Ensiklopedia

Keterangan ringkas & tepat mengenai pelbagai ilmu!

 

"TETAMU SENJA" TELAH PULANG, AKSARA PAK SAMAD KEKAL DIHADHAM

INNA LILAHI WAINNA ILAIHI ROJI'UN.

Senja (6.10 petang) 24 November 2026 "tetamu senja" sudah pergi untuk selama-lamanya. Jasadnya disemadikan di Bukit Kiara sebelum zohor Rabu, 25 November: tenanglah Pak Samad. Hanya doa yang dapat kami titipkan, dalam sedih kehilangan sebutir permata yang telah menyusun kata-kata amat bermakna sepanjang 91 tahun hadir dalam kehidupan sementara. Pak Samad sudah membuka jalan dan menyinsing lengan atas makna kemanusiaan serta panduan mengingatkan Tuhan, ketika terlena, kecewa dan dijeruk rasa.

Pak Samad meninggalkan puluhan karya, dalam pelbagai genre: esei dan kritikan, cerpen, novel, puisi dan drama yang akan terus dibaca serta pernah mengasuh peminat sastera, sehingga ada yang muncul sebagai karyawan. Saya sekadar mengasuh minda apabila membaca visi dan diksi karya-karya Pak Samad, sejak mula belajar memahami sastera serta menyedari bahasa ialah alat komunikasi terbaru bagi menyuntik segar fikiran dan memadankan aksi diri.

Dari Belimbing Dalam (Melaka, lahir tahun 1935), Pak Samad ke Singapura, dan di sanalah lahirnya karya besar Salina yang diangkat sebagai magnum opus biarpun hanya memenangi hadiah sagu hati Peraduan Menulis Novel anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1958. Tiga tahun kemudian, novel asal yang bertajuk Gerhana dicetak dengan judul Salina (1961). Ia juga merupakan novel pertama Pak Samad. Novel itu sudah diterjemahkan ke banyak bahasa, dan menjadi acuan awal sastera moden Malaysia yang tidak boleh diketepikan oleh setiap pengkaji dan pengamal sastera.

Kalau Jalaludin Rumi menganggap kematian itu sebagai "Malam Pernikahan - Seb-i Arus-", Pak Samad pula memberikan satu peringatan mendalam bahawa "Bila pulang nanti, bawa bakti padat berkat." Ya! Hidup ini ditandai dengan "dosa dan pahala"; pahala itu adalah kebaikan yang setiap orang lakukan sepanjang "hidup yang sementara". Apa yang kita cari dalam hidup ini ialah "keberkatan"; tanpa berkat setiap tindakan tidak memenuhi hasrat dan terasa cukup bertelingkah.

Bagi mereka yang masih hidup, legasi Pak Samad akan kekal dibaca, dicerita, dan dikongsikan sebanyak mungkin, apa yang dapat digali kerana pemikiran yang tertuang di dalam karya-karyanya, menjadi mutiara, pedoman dan pembuka bicara pemikiran selanjutnya. Pak Samad cukup diingati sebagai pengkarya Pasca Moden, period pengkajian sastera yang dihasilkan selepas Perang Dunia II, yang umur mengadun pengetahuan, pengalaman dan pemerhatian terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat.

Puisi "Tetamu Senja" ditulis Pak Samad tahun 1955, tetapi saya membaca dan mencari makna di dalamnya pada tahun 1975, dua puluh tahun terlewat. Namun, nasihat para pujangga, lewat tidak mengapa asal jangan tidak memahami atau tidak peduli langsung. Puisi itu saya fahami, falsafahnya saya hayati, biarpun ketika itu usia saya masih 18 tahun, akhir remaja yang semakin bergolak emosi dan identiti diri, mengikut tahap pengkelasan ahli psikologi.

Puisi pernah menjadi fenomena dalam seni hibur. Lagu puisi mungkin di Malaysia dimulai dengan jayanya oleh Zubir Ali menerusi Kumpulan Harmoni. Tetapi di Indonesia ia sudah lama dirintis, termasuk oleh Ebiet G Ade, Ucuk Aka Harahap, Trio Bimbo mahupun Arya Prada.

