCcY6gIyCQgFECMYJxjqAjISCAYQIxgnGOoCGPAFGJ4GGKIHMgkIBxAjGCcY6gIyCQgIECMYJxjqAjIJCAkQIxgnGOoCMgkIChAjGCcY6gIyCQgLECMYJxjqAjIJCAwQIxgnGOoCMgkIDRAjGCcY6gIyCQgOECMYJxjqAjIRCA8QABgDGEIYjwEYtAIY6gIyEQgQEAAYAxhCGI8BGLQCGOoCMhEIERAAGAMYQhiPARi0AhjqAjIPCBIQLhgDGI8BGLQCGOoCMhEIExAAGAMYQhiPARi0AhjqAtIBBi0xajBqN6gCFLACAfEFRp09bVPzOGfxBUadPW1T8zhn&client=ms-android-transsion&sourceid=chrome-mobile&source=chrome.ob&ie=UTF-8&mtid=qcnyaujyCs2iseMPnu-_4Q0)

Dalam konteks kefahaman umum, keimanan (taqwa) tidak boleh diwarisi, dan tidak juga boleh dilakukan oleh orang lain untuk kita, kita sendiri wajib dan bertanggungjawab berjalan di Jalan Cinta, bergerak kepada-Nya. Perjalanan spiritual yang diajar oleh Rumi cukup mendekati prinsip tauhid, kerana Dialah kita hidup dan kepada Dialah yang perlu kita dekati sehingga denyut nadi terhenti.

Sebab itulah tatkala roh berpisah dengan jasad (kematian), Rumi menyatakan itulah hakikat perjalanan Cinta sebenarnya, yang dinamakan Malam Pernikahan (Seb -i Arus): "Jangan katakan perpisahan saat aku diletakkan di dalam liang Lahad, kerana liang lahad itu hanyalah tirai menuju syurga."

Kerana, dalam perjalanan Cinta, tetap akan merasa sakit. Seperti juga salam kehidupan rumah tangga, tidak ada rumah tangga tanpa ada cemburu, salah faham, atau masalah (rasa hormat atau rasa dihargai) dan keruntuhan rumah tangga sering berlaku akibat perebutan kuasa. Sebab itu sesebuah rumah tangga yang kekal ialah kerana setiap daripada isteri atau suami memperlihatkan kesanggupan untuk bertahan yang tinggi dalam kesabaran, saling melengkapi dan tidak berebut kuasa (dominasi dalam kata-kata dan sumber).

Coleman Barks tidak boleh bertutur dan memahami bahasa Parsi, tetapi beliau mendapat kerjasama daripada beberapa orang penyair dan pengkaji sastera yang mampu berbahasa Parsi selain menyandarkan terjemahan bebasnya berdasarkan terjemahan bahasa Inggeris yang dilakukan oleh orientalis seperti R A Nicholson, AJ Arberry, Annemarie Schimmel (1922-2021), Margaret Smith (1884-1970) dan sebagainya. (Franklin D Lewis, Rumi, Past and Present, East and West: The Life, Teachings and Poetry of Jalal al-Din Rumi, London: Oneworld Publications, 2000).

Walaupun terjemahan Coleman Barks menjadikan Rumi begitu popular di Amerika Syarikat pada akhir abad lalu, terjemahan tersebut jugalah yang membawa kepada munculnya pelbagai bentuk "industri mistik" yang mengaut keuntungan besar sehingga menarik minat Sophia Rose Arjana melihatnya sebagai rekayasa orientalis mengisi kekosongan spiritual masyarakat Barat akibat kegoncangan psikologi dan faham materialisme. Ia kemudian dieksploitasikan sebagai budaya popular (misalnya oleh Madonna) dan pengamal New Age (Deepak Chopra). (Sophia Rose Ariana, Buying Buddha, Selling Rumi: Orientalism and the Mystical Marketplace, London: Oneworld Publications, 2020).

Ia mungkin sejalan dengan kisah cinta Laila dan Majnun yang diolah berdasarkan nilai hidup budaya popular sehingga makna "Jalan Cinta" yang dilalui oleh para sufi dilihat sebagai satu kegilaan dan tidak masuk akal. Mereka membina "jalan cinta" yang terlalu sempit dan cukup mempunyai hubungan rapat dengan kehendak fisiologi dalam batasan psikologi tingkah laku, termasuk makna cinta yang didefinisikan oleh Sigmund Freud berteraskan kerangka psikoanalisis. Ia ikut mempengaruhi pemikir lainnya, termasuk Erich Fromm yang menulis sebuah buku tentang Seni Percintaan (The Art of Loving, 1956). Buku ini juga sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu dan diterbitkan (2025) oleh dua penerbit berlainan (IBDE dan Biblio Press).

