PERANG SARAF PENJAJAH: BAGAIMANA UMAT ISLAM DISABOTAJ
Oleh: Ibnu Majid
Bagaimana sebuah kuasa empayar penjajah mampu menundukkan jutaan umat Islam tanpa menggunakan sebutir peluru? Jawapannya - dengan meruntuhkan benteng rohani ummah yang telah berdiri selama beratus tahun.
Tanpa disedari, sebahagian umat Islam yang memomokkan ilmu Tasawuf dan institusi Tarekat, sebenarnya menjadi penyambung lidah doktrin yang ditinggalkan oleh Snouck Hurgronje.
Maka apakah punca sebenar penjajahan dunia Islam dalam sejarah moden? Adakah tertewasnya di medan perang, atau sebenarnya telah disabotaj dari dalam?
BENTENG YANG DIGERUNI PENJAJAH
Di Nusantara hari ini, nama Christiaan Snouck Hurgronje hampir tidak lagi dipetik di mimbar khutbah mahupun silibus sekolah. Umat Islam terlalu sibuk dengan polemik agama, atau peperangan mulut antara negara, hingga lupa bagaimana pemikiran mereka sebenarnya sedang dicorakkan oleh strategi penjajah Belanda.
Menurut catatan sejarah Perang Nusantara seperti Perang Aceh dan Perang Padri, pihak penjajah Barat menghadapi jalan buntu untuk menundukkan pejuang tempatan. Bagi kuasa-kuasa kolonial, barisan tentera mudah dipatahkan dengan keunggulan senjata api. Namun, penentangan yang dipimpin oleh para ulama Sufi dan ahli Tarekat mempunyai ketahanan jiwa yang amat luar biasa.
Di dalam zawiyah dan madrasah kesufian inilah, para pejuang tidak hanya diajar ilmu syariat, sebaliknya jiwa mereka ditundukkan menerusi Tasawuf. Mereka diajar untuk menghilangkan rasa takut kepada manusia, mencabut sifat tamak dunia, dan menghidupkan semangat mempertahankan tanah air kerana Allah SWT. Penjajah Belanda dan British sedar bahawa selagi ikatan rohani antara seorang Muslim dan Penciptanya wujud, minda dan roh mereka tidak akan sesekali melutut kepada penjajah.
PENYAMARAN ABDUL GHAFFAR DI MEKAH
Pada tahun 1884, Christiaan Snouck Hurgronje, seorang pakar Orientalis Belanda, melancarkan operasi perintisan yang sangat licik. Beliau memeluk Islam dan kemudian menyusup masuk ke Makkah, bahkan telah menukar namanya kepada Abdul Ghaffar.
Dalam surat rahsianya kepada pengkaji Jerman, Carl Bezold, serta pakar Orientalis Theodor Nöldeke, Snouck mengaku secara terbuka bahawa 'pengislamannya' hanyalah sebuah pementasan sinis. Bagi Snouck, ibadah solat, puasa, dan hafalannya terhadap Al-Quran tidak lebih daripada topeng akademik dan instrumen risikan untuk menyusup ke dalam jantung pergerakan ulama Nusantara.
Hasil pengintipan ini, Snouck pulang ke Belanda dan dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Arab dan Islam bagi kerajaan kolonial di Batavia. Pada tahun 1888, Snouck menyerahkan laporan rahsia yang memberi amaran bahawa gerakan Tarekat dan para Sheikh Sufi ialah ancaman paling berbahaya kepada empayar kolonial Belanda.
STRATEGI ISLAM POLITIEK
Untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam di Nusantara, Snouck mereka-bentuk dasar yang dipanggil "Islam Politiek" atau Politik Islam Belanda. Strategi ini dibahagikan kepada tiga formula utama:
Dalam laporan rahsia kerajaannya, Ambtelijke Adviezen, Snouck mengemukakan cetak biru 'Islam Politiek' kepada gabenor kolonial Belanda. Beliau memberi amaran tegas bahawa bahaya terbesar kepada penjajahan Belanda adalah jaringan Tarekat dan ulama Sufi. Snouck menulis bahawa amalan Tazkiyatun Nafs dan ikatan rohani dalam majlis-majlis dzikir merupakan enjin utama yang menyemarakkan semangat Jihad dan Perjuangan Fisabilillah. Maka, formula beracun Snouck Hurgronje mempunyai objektif untuk memusnahkan keabsahan ilmu Tasawuf dan institusi Tarekat, agar umat Islam kehilangan roh perjuangan.
SERANGAN INTELEKTUAL ORIENTALIS
Penyamaran Snouck Hurgronje hanyalah sebahagian daripada agenda besar Orientalis Barat untuk memomokkan Tasawuf di seluruh dunia Islam. Para orientalis melancarkan serangan serampang dua mata, iaitu:
Ini merupakan kemuncak sabotaj intelek. Penjajah tidak perlu mengkritik Islam secara terbuka, tetapi hanya perlu menyemarakkan doktrin kebencian dalam kalangan kelompok umat Islam, supaya kelompok ini sendiri yang memusnahkan kitab-kitab turath, amalan Tasawuf dan institusi Tarekat dari dalam.
KINAYAH JAWI
Ulama-ulama Nusantara zaman dahulu bukanlah kelompok yang lalai. Dalam era ketat pengawasan penjajah kolonial, ulama Melayu, seperti Sheikh Daud al-Fatani dan Sheikh Abdus Samad al-Palimbani, tidak dapat menulis nama ejen penjajah yang hendak sabotaj umat Islam secara terang-terangan.
Namun, mereka menggunakan kiasan (kinayah) dan simbolisme di dalam kitab-kitab Jawi. Mereka memperkemaskan pengajian Tauhid, Fiqah, dan Tasawuf untuk mengesan anasir luar yang cuba merosakkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Para ulama terdahulu mengarang kitab-kitab Tasawuf untuk menegaskan bahawa Tazkiyatun Nafs adalah teras agama. Tanpa Tasawuf, syariat Islam akan hilang rohnya, menjadikan penganutnya berjiwa keras, mudah menghukum, dan senang diadu-domba oleh kuasa asing.
MUHASABAH
Sejarah telah membuktikan bahawa sabotaj intelek jauh lebih berbahaya daripada senjata api. Senjata api hanya mampu membunuh jasad, tetapi penyamaran intelek membunuh roh dan identiti sesuatu bangsa.
Namun perang terhadap ilmu Tasawuf dan institusi Tarekat tidak berakhir di zaman penjajahan Belanda. Hakikatnya, kebencian atau ketakutan terhadap ilmu rohani terus membarah dalam dada ummah hingga ke hari ini.
Apabila Tazkiyatun Nafs dipinggirkan lalu dituduh sebagai sesat atau bid'ah, maka umat Islam kehilangan tiang rohani dalam kehidupan harian. Lahirlah generasi moden yang mengalami krisis identiti yang parah, iaitu generasi yang muflis rasa bangga dengan Islam, mendewa-dewakan budaya Barat serta bercita-cita mahu menjadi seperti orang Eropah. Lahirlah masyarakat yang jiwanya rapuh, kecanduan maksiat digital dan pornografi, serta tidak mampu bertahan walau sehari tanpa mengamalkan rasuah dan penyelewengan demi memuaskan nafsu materialisme.
Inilah kemenangan perancangan para orientalis. Penjajahan Ruh yang merentasi dunia fizikal, kerana mereka telah berjaya mengosongkan jiwa umat Islam daripada kerohanian. Apabila jasad masih bernama Muslim tetapi jiwanya telah sekular, maka sempurnalah cita-cita penjajah tanpa disedari.