Namun, suara Ebiet G Ade yang gemersik, petikan gitar yang menyentuh nurani menjadikan namanya cukup besar pada tahun 1980-an dengan magnum opusnya, Camelia, Camelia II, Camelia III, Camelia IV, Berita Kepada Kawan, Untuk Kita Renungkan dan Elegi Esok Pagi. Sebahagian lirik puitis itu masih dapat saya ingat, dan tatkala mendengar lagu-lagunya dimainkan di radio, saya bertambah nostalgia, berfikir "untuk kita renungkan".

Puisi itu ("Tetamu Senja") kemudiannya menjadi cukup popular apabila dilagukan oleh trio Kopratasa pada tahun 1997. Sebelum itu, dunia nyanyian semakin semarak dengan lirik puitis, sama ada yang mengalir sebagai cinta melankolik mahupun cinta Ketuhanan serta puisi rakyat biasa. Benar, "bila pulang nanti" tidak pulang bersama harta, pangkat dan segalanya (material), tetapi "bawa dosa dan pahala".

Tahun 1975 juga menemukan saya dengan novel Salina. Saya membacanya berhari-hari, tetapi saya mula memahami bahawa novel ditulis sebagai representasi sosial. Maka apa yang dibawa oleh naratif Pak Samad mencerna otak saya memahami segelintir kisah hidup komuniti kecil di sebuah kampung di Singapura, selepas perang. Walaupun tidak ada Kg Kambing, reprentasi serupa tetap ada kalau kita kreatif, prihatin dan tebal rasa kemanusiaan.

Dalam cerita Kampung Kambing, saya sedar bahawa ada "manusia makan manusia" , ada "manusia berjasa" dan ada juga "manusia berbudi mulia". Manusia makan manusia adalah manusia yang sedaya upaya kejam dan eksploitatif di atas kesusahan orang lain. Kita tahu, walaupun Salina mencari nafkah hasil pelacuran, jiwanya sentiasa bermurah hati dan berbudi mulia.

Agaknya, Pak Samad cuba memudahkan secebis cerita sufi, seorang pelabur ditempatkan di syurga hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan di tengah padang pasir. Sebelum meninggal, pelacur tersebut bertaubat dan bersyahadah. Salina juga mungkin begitu (bertaubat), walaupun kita tidak tahu apa selanjutnya selepas berhijrah ke Kelantan, meninggalkan Singapura yang penuh sengsara dan dosa.

Salina seorang yang sangat berihsan dan berbudi mulia. Beliau sanggup membantu seorang kanak-kanak, dan berjanji sekiranya diperlukan, akan dibantu. Kata Salina, "kalau tak cukup wang, saya akan cari". Salina tahu, untuk seseorang belajar di sekolah Inggeris, ia memerlukan banyak buku. Dialog itu saya masih ingat sehingga kini, dan saya berada dalam kelompok usia senja.

Di Kg Kambing kita dapat memahami bahawa mereka yang kaya menindas mereka yang miskin. Mereka yang kaya membina kekayaan dengan cara memeras-ugut, memberikan sewa rumah yang tidak sempurna (seperti kandang kambing) tetapi sentiasa berusaha menaikkan kadar sewa bulanan dalam keadaan atap rumbia yang bocor dan lantai tanah berlapikkan tikar.

Pemilik tidak pedulikan semuanya, apa yang diinginkan setiap bulan "masuk'; rumah tidak kosong penyewa. Jika penyewa ingin sedikit keselesaan, buatlah sendiri. Tampak atap rumbia yang bocor, dinding dari kulit kayu tembus cahaya dan zink yang berkarat atau boleh dijadikan titik mengintai apa yang ada di dalam.

Pemilik, tidak peduli, kerana apa yang dikejarnya ialah wang, kalau tidak bayar sewa akan diugut. Bahkan diberitahu, sewa bulanannya akan terus naik daripada RM 18 kepada 20 dan seterusnya. Ia mengingatkan saya tentang tuan rumah sewa yang kami beramai-ramai tinggal di Minden Height sekitar tahun 1979/1980.