Sayangnya, ketika kita cuba mengkaji semula sumbangan dan peranan ahli tasawuf dalam pendidikan Islam, kita jarang menemukan perbincangan yang meluas oleh cendekiawan tempatan mengenai karya Rumi (kecuali serpihan-serpihan puisinya diulas secara sepintas lalu, misalnya oleh Hj Abdul Majid Khatib dalam Bicara Sufi, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, 2009, dan sedikit mendalam (percikan tasawuf) dalam Risalah Metafizik Jalaludin Rumi, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, 1975).

Tiga tahun lalu (2023) saya menemukan buku karya Zaki Sapuan al-Hafiz, Rumi: Filsuf Cinta Anatolia (Patriots Publishing, 2023) yang tentunya menjadi awal kepada khalayak tempatan mengenali Jalaludin Rumi. Zaki Sapuan turut menterjemahkan sebuah lagi karya Rumi, iaitu Fihi Ma Fihi (Biblio Press, 2025) dan cuba mentafsirkan "puisi-puisi romantik" Jalaludin Rumi dalam Tafsir Ayat-Ayat Cinta (Galeri Ilmu, 2026). Percubaan Fethri Yahya, mengambil beberapa puisi Rumi sebagai sumber pembelajaran hidup juga menarik, walaupun huraiannya tidak begitu mendalam dan menggamit kedalaman pendekatan tasawuf (Fethri Yahya, Belajar Hidup Dari Rumi, Penerbit Tentang Kita, 2025).

Tetapi kita lebih banyak dapat membaca huraian karya Ibnu Atha'ilah as-Sakandari yang terkenal dengan al-Hikam (dipelopori oleh Tok Ku Pulau Manis). Tentunya, masalah bahasa menjadi penghalang terbesar, tidak ramai ulama nusantara belajar bahasa Parsi, karya-karya Rumi ditulis dalam bahasa Parsi manakala al-Hikam ditulis dalam bahasa Arab. Jarak penghasilan dua karya tersebut adalah lebih 50 tahun.

Rumi mula melantunkan puisi-puisinya yang terkumpul dalam Mathnawi antara tahun 1258 hingga selesai pada tahun 1273, beberapa minggu sebelum kematiannya. Bila tarikh sebenar al-Hikam siap ditulis tidak dapat dipastikan dengan jelas, mungkin sebelum Ibnu Atha'ilah memimpin Tarekat Syadziliyah, yakni sebelum kematian gurunya, Abu al-Abbas al-Mursi (meninggal 686H/1287). Atha'ilah meninggal pada tahun 709H/1309.

Rumi tidak menulis sendiri, tetapi ungkapan puisinya dicatat oleh orang kanannya, Hishamudin Celebi, yang juga meminta Rumi untuk menggunakan puisi sebagai media pengajaran sebagaimana dilakukan oleh Sana'i dan Faradudin Attar. Manakala puisi-puisi lainnya sama ada dalam koleksi Diwan i-Kabir (Atau dikenali Diwan Syam Tabrizi) dan Rubayyat; kumpulan ceramah, Fihi Ma Fihi; kumpulan surat menyurat, Maktubah dan tujuh kumpulan khutbah, Majalis Sab'ah adalah bahan-bahan yang dikumpulkan oleh anaknya, Sultan Walad bersama-sama murid Rumi yang lain. (Sefik Can, Fundamentals of Rumi Thought: A Mevlevi Sufi Perspective, New Jersey: Tughra Press, 2004; Afzal Iqbal, The Life and Work of Jalaludin Rumi, London: Octagon Press, 1956; dan Fatimah Keshavartz, Reading Mystical Lyric: The Case of Jalaludin Rumi, Columbia: University of South Carolina Press, 1998).