Bila dekat dengan semester baharu (sebelum cuti antara semester), tuan rumah beritahu, sewanya dinaikkan dan jika tidak mahu, ada orang lain nak sewa (masuk). Sebagai mahasiswa, kami bukanlah anak orang kaya, hanya harapkan dermasiswa. Setelah ditolak yuran tuisyen, tinggallah beberapa ratus ringgit untuk belanja semester berkenaan. Sebab itu, kami tidak beli buku rujukan, hanya mampu bayar kos fotokopi.

Ya! Kenaikan kecil itu cukup besar pada zaman itu, penyewa rumah di Kg Kambing. Saya teringat filem P Ramlee, selepas gagal membayar sewa, tuan rumah yang masih bersimpati, menawarkan tinggal di bawah rumah. Tetapi, rumah yang disewakan di Kg Kambing tidak ada "bawah rumah" (macam rumah Pak Ali), yang ada hanya "keluar dari rumah sewa" dan cari rumah sewa lain, yang bukan mudah kerana permintaan semakin meningkat.

Dalam ketidaksempurnaan dan kesukaran itulah Pak Samad melukiskan watak dan perjalanan setiap orang, dengan nada pilu dan harapan. Ia seolah-olah sebuah perjuangan, perjuangan menerobos batas ketidakadilan sosial. Sebagai satu suara untuk bersama berjuang untuk hidup dalam struktur sosial yang menepati makna kemanusiaan sejati. Mereka yang kaya membantu orang miskin dan sesama manusia tidak wajar ada sikap tamak, haloba dan sombong diri.

Membaca Salina, kata tutor saya ketika itu, Mohamad Yusuf Hasan (1940-2023), boleh memberikan kefahaman tentang teori sastera. Antaranya, "stream of consciousness" dan "realisme magis". Dari situlah saya mula membaca beberapa karya untuk memahaminya, termasuk karya cikgu Shahnon Ahmad, Anwar Ridhwan, dan Moechtar Lubis. Itu pun sekadar pengantarnya. Biarpun sekadar memahami sedikit sahaja,

Saya tahu, "realisme magis" cukup diminati oleh Pak Samad, dan hasilnya pendekatan itu digarap cantik dan baik dalam Hujan Pagi (1987). Pak Samad menulisnya berlatarkan dunia persuratkhabaran, atau kewartawanan. Dunia yang sedang ditekuninya.

Realisme magis merupakan teknik penulisan yang cukup berkesan dilakukan oleh Gabriel Marquis Garcia dalam One Hundred Years of Solitude (1967). Novel itu sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu: Seratus Tahun Kesunyian (terjemahan Dr Zakaria Ali, terbitan Biblio Press, 2025) dan Sumpah Tujuh Keturunan (terjemahan Mokhtar Ahmad dan Zulkifli Ahmad, terbitan DBP 1991).

Kedua-duanya saya baca, ada perbezaan menarik tentang pemahaman budaya dan persekitaran cerita. Terjemahan Dr Zakaria Ali terasa cukup mendekati latar asal, kerana mungkin pengalaman pernah belajar di Mexico (Universidad de las America's, Pueblo, Mexico) dan Texas (Southwestern University, Georgetown, Texas), memahami bahasa Sepanyol, bahasa asal novel tersebut. Mexico menggunakan bahasa Sepanyol secara meluas, walaupun tidak mempunyai bahasa rasmi secara basah (de facto).

Zakaria Ali adalah bekas pensyarah seni halus di USM sebelum berpindah ke UPSI. Saya pernah mengambil satu dua kertas teori seni halus yang beliau adalah pensyarahnya. Tetapi, itu bukan alasan saya lebih sukakan terjemahannya, tetapi kerana gaya bahasa yang digunakan yang baik dan bertenaga. Terjemahan kainnya terasa sedikit kaku.

Saya juga membaca puisi Pak Samad yang panjang tentang Nabi Muhammad SAW, al-Amin (1999). Perjalanan, kisah hidup dan perjuangan menegakkan Islam oleh Rasulullah SAW sebagai epik riwayat cukup membuatkan pembaca merasa: ketulusan, kecekalan, kebijaksanaan, tutur kata seorang rasul yang diutuskan untuk memperbaiki akhlak manusia.

Puisi epik tersebut membawa makna kedalaman pengetahuan dan pemikiran Pak Samad menyusun sejarah dan perjuangan dakwah yang setiap daripada kita dituntut untuk mempelajarinya. Ibrah dari seorang manusia paling sempurna pernah hadir dalam sejarah manusia. Tidak ada manusia yang lebih sempurna dan mulia daripada akhlak baginda.

Bukan mudah untuk menulis puisi epik yang panjang, apatah lagi tokohnya adalah seorang yang dikategorikan sebagai manusia paling mulia, seorang yang diangkat sebagai Pesuruh Tuhan, yang seluruh kehidupannya menjadi petunjuk memperbaiki akhlak dan menuntun jalan hidup berpandukan syariat, kerana Islam bukan sekadar agama yang difahami dalam kamus ilmiah, Islam adalah cara hidup dan kata Jalaludin Rumi: Jalan Cinta.

Pak Samad mengambil masa yang panjang, dan merujuk surah baginda dengan teliti. Pak Samad sedar, jika tidak teliti, kesannya cukup fatal bukan hanya dirinya, bahkan juga kepada khalayak yang membacanya. Tidak kurang 20 buku Sirah Nabawiyah yang dibaca, dan ini menunjukkan ketelitian Pak Samad dalam menyumberkan puisi dan tulisan-tulisannya, selain pengamatan yang tajam dan emosi yang stabil.

Puisi epik Al-Amin berjaya menonjolkan kekuatan retorik, pemaknaan seni berbahasa (semantik dan semiotik) dengan sentuhan balaghah (kaedah nahu bahasa Arab yang tepat makna dan sesuai dengan khalayak, masa serta situasi yang ingin digambarkan).

Ia (balaghah) merupakan satu aspek yang wahid dalam sastera Islam. Tanpa kebolehan itu, ungkapan atau istilah yang digunakan akan menimbulkan pelbagai interpretasi, dan akhirnya, makna yang terhasil dalam pemikiran khalayak tidak bersesuaian dengan makna yang diharapkan oleh penulis. Ambiguiti.

Dalam puisi, kepelbagaian makna itu dianggap sebagai sesuatu yang cukup berkesan dan menarik, tetapi dalam puisi epik tentang seorang Nabi, ia tidak patut berlaku. Pak Samad menceritakan ketelitiannya dalam "kata pengantar" buku tersebut.

Pak Samad sedar, kekalutan makna itulah yang menjadi heboh dan ribut, yang akan menyebabkan penulisnya akan diberikan gelaran tidak manis atau buruk. Pak Samad sedar, Kassim Ahmad (1933-2017) pernah diselar ketika menggunakan istilah "Dan Tuhan telah mati" dalam sajak Sidang Roh (1960). Kassim turut dikaitkan dengan gerakan anti-hadis kerana menulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula (1986).

Kerana frasa tersebut, Kassim didakwa "murtad", tidak kurang juga yang melihatnya sebagai pengagum aliran falsafah eksistentialisme, atau sejalan dengan pemikiran ahli falsafah Jerman, Frederick Nietzsche (1844-1900), yang melontarkan kata-kata "Tuhan telah mati." Apatah lagi Kassim menganut fahaman sosialisme-marxisme. Bagaimana manusia yang diciptakan Tuhan membunuh Tuhan? (Frederick Nietzsche, Maka, Bersabdalah Zaratusthra, terjemahan Dr Saiful Akram Che Kob , P. Jaya: Biblio Press, 2023).

Juga mengingatkan saya kepada sebuah cerpen Indonesia yang pernah menjadi salah satu contoh teks kajian sastera perbandingan yang diajar oleh Fatimah Busu (USM tahun 1979), "Langit Makin Mendung". Cerpen itu ditulis oleh Kipandjikusmin, nama pena (pengarang asalnya masih misteri) yang kemudian dibaca secara liar sebagai kependekan "Kibaran Panji Komunis Indonesia".