Jalaludin Rumi hidup dalam period pemerintahan Dinasti Saljuk (di bawah naungan Abasiyah) manakala Ibnu Atha'ilah hidup di Mesir selepas Empayar Fatimiyyah hancur. Beliau menggunakan bahasa Parsi dalam hampir semua karyanya, dan karyanya kurang dibahaskan dalam tradisi pendidikan Islam bertalaki yang ditempohi oleh kebanyakan ulama nusantara ketika mereka belajar di Mekah. Itu mungkin menjadi sebab, tetapi karya-karya Rumi terus diterjemahkan ke pelbagai bahasa sehingga mencapai tahap populariti yang sangat meluas.

Rumi dilahirkan di Balkh (dalam wilayah Afghanistan sekarang) pada tahun 1207 dan meninggal di Konya, Turki pada tahun 1273. Ibnu Atha'ilah lahir di Iskandariah (Mesir) pada tahun 1250 dan meninggal pada tahun 1309 di Kaherah. Rumi sebelumnya merupakan pengikut tarekat Kubrawiyah bersama ayahnya, Bahaudin Walad manakala Ibnu Atha'ilah menjadi pengikut tarekat Syadziliyah.

Tarekat Kubrawiyah diasaskan oleh Syekh Najmudin al-Kubra (Syeikh Abu al-Jannab Ahmad ibnu Umar, yang lahir di Khawarizmi pada tahun 540H/1145 dan meninggal pada tahun 618H/1221). Antara murid Najmudin al-Kubra ialah Faridudin Attar, Bahaudin Walad (ayah Rumi). Najmudin dipengaruhi oleh tradisi isyraqi yang dibawa oleh Syahibudin Suhrawi dan Syams i-Tabrizi yang menjadi "matahari kedalaman jiwa" Jalaludin Rumi.

Adik kepada Imam al-Ghazali, Ahmad al-Ghazali merupakan salah seorang guru Tarekat Kubrawiyah, yang juga menjadi salah seorang guru Bahaudin Walad. (Mohd Faizal Harun dan Muhammad Hazwan Abd Razak, Sejarah Tarekat: Pertumbuhan dan Penyebaran di Dunia Islam, Sintok, Kedah: UUM Press, 2018, hal.141-143).

Tarekat Syadziliyah diasaskan oleh Syeikh Abu Hasan al-Syadzili (Ali bin Abdullah, yang mempunyai hubungan nasab dengan Hussain bin Ali bin Abu Talib) yang bermula di Tunis dan kemudian berpindah ke Syadlizi, Mesir. Abu Hassan dilahirkan di Maghribi pada tahun 573H dan meninggal tahun 656H/1258 di Humaistara ketika dalam perjalanan menunaikan haji. Ibnu Atha'ilah merupakan Syeikh ketiga Tarekat Syadziliyah. Beliau menggantikan Abu Abbas al-Mursi. Abu Abbas menggantikan Abu al-Hassan. (ibid., hal. 151-153).

Apa pula hubungannya Tarekat Syadlizi dengan Kubrawiyah? Susur galurnya dapat kita lihat tentang kedalaman pengaruh Imam al-Ghazali dalam pemikiran Bahaudin Walad, Jalaludin Rumi dan Ibnu Atha'ilah. Bahaudin Walad mendapat pengaruh ajaran tasawuf daripada Ahmad al-Ghazali, adik Imam al-Ghazali.

Ibnu Atha'ilah banyak membaca kitab-kitab karangan Imam al-Ghazali, termasuk Ihya Ulumuddin. Imam Al-Ghazali masa awalnya adalah pakar dalam bidang fiqh, tetapi pada suatu hari menerima suntikan nurani daripada adiknya, Ahmad yang enggan dalam saf yang diimamkan oleh abangnya.

Ahmad melihat pakaian yang dipakai oleh abangnya tidak bersih, dipenuhi tompokan darah. Selepas menyedari keengganan adiknya, Imam al-Ghazali bertanya sebabnya. Daripada jawapan itu, Imam al-Ghazali merasakan dirinya masih belum cukup pantas meminta Ahmad untuk memberitahu siapakah guru yang patut beliau belajar mengenainya.

Al-Ghazali kemudian ke rumah guru yang diberitahu oleh Ahmad. Ada sedikit percanggahan tentang siapa sebenarnya guru tersebut. Ada yang mengatakan seorang penjual daging yang hidupnya cukup sederhana di sebuah desa. Ada versi lain mengatakan, adalah seorang tukang kasut yang hidup dalam kemiskinan tetapi sangat beriman.