Cerpen itu mengejek kenderaan yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu burag, yang tidak secanggih Sputnik. Sputnik adalah roket yang dihasilkan oleh Rusia, dan Rusia ketika itu adalah sebuah negara sosialis-komunis. Cerpen itu disiarkan dalam majalah Sastera pada bulan Ogos (Augustus) 1968.

Saya tidak tahu, kenapa setiap kali pulang kampung dan melihat air Sungai Semerak dari jendela rumah pusaka, teringat dengan cerita yang ditulis oleh Pak Samad, Sungai Mengalir Lesu (cetakan pertama 1967 dan diterbitkan Pustaka Nasional (Singapura) dan kemudian DBP), biarpun latar dan suasana berbeza. Kini, Sungai Mengalir Lesu yang segar malar ikut diterbitkan dalam pelbagai edisi, yang berusaha menjangkau khalayak pembaca lebih luas. Ia termasuk salah satu siri "Karya Agung Malaysia" sebaris Salina, Hujan Pagi dan Daerah Zeni.

Dalam Sungai Mengalir Lesu, Pak Samad melukiskan perihal kehidupan masyarakat pesisir sungai di Singapura selepas Perang Dunia II. Aliran air semakin berubah, sampah sarap bercampur lumpur, dan ada toksik larut bersama. Keadaan itu menambahkan lagi derita hidup komuniti pesisir sungai yang sudah pun dihimpit kemiskinan dan kesukaran. Mandi manda dan membersihkan pakaian, menjadi aktiviti yang kritikal. Ia disulami dengan cerita manusia yang sentiasa tidak lemas habis antara harapan dan kecewa, kenangan dan ilusi.

Itulah yang membangkitkan terlalu banyak nostalgia terhadap Sungai Semerak, kerana di bahagian hujungnya sudah terbentuk lagun. Kuala Sungai Semerak terkambus beberapa tahun selepas hadirnya Terusan Semerak yang dibina untuk tujuan pembangunan dan memudahkan pergerakan ke Bachok dan Kota Bharu, sebagai jalan alternatif. Di lagun, penuh dengan sangkar ikan (kerapu dan siakap), dan airnya cukup lesu mengalir, dan di dalamnya ada toksik yang terhasil oleh rencam aktiviti dan proses pemendapan partikel dan sisa tergendala. Air semakin lesu mengalir.

Pak Samad yang saya kenal dari jauh, menerima penghargaan daripada kerajaan Thailand (S.E.A Write Award) tahun 1979 dan Anugerah Sasterawan Negara oleh kerajaan Malaysia (ke-4) tahun 1986. Saya pernah bertemu di beberapa sudut kota raya Kuala Lumpur, toko buku terpakai di Jalan Bandar, Yap Ah Loy dan juga Wisma Yakin. Saya hanya melihat dari jauh, kecualilah pada suatu petang pertengahan 1990-an bersembang kecil, sekadar menegur dan cuba memahami perjalanan seninya.

Pak Samad cukup sederhana, berselipar dan berjalan kaki tanpa rasa takut dan malu biarpun sudah bergelar Sasterawan Negara. Kadangkala, pernah bertemu di sekitar Pasar Seni,.kerana di situ juga ada kedai buku terpakai yang boleh dibeli atau disewa untuk tempoh tertentu. Saya bukanlah peminat novel tegar, tetapi kerap mencari buku-buku dalam bidang komunikasi, politik dan sejarah.

Pada suatu ketika, dalam tahun 1989 (tepatnya 23 Julai), Pak Samad menjadi sasterawan yang kontroversi, kerana melancarkan mogok seni. Pak Samad bertekad berhenti menulis, dan tidak akan hadir pada sebarang majlis sastera..Pak Samad tidak berpuas hati dengan birokrasi dan isu royalti, terutama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP sebuah agensi kerajaan yang berperanan mengembangkan bahasa dan sastera. DBP juga ada masalah, banyak stok buku tidak dapat dijual. Namun, genap setahun mogok seni, Pak Samad memutuskan untuk berhenti, dan terus menulis semula.