Al-Ghazali berguru dengan guru tersebut walaupun ketika itu beliau adalah seorang yang cukup dihormati dan berpengaruh sebagai ilmuan, seorang profesor di Madrasah Nidzamiyyah, yang menggantikan tempat seorang guru yang masyhur, Imam al-Juwaini al-Haramain.

Hari pertama, al-Ghazali ditugaskan mencuci. Esoknya, menyambung kerja-kerja yang sama. Setelah beberapa hari, al-Ghazali mula bertanya: Saya sudah melakukan apa yang diarahkan, bilakah saya akan diajar yang lain?

Guru itu menjawab, pelajaran kamu sudah selesai. Al-Ghazali kebingungan, dan pulang dengan emosi hampa. Namun, al-Ghazali mula berfikir, apa yang dipelajari daripada pengalaman mencuci itu adalah sesuatu yang cukup bermakna, rasa rendah diri (menyingkirkan ego) dan juga sebuah kaedah pembersihan jiwa. Itulah tasawuf yang membawa pengertian jalan membersihkan jiwa (hati) daripada segala pesona dunia dan nafsu.

Akhirnya, al-Ghazali memutuskan meninggal kemilau akademik menuju satu perjalanan spiritual ke beberapa tempat (Damsyik, Mekah dan sebagainya) selama sepuluh tahun. Persoalan batin itu diceritakan dalam al-Munqizh min al-Dalal, kitab kecil tetapi cukup memperlihatkan sikap dan perubahan sikap batin yang menuju kepada pemahaman ilmu yang sesungguhnya.

Ketika berkelana dan beruzlah itulah lahirnya magnum opus Ihya' Ulumuddin, yang sangat terkenal dan pernah dianggap sebagai terjemahan makna al-Qur'an dalam amalan hidup setiap Muslim. Kitab ini masih dibaca, dikaji dan dijadikan bahan pengajaran hingga kini walaupun al-Ghazali sudah meninggal lebih 900 tahun. (Edisi lengkap terjemahan bahasa Melayu sudah diterbitkan dalam 20 jilid oleh IBDE Ilham Sdn Bhd.)

Ketika kitab al-Hikam siap ditulis, Ibnu Atha'ilah menghadiahkannya kepada gurunya, Abu Hassan al-Mursi, yang ketika itu memimpin Tarekat Syadlizi. Syeikh Abu Hassan menjelaskan "karya muridnya (Ibnu Atha'ilah) merupakan representasi dari inti ajaran dalam kitab al-Ihya (Ihya' Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali)." (Adhi Maftuhin, Sanad Ulama Nusantara, Depok, Indonesia: Sahifa Publishing, 2018, hal.540).

Dalam kajian Martin van Bruinessen, kitab al-Hikam dan Ihya' Ulumuddin merupakan antara kitab yang banyak diajar, disyarahkan oleh pengajar di pondok dan pesantren baik di Malaysia dan Indonesia. Dua kitab ini cukup besar pengaruhnya dalam minda dan jiwa umat Islam di Alam Melayu, berbanding karya Rumi.

Namun, akhir-akhir ini muncul semacam satu gerakan untuk belajar daripada puisi-puisi Rumi dalam memperbaiki diri dan menjalani kehidupan yang lebih baik kerana ajaran-ajaran yang dibawa olehnya cukup mendekati makna dan maksud al-Qur'an, sunnah dan pemenuhan makna batin. (Martin van Bruinessen, Islam di Nusantara:Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat, terjemahan bahasa Melayu oleh al-Mustaqeem M Radhi, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn Bhd., 2018).

Ia mungkin reaksi atau kesan daripada fenomena pengisian spiritual yang berlaku di Amerika Syarikat, yang dilihat bukan sahaja perlu diperbetulkan pendekatan yang dibuat oleh para orientalis, juga untuk membolehkan masyarakat Islam nusantara tidak mudah terpesong Jalan Cinta sebenarnya. Jalan Cinta yang dirintis oleh Rumi dalam kedalaman makna tauhid, syariat dan Tarekat (kaedah mendekati Tuhan), yang dianggap semakin bergeser dengan makna spiritual pada pengertian kerangka ilmiah barat.

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

Written by Admin
Category: Resensi Buku
Hits: 188
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com