Pada tahun 2000, Pak Samad kembali melancarkan mogok, tetapi kali ini digelar Mogok Sastera atas alasan yang sama (birokrasi sastera) dan kecewa dengan hal ehwal penerbitan buku sastera. Semua acara sastera arus perdana (main stream, anjuran DBP atau kerajaan) akan dihindari, dan dalam Mogok Sastera tidak berhenti menulis. Seperti dirakamkan oleh Dr Mazlee Malik, Pak Samad tidak bersedia kembali ke DBP walaupun dipelawa dan dipujuk. (Mazlee Malik, "Mengenang A Samad Said: Bicara di celah timbunan buku", Malaysiakini, 25 November 2026)

Tahun 2003, Universiti Pendidikan Sultan Idris menganugerahkan Pak Samad Ijazah Doktor Kehormat (Honorary Doctorate) dan sebelumnya, dianugerahkan Sasterawan Nusantara (1999) oleh empat negara serumpun (Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura) dalam perjumpaan empat tahun sekali yang dipanggil Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN).

Pak Samad juga aktif dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan. Atas keprihatinannya terhadap kelompok yang terpinggir termasuk hubungan dan layanan politik pihak berkuasa. Pak Samad juga menyertai perhimpunan jalanan yang memperjuangkan reformasi birokrasi dan pilihan raya bersama BERSIH.

Paling diingati ialah pembabitan dalam tunjuk perasaan yang dipanggil "duduk bantah", membaca puisi protes sepanjang perhimpunan. Di sanalah lahirnya puisi protes yang sangat bersahaja bahasanya, tetapi cukup keras makna bagi elit yang berkuasa, dan munculnya suatu sindiran: baca puisi pun kena tangkap.

Pak Samad memilih berada di luar lingkaran kuasa baik ketika mogok seni dan mogok sastera mahupun selepas bersama BERSIH. Penyertaan itu memberi laba politik yang sangat berkait dengan idealisme politik Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim memberitahu, Pak Samad adalah seorang sahabat yang baik dan cukup bermakna dalam hidupnya, sahabat berjuang bersama ketika susah.

Pak Samad ikut bersama ketika arus bawah berjuang untuk pembebasan Anwar. Pak Samad berkidung melawan Mahathirisme dan Najibonomics.

Apabila Anwar memegang tampuk kuasa, Pak Samad dilihat semakin berjauhan dan menyepi. Apa sebabnya, tiada siapa yang tahu, kecuali Pak Samad meninggalkan catatan-catatan mengenai sama ada dalam puisi, cerpen, novel mahupun tabula rasanya (memoir atau catatan biografi).

Jika ada, alangkah menarik jika diterbitkan, sebagai "catatan terakhir".seorang aktivis dan sasterawan yang tidak tunduk terhadap tekanan. Ia dapat membantu kita memahami, kenapa ramai yang pernah berjuang bersama Anwar tidak bersedia meneruskannya, membuat keputusan dengan "memilih jalan sendiri."

Hanya ini yang saya dapat gambarkan, mencungkil "keterikatan" dengan Pak Samad, sebagai seorang peminat sastera yang membaca karya, puisi dan laporan akhbar mengenai perjalanan seorang yang membahasakan diri sebagai "tetamu senja". Saya cukup mengingati pesanannya:

"Bila kita lihat manusia lupa tempat

Atau segera sesat puja darjat

Puja pangkat

Segera insaf kita punya kiblat

Segera kita ingat kita ini punya tekad."

Dan....

"Kita ini datang kosong tangan dada

Bila pulang nanti bawa dosa dan pahala."

Selamat Jalan Pak Samad, aksara yang ditinggalkan tidak akan mati, biarpun jasad sudah tiada.

Al-Fatihah.

KAMARUN KH

Written by Admin
Category: Semasa
Hits: 117
  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

Bacaan Popular


Baca topik

Terkini


TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com